BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Di zaman Rasulullah SAW, terdapat asas utama sumber perundangan Islam iaitu AL-QURAN dan AL-HADITH. Asas perundangan ini juga telah diguna pakai sehinggalah ke hari ini, malahan akan turut juga dibawa sehinggalah ke hari kiamat kelak. Mana-mana umat manusia yang meninggalkan sumber perundangan ini secara sengaja serta menafikannya tanpa merujuk kepada para Ulama’-ulama’ pewaris Nabi, maka ia tidak dikira sebagai asas perundangan bagi kehidupan manusia malahan ia juga jauh menyimpang dari syariat Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.” (Surah Al-Maidah : Ayat-50).
Dan Firman Allah SWT lagi yang bermaksud :
“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” (Surah An-Nisa’ : Ayat-65).
Persoalannya…
Mengapa Al-Quran menjadi asas perundangan Islam?
Ini adalah kerana Al-quran adalah kitab lengkap merangkumi keperluan kehidupan manusia. Malahan Al-quran juga membekalkan peraturan hidup manusia di dunia (Hablun min al-nas) dan hubungan manusia dengan Pencipta (Hablun min Allah).
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji.” (Surah Fussilat : Ayat-42).
Firman Allah SWT lagi :
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” (Surah Al-Hijr : Ayat-9).
Dan Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan (ingatkanlah tentang) hari Kami bangkitkan dalam kalangan tiap-tiap umat, seorang saksi terhadap mereka, dari golongan mereka sendiri; dan Kami datangkanmu (wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka ini (umatmu); dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.” (Surah Al-Nahl : Ayat-89).
Ayat-ayat berkenaan dengan hukum-hukum juga terdapat di dalam Al-quran. Ia begitu lengkap dan tersusun. Sebagai contohnya Ayat-ayat Madaniyyah (pekara ini telah kita bincangkan di artikel saya yang lalu) memfokuskan kepada dasar hukum seperti jual-beli, sewaan dan riba, persoalan jenayah seperti membunuh dan mencuri harta benda orang lain. Hal ehwal sistem kekeluargaan seperti perkahwinan, penceraian dan perwarisan juga terkandung di dalam surah-surah Madaniyyah. Sebagai contoh yang boleh kita lihat seperti apa yang terkandung di dalam surah Al-Baqarah dan An-Nisa’.
Di dalam Ayat-ayat Al-quran terdapat lebih kurang 330 ayat berunsur Tasyri’ (perundangan) yang terbahagi kepada 140 ayat mengenai ibadat, 70 ayat mengenai hal ehwal kekeluargaan seperti perkahwinan, penceraian, pewarisan, wasiat dan sebagainya, 70 ayat mengenai hal ehwal sivil seperti sistem jual-beli, gadaian, sewaan, perkongsian, perniagaan dan hutang-piutang, 30 ayat mengenai hukum jenayah dan 20 ayat mengenai perbicaraan dan saksi. Semua data dan maklumat lengkap tentang persoalan hukum adalah bukti kepada kemukjizatan Al-quran sebagai kalam Allah dan bukan ciptaan Rasulullah SAW.
Keempat-empat mazhab bersepakat mengambil hukum-hukum dari Al-quran dan Al-Hadith yang sahih. Imam Ahmad bin Hanbal r.h dan Imam Al-Awza’l r.h ketika diminta memberi pendapat mengenai sesuatu pekara, katanya :
“Janganlah kamu mengambil dari kami, tetapi ambillah dari sumber yang kami ambil sendiri memperolehi hukum darinya. Ambillah dari Al-quran dan Al-Hadith”
Waallahua’lam.
No comments:
Post a Comment