Monday 19 July 2010

Tafsir Al-Quran Dengan Al-Quran.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.










“Tafsir Al-Quran Dengan Al-Quran”










BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.”



Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera.



Sesungguhnya tafsir Al-quran dengan Al-quran yang lain adalah cara paling tinggi di dalam pembahagian ilmu tafsir. Ayat Al-quran yang didatangkan telah mentafsirkan antara satu sama lain. Sebagai contoh yang boleh kita kongsikan di sini melalui surah Al-Toriq – Ayat 1, 2, & 3.



Firman Allah SWT :


Demi langit dan “At-Taariq”; Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia “At-Taariq” itu? (At-Taariq) ialah bintang yang menembusi (sinaran cahayanya). (Surah At-Toriq – Ayat 1 – 3).






Berdasarkan ayat tersebut, dapat kita semua ketahui bahawa terdapat ayat lain yang disertakan terus untuk menerangkan makna ayat yang mempunyai maksud tersirat. Allah SWT sendiri membongkar rahsia keajaiban cakerawala melalui tafsir dari ayat tersebut. Kalau kita lihat melalui ayat tersebut, Allah SWT telah berfirman :



Apa dia “At-Taariq” itu?.



Lalu Allah SWT telah menerangkan selepas itu apa yang dimaksudkan dengan ‘Taariq’ melalui ayat seterusnya :



(At-Taariq) ialah bintang yang menembusi (sinaran cahayanya).”



Dalam ilmu Sains moden masa kini, pakar ilmu angkasaraya telah mentafsirkan ayat ini serta menyatakan bahawa apa yang dimaksudkan ‘Taariq’ yang telah Allah SWT jelaskan dalam Al-quran tersebut adalah sejenis bintang yang muncul pada ketika malam hari yang dikenali sebagai ‘Komet’. Ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa betapa indahnya ayat-ayat Al-quran tersebut yang mempunyai pelbagai ilmu-ilmu Allah SWT yang luas. Di sini kita semua dapati bahawa mentafsirkan Al-quran dengan Al-quran merupakan cara yang paling berkesan dan sempurna dalam kontek pembahagian ilmu tafsir. Ia juga menjelaskan bahawa sebahagian ayat Al-quran juga mentafsirkan ayat-ayat Al-quran yang lain.



Sebagai contoh yang lain pula yang boleh kita kongsikan di sini yang menyatakan pembahagian tafsir Al-quran dengan Al-quran adalah melalui Surah Al-Baqarah – Ayat 219 dan Surah Al-A’raf – Ayat 33 yang telah menjelaskan kepada kita tentang keburukan Khamar (Arak) terhadap manusia.



Firman Allah SWT :


“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir.” (Surah Al-Baqarah – Ayat 219).

“Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah Al-A’raf – Ayat 33).



Kedua-dua ayat tersebut telah menerangkan kepada kita tentang hakikat ‘Dosa’. Dosa ialah sesuatu maksiat yang telah dilakukan. Apabila seseorang telah melakukannya, ia telah dianggap melakukan dosa. Sesetengah pendapat mengatakan bahawa perbuatan dosa yang boleh dihukumkan sebagai perbuatan haram hanya dikhususkan perbuatan bersangkutan dengan khamar sahaja, iaitu sesuatu yang memabukkan. Hakikatnya, kalimah dosa itu tidak bersifat mutlak, iaitu hanya khusus kepada dosa perbuatan bersangkutan khamar sahaja. Tetapi, perbuatan itu termasuk salah satu daripada pekara maksiat. Kalau kita rujuk dalam kamus Al-Sholah, ia menyatakan juga bahawa Arak juga dinamakan sebagai dosa. (Rujuk Fath Al-Qadir, hasil Imam Al-Syaukani, Jilid 2, muka surat 200).





Sebagai contoh lain pula yang boleh dikongsikan di sini dalam bab mentafsir Al-quran dengan Al-quran adalah dalam surah yang seterusnya iaitu Surah Yunus – Ayat 62 yang berkenaan dengan Wali-wali Allah SWT.



Firman Allah SWT :


“Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (Surah Yunus – Ayat 62).



Ayat tersebut menerangkan serba sedikit tentang Wali-wali Allah SWT. Ia juga boleh dikenali. Oleh itu sesiapa yang memiliki ciri-ciri yang dinyatakan oleh Allah SWT, dia sama sekali tidak akan berasa bimbang dan bersedih kerana keyakinan dalam dirinya bahawa Allah SWT pasti membalas kebaikan padanya kelak. Allah SWT telah menegaskan antara ciri-ciri yang boleh digelar sebagai wali-wali Allah SWT sebagaimana dengan firman sari surah tersebut (Yunus) di ayat yang berikutnya.



Firman Allah SWT :


“(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.” (Surah Yunus – Ayat 63).







Maka dengan itu, ayat dari surah Yunus ini memperlihatkan kepada kita bahawa ia adalah pembahagian tafsir Al-quran dengan Al-quran. Allah SWT telah menjelaskan kepada kita tentang siapakah dia dan ciri-ciri wali-wali Allah yang menghubungkaitkan antara satu ayat dengan ayat Al-quran seterusnya.



Berdasarkan ayat di atas itu juga, ia menjadi hujah menolak pendapat yang mengatakan bahawa para wali-wali mengetahui pekara ghaib, ada keramat seperti boleh berjalan di atas air, boleh ke Makkah sekelip mata lalu didirikan binaan dan kain kuning di atas kubur mereka apabila meninggal dan sebagainya. Sedangkan, setiap orang yang beriman kepada Allah SWT dengan penuh keikhlasan tanpa dicampuri kesyirikan, mentaati segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, mereka itulah yang layak digelar sebagai wali-wali Allah.



Memiliki keramat bukan syarat membolehkan seseorang itu digelar sebagai wali-wali Allah SWT. Tidak dinafikan hal itu boleh berlaku. Namun, kadang-kadang sebaliknya. Apa yang peliknya, kadangkala pekara keramat ini juga berlaku terhadap sesetengah ahli sufi yang sesat dan tukang sihir serta bomoh-bomoh.




Persoalannya di sini…




Apakah mereka juga dianggap sebagai wali-wali Allah SWT?



Ini terbukti sebagaimana firman Allah SWT mengenai kekeramatan tukang sihir ketika zaman Nabi Musa A.S.



Firman Allah SWT :


“Nabi Musa menjawab: “Bahkan kamulah campak dahulu”. Tiba-tiba tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda-benda berjalan, disebabkan sihir mereka.” (Surah Toha – Ayat 66).




Sai Baba




Menurut kajian, perbuatan sihir ini masih banyak berlaku di kalangan orang-orang Majusi di negara India. Mereka melakukan sihir terhadap masyarakat setempat dengan tali mereka hinggakan dikatakan ular. Sebenarnya ia hanyalah bayangan sihir semata-mata. Begitu juga berita tentang keanehan seorang sami yang bernama ‘Sai Baba’ yang terdapat di negara tersebut. Secara amnya, ia juga mengunakan sihir untuk mengaburi pihak-pihak tertentu serta pengikut setianya. Perlu diingati, bahawa pengikut-pengikut setianya adalah datangnya dari kalangan orang-orang yang beragama Hindu malahan ada kalangannya juga datangnya dari kalangan orang-orang yang tidak beragama.




Bukankah Allah SWT itu Maha Perkasa!



Oleh yang demikian, jelaslah kepada kita bahawa pembahagian tafsir Al-quran itu perlulah berlandaskan kepada yang betul. Janganlah kita mentafsirkan Al-quran itu mengikut akal kita yang cetek ini tanpa merujuk ke arah yang bertepatan. Jika situasi ini berlaku, maka tidak mustahil akan munculnya lagi orang yang mengelarkan dirinya sebagai Nabi bagi bangsa Melayu. Cukuplah apa yang telah berlaku dan diketahui umum oleh masyarakat kita di Malaysia. Bergurulah kepada para ilmu tafsir yang benar-benar memahami ayat-ayat Al-quran. Janganlah kita terlalu sambrono terhadap mukjizat Nabi SAW ini sehinggakan menganggap ia tidak penting dalam hidup kita. Setiap manusia itu punyai tugas dan matlamat hidupnya terhadap apa yang ia inginkan. Sebagai contoh, seorang doktor punyai tugas yang tertentu untuk merawat dan membasmi penyakit, seorang guru punyai matlamat juga untuk menjadikan manusia itu bertamadun berkonsepkan ilmu, seorang arkitek juga memerlukan penelitian dalam ia mengubah dan merekacipta sesuatu binaan, seorang pelajar juga punyai matlamatnya untuk mencari ilmu demi menjamin masa depan yang gemilang, tetapi dalam masa yang sama di atas tugas dan tanggungjawab tersebut, janganlah kita abaikan juga syariat Allah SWT. Perlu diingati juga, bahawa ilmu akhirat itu lebih menjamin diri kita di sana kelak. Ilmu akhirat itu juga sebenarnya membuka ruang minda kita agar lebih dekat lagi dengan Allah SWT. Barulah kita dapat mengecapi betapa manisnya ketika di dunia ini, dan betapa indahnya ketika beribadah.

Kita bukan sekadar untuk melahirkan insan yang kaya dengan ilmu, tetapi malas untuk berfikir. Kalau di lihat, kita punyai ribuan pelajar serta graduan universiti yang telah tamat pengajian di peringkat ijazah serta mendapat keputusan yang mengkagumkan. Malahan di arena persekolahn rendah dan menengah pula di dapati begitu ramai yang mengecapi keputusan yang membanggakan. Ibubapa, guru, pihak kerajaan begitu berbangga dengan keputusan tersebut. Tetapi perlu diingati juga, ada sesetengah yang mendapat keputusan yang cemerlang tetapi malas untuk ‘berfikir’.




Berfikir?




Kenapa perlu berfikir?




Dengan berfikir, maka akan lahir golongan Ahlul Albab. Dengan berfikir manusia akan menjauhi kemaksiatan. Dengan berfikir manusia dapat membezakan ilmu dan nafsu. Dengan berfikir manusia dapat menbezakan akal dan syaitan laknatullah. Dengan berfikir mendekatkan lagi diri kita terhadap Allah SWT. Dengan berfikir…..Dengan berfikir….Dengan berfikir….



Saya berpesan pada diri saya dan anda semua agar kembalilah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Ikutilah Sunnah SAW. Janganlah kita menjadi orang-orang yang buta ilmu serta janganlah kita terlalu berkira-kira dalam mencari ilmu-ilmu Allah SWT. Kalau kita boleh menghabiskan masa dan waktu kita di hadapan ‘screen laptop’ itu berjam-jam untuk bersembang siber dengan kawan-kawan kita tanpa had, mengapa kita tidak boleh menghafaz serta membaca Al-quran walaupun seketika waktu?.



Firman Allah SWT :


“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian .Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah Al-‘Asr – Ayat 1-3).




WaAllahua’lam.



1 comment:

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails