Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.
BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Berkata Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi SAW telah bersabda : Allah telah berfirman :
“Aku-lah Ar-Rahman, dan Ar-Rahim itu telah Ku-ciptakan dan Ku-ambil nama itu dari nama-Ku. Maka barangsiapa yang memperhubungkan silaturahim, niscaya Aku menghubunginya. Dan barangsiapa yang memutuskan silaturahim, niscaya Aku akan memutuskan hubungan-Ku dengannya. Dan barangsiapa yang menetapkan silaturahim, niscaya Aku akan menetapkannya. Sesungguhnya rahmat-Ku mendahului kemurkaan-Ku” (Hadith Riwayat Imam Ahmad r.h, manakala Hadith ini juga telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi, Ibnu Hibban, Hakim, Baihaqi r.h daripada Ibnu Auf, dan Hakim, Khara’ithi, dan Khatib daripada Abu Hurairah r.a).
Ar-Rahman ialah nama Allah Taala yang bermaksud Maha Pengasih. Daripadanya diambil perkataan ‘Rahim’ yang bermaksud ‘keluarga’ atau ‘kerabat’ dan yang biasa kita ucapkan dalam maksud ini ialah ‘SILATURAHIM’ yang bermaksud juga ‘memperhubungkan tali keluarga’.
Pada asasnya memperhubungkan silaturahim itu merupakan suatu tugas suci yang dianjurkan oleh syariat Islam. Nabi SAW kerap berpesan kepada kita supaya memperhubungkan silaturahim iaitu berbuat baik terhadap kaum keluarga, membantu mereka dan meringankan penderitaan mereka. Di dalam Hadith Qudsi yang saya bentang serta kongsikan ini pula, Allah SWT mengingatkan perhubungan seseorang dengan keluarganya. Kata-Nya dengan tegas, bahawa sesiapa yang memperhubungkan silaturahim dengan keluarganya (sesama manusia), Allah SWT akan menghubungkan tali-Nya dengan orang tersebut. Sebaliknya pula siapa yang memutuskan tali silaturahim itu, maka Allah SWT akan memutuskan pula tali-Nya dengan orang itu.
Hadith Qudsi ini lebih banyak memperlihatkan ancaman daripada peringatan. Memang manusia ada kalanya terlalai terhadap saudara dan keluarganya, Tidak diperhatikannya, tidak bertanya khabar dan keadaan kehidupannya, apatah lagi mahu membantu atau menolong dengan harta atau wang ringgit. Sudah ada kelebihan dan kekayaan sedikit, segera melupakan saudara dan keluarganya sendiri, walhal ada kalanya mereka itu hidup dalam kesempitan dan serba kekurangan. Kadang-kadang yang kaya sudah tidak menziarahi yang miskin, padahal mereka asalnya adalah bersaudara.
Ingatlah!
Jangan sedemikian!
Allah Ta’ala berjanji akan memutuskan hubungan-Nya dengan orang tersebut, jika ia terus memutuskan hubungannya dengan saudara serta ahli keluarganya.
Siapa yang sanggup menahan kemurkaan Allah!
Tentu tidak ada sesiapa pun yang sanggup menerimanya bukan!
Renungilah!
Iblis pernah menentang Tuhan sekali saja, tetapi kesalnya tidak berpenghujung sampai ke hari Kiamat kelak!
Maka akhir sekali firman-Nya pula bahawa “sesungguhnya rahmat-Ku mendahului kemurkaan-Ku.” Dia sentiasa merahmati hamba-hamba-Nya sebelum Dia memurkainya, maka sudah tentunya kita sebagai makhluk-Nya saling kasih-mengasihi, sayang-menyayangi, bantu-membantu, saling maaf-memaafi dan seterusnya.
Adakalanya sesetengah dari saudara dan ahli keluarga kita yang tidak menyenangkan hati dan diri kita, khususnya bila berhubung soal harta kekayaan, wang ringgit atau sebaliknya serta boleh menyebabkan ikatan silaturahim itu mudah terputus, lebih-lebih lagi bila ada dalang yang menghasut akan pekara-pekara tersebut. Maka bila berlakunya pekara yang sedemikian, hendaklah kita bersabar dan cuba mengatasinya dengan cara yang tidak sampai memutuskan perhubungan silaturahim kita dengan mereka, ini adalah kerana dikhuatiri Allah Ta’ala akan murka terhadap kita atas sikap serupa itu, lalu Dia pula yang memutuskan hubungan-Nya dengan kita. Alangkah ruginya orang-orang yang telah diputuskan Tuhan hubungannya dengan Dia!
Secara tegasnya, apa yang hendak saya nyatakan di sini adalah silaturahim itu hendaklah dipelihara dan dijaga dengan sebaik-baiknya. Kalau pihak yang lain cuba memutuskan, janganlah hendaknya pihak yang lain terus membalas, walaupun dia tidak bersalah. Tetapi hendaklah pihak yang mengerti pekara tersebut mengingati akan dosa dan kemurkaan Allah serta mencari jalan penyelesaian bagi memperbetulkan semula kekusutan tersebut. Ingatlah! Mungkin dia bersalah, tetapi dia tidak menyedarinya akan kesalahan tersebut kerana setiap manusia itu tidak pernah melakukan kesalahan serta dosa!
Oleh itu, yakinlah akan kita semua, bahawa perhubungan Allah Ta’ala dengan kita semua tidak akan terputus, sehingga kita semua berada di bawah naungan belas kasihan-Nya dan perlindungan-Nya. Janganlah pekara-pekara yang kecil yang punyai jalan penyelesaian itu kita anggapnya sebagai satu punca permasaalahan yang tidak ada jalan penyelesaiannya sehingga menjejaskan ikatan silaturahim kita sesama saudara dan ahli keluarga. Dewasa kini juga kelihatan manusia tidak faham malah tidak mengambil berat tentang apa yang dimaksudkan dengan silaturahim, sebaliknya segelintir masyarakat kita menganggap bahawa ia bukanlah satu pekara yang perlu dipandang dengan serius, bukankah ia juga melibatkan hubungan antara makhluk dengan Maha Pencipta? Jika ini pun kita tidak mengetahuinya dengan betul, bagaimana pula kita hendak mengetahui tentang hubungan Allah Ta’ala dengan manusia-manusia pilihan-Nya.
Waallahua’lam.
No comments:
Post a Comment