Saturday 21 August 2010

Kebesaran Dan Kekuasaan Allah SWT : Penciptaan Bulan Dan Bintang.








“Kebesaran Dan Kekuasaan Allah SWT : Penciptaan Bulan Dan Bintang”

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.









BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.”



Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Ramadhan dan Salam Sejahtera buat semua yang hadir di sini.



Firman Allah SWT :


Maha Berkat Tuhan yang telah menjadikan di langit, tempat-tempat peredaran bintang, dan menjadikan padanya matahari serta bulan yang menerangi.” (Surah Al-Furqan – Ayat 61).





Allah SWT menjadikan malam agar udara menjadi sejuk dan untuk ketenangan serta ketenteraman, maka Ia tidak menjadikan malam menjadi gelap-gelita tanpa cahaya sama sekali. Mungkin kita (manusia) perlu mengerjakan sebahagian pekerjaan mereka di malam hari, baik kerana terpaksa atau kerana waktu yang sememangnya yang telah dirancang ataupun kerana sebab-sebab tertentu. Maka, Allah SWT menjadikan cahaya bulan muncul pada sebahagian malam. Namun Ia mengurangi cahaya bulan dibandingkan cahaya dan panas matahari, agar kesungguhan manusia bekerja pada malam hari tidak seperti kesungguhannya bekerja pada siang hari. Ini adalah kerana, hal tersebut boleh menghilangkan kenikmatan ketenangan dan ketenteraman sehingga dapat merugikan mereka (manusia).



Allah SWT menciptakan bintang-bintang sebagai hiasan langit serta kesenangan bagi manusia dan penduduk bumi.



Perhatikanlah…



Alangkah rapinya pengaturan ini!






Allah SWT menjadikan gelap memiliki giliran dan dalam masa tertentu kerana adanya keperluan kepadanya. Di antara masa gelap dengan masa gelap berikutnya, Ia menjadikan cahaya agar sesuatu yang memerlukannya dapat menjadi sempurna dan teratur. Pada bulan terdapat juga pengetahuan tentang bulan-bulan dan tahun-tahun. Ini mengambarkan bahawa ia merupakan manfaat dan nikmat dari Allah SWT kepada manusia dan penduduk bumi khasnya. SubhanaAllah.



Saudara-saudari yang dirahmati Allah SWT.



Firman Allah SWT :


Dan Dia lah yang menjadikan bintang-bintang bagi kamu supaya kamu berpedoman kepadanya dalam kegelapan (malam) di darat dan di laut. Sesungguhnya kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengetahui.” (Surah Al-An’am – Ayat 97).



Pada bintang-bintang pula terdapat kepentingan yang perlu kita (manusia) berfikir akan nikmat penciptaannya. Padanya (bintang-bintang) juga terdapat petunjuk-petunjuk dan tanda-tanda berbagai waktu untuk mengerjakan pekerjaan-pekerjaan seperti berbakti kepada tanah (bertani). Dan ia juga dijadikan sebagai petunjuk dalam perjalanan di darat dan di laut, serta mengetahui hal-hal yang biasa terjadi seperti ombak besar, udara panas dan udara sejuk serta sebagainya.



Dengan kemunculan bintang, manusia yang ingin mengadakan perjalanan jauh meredah lautan mahupun daratan dapat memperolehi petunjuk di kegelapan malam, serta ia juga membantu manusia dalam menempuhi padang tandus yang tidak berpenghuni serta lautan yang luas terbentang.





Bintang-bintang di langit juga silih berganti berada di depan dan di belakang, terbit dan tenggelam dengan kesempurnaan dan keindahannya. Begitu juga bulan, keadaannya berubah-ubah iaitu membesar dan mengecil, bertambah dan berkurangan, serta bersinar dan terhalang sinarnya. Semua itu merupakan petunjuk atas kekuasaan pencipta-Nya yang mengubah-ubahnya untuk kebaikan alam.




Lihatlah saudara-saudari sekelian, betapa agungnya ciptaan Allah SWT.



Adakah kita tergolong di kalangan orang-orang yang berfikir?



Adakah kita juga tergolong di kalangan orang-orang yang bersyukur?



Cuba kita semua fikirkan tentang perjalanan bintang-bintang tersebut di planet, pada setiap siang dan malam dengan berputaran dengan cepat. Perjalanannya dapat diketahui dan disaksikan, kerana kita menyaksikannya terbit dan terbenam. Jika tidak kerana perjalanannya yang begitu cepat, maka ia tidak akan menempuh perjalanan yang jauh ini dalam waktu 24 jam. Kalaulah tidak kerana pengaturan Allah SWT dengan meninggikannya sehingga kita tidak mengetahui perjalanannya yang sangat cepat pada orbitnya, nescaya mata kita akan menjadi silau kerana gerakannya yang cepat sebagaimana yang kadang-kadang terjadi jika kilat menyambar di udara.





Fikirkanlah perlindungan Tuhan Yang Maha Mencipta dalam menentukan perjalanan bintang-bintang itu di tempat yang sangat jauh agar perjalanannya tidak menimbulkan kejadian yang tidak dapat ditanggung oleh manusia.



Perhatikanlah!



Benda-benda di langit yang muncul pada sebahagian waktu dalam setahun dan terhalang pada sebahagian waktu yang lain. Jika semuanya itu muncul pada waktu yang sama maka bintang-bintang itu tidak dapat menjadi petunjuk bagi manusia untuk mengetahui sesuatu yang tidak diketahuinya.



Terbitnya sebahagian bintang itu pada suatu waktu tertentu dan tidak pada waktu lainnya dapat bermanfaat bagi manusia. Kerana itu Banat Na’sy’ (nama bintang) dijadikan selalu terlihat dan tidak hilang kerana ada manfaat tertentu. Ia seperti petanda yang digunakan sebagai petunjuk oleh manusia pada jalan-jalan (jalur-jalur) yang tidak diketahui di darat mahupun di laut. Ia tidak hilang dan tidak pula tertutup.






Kemudian perhatikan lagi, seandainya bintang-bintang itu tetap (tidak bergerak), maka hilanglah petunjuk-petunjuk yang dapat diketahui dengan berpindah-randahnya bintang-bintang itu, sebagaimana berpindahnya matahari dan bulan di tempat-tempatnya dapat menunjukkan beberapa hal yang terjadi di alam ini. Seandainya semuanya berpindah-randah, maka dari perjalanan bintang itu tidak akan dapat diketahui berbagai tempat dan tidak ada tanda yang dapat dijadikan petunjuk sebagai rujukan. Kerana, jauhnya perjalanan sesuatu yang pindah itu dapat diketahui dengan perpindahannya dari bintang yang dekat, sebagaimana perjalanan seseorang di muka bumi yang perjalanannya dapat diketahui dari tempat-tempat ia bertolak.





Matahari, bulan dan bintang-bintang mengelilingi alam ini dengan putaran yang tetap pada empat musim dalam setiap tahun untuk kepentingan semua yang ada di dalamnya, baik haiwan, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya dengan ketentuan Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.



Di antara hikmah yang agung adalah diciptakannya tata suria ini yang dengannya alam ini menjadi kukuh dengan aturan yang sangat rapi, di mana dalam masa yang panjang tidak terjadi akan perubahan. Jika terjadi perubahan dalam pekara yang besar, maka manusia tidak memiliki kekuatan dan kemampuan untuk memperbaikinya serta memperelokkannya. Perubahan ini akan menyebabkan suatu kejadian besar dan rumit di bumi, kerana tegaknya bumi terkaitnya dengan langit. Maka, semua kejadian itu terjadi atas kekuasaan Yang Maha Pencipta lagi Maha Suci. Semuanya tidak ada yang cacat, tidak ada yang rosak, dan tidak ada yang terlambat dari jangkaan waktunya untuk kepentingan alam ini. WaAllahua’lam.






“Maha Suci Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa”





No comments:

Post a Comment

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails