Wednesday 15 December 2010

Definisi Tamadun Islam : Di Mana Halatuju Kita?

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir



BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.


Seni Tamadun Islam Yang Dikagumi



Sebagaimana wadah perkongsian kita bersama ‘Tamadun Islam’ didefinisikan sebagai suatu tamadun manusia yang beragama dan dinaungi oleh agama Tauhid (Islam) sejak lebih 14 abad yang lampau. Sebahagian besar orientalis barat mengiktiraf tamadun Islam disebabkan keunggulan Islam yang merintis dan mempelopori kaedah berfikir ke arah pembanggunan tamadun yang ulung. Apa yang menariknya, tamadun ini terbentuk secara asli tanpa terkesan dari mana-mana tamadun kuno. Itupun kalau kita sebagai seorang Muslim mengkaji dan mengetahuinya dengan mendalam dari satu masa ke semasa akan hakikat tersebut.


Segala cabang ilmu dan kemajuan dalam setiap sektor yang merangkumi sistem kehidupan manusia secara holistik telah diterokai oleh intelektual Islam. Penemuan demi penemuan telah diraih namun dengan biadab hasil penyelidikan dan kecanggihan teknologi terkini ‘dirompak’ oleh bangsa penjajah (Eropah). Bahkan tanpa segan-silu mengaku dan melabelkan penemuan dan teknologi tersebut sebagai ciptaan mereka. Kemajuan penyelidikan Islam terhadap kajian sama ada teori ataupun praktikal terhadap makanan dan minuman, ramuan perubatan dan senjata api. Ia juga meliputi bidang ilmu lain yang turut merangkumi segala aspek seperti bidang perniagaan dan marin. Semua ini adalah pencetus kepada keagungan tamadun dan kebudayaan Islam di abad lampau. Tetapi malangnya telah diciplak oleh mereka-mereka yang kononnya ingin mewujudkan budaya tamadun baru yang sesuai dengan sistem peradaban manusia sejagat. Malahan apa yang lebih malangnya lagi, ada segelintir masyarakat Islam yang buta akan sejarah telah mengiktiraf usaha-usaha golongan tersebut serta menjadikannya sebagai idola yang berterusan sehinggalah ke hari ini. Maka disarankan juga, jika kita buta dan pekak akan sejarah Tamadun Islam yang ulung suatu ketika dahulu, maka abaikanlah jika hendak mengiktiraf serta mengagung-agungkan Tamadun baru yang sedikit sebanyak membawa manusia lebih jauh menyimpang dari nas-nas keperluan harian manusia.


Secara umumnya, kita juga akan berbincang mengenai bidang fizik, kimia, perubatan, ilmu falak, matematik dan ilmu-ilmu lain. Ia sebagai simbol bahawa umat Islam terdahulu adalah pelopor yang mengkaji dan menganalisis ilmu tersebut. Malah wujudnya dunia Islam di abad keemasannya telah meninggalkan kesan-kesan yang terukir dalam sejarah Islam dan ‘tamadun asing’.


Meskipun Islam dikatakan lahir di timur dan mula berkembang dari sana, namun kesan dan tamadunnya dalam susur galur Eropah barat tetap kekal sebagai sejarah yang tidak dapat disangkal kebenarannya. Kita tidak mampu mengikuti dan mempelajari sejarah Eropah di zaman pertengahan dengan sempurna sekiranya kita tidak menemui kesan-kesan Islam sama ada dalam pemerintahan, kebudayaan dan peradabannya.


Sekalipun dipertikai bahawa Negara Islam di benua Eropah terhad dan hanya terdiri daripada beberapa buah Negara seperti Sepanyol, Pulau Sicily dan beberapa buah pulau yang berdekatan laut tengah, namun di sinilah titik tolak bahawa Negara-negara Islam tersebut terdiri dari semua Negara yang ada di sepanjang pantai selatan dan pantai timur laut tengah, misalnya Negara-negara Syam (Jordan, Palestin dan Syiria) terikat dengan tamadun Negara di sekeliling laut tengah hingga tersebarnya agama Islam ke daerah-daerah laut tengah.


Negara Eropah pada masa itu masih berada dalam serpihan tamadun tinggalan Yunani dan Rom. Mereka manganut agama Kristian hingga ke abad datangnya agama Islam. Namun, Islam berjaya memecahkan blok-blok tersebut kepada dua bahagian iaitu :


Negara Syam



Pembentukan Negara Kristian.

Negara-negara di sepanjang pantai utara laut tengah. Negara ini tetap dalam tamadun kuno Eropah seperti Yunani dan Rom. Mereka menganut agama Kristian. Peninggalan artifak-artifak lama telah memperlihatkan kepada masyarakat terkemudian tentang agama yang telah mereka anuti sepanjang tempoh pendudukan mereka di kawasan tersebut.



Pembentukan Negara Islam.

Negara yang terletak di sebelah pantai timur dan selatan telah bertukar kepada suatu peradaban baru, iaitu peradaban Islam. Maka terbukti bahawa mereka pada asalnya telah menganut dan memeluk agama Islam sebagai pegangan mereka sejak berabad-abad lamanya.


Oleh yang demikian, Kedatangan agama Islam telah mencetuskan suatu perubahan yang besar. Ia membawa sejarah dunia kepada gerbang teknologi baru yang sangat progresif. Seorang pakar sejarah, Pirence menjadikan pergerakkan Islam sebagai suatu garis pemisah di antara abad lampau dengan zaman pertengahan (Middle ages), sekitar tahun 1100 hingga 1400.


Selepas kewafatan Rasulullah SAW, agama Islam tersebar luas melangkaui Lautan Atlantik hingga ke Lautan Hindi. Tetapi kesan-kesan Islam bukan hanya terbatas dalam percaturan politik yang diperjuangkan di Negara-negara yang dinaungi, malah lebih luas daripada itu. Kesan-kesan peninggalan Islam dapat disaksikan dalam lapangan kebudayaan dan peradabannya. Kebudayaan Islam yang tertegak ketika itu mempunyai dua asas yang kuat iaitu Bahasa Arab dan Agama Islam. Saya akan cuba huraikan terlebih dahulu berkenaan dengan penggunaan Bahasa Arab sebagai medan perantaraan tertegaknya Islam di suatu ketika dahulu sehinggalah ke hari ini, kemudian saya akan huraikan pula berkenaan Agama Islam sebagai penyatuan Ummah suatu ketika dahulu sehingga ke hari ini bagi memperlihatkan keunggulan Tamadun Islam yang telah sedia terbina.



Bahasa Arab Pemangkin Ilmu Pengetahuan Ummah.

Bahasa Arab menjadi simbol kepada kekuatan peradaban Islam. Manakala agama Islam yang mengandungi falsafah dan teori berkait rapat pula dengan kehidupan manusia. Ia berjaya mempengaruhi dan menatijahkan kuasa besar yang hebat. Berkaitan bahasa Arab pula, pakar-pakar bahasa di dunia bersepakat mengatakan bahawa bahasa Arab adalah bahasa terkaya di antara bahasa-bahasa termahsyur. Ia suatu bahasa yang luas dalam pengkajiannya. Kebenaran tersebut dapat dibuktikan melalui syair Jahiliyah yang kaya dengan Wazan Kufiyah’. Ia ibarat karya seni dan khayalan yang tidak bertepi. Kitab suci Al-quran yang diturunkan Allah SWT dalam bahasa Arab secara tidak langsung mengangkat mutu bahasa Arab.


Artifak Lama Nusantara Yang Menggunakan Bahasa Arab



Bahasa Arab adalah kunci ilmu pengetahuan. Malah ia dinobatkan sebagai bahasa ilmu. Ia turut digunakan oleh bangsa Arab. Bahasa Arab antara bahasa terawal di antara bahasa-bahasa kuno yang lain seperti bahasa Yunani, Syriac, Qibti, Barbari, Parsi, Turki dan ia juga adalah bahasa pengantar yang digunapakai ketika penyelidik mengkaji ilmu pengetahuan dan kesusteraan. Walau bagaimanapun di negara Parsi, bahasa Arab mengambil masa yang lama untuk dijadikan bahasa penghantar dalam bidang kesusteraan dan ilmu pengetahuan. Akhirnya orang-orang Parsi tidak lagi menulis menggunakan bahasa mereka tetapi menggunakan bahasa Arab.


Di negara Parsi, segala ilmu pengetahuan telah dibukukan ke dalam bahasa Arab. Bangsa Turki yang pernah menentang bahasa Arab akhirnya menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa Ilmu. Bukti yang hendak saya kongsikan dan bawakan di sini adalah hampir kesemua orang Turki yang berpendidikan mampu menguasai bahasa Arab. Demikianlah bahasa Arab yang berperanan di sebahagian kecil tanah Asia, sebagaimana bahasa Latin yang digunakan di Eropah barat sepanjang zaman pembaharuan. Banyak bahasa di dunia ini menggunakan perkataan yang berasal daripada bahasa Arab seperti bahasa Turki, parsi, Melayu, Sawahil, Urdu sebagaimana perkataan Yunani dan Latin yang digunakan dalam bahasa Inggeris.


Oleh itu, tidak menjadi halangan kepada bahasa Arab yang dinobatkan sebagai bahasa yang kaya menjadi medium penting dalam pembinaan suatu tamadun dan peradaban yang besar. Bahasa Arab telah pun menjadi bahasa pengantar dalam keseluruhan bidang ilmu pengetahuan yang dipindahkan daripada tamadun Parsi, India dan Yunani. Ketika era pemerintahan kerajaan Abbasiyah, aneka ringkasan ilmu pengetahuan telah ditulis dan kesemuanya ditulis dalam bahasa Arab.


Bangsa Arab yang ada mulanya tidak mengenal satupun istilah dalam ilmu matematik, kejuruteraan, perubatan, Mantik dan falsafah ‘Aristotle’ dan ‘Plato’ telah berjaya memindahkan ilmu tersebut menggunakan bahsa Arab dalam masa yang singkat. Ini termasuklah segala teori logik, Falsafah ‘Aristotle;, perubatan ‘Jalinus’ dan Ilmu Falak ‘Batolemos’. Malah lebih jauh lagi, bahasa Arab juga mewah dengan perbendaharaan kata yang dapat digunakan dan disesuaikan dengan istilah-istilah ilmiah dalam bahasa Yunani.


Bahasa Arab juga boleh disesuaikan dengan suasana dan kedudukannya yang baru dalam menghadapi tanggungjawab yang besar sebagai ‘Lingua Franca’. Oleh itu, dalam masa yang singkat perkataan-perkataan baru, terbit dari bahasa Arab. Perkataan itu juga makna yang baru. Mereka juga berusaha mengarabkan perkataan-perkataan asing, akhirnya perkataan-perkataan itu tidak lagi asing bagi mereka. Unsur-unsur inilah yang menjadikan bahasa arab sebagai suatu bahasa yang subur bahkan dapat digunakan sepanjang masa dan tempat. Oleh kerana luasnya penggunaan bahasa arab di negara-negara yang baru dibuka, ia berjaya merapatkan lagi hubungan pada penakluk dengan penduduk tempatan. Sekali lagi bahasa arab memainkan peranannya sebagai alat yang menyatukan penduduk-penduduk di negara naungan Islam yang luas khasnya di negara kita iaitu Malaysia.


Maka amat bertuahlah jika mereka-mereka itu yang mempelajari bahasa Arab sebagai edisi pertuturan dan perantaraan satu bangsa ke bangsa yang lain serta sebagai medan pemangkin ilmu sejagat.



Adakah kita juga tergolong di dalam bangsa dan masyarakat yang menjadikan bahasa Arab sebagai wadah ilmu pengetahuan?



Jika belum terhasil dan tercipta, maka lakukanlah ia sekarang.



Agama Islam Asas Kekuatan Ummah.

Pekara asas kedua yang menjadi banteng kekuatan tamadun Islam adalah agama Islam itu sendiri. Di sini kita berhadapan dengan suatu kenyataan yang unggul dalam sejarah, betapa cepatnya Islam tersebar ke seantero alam. Seorang ahli sejarah Inggeris, Becker menyatakan Negara Eropah ketika zaman pertengahan (Middle ages) melihat penyebaran agama Islam ke seluruh pelosok alam dari sudut pandangan yang sempit. Mereka juga menganggap agama Islam hanya di Negara-negara yang ada hubungannya dengan agama masihi (kristian) seperti di Syam dan Mesir. Mereka juga menganggap agama Islam tersebar di Negara itu melalui kekuatan pedang semata-mata. Sebilangan ahli cendekiawan menyokong pendapat tersebut. Namun Becker menyatakan bahawa pendapat mereka ini menyimpang jauh daripada hakikat kebenaran.



Penaklukkan Kuasa Penjajah Eropah Yang Membangkitkan Kemarahan Umat Islam



Banyak keterangan yang membuktikan bahawa orang Arab bertolak-ansur dengan penduduk-penduduk Negara yang ditakluki. Mereka tidak pernah memaksa penduduk sesebuah Negara itu menganut sesuatu agama tertentu. Mereka hanya menguasai lapangan politik sahaja. Apabila agama islam dijadikan asas dalam pentadbiran dan pemerintahan, nilai ini dengan sendirinya meresap masuk ke dalam hati sanubari rakyat tempatan tanpa perlu diseru lagi.




Ada yang berpendapat sifat tolak ansur orang Arab dengan penganut Nasrani dan Yahudi tanpa diskriminasi telah membuka mata mereka bahawa sikap sebegini tidak ada pada para pemerintah sebangsa dan seagama dengan mereka. Islam bukanlah suatu agama yang semata-mata mempersoalkan mengenai ibadat sahaja, malah ia adalah suatu agama yang lebih luas daripada itu, dan ia juga merupakan agama yang menjadi ikutan pemikiran dan budi pekerti serta tegas dalam mengatur cara hidup yang lengkap dan harmoni.




Sejarah Telah membuktikan Bahawa Islam Membawa Kesejahteraan Kepada Umat Manusia



Saya tertarik dengan seorang penulis Eropah yang pernah mengatakan bahawa kekuatan agama Islam meliputi di mana sahaja individu itu berada. Peribadi seorang Muslim yang hakiki ialah tenang, mulia, ketinggian akhlak dan bersifat adil. Sifat-sifat ini tidak akan hidup subur kecuali dalam lingkungan alam dan masyarakat manusia yang tinggi dan luhur budi pekertinya. Inilah tamadun Arab yang dikatakan wujud hasil daripada cantuman para cendekiawan yang menyumbangkan pelbagai ilmu berguna kepada masyarakat.


Masjid Cordoba, Sepanyol Tersergam Utuh Sejak Beratus-Ratus Tahun Yang lalu, Sejarah Membuktikan Pembinaannya Adalah Melalui Orang-Orang Yang Beriman Dan Faham Mengenai Islam.



Pembinaan Masjid Yang Diterajui Oleh Mereka Yang Kurang Faham Mengenai Islam.




Oleh yang demikian, setelah kita sama-sama kongsikan dari apa yang telah saya bawakan ini, maka didapati bahawa Tamadun Islam mempunyai hubungan keagamaan yang erat berjaya melahirkan pelbagai bentuk perjanjian, ideologi dan pemikiran yang mana ia juga dimanfaatkan oleh negara-negara lain yang akhirnya kita dapati bahawa ia (agama Islam) telah meleburkan kuasa-kuasa sekular yang mencengkam negara-negara Arab Islam sehingga berabad-abad lamanya. Ulama’-ulama’ Islam mendapat penghormatan dan sanjungan di mana sahaja mereka berada dan ke mana sahaja mereka pergi. Sebagai contoh yang hendak saya bawakan sebagai perkongsian di sini adalah Ibnu Battuta yang berasal dari Tanjah telah menyandang jawatan kadi di Delhi, India dan di Pulau Maldives ketika beliau singgah di sana suatu masa dahulu. Segala pengorbanan beliau dalam dunia pengembaraan Ilmu telah memberi kesan yang cukup mendalam kepada generasi tersebut sehinggalah ke hari ini. Inilah contoh yang dibawa oleh seorang Ulama’ Islam yang tersohor, di mana hanya Ilmu pengetahuan berteraskan Islam sebagai pelita bagi menerangi setiap sudut ruang kegelapan. WaAllahua’lam.



Adakah kita mengetahui akan hakikat tentang kesucian agama Islam?



Atau..



Adakah kita masih samar-samar dengan ketamadunan Islam yang telah sekian lama terbina dengan jayanya?



Atau..



Kita masih dengan kehidupan kepura-puraan yang menyebabkan Islam itu tersisih dari kehidupan kita.



Maka...



Anda sendiri yang menentukan...




No comments:

Post a Comment

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails