Saturday 20 February 2010

Murtad.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.



Pengertian Murtad menurut kamus Al-Munjid dan Al-Marbawi mentafsirkan murtad atau Riddah adalah berundur, berpatah balik, kembali ke jalan asal atau keluar dari Agama Islam. Istilah murtad membawa maksud keluarnya daripada Islam (kembalinya orang Islam yang berakal dan dewasa kepada kekafiran dengan kehendaknya sendiri tanpa paksaan) melalui salah satu daripada tiga unsur iaitu ‘Niat’, ‘Perkataan’ dan ‘Perbuatan’. Saya akan membahagikan Riddah itu kepada dua bahagian iaitu ‘Riddah dengan Hati’ dan ‘Riddah dengan Perbuatan’ untuk kita semua sama-sama mengetahui akannya. Maka tidak mustahillah dalam kehidupan kita, kekadang kita terlepas pandang dan adakalanya kita tidak peka terhadap apa yang telah digarispandukan berkenaan dengan ciri-ciri kemurtadan ini. Sedangkan pekara ini telah kita semua ketahui umum akan akibatnya, serta kesannya terhadap diri kita dan Islam. Peruntukkan masa dan waktu itu sebenarnya ada, tetapi dengan timbulnya kesibukan kita akan hakikat duniawi itulah yang membuatkan kita menafikannya. Perlu diingati juga, saban hari kerektor manusia semakin hari semakin jauh, dan semakin hari juga semakin meluputkan apa yang dimaksudkan ‘Kekebalan Aqidah’.


Riddah Dengan Hati.


1) Tidak mengakui bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah s.w.t, atau mengakui ada sekutu bagi Allah pada Zat-Nya seperti beriktikad bahawa ada kuasa yang sebanding dengan kekuasaan Allah s.w.t, atau syak tentang kewujudan Allah s.w.t atau beriktikad bahawa Allah tiada bersifat dengan satu sifat yang wajib bagi Allah bersifat dengannya melalui ijmak umat Islam seperti ilmu Allah dan kudrat Allah, atau mensabitkan sesuatu sifat kepada Allah padahal Allah suci daripada sifat itu seperti berjisim, berwarna dan bertempat.


2) Tidak mengakui atau syak kewujudan Malaikat-malaikat dan segala urusan yang diserahkan Allah kepada mereka.

3) Tidak mengakui atau syak tentang kebenaran Kitab-kitab yang telah diturunkan Allah s.w.t kepada Rasul-Rasul-Nya termasuk kitab Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w atau tidak mengakui atau syak bahawa Al-Quran itu Kalamullah, terpelihara daripada tambahan dan kekurangan sama ada satu ayat atau satu huruf yang telah (disepakati) ijmak umat Islam padanya.

4) Tidak mengakui atau syak tentang kerasulan utusan-utusan Allah s.w.t yang disebut nama-nama mereka di dalam Al-Quran atau kerasulan Nabi Muhammad s.a.w atau beriktikad harus ada Nabi lagi selepas Nabi Muhammad s.a.w.

5) Tidak mengakui atau syak berlakunya Hari Kiamat (pekara ini telah saya bincangkan dalam artikel saya yang lalu) dan yang bersangkutan dengannya daripada soal hisab, syurga, neraka, timbalan amal perbuatan, pahala, dosa, seksa dan apa-apa yang diberitakan oleh Al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah daripada kejadian-kejadian yang akan berlaku pada Hari Kiamat dan pekara-pekara Ghaib yang wajib kita fahami dan mempercayainya.

6) Tidak mengakui atau syak tentang Qada’ dan Qadar Allah s.w.t, baik dan buruk semuanya datang daripada Allah s.w.t, bahawa Allah Pencipta segala sesuatu dan bebas menghendaki apa yang dikehendaki-Nya, memberi hidayat dan menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, bahawa Allah s.w.t tidak menzalimi hamba-Nya dan segala sesuatu yang berlaku itu adalah dengan Qada’ dan Qadar Allah s.w.t jua.

7) Tidak mengakui atau syak tentang hukum-hukum Allah s.w.t yang disebut di dalam Al-Quran dan Hadith Rasulullah s.a.w.

8) Tidak mengakui atau syak terhadap pekara-pekara yang telah ijmak umat Islam padanya daripada pekara agama yang telah sabit dengan tiada boleh ditolak atau disangkal seperti Israk Nabi s.a.w daripada Masjidilharam ke Masjidilaqsa, mukjizat para Nabi atau mengingkari sunnah-sunnah Nabi yang shahih atau menafikan pekara wajib yang telah disabit dengan ijmak seperti kewajipan sembahyang fardhu lima waktu, sujud di dalam sembahyang, berwudhuk sebelum sembahyang, zakat, puasa dan haji, atau mewajibkan pekara yang tidak wajib dengan ijmak seperti menambah satu rakaat atau sujud di dalam sembahyang fardhu atau menafikan sesuatu pekara yang disyariatkan Allah s.w.t dengan ijmak umat Islam padanya seperti menafikan hukum sunat sembahyang-sembahyang sunat rawatib yang mengiringi sembahyang fardhu lima waktu.

9) Mendustai ayat-ayat keterangan Allah s.w.t dengan menghalalkan pekara yang telah diharamkan dengan dalil Qat’i (Al-Quran, Hadith dan Ijmak) seperti haram berzina, liwat, mencuri, meminum arak, membunuh, riba dan sebagainya yang dikategorikan sebagai dosa-dosa besar, atau mengharamkan pekara yang telah dihalalkan dengan dalil Qat’i (Al-Quran, Hadith dan Ijmak) seperti halal jual beli, nikah, sewa menyewa dan sebagainya.

Firman Allah s.w.t :

“Dan janganlah kamu berkata dusta menurut yang diterangkan oleh lidahmu sendiri; ini halal dan ini haram, supaya kamu mengadakan dusta terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengadakan dusta terhadap Allah, tidak akan beroleh kemenangan” (Surah An-Nahl – Ayat 116).


Dan orang-orang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni neraka, sedang mereka kekal di dalamnya.” (Surah Al-Baqarah – Ayat 39).


10) Berazam hendak kufur pada masa akan datang dan seterusnya. Adapun merasa was-was tidaklah menjadi kufur kerana ia hanya lintasan hati.


11) Membenci atau tidak menyukai ajaran-ajaran Tauhid atau hukum-hukum Syarak yang diturunkan oleh Allah s.w.t. Berlakunya yang demikian kerana sesungguhnya mereka tidak menyukai apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t (mengenai ajaran tauhid dan hukum-hukum syarak yang diterangkan di dalam Al-quran), lalu Allah s.w.t mengugurkan amal-amal mereka. Pada umumnya seseorang itu boleh menjadi murtad apabila saja dia beriktikad dengan iktikad yang bercanggah dengan rukun Iman dan Aqidah Islam yang telah ijmak umat islam padanya dan pekara yang sememangnya diketahui di dalam agama Islam.

Firman Allah s.w.t :

“Dan orang-orang kafir, maka kecelakaanlah untuk mereka dan Dia menghapuskan amalan mereka. Demikian itu kerana mereka benci kepada apa yang diturunkan Allah, lalu Dia menghapuskan (pahala) amalan mereka.” (Surah Muhammad – Ayat 8-9).


Riddah Dengan Perbuatan.


1) Perbuatan sengaja yang menunjukkan kepada kekufuran seperti sujud kepada berhala, matahari, bulan, makhluk yang bernyawa dan tidak bernyawa samaada haiwan dan tumbuhan atau pekara-pekara yang mensyirikkan Allah s.w.t seperti sujud kepada salib (cross), api, angin, gunung, bukit-bukau dan sebagainya. Adapun memakai salib (cross) juga adalah perbuatan kufur kerana para Ulama’ Muktaqin menyifatkan dan bersepakat bahawa :


“Perbuatan kufur itu tiap-tiap perbuatan yang telah ijmak orang Islam bahawa perbuatan itu tidak dilakukan melainkan oleh orang-orang kafir pada hakikatnya. Oleh yang demikian kerana itu sekalipun orang Islam yang melakukan perbuatan orang kafir itu menyatakan bahawa ia orang Islam dengan terang-terang atau tiada berterang-terangan, dengan disaksikan oleh zahir keadaannya, jika perbuatan itu keluar daripadanya dengan sengaja memperolok-olokkan agama Islam dengan olok-olok yang terang dan nyata, maka sebenarnya dia adalah ‘Kufur’.”


2) Perbuatan sengaja yang menunjukkan kepada penghinaan, memperolok, mengejek atau mempersendakan kitab Al-Quran atau kitab-kitab hadith seperti memijak atau melemparkan ke tempat yang kotor serta membakarnya.


Firman Allah s.w.t :

“Barang siapa yang murtad (kembali) di antaramu dari agamanya, lalu dia mati, sedang ia kafir, maka terhapus amalan mereka itu di dunia dan di akhirat, dan mereka itu penghuni neraka, sedang mereka kekal di dalamnya” (Surah Al-Baqarah – Ayat 217).


Murtad atau Riddah itu merupakan dosa besar yang dapat menghapuskan amal-amal soleh sebelumnya (semua amalan terbatal). Maka ia tidak mempunyai hak apa-apa terhadap kaum Muslimin dan haram untuknya nikmat akhirat bahkan mereka kekal di dalam neraka di akhirat nanti. Begitulah gambaran yang telah Allah s.w.t berikan kepada kita (manusia) bahawa gejala murtad ini adalah satu pekara Aqidah yang perlu kita semua ketahui akan hakikatnya. Dunia yang semakin hari semakin dimamah usianya, sering terlihat akan gejala murtad itu kian berleluasa tidak kiralah di luar atau di dalam Negara kita amnya. Budaya-budaya mengagungkan idola-idola barat serta sekularisme yang tidak mempunyai unsur-unsur keislaman itulah sedikit sebanyak merobek-robek jiwa dan hati-hati masyarakat kita untuk menjerumuskan diri kepada kemurtadan. Maka tidak hairanlah mengapa ada golongan Para Mufti dan Solehfusoleh kita bersepakat bahawa hampir sebilangan masyarakat Islam di Negara kita tergolong kepada gelaja Murtad. Malahan apa yang membimbangkan kita lagi golongan tersebut majoritinya datang dari golongan muda-mudi dan belia yang datangnya dari keluarga yang beragama Islam. Pekara ini yang amat-amat kita bimbangi dan takuti. Lihat sahaja edisi-edisi perancanaan media massa dan penerbitan elektronik serta multimedia kita, rata-ratanya mengajak dan mengajar kita akan ketaksuban terhadap golongan kemurtadan malahan dibimbangi pula akan budaya keseronokan melampau itu sedikit sebanyak membawa kepada unsur-unsur murtad. Bimbingilah dan teladanilah diri, keluarga dan generasi kita untuk mengetahui akan hakikat ini. Berilah ruang dan ketika untuk memberi peringatan kepada mereka-mereka ini akan hakikat mensyirik dan murtad kepada Allah s.w.t. Allahu Akhbar!.



8 comments:

  1. salam ziarah tuan rumah.
    nauzubillah.dunia akhir zaman barangkali.
    apa pun,entri yg sangat bermakna..

    ReplyDelete
  2. Waalaikumsalam, IKTIRAF. selamat berkunjung di sini.

    Benarlah kata Nabi s.a.w, bahawa akan hadirnya manusia yang memperkecil-kecil serta mempermain-mainkan agama di ketika akhir zaman nanti.

    kalaulah kita mengkaji ketika di zaman kegemilangan Rasulullah s.a.w dan Para sahabat baginda, mereka yang mengelarkan diri mereka itu keluar dari islam, maka hukumnya adalah bunuh serta merta. Tetapi hari ini, ia diselindungi oleh manusia-manusia yang bertopengkan syaitan. Pekara ini yang sangat2 dibimbangi di mana ia kian menular dari masa ke semasa.

    Semoga kita dan umat Islam diberi kekuatan untuk menghadapi situasi ini, serta dilindungi di dalam rahmat dan hidayah-Nya di dunia dan di akhirat. Amin.

    ReplyDelete
  3. assalammualaikum,um..dunia nk kiamat..kte cme mmpu brdoa smoge akidah umat islam x mudah luntur,amin..

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum..scara kbetulan tjmpe blog ni.entri yg brgune.inilh bala' mnimpa umat.summa takuna khilafah ar-rasyidah a'ala minhaj nubuwwah..amin~

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum warahmatullah hi wabarokatu...bagaimana seseorang itu hanya terdetik di hati iaitu dia selalu sebut tuhan kristiani tetapi pada masa yang sama dia takut akan ALlah?apakah cara yang terbaik untuk menghalang benda ini terlintas dihati?

    ReplyDelete
  6. Waalaikumsalam Ismail.

    Persoalan saudara adalah berkaitan dgn akidah.

    Persoalannya, perlukah kita samakan Tuhan yang Esa dengan tuhan ciptaan manusia seperti agama kristian?

    Jawapan yang perlu ada dlm diri saudara adalah kemantapan Iman.

    Dengan Iman, saudara boleh mengatasi segala-galanya yang tersembunyi dlm diri saudara. Nasihat saya, agar saudara lebih berhati-hati dlm meletakkan Allah SWT dgn tuhan ciptaan manusia.

    Perlu diingati juga, takutnya kita akan Allah SWT adalah merupakan adanya Iman dlm diri kita.

    Jaga Iman.

    Jaga Akhlak.

    Jaga Amal.

    InsyaAllah.

    WaAllahua'lam.

    ReplyDelete
  7. Waalaikumsalam Muslimin.

    Terima kasih dengan perkongsian saudara. Semoga Saudara dan seluruh umat Islam termasuklah diri saya dilindungi-Nya dari segala fitnah yang melata. Amin.

    ReplyDelete
  8. Waalaikumsalam Haikal.

    Terima kasih dengan perkongsian yang bermanfaat buat kita semua. Amin

    ReplyDelete

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails