Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.
BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera buat semua yang berkunjung di sini.
Berkata Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi SAW telah bersabda : Allah telah berfirman :
“Aku telah dicaci oleh anak Adam, padahal tiadalah pantas dia mencaci Aku. Dan Aku juga didustakan olehnya, padahal tiadalah pantas dia mendustakan Aku. Adapun cacinya terhadap Aku ialah dengan berkata : Bahawasanya Aku mempunyai anak, sedang Aku ini adalah Tuhan Yang Maha Esa, tempat memohon segala sesuatu, tiada beranak dan tiadalah diberanakkan, dan tiada sesuatu pun yang menyerupai Aku. Ada pun pendustaannya terhadap Aku ialah dengan berkata : Tuhan tiada dapat mengembalikanku seperti aku diciptakan mula-mula dahulu, padahal penciptaan mula makhluk tiadalah lebih sukar bagi-Ku daripada menjelmakannya semula.” (Hadith Riwayat Imam Ahmad r.h, turut diriwayatkan juga oleh Imam Nasa’i dan Imam Bukhari r.h).
Allah Ta’ala itu Tuhan, dan kita adalah hamba-hamba-Nya. Dia yang mencipta kita, sedang kita adalah ciptaan-Nya. Dia Maha Berkuasa, tempat kita memohon dan meminta, sedang kita lemah tiada berdaya. Jika kita terus membanding sifat kita dengan Zat Tuhan, tentulah yang satu di atas dan yang satu lagi di bawah, amat jauh perbezaannya, malah dapat kita katakan tidak boleh dibanding atau dibezakan sama sekali. Mana sama sifat Pencipta dengan barang ciptaannya, sifat yang “Haadits” dengan sifat yang “Qadiim”, sifat yang tidak ada lalu diadakan dengan sifat yang sentiasa Ada lagi menciptakan.
Demikianlah, apabila ada orang yang mengatakan bahawa Tuhan itu beranak, atau diberanakkan, maka orang itu telah mencaci Tuhan dan telah merendahkan Zat-Nya yang Maha Tinggi itu kepada zat benda ciptaan yang serba memerlukan kepada yang lain serta bergantung harap. Manusia memerlukan zuriat yang akan menyambung keturunannya, maka Allah menciptakan baginya anak. Apabila manusia itu mati, anaknya itu akan mengambil tempatnya sebagai pengganti bagi warisnya. Sedang Tuhan tidak mati, Dia sentiasa Ada dan Hidup. Dan sifat AdaNya dan HidupNya tidak serupa dengan adanya dan hidupnya makhluk seperti kita.
Jadi, mengapa manusia pula mengatakan Tuhan itu beranak, dan siapa anakNya?!
Mengapa manusia mengatakan Tuhan itu diberanakkan, dan siapa pula ayahNya?!
Renunglah!
Zat yang beranak dan yang diberanakkan itu tentu memerlukan kepada yang lain. Kalau Tuhan itu beranak dan diberanakkan, maka bukan Tuhanlah Dia. Oleh yang demikian, tertolaklah tuduhan atau anggapan Tuhan itu beranak atau diberanakkan, kerana akan tidak akan mengakuinya.
Kemudian Allah Ta’ala menolak pula dakwaan yang mengatakan bahawa Tuhan tidak berkuasa mengembalikan makhluk yang telah mati. Mana boleh manusia yang telah mati, tulang-belulangnya sudah hancur-luluh, tubuh badannya sudah dimakan tanah, dan telah sebati dengan tanah, dijelmakan semula menjadi hidup?!
Ini adalah suatu anggapan tanpa pengetahuan!
Itu juga adalah kata-kata dari mereka-mereka yang mempunyai akal tanpa berfikir!
Mengapa tidak!
Kalau benda yang tidak ada sama sekali, dapat dicipta-Nya, mengapa pula yang sudah ada tidak boleh dikembalikan semula menjadi ada?!
Mana yang lebih susah, yang tidak ada sama sekali, lalu diadakan?
Ataupun...
Yang sudah ada, biarpun dia tinggal abu saja, atau bekas saja, lalu dikembalikan?
Fikirlah sebaik mungkin!
Yang menghairankan lagi adalah ciptaan manusia selalu kita bangga-banggakan, Walhal ciptaan itu tidak selalunya kekal, tidak lama malah saban hari ada sahaja ciptaan baru yang dapat menandinginya. Akan tetapi terhadap ciptaan Tuhan, kita tidak pernah ambil peduli.
Perhatikan semula!
Cuba lihat apa yang diciptakan Tuhan dalam tubuh badan kita dari berbagai-bagai benda yang ajaib dan menakjubkan. Lihat sahaja jantung kita, sejak kita dilahirkan sampailah ke hari ini, ia tetap berdenyut mengepam darah ke seluruh urat saraf kita tanpa sedikit rehat dan terhenti sekalipun, menakjub bukan!. Berbanding dengan alatan mekanikal dan metronik yang memerlukan masa yang tertentu untuk dihidupkan dan dimatikan malah ia juga diaturcarakan oleh manusia untuk memacu arah pergerakannya. Lihatlah sendiri! Itulah kebesaran Allah dan itulah juga kasih sayang Allah terhadap makhluk-Nya.
Tetapi!
Pernahkah kita letakkan hal tersebut di dalam pemikiran kita?
Perhatikan lagi...
Lihatlah pula segala ciptaan Tuhan yang ada di sekitar kita, semuanya itu akan terus menimbulkan kekaguman dan dan keindahan yang kalau hendak dibicarakan tentulah tidak akan habis sampai ke hari kiamat.
Allah Ta’ala memberi kita akal justeru untuk meninjau dan memikirkan semua ciptaan-Nya. Itu pun tidak tercapai akal kita untuk meliputinya. Dan bukan semua orang dapat meliputi sesuatu pemikiran seperti itu, melainkan orang-orang pilihan-Nya. Namun begitu, akal itu hanya dapat menjangkau batasan-batasan yang tertentu sesuai dengan tenaga dan persekitaran yang membantu pada asas pencapaian.
Manakala pencapaian akal manusia itu sentiasa tidak sama berbanding satu zaman dengan zaman yang lain. Demikianlah hikmah Allah Ta’ala yang mengurniakan akal itu. Sebab Rasulullah SAW menyuruh kita berbicara sesuai dengan pencapaian manusia. Jadi jangan cuba mengatakan sesuatu yang melewati batasan pencapaian akal itu, apatah lagi terhadap hal-hal yang tiada diketahuinya, khususnya pada pekara-pekara yang ghaib, yang tidak tercapai akal yang sedia ada ini untuk mencapainya, kelak bukan hakikat yang akan kita bicarakan, melainkan hanya tekaan semata-mata.
Padahal meneka sebarangan pada wujud hakikat alam ini dapat dibetulkan salahnya, tetapi tekaan pada hakikat “Zatul-Wujud”, tiada seorang dapat mengampunkannya, tinggal di hadapan matanya sesat seribu kali sesat, tiada siapa yang akan merasa gembira kerananya selain syaitan dan ahli pengikut syaitan laknatullah saja.
Allah ta’ala telah mengigatkan kita dalam firman-Nya bahawa Dia itu “Tiada yang serupa dengan Dia” dan itu saya berpendapat bahawa sudah cukup bagi KITA yang beriman dengan Allah Ta’ala serta menyakini-Nya tanpa syak dan ragu-ragu lagi. Apabila menyebut KITA, beerti ia termasuklah diri SAYA.
Waallahua’lam.
No comments:
Post a Comment