BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera buat semua yang berkunjung di sini.
Mengikut Imam Al-Suyuti r.h Nasakh bermaksud mencabut sesuatu hukum syarak dengan sesuatu dalil syarak yang datang terkemudian. Manakala Imam Ibn Hazm r.h pula mengatakan Nasakh bermaksud membatalkan sesuatu hukum dan mengantikannya dengan sesuatu yang lain. Para ulama’ bersepakat mengatakan adanya nasakh di dalam Al-quran, kecuali Abu Muslim Al-Asfahani, Rashid Rida dan lain-lain. Malahan golongan Al-Rafidah dan kaum Yahudi menafikan adanya nasakh ini. Allah SWT tidak akan memansuhkan hukum yang diturunkan, dan Dia Maha Mengetahui apa yang telah, sedang dan akan berlaku terhadap sekelian alam ini termasuklah kehidupan manusia.
Oleh yang demikian, Nasakh sebenarnya berkait rapat dengan keperluan manusia. Justeru syariat Islam selari dengan maslahat kehidupan manusia.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?” (Surah Al-Baqarah : Ayat-106).
Dan Firman Allah SWT lagi yang bermaksud :
“Dan apabila Kami tukarkan satu ayat (Al-Quran) untuk menggantikan ayat yang lain (yang dimansukhkan), dan Allah memang mengetahui akan apa yang Ia turunkan, – berkatalah mereka (yang kafir): “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah seorang pendusta”; (padahal Nabi Muhammad tidak berdusta) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat yang sebenarnya.” (Surah Al-Nahl : Ayat-101).
Secara asasnya ayat-ayat Makkiyyah terlalu sedikit yang mengalami nasakh. Ini adalah kerana ayat-ayat tersebut memperkatakan tentang dasar agama seperti mentauhidkan Allah, meninggalkan penyembahan terhadap berhala dan seruan kepada akhlak yang mulia. Dasar ini sebenarnya tidak berubah selama-lamanya sehingga ke hari kiamat kelak. Ayat-ayat Madaniyyah pula menyebut tentang hukum, mengalami nasakh kerana kemungkinan perubahan hukum mengikut perubahan keadaan.
Kebiasaannya apabila berlakunya nasakh itu adalah untuk meringankan takhlif (bebanan), seperti firman Allah SWT yang bermaksud :
“Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti. Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Ia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah. Dan (ingatlah) Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Surah Al-Anfal : Ayat-65-66).
Maka sesuatu hukum yang terdapat pada sesuatu ayat dinasakhkan sama sekali dengan suatu ayat yang lain. Sebagai contoh lain yang hendak saya kongsikan di sini adalah hukum wanita beriddah kerana kematian suami.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya. Kemudian jika mereka keluar (dari tempat tinggalnya dengan kehendaknya sendiri) maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris si mati) mengenai apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka dari perkara yang patut yang tidak dilarang Syarak) itu dan ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Baqarah : Ayat-240).
Kalau kita semua perhatikan dengan teliti, ini adalah ayat mengenai hukum bagi wanita beriddah ketika kematian sisuami, malah hukum ini dimansukhkan dan digantikan dengan empat bulan sepuluh hari. Lihat firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa idahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan oleh Syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.” (Surah Al-Baqarah : Ayat-234).
Persoalannya…
Kenapa ayat Mansukh pada ayat 240 surah Al-Baqarah, sedangkan ayat Nasikh pada ayat 234 pada surah yang sama?
Ini adalah kerana mansukh hukum juga berlaku dalam hadith-hadith Rasulullah SAW. Mungkin sesuatu ayat tidak menjadi nasakh kepada ayat yang pertama tetapi hanya sebagai Qaid (pembatasan), sebagai contohnya cuba kita lihat surah Al-Baqarah, ayat 228.
“Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).” (Surah Al-Baqarah : Ayat-228).
Oleh itu, ayat seperti di atas (Surah Al-Baqarah : Ayat-228) adalah umum untuk semua wanita yang diceraikan. Kemudian ia diqaidkan dengan keadaan wanita yang tidak disetubuhi yang tidak dikenakan ke atas mereka tempoh edah.
Firman Allah SWT lagi yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang idah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu, berilah “mut’ah” (pemberian sagu hati) kepada mereka, dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.” (Surah Al-Ahzab : Ayat-49).
Lihatlah kita semua, betapa agungnya kalam Allah SWT. Ia sebenarnya diturunkan kepada umat manusia adalah untuk kesejahteraan dunia dan akhirat. Betapa beruntung dan bahagianya jika KITA menjunjung Kalam suci ini setinggi-tingginya. Apabila menyebut KITA, ia juga bermakna buat SAYA.
Waallahua’lam.
No comments:
Post a Comment