Wednesday 21 July 2010

Tafsir Al-Quran Dengan Hadith Sahih.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.










"Tafsir Al-Quran Dengan Hadith Sahih"











BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.”



Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera. Bertemu kita kembali, dalam tajuk dan artikel yang sama tetapi pembahagian pecahan ilmu yang berbeza. Sebelum ini dalam artikel saya yang lalu, saya telah menekankan serba sedikit dan menjelaskannya berulang-ulang kali berkenaan dengan prosedur pemahaman kita memahami ayat-ayat tafsir Al-quran bersumberkan yang tepat dan tersusun mengikut kaedah Rasulullah SAW. Maka dengan itu kini, saya cuba panjangkannya lagi berkenaan dengan pembahagian pentafsiran Al-quran berlandaskan Hadith-hadith Sahih SAW yang telah dipersetujui dan disepakati oleh seluruh ulama’-ulama’ tafsir. Jika anda semua belum membaca dan memahaminya, maka eloklah anda semua membaca kembali artikel-artikel saya sejak dari awal penguraian berkenaan dengan “Beriman Kepada Kitab”. Semoga apa yang bermanfaat ini sedikit sebanyak membuka ruang minda kita untuk mencintai mukjizat Rasulullah SAW ini. InsyaAllah.





Kaedah kedua dalam ilmu pentafsiran Al-quran ialah menggunakan Hadith Sahih yang ada kaitan dengan ayat-ayat Al-quran tersebut. Ini kerana, tidak semua ayat-ayat Al-quran dapat ditafsirkan dengan ayat Al-quran yang lain. Rasulullah SAW lebih mengetahui apa yang dimaksudkan oleh Allah SWT berbanding dengan manusia biasa. Bahkan, Hadith Sahih yang datang daripadanya tidak lain hanyalah wahyu daripada Allah SWT dan bukan menurut fikiran Baginda SAW. Maka sebab itulah Baginda SAW mampu mentafsirkan Al-quran. Terdapat banyak ayat-ayat Al-quran yang ditafsirkan oleh Baginda SAW melalui Hadith Baginda SAW.



Firman Allah SWT :


Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.” (Surah Al-Najm – Ayat 3-4).








Allah SWT telah menurunkan Al-quran untuk menerangkan kepada manusia sebagaimana firman-Nya :


“(Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab Suci (yang menjadi panduan); dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.” (Surah Al-Nahl – Ayat 44).



Menurut Miqdam bin Ma’di Karib r.a, Rasulullah SAW telah bersabda :


“Bukankah telah didatangkan kepadaku Al-quran berserta sesuatu yang seumpamanya (Hadith).” (Hadith Sahih Riwayat Abu Daud r.h).



Terdapat banyak ayat-ayat Al-quran yang telah ditafsirkan oleh Nabi SAW sendiri melalui Hadith-hadithnya yang Sahih. Sebagai contoh yang boleh kita sama-sama kongsikan di sini adalah seperti berikut :



Firman Allah SWT :


“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” (Surah Al-Anfal – Ayat 60).



Ayat 60 dari surah Al-Anfal tersebut ada menerangkan tentang ‘Kekuatan’, iaitu kekuatan secara umum. Sedangkan, kekuatan atau kelengkapan perang yang sewajarnya boleh didapati daripada sabda Baginda SAW yang berbunyi :



Sabda Rasulullah SAW :


“Sesungguhnya ‘Kekuatan’ itu ialah pada balingan (panah dan sebagainya). Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali.” (Hadith Sahih Riwayat Muslim r.h).



Mengenai ungkapan ‘kekuatan’ itu ialah pada balingan panah di atas. Imam Al-Qurthubi r.h berkata dan mentafsirkan Hadith ini yang berbunyi :



“Perlu menyediakan peralatan perang untuk menunjukkan kekuatan dan kecanggihan senjata terhadap musuh ketika berperang. Baginda SAW memberi perumpamaan seperti alat memanah kerana ia mudah digunakan, panahan laju dan jauh serta tepat mengenai sasaran apabila panahan dibuat pada barisan hadapan musuh. Dengan itu, pihak musuh akan berpecah dan barisan belakang akan lari bertempiaran. Di zaman sekarang, alat-alat peperangan yang hampir menyamai alat memanah seperti peluru yang diletakkan di dalam sejenis alat lalu dilancarkan kepada pihak musuh. Kaedah yang digunakan semuanya hampir sama, iaitu kaedah balingan atau lancar. Oleh kerana kaedah yang digunakan ada persamaan, Islam menganjurkan umatnya mempelajari (cara memanah dan berenang) terutama golongan pemuda dan remaja Islam.”



Sabda Rasulullah SAW :


“Sesiapa yang mempelajari cara balingan (panahan) kemudian meninggalkannya, dia bukanlah daripada kalangan kami atau telah mengingkari (Nabi).” (Hadith Sahih Riwayat Muslim r.h).



Salamah bin Al-Akwa’ r.a berkata :


“Suatu hari, Nabi SAW telah berjalan melalui suatu kumpulan atau rombongan Bani Aslam. Sedangkan, ketika itu Baginda SAW telah melihat mereka sedang mengadakan perlawanan memanah. Lantas Baginda SAW bersabda : “Lontarlah kuat-kuat wahai Bani Ismail! Sesungguhnya nenek moyangmu dahulu adalah pakar pembaling (pemanah). Lontarlah kamu semua. Aku (Rasulullah) akan turut serta bersama bani ini (Mi’jan bin Al-Adzra’). Lalu pihak lawan mula berhenti dari bermain panah. Lantas Baginda SAW bertanya : Mengapa kamu tidak memanah? Jawab mereka : Macam mana kami ingin memanah sedangkan engkau (Rasulullah) menyebelahi mereka? Lalu Nabi SAW berkata : Panahlah sekarang dan aku akan menyertai kumpulan kamu.” (Hadith Sahih Riwayat Bukhari r.h).





Al-quran dari ayat tersebut telah dirujuk melalui Hadith Nabi SAW yang menyatakan akan tafsirnya dengan begitu jelas. Sebab itu ramai Imam tafsir Al-quran menekankan bahawa mentafsir Al-quran mengunakan Hadith-hadith Sahih adalah merupakan maklumat yang paling tepat dan bertepatan dengan kehendak Rasulullah SAW.



Sebagai contoh lain yang boleh kita kongsikan bersama untuk menguatkan lagi hujah tersebut adalah melalui surah Yunus, ayat ke 26.



“Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.” (Surah Yunus – Ayat 26).



Nabi SAW telah mentafsirkan “satu tambahan yang mulia” ialah melihat wajah Allah SWT ketika di akhirat kelak.



Sabda Rasulullah SAW :


“Ketika itu, dibukakan hijab (pelindung atau penutup). Oleh itu, tidak ada sesuatu pemberian yang lebih mereka sukai berbanding melihat wajah Tuhan mereka.” (Hadith Sahih Riwayat Muslim r.h).



Kemudian, Nabi SAW membaca firman Allah SWT seperti berikut :


“Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.” (Surah Yunus – Ayat 26).



Saya cuba bawakan lagi ayat-ayat di dalam Al-quran yang memperlihatkan pentafsiran Al-quran berlandaskan Hadith-hadith Rasulullah SAW bagi menyesuaikan lagi konsep ilmu dan perbincangan yang sedang kita perkatakan ini. Sebagai contoh yang boleh diambil sebagai rujukan adalah dalam surah yang berikut :



Firman Allah SWT :


“(Ingatkanlah orang-orang yang tidak beriman) akan masa didedahkan kedahsyatan huru-hara (hari kiamat), dan mereka diseru supaya sujud maka mereka tidak dapat melakukannya.” (Surah Al-Qalam – Ayat-42).



Menurut Imam Bukhari r.h dalam kitabnya pada tafsir Al-quran. Ketika mentafsirkan ayat di atas, beliau mendatangkan sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudri r.a.

Sabda Rasulullah SAW :


“Ketika Allah mendedahkan betis-Nya, setiap orang lelaki dan wanita yang beriman telah turun sujud. Dan yang tinggal hanyalah mereka yang sujud dalam keadaan riak dan sombong ketika di dunia lalu dihentak belakangnya supaya turun sujud.” (Hadith Sahih Riwayat Bukhari r.h).



Namun, perlu diingatikan bahawa kita tidak boleh sama sekali membuat perumpamaan (tasybih) terhadap Allah SWT, iaitu menyamakan-Nya dengan makhluk (manusia).



Firman Allah SWT :


“Dia lah yang menciptakan langit dan bumi; Ia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi bintang-binatang itu); dengan jalan yang demikian dikembangkanNya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.” (Surah Asy-Syura – Ayat 11).



Menurut pegangan ahli sunnah wal jamaah ketika menghadapi ayat-ayat berkaitan sifat Allah SWT yang terdapat dalam Al-quran, mereka mengakui seperti apa yang dinyatakan tanpa ‘Takwil”, ‘Ta’til’ atau ‘Tahrif’. Mereka menisbahkan bahawa Allah SWT menpunyai dua tangan, muka, pendengaran dan penglihatan yang layak bagi Allah SWT. Mereka tidak berani mengubah maksud asalnya seperti apa yang diwahyukan kepada Nabi SAW kerana Baginda SAW sendiri tidak pernah mentakwilkan kalimah sifat itu.



Saya ulangi sekali lagi, Baginda Rasulullah SAW sendiri tidak pernah mentakwilkan kalimah sifat itu.



Selain itu, Rasulullah SAW sendiri pernah menisbahkan bahawa Allah SWT menpunyai betis, jari dan kaki yang layak bagi diri-Nya. Oleh kerana tidak dapat membayangkan hakikat sebenar sifat-sifat Allah yang dinyatakan dalam Al-quran, Ulama’ Salafussoleh bersepakat bahawa wajib beriman dengan ayat sifat dan menyerahkan urusan itu kepada Allah SWT. ***(Diingati juga kepada pembaca, agar membaca dan memahami secara mendalam tentang apa yang telah saya perkatakan ini)***




Saya cuba bawakan lagi contoh-contoh yang lain sebagai rujukan untuk perkongsian bersama iaitu melalui surah Al-An’am – Ayat 82.



Firman Allah SWT :


“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah Al-An’am Ayat-82).



Abdullah bin Mas’ud r.a berkata :


“Ketika ditanya sebab penurunan ayat, orang-orang Islam berasa gelisah atau susah hati. Mereka berkata : Bukankah kami juga pernah menzalimi diri sendiri? Rasulullah SAW bersabda : Bukan begitu maksudnya. Sesungguhnya apa yang dimaksudkan dengan zalim ialah syirik. Tidakkah kamu mendengar perkataan Luqman kepada anaknya”

“Wahai anakku, janganlah kamu syirik kepada Allah. Sesungguhnya syirik kepada Allah adalah satu kezaliman paling besar.” (Hadith Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim r.h).



Kalau kita rujuk dalam kitab ‘Fath Al-Bari, Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani r.h telah mentafsirkan maksud firman Allah yang berbunyi :


Tidak mencampur-adukkan.”



Selain itu, Ibn Hajar r.h juga telah menyebut antara pengajaran daripada ayat di atas sebagaimana yang dinyatakan di dalam Kitab Fath Al-Bari :


“Sesungguhnya pembahagian zalim (syirik) berbeza-beza. Ini kerana, setiap maksiat tidak dinamakan syirik. Oleh itu, sesiapa pun, dia akan mendapat keamanan dan petunjuk di dunia dan akhirat.”



Oleh yang demikian, sumber pentafsiran Al-quran itu hendaklah kepada landasan yang betul berdasarkan apa yang telah Rasulullah SAW ajarkan kepada kita semua. Janganlah kita terlalu alpa dengan pembahagian tafsir tersebut dengan merujuk kepada bahan-bahan serta ‘ustaz-ustaz’ yang cetek dari segi ilmu pentafsirannya. Saya tidak menuduh sesiapa sekalipun dalam konteks ini, tetapi biarlah ia bertepatan dan dipersetujui oleh ulama’-ulama’ tafsir yang zuhud. Belajar memahami tafsir bukanlah sekadar bergantung kepada satu, dua dan tiga orang ulama’ tafsir sahaja, tetapi biarlah ia diikuti dengan bilangan yang banyak bagi memudahkan diri kita lebih mendalami dan memahami tafsiran Al-quran tersebut berlandaskan yang betul. Di sini juga saya cuba sarankan kepada ustaz dan ustazah yang mengajar berkenaan dengan tafsir Al-quran agar lebih ‘rajin’ dalam mentafsirkan juga ayat-ayat Al-quran itu dengan hadith-hadith Sahih Rasulullah SAW. Walaupun kebergantungannya terhadap cerita-cerita Israeliyat, tetapi mestilah ia bermotifkan sumber-sumber yang sahih. Sikap terlalu ‘ringan’ dalam bab mentafsir Al-quran yang hanya mengunakan akal dan pemikiran cetek semata-mata adalah tidak mencukupi dari apa yang diperlukan.





Teguran juga tidak terlepas kepada mereka-mereka yang digelar golongan Anti-Hadith yang semakin berleluasa di negara kita malahan di seluruh Nusantara ini. Golongan ini adalah golongan yang dilaknati Allah SWT. Golongan tersebut diberitakan telah berkembang biak dengan meluasnya di negara kita amnya. Golongan Anti-Hadith ini juga sebenarnya adalah ‘duri dalam daging’ dalam dunia Islam, malahan ia juga merupakan musuh-musuh Islam yang bergerak secara halus. Saya sarankan agar kembalilah kepada ajaran Rasulullah SAW dan Syariat Tauhid Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Anda menafikan serta menidakkan pekara-pekara yang jelas ajaran Rasulullah SAW dengan menyatakan pendapat sempit anda serta menafikan terus segala para ulama’-ulama’ soleh terdahulu dengan sedikit perbezaan yang jelas bukan memihak kepada pandangan anda. Dalam masa yang sama anda cuba menghasut umat Islam agar terus membenci ajaran Rasulullah SAW serta para Sahabat r.a yang mereka bawa.




Persoalannya…





Siapakah anda (Anti-Hadith) sebenarnya jika hendak dibandingkan dengan Baginda SAW dan para Sahabat r.a?





Adakah ilmu dan keperibadian anda (Anti-Hadith) itu sudah cukup menandingi mereka-mereka itu?





Apakah sumbangan anda (Anti-Hadith) terhadap dunia Islam?




Persoalan ini yang sepatutnya dijawab oleh mereka-mereka yang kononnya sebagai penegak agama Allah SWT, tetapi dalam masa yang sama menafikan Sunnah SAW dengan mengetengahkan kronologi jumud dan pelbagai bagi mengaburi mata umat Islam. Jika diri belum sempurna untuk menguasai pengunaan bahasa Arab dengan baik, maka lupakan sahaja fahaman-fahaman songsang yang menidakkan Sunnah Rasulullah SAW. Ada yang perlu diperbincangkan secara terbuka dan ada juga yang memerlukan perbincangan secara berlapang dada, tetapi ia mestilah melalui proses perbincangan yang sihat, bukannya melampirkan sesuatu rujukan yang mengaibkan keperibadian Rasulullah SAW.



Ingatlah!



Jika hendak diukur sekalipun ilmu-ilmu anda (Anti-Hadith) sememangnya anda belum layak dan masih jauh jika hendak dibandingkan dengan Baginda SAW dan para Sahabat r.a. Maka kembalilah kepada landasan yang benar iaitu landasan yang dibawa oleh junjungan besar kita iaitu Rasulullah SAW agar kita selamat di dunia dan di akhirat. Buangkan segala sifat-sifat yang keji dalam diri bagi memperbetulkan kembali aqidah-aqidah rohaniah yang telah tercemar oleh perasaan taksubnya terhadap Iblis dan Syaitan Laknatullah.



InsyaAllah, saya akan cuba panjangkan lagi penguraian saya berkenaan dengan pembahagian tafsir Al-quran melalui sumber-sumber yang diajar oleh Nabi SAW kepada umatnya di artikel-artikel saya yang akan datang mengikut keizinan dari-Nya. Semoga kita semua berada di dalam rahmat Allah SWT serta senantiasa di dalam perlindungan dari Allah Rabbul Jalil. Amin.

WaAllahua’lam.



No comments:

Post a Comment

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails