Tuesday 23 March 2010

"Kaya Harta Kaya Jiwa".

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.


BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Selamat Sejahtera.




Seringkali manusia menilai kekayaan itu dengan banyaknya harta yang bertimbun, rumah yang indah, kereta mewah yang menjalar, pakaian yang cantik, wang simpanan yang berkepuk-kepuk dalam bank dan saham-saham niaga yang berunit-unit banyaknya. Kemewahan dan kekayaan tersebut menjadi idaman dan impian bagi setiap manusia yang ingin memilikinya. Sangkaan mereka dengan kemewahan tersebut, hidup akan bahagia dan lebih menyeronokkan.


Namun benarkah dengan segala kemewahan itu dapat menenangkan jiwa?




Saya rujuk dalam Hadith Shahih Al-Bukhary dan Muslim r.a, bahawa telah diriwayatkan dalam sebuah Hadith daripada Abu Hurairah r.a telah berkata ia bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :


“Yang dikatakan kaya itu bukanlah kerana banyaknya harta, tetapi sebenar-benar kaya adalah Kaya Jiwa.”



Sebagai contoh yang hendak saya bawakan dan kongsikan bersama di sini adalah, sebagaimana yang telah kita semua ketahui bahawa Abdul Rahman bin Auf r.a adalah contoh insan dan sahabat Nabi SAW yang unggul yang memiliki kekayaan harta dan jiwa. Dari Anas bin Malik pernah meriwayatkan bahawa :


“Ketika Siti Aisyah r.a berada di rumah, dia terdengar bunyi riuh rendah, lalu bertanya akan hal itu pada para sahabat. Dan diketahuilah bahawa bunyi itu adalah derap unta kafilah dagang Abdul Rahman bin Auf r.a. Lalu Aisyah r.a berkata : “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Aku melihat Abdul Rahman bin Auf memasuki syurga dengan keadaan merangkak!” Berita itu akhirnya sampai ke pendengaran Abdul Rahman bin Auf lalu dia datang bertemu Aisyah r.a bertanyakan hal tersebut. Aisyah r.a menerangkan padanya tentang kekayaan membuatkannya merangkak masuk ke syurga. Maka di situ juga Abdul Rahman bin Auf r.a berkata : “Saksikanlah! Bahawa 700 ekor unta ini dengan muatannya itu aku sedekah pada jalan Allah SWT.”



Bukan mudah untuk jiwa ini tunduk mengorbankan harta yang amat dikasihi semata-mata memenuhi kehendak iman. Abdul Rahman bin Auf r.a diberikan keistimewaan oleh Allah SWT menguasai harta dunia di tangan tetapi beliau tidak meletakkan harta itu di dalam jiwanya. Beliau meyakini kesejahteraan akhirat lebih utama berbanding dunia yang sementara.



Inilah contoh insan tauladan yang wajib kita contohi. Kekayaan yang dimiliki tidak melalaikan dirinya kepada akhirat malah diletakkan sebagai matlamat utama berbanding dunia. Si miskin yang kaya jiwanya pula tidak memandang bahawa kemiskinan itu menjadi penghalang untuknya mendapat keredhaan Allah SWT. Orang kaya yang bersedekah dan berzakat adalah yang sewajarnya kerana mereka berharta, tetapi orang miskin yang bersedekah adalah lebih mulia kerana dalam keadaan hidupnya yang susah mereka masih merasakan ada lagi insan yang lebih susah hidup berbanding dirinya.



Si miskin akan jadi pemurah apabila jiwanya kaya. Satu ringgit yang didermakan oleh orang miskin tidak akan sama nilainya dengan satu ringgit yang didermakan oleh orang kaya. Satu ringgit tetap bernilai satu ringgit bagi orang kaya atau mungkin lebih rendah lagi jika dibandingkan kekayaan yang dimiliki. Sebaliknya satu ringgit mungkin bernilai 10 ringgit bagi orang miskin kerana sukarnya orang miskin untuk mendapatkan wang tersebut.



Justeru itu, keikhlasan seorang miskin yang dermawan mungkin lebih tinggi martabatnya berbanding seorang kaya seorang kaya yang dermawan kerana orang miskin yang dermawan pasti lebih tinggi martabatnya kerana dalam keadaan dirinya menghadapi kesulitan hidup namun dia masih mampu untuk menderma dan membantu orang lain.





Saya tertarik dengan satu riwayat yang mengisahkan tentang Syaidina Ali bin Abi Thalib dan Siti Fatimah r.a, di mana walaupun mereka sendiri hidup dalam kemiskinan, mereka tetap memiliki kekayaan duniawi dan akhiratwi. Sayidina Ali r.a pernah melucutkan cincin perak dari jarinya dan memberikannya kepada seorang peminta sedekah yang datang kepadanya, walaupun beliau ketika itu sedang sibuk mendirikan solat kerana takut peminta sedekah itu berlalu tanpa mendapat apa-apa, sebelum beliau selesai solat. Dalam peristiwa yang lain pula, setiap hari, selama tiga hari berturut-turut, sayidina Ali dan Siti Fatimah r.a menyedekahkan kepada orang-orang miskin yang datang meminta di rumahnya, makanan yang sepatutnya mereka makan untuk berbuka puasa nazar telah diberikan dan disedekahkan kepada fakir miskin tersebut. Hari pertama mereka menyedekahkan makanan yang disediakan untuk berbuka itu kepada fakir miskin yang sudah tidak makan selama beberapa hari lamanya. Hari keduanya pula disedakahkannya kepada seorang anak yatim yang sudah berpusing-pusing meminta makanan tetapi tidak mendapatkannya dan hari yang ketiga berikutnya pula, disedekahkan makanannya itu kepada seorang tawanan. Oleh kerana makanan untuk mereka berbuka itu disedekahkannya, Sayidina Ali dan Siti Fatimah sendiri tinggal kelaparan tiga hari berturut-turut. Allah SWT memuji sikap Sayidina Ali dan Siti Fatimah ini melalui firman-Nya yang bermaksud :


(Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini. Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih, “Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut”. Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka), dan perasaan ria gembira (di hati). Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya), mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan (persalinan dari) sutera.” (Surah Al-Insan – Ayat 7-12).



Saudara dan saudariku sekelian,



Marilah kita meringgankan tangan untuk bersedekah dan berzakat kerana amalan itu akan menjadikan kita insan yang berjiwa kaya. Alangkah beruntungnya kita semua memiliki kekayaan harta dan kekayaan jiwa. Alangkah mulianya kita semua sekira tidak memiliki kekayaan harta tetapi memiliki kekayaan jiwa. Jiwa yang kaya akan melahirkan insan agung seperti Abdul Rahman bin Auf r.a yang kaya harta dan jiwa atau seperti para Sahabat r.a yang lain, mereka miskin harta tetapi memiliki jiwa yang kaya. Nanti di akhirat kita semua akan membawa jiwa yang kaya ini mengadap Allah SWT dengan penuh kesejahteraan dan kedamaian sebagaimana Firman-Nya di dalam Surah As-Syuaraa’ – Ayat 88 & 89 :


Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, “Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik).”



Saudara dan saudariku yang dirahmati dan dikasihi Allah SWT,



Ingatlah!, segala harta dan kekayaan itu adalah milik Allah SWT, saat dan ketika yang telah ditentukan oleh-Nya, harta tersebut akan bertukar milik. Ia berhak mengambilnya mengikut ketentuan dan kebijaksaan-Nya. Kereta, rumah, anak pinak, isteri, suami, saham, pangkat, kedudukan, duit melimpah ruah dan segala harta itu adalah suatu pinjaman yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita, ia akan lenyap suatu masa nanti, tiada yang kekal kecuali Allah SWT yang Maha Perkasa dan Maha Agung. Kita hanya meminjamnya dari Allah SWT, dan adab meminjam mestilah dikembalikan kepada tuan-Nya. Kalau dahulu kita terlalu berkira-kira untuk menyumbangkan sesuatu kepada Islam, maka ketika dan saat ini tanamlah “Era Baru” untuk meringgankan tangan-tangan kita bagi membantu mereka-mereka yang memerlukan di luar sana. Ingatlah!, janji Allah SWT itu pasti, bagi mereka yang menolong agama-Nya. Allahuakbar!.



2 comments:

  1. Salam...
    Alhamdulillah...syukur ke hadrat ilahi,dengan posting saudara ini moga2 terus menerus memberi kesedaran pada hati2 dan jiwa2 kita bahawa dunia ini hanyalah 1 persinggahan dan ujian sebelum di jemput kembali kepadaNYA...teruslah berjuang untuk islam yang suci...wassalam

    ReplyDelete
  2. Waalaikumsalam, BungaLarangan.

    In The Name Of Allah.

    Ini adalah sebahagian dari apa yang telah banyak pihak nyatakan sebelum ini, artikel ini adalah sokongan dan dokongan terhadap apa yang telah sebelum ini di utarakan oleh pihak Muktaqin.

    Namun yang demikian, adalah wajib kita semua memahami ertikata sebenar akan hakikat "kekayaan". Tidak semua yang sanggup berkorban, dan tidak semua yang sangup menilai erti kekayaan. Semoga Allah SWT memberi rahmat dan hidayah-Nya kepada saudari dan sekelian umat Islam agar jangan terus menerus lena dalam mengejar kekayaan dunawi. Amin.

    ReplyDelete

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails