Tuesday 28 December 2010

Kesan Perang Salib Dan Bangsa Eropah.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.




BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.


Sebagaimana yang telah kita semua ketahui Negara Syam dan Timur Tengah secara umumnya memainkan peranan penting dalam kerja-kerja peralihan sebahagian besar peradaban Islam ke Eropah barat. Perang Salib yang berlaku di Negara Syam mempengaruhi perhubungan politik, perkembangan tamadun dan perniagaan di antara kuasa-kuasa Islam dan Kristian di timur dan barat.




Namun begitu Perang Salib yang meletus di Timur Tengah tidak memainkan peranan penting dalam usaha memindahkan tamadun Islam ke Eropah Barat kerana tentera salib yang datang menyerang bukan bertujuan mencari ilmu pengetahuan tetapi sebaliknya mereka datang semata-mata mahu memerangi orang-orang Islam. Sebaliknya mereka turut menyimpan dendam kesumat yang mendalam terhadap orang-orang Islam serta ingin menjadikan Negara-negara Islam sebagai Negara yang berada di bawah jajahan mereka. Maka apa yang telah kita semua ketahui bahawa peperangan ini tidak akan berakhir selagi kubu tentera Kristian di Bandar A’ka, Syam yang dibina pada tahun 1291 tidak dihancur serta dimusnahkan.




Walaupun peperangan tersebut reda untuk sementara waktu pada abad ke 12 dan 13, namun ia kembali meletus selepas itu. Inilah keadaan tentera salib (Crusades). Mereka tidak berpeluang untuk berada dalam keadaan aman. Mereka juga tidak berpeluang berdamai dengan orang-orang Arab Muslim, seperti yang dirasai oleh saudara mereka daripada bangsa-bangsa Eropah di Andalus dan Pulau Sicily. Mereka beranggapan bahawa orang-orang Islam merupakan penghalang untuk menjadikan mereka kuasa besar pada ketika itu.


Tetapi sebaliknya Perang Salib meninggalkan banyak pengajaran dalam mengatur strategi serta taktik peperangan di kalangan orang Eropah seperti membina kubu, cara menggunakan perisai ketika menunggang kuda, cara mengepung musuh dan cara mengunakan senjata-senjata perang serta cara mengutuskan surat perang yang dibawa oleh burung pada ketika itu. Tentera Salib turut menganugerahkan bintang kehormat serta darjah kebesaran kepada para tentera. Semua ini ditiru daripada amalan tentera Islam yang berpengkalan di Syam. Namun mereka (tentera salib) menafikan sekeras-kerasnya peniruan tersebut. Apa yang terjadi, situasi itu sebenarnya telah diamalkan oleh keseluruhan Negara di dunia ini pada masa kini.



Perubahan lain yang dapat dilihat daripada peperangan ini ialah perpindahan specis tumbuh-tumbuhan dan hasil tanaman dari timur tengah ke Eropah seperti bijian, padi, limau serta barang keperluan makanan yang lain. Selain itu juga beberapa adat resam, taklid serta prosedur-prosedur Islam yang ditiru oleh bangsa Eropah.


Sebagai contoh, Usamah bin Munkis (1188) ada menjelaskan mengenai seorang sahabatnya yang diundang menjamu selera di rumah seorang tentera Eropah daripada golongan tentera salib di Syam. Beliau dihidangkan dengan makanan yang enak dan istimewa namun, beliau enggan menjamah makanan tersebut lalu berkata :


“Makanlah dengan senang hati kerana aku tidak memakan masakan Eropah. Aku juga mempunyai tukang masak wanita dari Mesir. Rumahku ini tidak dihidang daging babi dan aku hanya memakan makanan yang dimasak oleh tukang masak rumahku sahaja”


Ketika orang-orang Eropah mula menaruh minat kepada peradaban Islam, mereka menumpukan segenap usaha dan tenaga bagi mempelajari ilmu-ilmu Islam. Mereka melakukannya dengan penuh semangat dan ini memberikan kesan yang begitu mempengaruhi cara berfikir orang Eropah. Sekalipun sebahagian besar orang Eropah yang berada di Negara Arab tidak menjalankan kerja-kerja menterjemah ilmu, namun masih ada di kalangan mereka yang meneruskan kerja-kerja menterjemahkan kitab-kitab bahasa Arab ke bahasa Latin. Hasilnya, banyak karya Islam berjaya diterjemahkan ke bahasa-bahasa asing terutamanya bahasa Latin.


Lihatlah kesan yang berpanjangan terhadap bangsa-bangsa Eropah sehingga ke hari ini, ada di kalangan mereka yang sudah mahir berbahasa Arab walaupun mereka bukanlah menganut agama Islam. Usaha untuk memertabatkan Islam itu seiring dengan kesan Perang Salib yang berlaku sejak beratus-ratus tahun yang lalu. Walaupun pada ketika itu orang-orang Islam diperlakukan dengan kejam oleh orang-orang Kristian, namun kesan penaklukan budaya Islam itu tetap utuh sehingga ke hari ini. Lihat saja di bandar-bandar besar di pusat bandar Eropah, Tamadun kesenian Islam itu tetap terpancar dan terukir di setiap ukiran-ukiran banggunannya yang tersergam indah dan memukau.




Perang Salib telah lama berlalu, namun kesannya terhadap dunia Islam dan dunia masyarakat Eropah masih segar dalam ingatan sehingga ke hari ini. Maka tidak hairanlah ramai pengkaji-pengkaji dari barat menyatakan bahawa sebenarnya bangsa Eropah adalah bangsa yang berimejkan peradaban tamadun Islam untuk memajukan negara mereka. Islam telah membawa bangsa Eropah melalui satu proses perubahan ketamadunan manusia yang bermula dari kegelapan kepada kegemilangan bangsa dan negaranya. Maka, mengapa kita yang dilahirkan sebagai bangsa yang menganut agama Islam tidak mengiktiraf sedikitpun malahan langsung tidak mengenali tamadun yang gemilang yang telah dibawa oleh Islam untuk manusia sejagat? WaAllahua’lam.



No comments:

Post a Comment

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails