Monday 17 January 2011

‘Ainul Mardhyiah’ Dan Perang Sabil.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.



BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera buat semua yang bertamu di www.MujahidinCyber.blogspot.com





Sedetik yang lalu, suatu ketika pada 8 November 1999 bergema di masjid Baitul Rahman, Banda Aceh bait-bait puisi yang dibaca dan diperdengarkan sejak hampir seabad yang lalu. Sekitar dua juta rakyat Aceh dengan penuh semangat mengumandangkan ‘Hikayat Perang Sabil’ yang dikarang oleh Teungku Muhammad @ Cik Pante Kulu (Di lahirkan pada tahun 1836 di desa Pante Kulu) pada penghujung kurun ke 19. Kalau dulu Hikayat Perang Sabil membakar semangat jihad rakyat untuk mencapai kemerdekaan daripada kerajaan Pusat melalui tuntutan referendum, tetapi ia kini hanyalah sebagai satu lipatan sejarah ulung yang tidak pernah dilupai oleh seluruh masyarakat Aceh khasnya.


Penulisan yang akan saya lakukan ini tidaklah bertujuan untuk menyokong atau sebaliknya mengenai tuntutan yang dipelopori oleh gerakan pemisah yang ditunjangi Gerakan Aceh Merdeka (GAM). Peristiwa ini disentuh bagi memaparkan betapa Hikayat Perang Sabil amat dekat di hati rakyat Aceh dan memberikan kesan psikologi yang sangat mendalam. Hikayat Perang Sabil melambangkan keampuhan jiwa rakyat Aceh menentang penjajahan Belanda meskipun kemampuan ketenteraannya tidaklah bagus dan seimbang. Perlu diingati juga tujuan penulisan dan huraian pengolahan artikel ini adalah bertujuan untuk memperlihatkan kepada generasi terkini dan seterusnya tentang apa yang telah diperjuangkan oleh nenek moyang mereka yang sanggup mengadai nyawa bagi memastikan maruah bangsa Aceh dan Islam itu terjaga dengan baik sekali. Kalaulah ini pun satu lipatan sejarah yang jarang dan tidak kita semua ambilnya sebagai perisai untuk jati diri bagi mempertahankan tanahair dan agama tercinta sebagai momentum permulaannya, maka amat sukarlah untuk kita memahami erti perjuangan yang telah lama terpahat dalam diri bangsa-bangsa Nusantara.


Secara asasnya, Perang Sabil mengumpulkan empat kisah iaitu :

1) Ainul Mardhyiah.

2) Hikayat Pasukan Bergajah.

3) Hikayat Syed Salmi.

4) Hikayat Budak Mati Hidup Semula.


Hanya Hikayat Pasukan Bergajah yang berdasarkan sejarah yang benar-benar berlaku sempena serangan Abrahah ke atas Kaabah. Kisah ini pastinya dibacakan bagi menambahkan keyakinan pejuang bahawa betapa hebat pun persiapan Belanda dan kekuatan tenteranya, ia tidak dapat mengatasi kehebatan dan kebesaran Allah Ta’ala. Melalui Jihad bersungguh-sungguh yang dilancarkan oleh rakyat Aceh, Allah Ta’ala akan menurunkan ‘Nusrah’ (bantuan)-Nya.





Perlu diingati juga, pengolahan saya pada kali ini bukanlah pada keempat-empat ciri penting yang telah saya nyatakan seperti di atas tadi, tetapi biarlah sebagai permulaan untuk kita lebih memahami tentang erti sebenar perjuangan rakyat Aceh menentang Negara Penjajah dengan berkisarkan kisah Ainul Mardhyiah. Simboliknya ‘Ainul Mardhyiah’ adalah fiktif (rekaan), namun plot ceritanya berlatarbelakangkan period Madinah dalam zaman Nubuwwah (kenabian). Madinah yang menjadi pusat berdirinya Islam selepas hijrah amat terdedah kepada ancaman musuh sehinggakan period 10 tahun Rasulullah SAW di Madinah, tidak kurang daripada enam peperangan besar sama ada yang melibatkan orang-orang musyrik Mekah, penduduk Yahudi yang berkhianat ataupun gugatan empayar Rom. Peperangan tersebut ialah Badar, Uhud, Khandak, Hunain, Tabuk dan Mu’tah, di samping puluhan ekspedisi ketenteraan yang dikirim oleh Rasulullah SAW untuk mempertahankan kedaulatan wilayah Islam dan menjamin kelangsungan usaha dakwah. Perlu diingati juga, bahawa saya telah kongsikan berkenaan dengan peperangan tersebut di artikel saya yang lalu.


Dalam kisah Ainul Mardhyiah, seorang watak yang diberikan nama Abdul wahid telah membangkitkan semangat rakyat untuk berjihad dan keluar dari kota Madinah, berdepan dengan musuh yang siap memerangi Islam. Dalam kalangan pendengar terdapat seorang pemuda yang yatim piatu telah meminta izin daripada Abdul Wahid untuk turut serta dalam rombongan jihadnya. Setelah mendapat izin, beliau terus membelanjakan seluruh harta yang ditinggalkan oleh orang tuanya buat persiapan dan kelengkapan perang. Beliau turut membiayai beberapa pemuda lain yang tidak berkemampuan untuk ke medan jihad.


Pada hari angkatan tentera Muslimin berangkat ke medan, pemuda itu telah meminta izin untuk bertolak sehari lebih awal bersama kelompoknya. Abdul Wahid mengizinkan dan bertolaklah pasukan beliau mendahului pasukan utama. Di tengah perjalanan mereka berhenti rehat lalu pemuda ini tertidur. Dalam tidurnya dia telah bermimpi melihat taman dan sungai yang cukup indah dan nyaman. Pada gigi sungai tersebut terdapat sekumpulan gadis yang teramat cantik sedang bergurau-senda dan mandi-manda. Pemuda ini lantas menegur gadis-gadis tersebut. Mereka mengatakan :


“Kami hanyalah dayang-dayang kepada tuan puteri.” Aduh! Bisik hati pemuda. “Kalau beginilah cantiknya dayang-dayang tuan puteri, bagaimana gerangankah cantiknya tuan puteri sendiri?”


Pemuda itu disuruh memudiki sungai untuk berjumpa dengan sang puteri. Di sepanjang perjalanan dia bersua dengan kumpulan gadis-gadis yang lebih cantik dari sebelumnya. Hatinya benar-benar dicuri oleh gadis-gadis tersebut. Akhirnya sampailah ia di tempat bersemayamnya sang puteri. Adapun sang puteri, Ainul Mardhyiah rupa-rupanya menahan rindu yang amat sangat terhadap abangnya yang dinantikan.



Sebaik sahaja terpandang kepada wajah sang puteri, pemuda itu sudah tidak dapat menahan perasaannya. Dikuasai oleh cinta berahi yang teramat sangat, dia lantas maju untuk memeluk dan merangkul sang puteri. Namun sang puteri menolak lembut daripada dirangkul oleh pemuda itu sambil berkata :


“Adinda hanya berhak dimiliki oleh pemuda yang mati syahid di medan perang melawan kafir.”


Tiba-tiba pemuda itu tersedar daripada tidurnya dan terus menangis teresak-esak. Apabila ditanyakan oleh rakan-rakannya, dia enggan berbicara sehinggalah pasukan Abdul Wahid menyusul mereka. Pemuda ini dengan rendah hati menceritakan mimpi bertemu dengan Ainul Mardhyiah dan rindu dendam yang tidak boleh dibendung lagi.


Setelah itu, tentera Muslimin berangkat ke medan tempur dan berkecamuklah peperangan di antara kedua belah pihak. Pemuda itu berjuang dengan penuh keberanian sehinggalah di terkorban syahid. Ketika tubuhnya rebah, rohnya disambut oleh Ainul Mardhyiah dan dipimpin ke syurga. (lihat buku “Apa Sebab Rakyat Aceh Sanggup Berperang Puluhan Tahun Melawan Agressi Belanda”-Muka surat 93-Penulis Ali Hasjmy).


Kisah Ainul Mardhyiah diolah untuk menggamit para pemuda supaya berlumba-lumba mencari anugerah Allah Ta’ala berupa syurga dan kenikmatan yang menyertainya. Sungai dan gadis-gadis yang menghiasi kisah ini tidak asing lagi di Banda Aceh yang sendiri terbelah oleh kreung (sungai) Aceh. Sungai ini menjadi tumpuan gadis-gadis yang berkumpul untuk mencuci pakaian. Seringkali jumlah mereka mencapai 70 orang pada satu-satu masa dan setiap kali berhadapan dengan lelaki, mereka akan tunduk malu. Budaya ini berkait rapat dengan adat pergaulan masyarakat Aceh yang amat taat kepada aturan syariat Islam. Pemandangan ini melahirkan nilai-nilai keindahan paling tinggi dalam kebudayaan Aceh itu sendiri.



Hikayat Perang Sabil dihiasi dengan puisi yang indah dan membangkitkan semangat. Mungkin kesan sebenar hanya dapat diperolehi apabila dihayati dalam bahasa asalnya iaitu Aceh. Namun, puisi ini tetap mengandungi unsur-unsur kekuatan dan keindahan apabila diterjemahkan dalam bahasa Melayu.


Selain menggesa para pemuda, Teungku Muhammad@Cik Pante Kulu juga memberikan galakan kepada golongan ulama’ yang leka dan tenggelam dalam ibadah tetapi mengesampingkan tuntutan Perang Sabil seperti bait-bait puisi indah tersebut :



“Wahai tuangku sang budiman,

Hina mulia tiada abadi,

Wahai sahabat muda bangsawan,

Kita semua akan mati,

Walaupun raja negeri Rum,

Yang mempunyai kuasa tinggi,

Kemampuan kita wahai sahabat,

Pasti akhirnya akan mati,

Seperti Firmannya sang hadarat,

Dalam ayat-ayat kitab suci,

Walau sembunyi dibenteng besi,

Kita tetap akan mati,

Dengarlah wahai bijak bistari,

Pelihara diri sebelum mati,

Nabi Muhammad sang teladan,

Penghulu umat sudah pergi,

Pulang kembali pada Tuhan,

Ambil teladan hai buah hati”


Syeikh Cik Pante Kulu juga mengimbau sejarah kepahlawanan Aceh ketika menghadapi Portugis pada kurun ke-16. Beliau merujuk kepada keberanian Sultan Alawuddin Mugayat Syah Al-Kahhar yang menghadapi Portugis di Selat Melaka. Ajakan untuk berperang disulam dengan perkataan-perkataan yang indah sehingga hati menjadi rindu dan sayu, lantas dengan semangat yang berkobar-kobar menghunus rencong dan menyandang senjata di medan juang.


Oleh yang demikian, umat Islam Nusantara khasnya mempunyai jiwa yang halus dan akan menterjemah rasa hatinya dengan ungkapan-ungkapan indah berupa bahasa berpuitis. Puisi dan syair bukan sahaja menjadi medium untuk menyatakan perasaan, malah turut menjadi medium menterjemahkan tuntutan perang dalam menegakkan Islam. Jiwa pasti mengimbau sejarah Aceh yang gilang-gemilang apabila terdengar sebuah kumpulan nasyid kontemporari tanah air mengalunkan lagu “Ainul Mardhyiah”. Jika inilah yang digambar dan diwacanakan saban tahun sejak berkurun-kurun lamanya, ia bermakna masyarakat Islam Nusantara sebenarnya telah mengalami satu situasi perang Jihad mencari redha Allah Ta’ala sejak berabad-abad lamanya. Dengan tercetusnya situasi yang sedemikian, maka terungkailah kepada generasi ke generasi akan datang mengapa begitu istimewanya Negara-negara Nusantara serta masyarakatnya kepada kuasa-kuasa penjajah yang hadir silih berganti saban tahun bagi mewujudkan satu fenomena baru bagi mengantikan budaya yang telah sedia ada. Waallahua’lam.



1 comment:

  1. Tulisan ini diambil dari Buku Jejak Risalah di Nusantara Jilid 5 - Perang Aceh (1873 - 1913) dan peranan Snouck Hurgronje. Sila rujuk bab 9 - Hikayat Perang Sabi (sabil) hlm 74 - 83.

    - Dr Hafidzi Mohd Noor (author)
    terima kaseh

    ReplyDelete

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails