Friday, 31 December 2010

Kalimah Tauhid Kunci Syurga?

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.




BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera buat semua pengunjung yang setia di sini.





Kalimah tauhid iaitu kalimah ‘Laa Ilaaha Illallah’ kadang-kadang disebut juga dengan istilah Kalimah Ikhlas ataupun Kalimah suci. Pembahasan tentang rukun dan syarat kalimah mulia ini dapatlah dikategorikan ke dalam perbahasan yang sangat mustahak dan wajib dimaklumi oleh setiap muslim. Malahan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa mengetahui rukun syarat kalimah tauhid adalah lebih utama daripada mengetahui rukun-rukun Islam yang lain.


Secara amnya Rukun Kalimah Tauhid terbahagi kepada dua :



Nafi.

Iaitu menafikan bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah. Kalimah tersebut adalah “Laa Ilaaha”.


Ithbat.

Iaitu menetapkan bahawa hanya Allah yang berhak disembah. Dan kalimahnya pula adalah “Illallah”.



Kalimah tauhid ini datangnya dalam bentuk nafi dan ithbat kerana bentuk demikian adalah lebih murni natijahnya jika dibandingkan dengan hanya ithbat. Kalaulah kalimah tauhid datangnya hanya dalam bentuk ithbat, seperti :


“Tuhan adalah Allah”


Maka kalimah tersebut hanya menetapkan bahawa Tuhannya adalah Allah tetapi kalimah tersebut tidak menolak kemungkinan bahawa ia juga mempunyai Tuhan selain daripada Allah Ta’ala.


Sebagai renungan, perhatikan pula kata-kata ini : “Saya Makan Nasi”.


Dalam ayat ringkas tersebut ia hanya mengithbatkan (menetapkan) bahawa ia makan nasi tetapi kalimah tersebut tidak menolak kemungkinan ia juga makan makanan yang lain bersama nasi seperti lauk-pauk, sayur-sayuran dan buah-buahan.


Dan ini berbeza jika ia mengatakan : Saya Tidak Makan Apapun Kecuali Nasi”.


Ayat ini pula memberi gambaran bahawa ia memang makan nasi dan saat yang sama ayat tersebut juga menafikan kemungkinan bahawa ia makan sesuatu selain daripada nasi.


Demikianlah perbezaannya jika kita menggunakan Nafi dan Ithbat untuk kalimah tauhid. Kalimah tersebut bukan hanya berperanan menetapkan bahawa hanya Allah sebagai Tuhan, tetapi pada masa yang sama juga menolak segala jenis tuhan-tuhan yang lain. Saya akan cuba huraikan dan kongsikan pula berkenaan dengan ‘Syarat Kalimah Tauhid’ sebagai perbincangan kita seterusnya. Diharapkan agar pembaca di luar sana dapat memahaminya dan berfikiran ikhlas serta terbuka setiap apa yang saya kongsi dan huraikan ini sebagai wadah ilmu yang bermanfaat untuk diri saya dan anda yang berada di luar sana. Insya’Allah.




Syarat Kalimah Tauhid.

Terdapat ramai di kalangan kita yang keliru dalam memahami tentang Hadith Nabi SAW yang bermaksud :


“Barang siapa yang berkata : Laa Ilaaha Illallah, dia akan masuk syurga”



Benarkah sedemikian?



Ramai berpendapat bahawa dengan hanya mengucapkan kalimah tauhid maka mereka terjamin akan masuk syurga. Padahal sebenarnya ia tidaklah sedemikian. Saya ulangi sekali lagi ia tidaklah sedemikian. Sesungguhnya bagi mereka yang mempunyai sangkaan sedemikian telah terpedaya dan tidak memahami kehendak kalimah tersebut.


Makna kalimah tauhid yang sebenarnya ialah membebaskan diri daripada segala bentuk penyembahan dan berikrar menunpukan segala jenis ibadah hanya kepada Allah Yang Maha Esa serta melaksanakannya sesuai dengan apa yang disukai dan diredhai oleh-Nya.


Oleh sebab itu sesiapa yang tidak mematuhi ketentuan di atas, seperti orang yang beribadah kepada Allah tetapi masih juga memohon kepada wali-wali atau orang-orang salih dalam doa atau nazarnya malahan ada yang sanggup meminta pertolongan dari Iblis dan Syaitan Laknatullah, maka perbuatannya itu akan merosakkan kalimah tauhid yang diucapkannya dan kalimah tersebut tidak akan dapat membantunya di akhirat kelak.



Bagi meraka yang selain beribadah kepada Allah tetapi masih beribadah kepada selain-Nya seperti yang telah saya nyatakan seperti di atas, kerana jahil atau tidak faham akan makna kalimah tersebut ataupun kerana dusta di dalam imannya (Nifaq). Maka hendaklah bertaubat dan kembali kepada ajaran Tauhid yang sebenar-benarnya.


Manakala sejarah telah membuktikan akan hakikat tersebut, seperti apa yang berlaku pada Abi Thalib yang enggan mengucapkan kalimah tauhid hingga akhir hayatnya kerana beliau memahami akan makna kalimah itu. Ini kerana apabila beliau mengucapkannya bermakna beliau mesti meninggalkan semua berhala dan hanya menyembah Allah Yang Maha Esa. Dan inilah juga yang berkemungkinan memberatkan beliau untuk melafaz dan memperakui kalimah tersebut. Ada sesetengah Ulama’ berpendapat pula berbeza-beza pandangan mengenai kematian beliau (Abi Thalib) tetapi hujahnya tidak kurang hebat juga. Untuk mengetahui akan pekara ini mari kita sama-sama lihat Firman Allah SWT dalam Sabda Nabi SAW yang bermaksud:


“Dari Said bin Musayyab r.a dari bapanya, katanya : “ketika Abi Thalib hampir meninggal dunia, Rasulullah SAW datang mengunjunginya. Didapati beliau di sana telah berada Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayyah bin Mughirah. Sabda Rasulullah SAW : “Wahai Pakcik! Ucapkan Laa Illaha Illallah iaitu sebuah kalimah yang aku akan menjadi saksi bagi pakcik nanti di hadapan Allah.” Kerana itu itu Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayyah berkata : “Hai Abu Thalib! Bencikah anda kepada agama ‘Abdul Muthalib?” Rasulullah terus sahaja mengajar dan mengulang-ulang ucapannya itu, tetapi akhirnya Abi Thalib mengatakan kepada mereka bahawa dia tetap memeluk agama ‘Abdul Muthalib’ dan enggan mengucapkan ‘Laa Illaha Illallah’. Sabda Rasulullah SAW : Demi Allah! Akan kumohon ampun bagi pakcik selama aku tidak dilarang melakukannya.” Lalu Allah Azza Wa Jalla menurunkan ayat :

“Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.” (Surah at-Taubah : Ayat 113)

Kemudian Allah Azza Wa Jalla menurunkan pula ayat yang sama berlakunya dengan peristiwa Abi Thalib. Firman Allah kepada Rasulullah SAW :

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).” (Surah Al-Qasas : Ayat 56).” (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim r.h : Hadith No. 22).



Maka perlu diketahui bahawa di Makkah pada ketika itu tidak ada orang munafik kerana musyrikin berada di pihak yang kuat. Mereka tidak merasa perlu untuk berpura-pura kepada orang Islam. Hal ini berbeza dengan keadaan di Madinah. Setelah umat Islam menjadi kuat dan golongan lain hanya merupakan puak minoriti maka timbullah golongan yang berpura-pura mengakui Islam tetapi jiwa mereka menentang malahan menunggu masa yang baik untuk memusnahkan Islam. Maka secara tidak langsung ketika itu seperti Abdullah Bin Ubay Bin Salul (Ketua orang-orang munafik di Madinah) dan lain-lain telah merancang sesuatu untuk menjatuhkan Nabi SAW dan seterusnya menghancurkan Islam secara gerakkan sulit dari dalam Madinah.


Saya juga tertarik dengan sebuah Hadith yang menguatkan lagi hujah tersebut yang bermaksud :

“Dari Abu Hurairah r.a katanya : “Setelah Rasulullah SAW wafat dan Abu Bakar r.a telah diangkat menjadi khalifah (penganti), sebahagian bangsa Arab kafir kembali (murtad). Umar bin Khathab r.a berkata kepada Abu Bakar r.a : “Kenapa anda hendak perangi orang-orang itu, padahal Rasulullah SAW telah bersabda : Aku perintahkan memerangi manusia sehingga mereka mengucapkan ‘Laa Ilaaha Illallah’. Kerana itu siapa yang telah mengucap Laa Ilaaha Illallah’ harus dilindungi harta dan jiwanya, kecuali apabila dia melanggar hukum dan perhitungannya terserah pada Allah...” (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim r.h : Hadith No. 18).



Oleh yang demikian saya cuba huraikan serba sedikit mengenai syarat-syarat yang diperlukan agar kalimah tauhid yang kita semua ucapkan itu berperanan sebagai apa yang dikatakan “Kunci Pembuka Syurga”.



Ilmu.

Apa ayng dimaksudkan dengan ilmu di sini adalah ilmu tentang rukun-rukun kalimah tauhid iaitu ilmu berkaitan tentang Nafi dan Ithbat. Kerangka ilmu sangat diperlukan untuk kesempurnaan segala sesuatu lebih-lebih lagi berkenaan dengan aqidah.




Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat).” (Surah Muhammad : Ayat 19).


Dan lagi Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan segala yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan syafaat pertolongan, kecuali sesiapa yang memberi penerangan mengakui kebenaran dengan mentauhidkan Allah, Tuhan Yang Sebenar-benarnya secara mereka mengetahuiNya dengan yakin (bukan dengan kata-kata orang; maka merekalah yang mungkin diizinkan memberi dan mendapat syafaat itu).” (Surah Az-Zukhruf : Ayat 86).


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Dari Usman r.a katanya Rasulullah SAW bersabda “Barangsiapa mati dalam keadaan dia yakin (berilmu) bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, maka dia masuk syurga.” (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim r.h : Hadith No. 24).


Dari nas-nas seperti yang telah saya nyatakan di atas, nyata bahawa ilmu tentang kalimah tauhid tersebut baik Nafi atau Ithbatnya adalah menjadi syarat agar kalimah itu berguna bagi orang yang mengucapkannya.


Ingatlah kita semua!


Lawan Ilmu adalah jahil. Oleh sebab itu berdasarkan hadith di atas jelaslah bahawa barang siapa yang jahil terhadap kehendak kalimah tauhid yang diucapkannya maka kalimah tersebut tidak akan memberi manfaat kepadanya di akhirat kelak. Atau dengan perkataan lain kalimah tersebut tidak menjamin baginya untuk memasuki syurga Allah Ta’ala.



Yakin.

Jika kita semua mengkaji serta melihat, faktor ilmu masih belum mencukup kalau tidak diikuti oleh yakin kerana unsur yakin sangat penting di dalam aqidah. Lawan yakin ialah syak (ragu). Maksudnya hati kita mestilah penuh yakin dan tidak bercampur dengan syak sedikitpun terhadap kandungan kalimah tauhid tersebut.




Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).” (Surah Al-Hujurat : Ayat 15).


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Dari Sufyan bin Abdullah Ats Tsaqafi r.a katanya dia berkata kepada Rasulullah SAW : “Ya Rasulullah! Ajarkanlah kepadaku suatu perkataan yang aku tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain.” Jawab Nabi SAW : “Ucapkanlah : ‘Aku Iman (yakin) dengan Allah’. Kemudian teguhkan pendirianmu itu!” (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim r.h : Hadith No. 31).



Ikhlas.

Lawan ikhlas adalah syirik. Agar kalimah tauhid berguna bagi yang mengucapkannya, maka kita tidak boleh sama sekali terlibat atau melibatkan diri serta ahli terdekat dengan gejala yang mendekatkan dengan fenomena syirik. Kandungan utama kalimah tauhid adalah mentauhidkan Allah Ta’ala dalam ibadah. Sedangkan syirik pula mempersekutukan Allah dengan yang lain.




Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Ugama yang benar.” (Surah Al-Baiyina : Ayat 5).


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Dari Anas Bin Malik r.a, katanya Rasulullah SAW bersabda : “Akan dikeluarkan dari neraka, orang yang mengucapkan “laa ilaaha illallah”, sedangkan dalam hatinya terdapat iman seberat biji gandum. Kemudian orang yang mengucapkan “laa ilaaha illallah” dan di dalam hatinya terdapat iman seberat beras. Kemudian yang mengucapkan “laa ilaaha illallah” dan di dalam hatinya terdapat iman seberat debu” (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim r.h : Hadith No. 154).


Sebagaimana Sabda Rasulullah SAW mengenai dosa syirik adalah yang bermaksud :

“Dari Abdurrahman bin Abu Bakrah r.a dari bapanya katanya : Kami berada di sisi Rasulullah SAW, lalu beliau bersabda : “Perhatikanlah! Ku beritahukan kepada kamu sekelian tentang dosa-dosa besar yang paling besar : (Rasulullah mengucapkannya tiga kali) (1) Mempersekutukan (syirik) Allah. (2) Derhaka kepada ibubapa. (3) Sumpah palsu. (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim r.h : Hadith No. 68).



Siddiq.

Lawan siddiq (benar) adalah kizb (dusta). Seseorang akan digolongkan ke dalam golongan pendusta jika gerak geri dan perbuatannya berbeza dengan apa yang diucapkannya sebelum mahupun selepas percakapan dan perbuatan tersebut.




Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” (Surah Al-Ankabut : Ayat 3).


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Dari Abu Hurairah r.a katanya Nabi SAW bersabda : “Tanda-tanda munafik ada tiga : (1) Apabila berkata, dia DUSTA. (2) Apabila berjanji. Dia mungkir. (3) Apabila dipercayai,dia khianat.” (Hadith Sahih Riwayat Imam Bukhari r.h : Hadith No.27).


Nas-nas di atas jelas menyatakan bahawa faktor benar (siddiq) adalah merupakan salah satu syarat wajib dipenuhi oleh seseorang jika ia menginginkan agar kalimah tauhid yang diucapkannya itu akan memberi faedah kepadanya di akhirat kelak.



Mahabbah.

Mahabbah atau cinta kepada Allah dan Rasulullah SAW adalah kemuncak cinta. Inilah yang dikatakan cinta yang hakiki. Dua nama yang tersebut di dalam dua kalimah syahadat yang kita ucapkan ialah Allah dan Muhammad dan hendaklah mendapat tempat istimewa di dalam kehidupan kita. Cinta kita kepada Allah dan Rasul mesti melebihi daripada cinta kita kepada yang lain.




Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Dari Anas bin Malik r.a, katanya Rasulullah SAW bersabda : “Belum sempurna iman seseorang kamu, sebelum ia mencintaiku, melebihi daripada cintanya kepada anaknya, kepada bapanya dan kepada manusia semuanya.”. (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim r.h : Hadith No. 35).


Dan sebagaimana yang telah kita ketahui terdapat empat bukti cinta yang tulen yang wajib kita mengetahuinya sebelum kita melafazkan dan melakukannya dengan perbuatan.



Pertama : Menyebut selalu nama orang yang dicintai.

Kedua : Mengingatinya selalu.

Ketiga : Melakukan apa yang disukainya

Keempat : Menjauhi segala yang dibencinya.




Maka sudah sampai manakah cinta kita terhadap Allah Ta’ala dan Rasul-Nya?


Dapatkah kita buktikan dalam kehidupan kita sehari-harian?



Nas-nas seperti yang telah saya kongsikan di atas mengambarkan bahawa cinta adalah salah satu faktor penting untuk kesempurnaan kalimah tauhid kita. Para sahabat telah membuktikan cinta mereka kepada Allah SWT dan Nabi SAW serta ajaran-Nya. Mereka sanggup mengorbankan segala-galanya termasuk mengadaikan nyawa mereka jika diperlukan demi menegakkan agama Allah Ta’ala di muka bumi ini.



Inqyaad.

Lawan kepada Inqyaad (mematuhi) kalimah tauhid ialah meninggalkannya (Tark). Setiap muslim hendaklah merasa terikat dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah Ta’ala dan Rasul-Nya sama ada dapat diketahui hikmah perintah atau larangan tersebut ataupun tidak dapat diketahui. Mereka mesti menerima sepenuhnya dengan tidak menolak sedikit pun kehendak-kehendak kandungan kalimah tersebut.




Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah Luqman : Ayat 22).


Nas-nas seperti yang telah tertera di atas menyatakan dengan tegas bahawa bukti kekuatan iman seseorang ialah jika ia dapat mematuhi sepenuhnya kehendak Allah dan sentiasa menyesuaikan kehendak nafsunya dengan syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW.


Dan yang terakhir sekali sebagai rujukan dan panduan untuk kita bersama sebagai perkongsian yang bermanfaat di sini adalah “Menerima Konsepnya”.



Menerima Konsepnya.

Lawan daripada menerima konsep kalimah tauhid ialah menolaknya. Kita tidak boleh menolak sedikitpun kehendak dan kandungan kalimah tersebut. Orang-orang munafikin sejak zaman dahulu seperti Abdullah bin Ubay juga menyebut kalimah tauhid tetapi mereka menolak kandungannya. Begitu juga dengan Abu Jahal, Abu Lahab dan sebagainya, mereka mengetahui akan pekara tersebut tetapi mereka sebenarnya tidak beriman dan bertakwa kepada kalimah ikhlas tersebut. Malahan merekalah juga yang mengaturkan agar penderma-penderma dari kalangan mereka yang kafir agar memberi dan mendermakan hasil dari sedekah dan pemberian yang halal bagi membanggunkan kaabah pada masa itu.Merkea telah mengenakan undang-undang agar duit yang berpunca dari pendapatan yang bersih sahaja boleh dibenarkan untuk menampung kos menaik taraf kaabah pada masa itu. Walaupun pada asasnya mereka semua itu adalah penentang yang kuat terhadap usaha-usaha Nabi SAW dalam jalan syiar dakwah Baginda SAW.




Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan mereka (yang mengingkari kerasulan Nabi Muhammad itu) merasa hairan, bahawa mereka didatangi oleh seorang Rasul pemberi amaran, dari kalangan mereka sendiri. Dan mereka yang kafir itu berkata: “Orang ini adalah seorang ahli sihir, lagi pendusta.” (Surah Sad : Ayat 4).


Dan Firman Allah SWT lagi yang bermaksud :

“Sebenarnya mereka dahulu apabila dikatakan kepadanya;” (ketahuilah, bahawa) tiada Tuhan yang sebenar-benarnya melainkan Allah” – mereka bersikap takbur mengingkarinya. Serta mereka berkata: ” Patutkah kami mesti meninggalkan tuhan-tuhan yang kami sembah, kerana mendengar ajakan seorang penyair gila?” (Surah As-Saffat : Ayat 35 & 36).


Demikianlah rukun dan syarat yang perlu ditunaikan agar kalimah tauhid yang kita ucapkan dapat memberi faedah di akhirat nanti. Perbincangan kita hanyalah berkisarkan konsep aqidah dan jalannya sebagai rujukan kita bersama, tetapi bagi mematuhinya, kita perlulah berjihad bagi memastikan kalimah tauhid tersebut terpasak seutuh-utuhnya di dalam diri kita. Maka tidak hairanlah mengapa orang dewasa kini lebih gemar melafazkannya berlaki-kali tetapi masih berada di dalam belenggu kemaksiatan yang tegar tanpa segan-silu pula sanggup menggelarkan diri sebagai seorang Muslim yang mematuhi segala suruhan dan ajaran-Nya secara menyeluruh.


Oleh yang demikian, untuk mencapai kemuncak kegemilangan mengecapi manisnya di dunia dan manisnya pula di akhirat nanti adalah dengan redhanya Allah ketika di dunia dan redhanya Allah juga ketika kita dimasukkan ke dalam syurga Allah SWT. Itulah kemenangan yang mutlak yang perlu kita cari dan gapai semahunya.



Tetapi persoalannya, Bukankah kalimah suci Laa Ilaaha Illallaah itu kunci syurga?










Benar malahan saya juga tidak menafikannya. Tetapi perlu diingati juga bahawa TIDAK ADA SATU PUN KUNCI KECUALI ADA GIGI-GIGINYA! MAKA SEKIRANYA KITA MEMBAWA KUNCI YANG SEMPURNA GIGI-GIGINYA, PASTI AKAN TERBUKALAH PINTU-PINTU SYURGA TERSEBUT!



WaAllahua’lam.



No comments:

Post a Comment

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails