BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Sebagaimana yang telah kita ketahui pekara asas yang mesti difahami bahawa bagi setiap insan Allah SWT telah fitrahkan di dalam dirinya kepercayaan terhadap wujudnya TUHAN dan perasaan bergantung kepada Zat yang Maha Berkuasa. Kepercayaan yang difitrahkan Allah SWT inilah yang menjadikan kebanyakkan insan di atas muka bumi ini beragama dan berusaha mendekatkan diri kepada Allah Taala.
Namun jika tanpa bimbingan wahyu, insan akan tersesat dengan kesesatan yang jauh terutamanya dalam dua pekara asas yang penting.
i. Dalam mensifatkan TUHAN yang sebenar.
ii. Dalam menjalani ibadah yang sebenar yang dikehendaki oleh TUHAN.
Tanpa bimbingan wahyu, insan akan tersesat dalam dua pekara tersebut. Akal yang terbatas atau atau dengan panduan syaitan, maka mereka akan cuba mensifatkan TUHAN. Hasilnya, sifat-sifat palsu bagi TUHAN akan direka secara palsu. Maka orang India yang mengandaikan TUHAN, mengukirnya seperti kaum mereka dengan sifat-sifat kaum India, demikian juga orang Cina dan seterusnya. Oleh itu, Islam melarang umatnya mensifatkan ALLAH melainkan dengan sumber wahyu sama ada Al-Quran ataupun Al-Hadith (Sunnah SAW).
Maka insan tanpa panduan Al-Quran dan Al-Hadith akan tersesat jalan dalam menentukan cara ibadah kepada ALLAH. Inilah yang berlaku di dalam agama-agama palsu. Mereka mencipta cara ibadah menurut akal fikiran mereka tanpa tunjuk ajar wahyu. Mereka tersesat jalan kerana mendakwa kehendak Allah dalam ibadah tanpa bukti, sekalipun mungkin mereka itu ikhlas. Ini kerana ibadah adalah agama, dan agama tidak boleh diambil melainkan dari Allah. Untuk itu, Islam mengharamkan bid’ah atau mengada-adakan ibadah tanpa sumber Al-Quran dan Al-Hadith. Keikhlasan tanpa diikuti dengan cara yang ditunjukkan oleh Al-Quran dan Al-Hadith adalah sama seperti amalan pencipta agama palsu yang ikhlas tanpa bimbingan wahyu.
Firman Allah Taala yang bermaksud :
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)” (Surah Al-Mulk : Ayat 2)
Maksud ayat tersebut adalah bagi siapa yang amalannya paling ikhlas dan paling lurus. Ini adalah kerana amalan sekalipun ikhlas tetapi jika tidak betul, maka ia tidak diterima, begitu juga sekiranya betul tetapi tidak ikhlas juga tidak akan diterima, sehinggalah ia menjadi amalan yang IKHLAS dan BETUL.
Maka di sini saya cuba kongsikan bersama tentang syarat atau prinsip-prinsip ibadah di dalam Islam yang sebatutnya kita bawa dan tauhidkan dalam diri dan generasi kita yang akan datang. Janganlah sekiranya penjelasan yang telah saya nyatakan ini, ada pihak di luar sana menganggap ia satu syarat atau prinsip yang ketat, tetapi sebaliknya ia sebenarnya memberitahu kepada kita tentang makna amal ibadah yang telah disepakati oleh semua pihak termasuklah Islam itu sendiri.
IBADAH HENDAKLAH MELALUI AQIDAH YANG SHAHIH.
Sesiapa yang tidak berada atas iman yang shahih atau Islamnya terbatal. Maka ibadahnya tidak akan diterima.
Firman Allah Taala yang bermaksud :
“Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.” (Surah An-Nisaa : Ayat 124)
Seandainya kalau kita perhatikan ayat di atas, Allah dengan jelas mensyaratkan seseorang yang ingin melakukan amal soleh itu hendaklah MUKMIN, iaitu beriman kepada ALLAH dalam ertikata iman yang sebenar. Dia juga hendaklah tidak melakukan pekara-pekara yang merosakkannya. Dengan itu sesiapa yang aqidahnya rosak, maka amalannya sama sekali tidak diterima walaupun kelihatan banyak dan hebat. Ini kerana setiap amalan dalam Islam dibina di atas ASAS AQIDAH.
IKHLAS HANYA KERANA ALLAH SWT.
Ini adalah satu pekara asas yang diketahui oleh kebanyakkan muslim seperti kita. Dalil-dalil mengenainya begitu banyak dalam Al-Quran dan Al-Hadith.
Malangnya pada hari ini, sesetengah pihak yang mendakwa mereka berpegang dengan ajaran sufi atau sebaliknya untuk membersihkan diri, dalam masa yang sama mereka cuba menonjolkan RIYA’. Mereka ini gemar berpakaian tertentu atau sentiasa memegang tasbih di tangan ketika berjalan demi menonjolkan perwatakan kononnya mereka golongan yang mensucikan jiwa. Malahan juga mereka suka bermegah-megah bila berbicara dengan masyarakat yang lain seakan-akan mereka sudah berada pada makam kerohanian yang tinggi. Oleh yang demikian Imam Ibn Jauzi r.h mengkritik sebahagian dari sikap ini dengan menyatakan :
“Di kalangan golongan Zuhud (golongan sufi) ada mereka yang memakai baju yang koyak tidak dijahit dan membiarkan serban dan janggutnya tidak terurus rapi bagi menunjukkan dia tidak mementingkan dunia. Maka ini adalah dari bahagian RIYA’.” (Rujuk, Kitab Talbis Iblis, muka surat 179 dan 180).
BERTEPATAN DENGAN SUNNAH NABI SAW.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan – mana-mana bahagian dari ugama mereka – sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian). Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah Asy-Syura : Ayat 21)
Dalam hal ini Dr. Yusuf Al-Qaradawi menyebut :
“Hendaklah seorang muslim dalam ibadahnya mengikut batasan yang ditentukan untuknya. Tidak mencukupi hanya sekadar bertujuan untuk keredhaan Allah semata, bahkan hendaklah ibadah itu dilakukan dalam bentuk yang disyariatkan Allah, dengan Kaifiyyat (cara) yang diredhai-Nya. Janganlah ibadah seorang muslim itu ialah apa yang direka oleh manusia berdasarkan hawa nafsu dan sangkaan.” (Rujuk Kitab Al-Ibadah fi Al-Islam, muka surat 165).
Justeru itu maka ibadah yang tidak mengikut cara yang ditunjukkan oleh Baginda Nabi SAW sekalipun niat pengamalnya baik, adalah tertolak.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.” (Surah Ali-Imran : Ayat 85)
Al-Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya, mentafsir ayat di atas dengan menyatakan :
“Sesiapa yang melalui suatu cara yang lain dari apa yang disyariatkan Allah maka sama sekali ia tidak diterima.” (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, halaman 2/378).
WaAllahua’lam.
No comments:
Post a Comment