Friday, 12 March 2010

Fisabilillah - Uhud.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.
Masjid Hj Ismail, Kuala selangor.







BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.



Saudara-dan saudariku yang dikasihi Allah,



Alhamdulillah, kini kita bertemu kembali dengan izin-Nya, walaupun ketika menulis artikel ini, saya menghadapi pelbagai dugaan dan kesulitan. Namun yang demikian berjuang demi Islam yang Syumul tetap akan diteruskan. Sebagaimana artikel saya yang lalu berkenaan dengan “Fisabilillah – Badar”, saya telah berjanji untuk melanjutkannya lagi tentang perjuangan Rasulullah SAW dan para Sahabat r.a di dalam menegakkan serta mentauhidkan agama Allah SWT. InsyaAllah selepas saya menghabiskan penulisan artikel “Fisabilillah – Uhud” ini, saya akan beralih pada artikel terbaru iaitu “Fisabilillah – Ahzab”. Kini semuanya telah tertera untuk kita tatapkan bersama, ada yang perlu kita berhujah di sini, mengapa? Kenapa?, bagaimana? dan sebagainya, serta ada yang perlu kita fahami dengan ertikata sebenar dalam konteks mencari dan menilai maksud perjuangan. Ada yang melemparkan perjuangan dengan kata-kata tanpa di dokong oleh kudrat, ada yang mengunakan tulang empat kerat tanpa menghebohkan, dan ada yang berdiam, bisu, alpa, malah “aku tenteram di sini, mengapa aku perlu berjuang”. Inilah kata-kata bagi mereka yang tidak faham dan kurangnya pengetahuan akan hakikat perjuangan. Sepertimana yang telah saya katakan pada episod-episod saya yang lalu, perjuangan itu bukanlah sekadar mengangkat senjata, memandu kereta kebal, melemparkan bom tangan dan seribu satu macam strategi peperangan, tetapi ia pada hakikatnya bermula dengan sebuah pen dan kertas. Perlu diingati juga, bahawa pen dan kertas itu juga merupakan perjuangan yang paling tajam dan berkesan untuk digelar sebagai para pejuang-Nya. Pelik bukan?.




"Hanya sebuah pen dan kertas?."




"Apa perjuangan itu?."




"Tanya lagi!."




Allahu Akhbar!






Kemenangan pihak Muslimin di dalam perang Badar, merupakan inspirasi utama sejarah yang menentukan perjuangan Islam pada ketika itu. Ia merupakan titik permulaan era kebangkitan umat Islam untuk melebarkan sayap Islam dengan lebih meluas lagi di bumi Mekah, tetapi ia menjadi tamparan hebat bagi kaum kafir quraisy untuk bangkit menuntut bela di atas kekalahan yang memalukannya itu terhadap kaum Muslimin. Berhubung dengan itu, sebahagian besar dari pemimpin-pemimpin kaum kafir quraisy telah banyak terbunuh dan terkorban ketika di medan perang Badar. Oleh yang demikian, pihak kafir quraisy sebulat suara mengangkat Abu Sufyan sebagai panglima perang untuk menerajui angkatan perang bagi memerangi kaum Muslimin. Pihak kafir quraisy telah merancang dengan pelan serangan yang lebih besar, teliti dan tersusun agar dapat menguasai tentera Muslimin. Mereka perlu menguasai bumi Madinah dari pihak Muslimin yang dipimpin oleh Nabi SAW, bagi memudahkan mereka menguasai jalan-jalan perdagangan menuju ke Damacus (Syiria), serta dapat menghapuskan fahaman-fahaman Islam yang dibawa oleh Baginda SAW. Oleh yang demikian, untuk mendapatkan pasukan tentera yang mantap, maka mereka (kafir quraisy) telah membelanjakan hasil keuntungan perdagangan mereka untuk memantapkan lagi sistem organisasi peperangan mereka termasuklah menyediakan peralatan perang yang lebih besar dan sistematik dari pihak Muslimin.




Setelah persiapan peperangan itu dipersiapkan dengan tersusun, maka pada bulan Sya’ban tahun ke 3 Hijrah, pihak kafir quraisy telah berangkat menuju ke Madinah dan berkhemah di kaki gunung yang bernama ‘UHUD’. Gunung uhud terletak 3 mil jauhnya dari kota Madinah. Telah diriwayatkan juga bahawa ketika itu pihak kafir quraisy telah dianggotai seramai 200 orang pasukan berkuda, 300 unta dengan segala muatannya serta 700 orang di antaranya adalah berbaju besi. Kaum wanita (kafir quraisy) yang dipimpin oleh Hindun (isteri Abu Sufyan) juga dikerahkan untuk menghiburkan dan membesarkan hati bagi para tentera yang akan berperang.



Saudara-saudariku yang dirahmati-Nya,



Namun dengan itu, Nabi SAW telah mengetahui rencana pemberangkatan pasukan kafir quraisy itu melalui sepucuk surat yang dikirim dari mekah oleh Abbas, bapa saudara Nabi SAW yang mulai simpati kepada Islam. Nabi SAW segera menugaskan beberapa orang untuk menyelidik keadaan di luar kota dan ternyata pasukan quraisy sudah hampir dengan kota Madinah untuk melancarkan perang.



Oleh kerana musuh terlalu besar, maka Nabi SAW berniat hendak bertahan dan menanti musuh di dalam kota Madinah sahaja, tetapi apabila telah diberitahukan pekara yang sebenar oleh para pengintip Baginda SAW, maka Nabi SAW putuskan bahawa akan pergi memerangi musuh daripada bertahan di dalam kota Madinah. Dalam pada ketika itu juga Wahyu Allah SWT tidak turun kepada Nabi SAW, dan langkah seterusnya Baginda terpaksa melaluinya dengan bertawakal kepada Allah SWT.



Umat Islam mulai bergerak dengan kekuatan 1000 orang tentera, tetapi setelah pihak musuh kelihatan begitu ramai dan dilengkapi dengan peralatan yang cukup tersusun, maka ketika itu juga Abdullah bin Ubay (Ketua Munafik) telah berpaling tadah kepada Nabi SAW dengan pengikut-pengikutnya yang berjumlah 300 orang. Kini pasukan yang dipimpin oleh Nabi SAW telah berkurangan iaitu tinggal 700 orang sahaja. Maka ketika juga Nabi SAW telah mengarahkan barisan para sahabat agar bersiap sedia untuk menghadapi musuh. Nabi SAW telah mengatur seramai 50 orang kaum Muslimin untuk bertahan di atas bukit Uhud dengan menempatkan pemanah-pemanahnya di lereng-lereng gunung tersebut. Nabi SAW bersabda:



“Lindungi kami dari belakang, mungkin dikhuatiri musuh akan mengepung kita dari belakang, bertahanlah kamu sekelian ditempat itu dan ingat akan kamu jangan sekali-kali kamu undur dan tinggalkan gunung itu.”


Itulah amanat Nabi SAW yang telah Baginda berikan kepada para pejuangnya yang telah di tempatkan di kaki gunung Uhud tersebut.



Maka dengan tidak beberapa lama kemudian, terdengar sorak gemuruh dari pihak musuh (kafir quraisy) yang menandakan perang akan bermula. Segera mereka bergerak maju menyerang dengan formasi berbentuk bulan sabit yang telah dipimpin oleh panglima perang mereka (kafir quraisy) iaitu Khalid bin Walid yang menerajui sayap kanan, serta Ikrimah bin Abu Jahal pula di sebelah kirinya pula.



Saudara-saudariku sekelian,



Kini kedua belah pihak bersiap sedia untuk bertempur. Yang selalu diingati oleh kafir quraisy adalah peristiwa kekalahan dan pengorbanan sahabat mereka di medan perang Badar setahun yang lalu, tetapi bagi tentera Muslimin pula, mereka selalu memperingati akan Allah SWT dan Rasul-Nya di sepanjang pertempuran itu. Nabi SAW berpidato dengan memberi semangat dalam menghadapi pertempuran itu. Ia menjanjikan pasukannya akan mendapat kemenangan apabila mereka tabah dan sabar ketika menghadapi pihak musuh.



Sebagaimana yang telah kita semua ketahui sebelum ini, saya telah menyatakan bahawa sebelum terjadinya pertempuran itu, maka kedua-dua pihak akan memulakan dengan pertarungan perang tanding bagi memperlihatkan kekuatan pahlawan masing-masing. Maka pihak kafir quraisy telah menghantar Thalhah sebagai calon yang terbaik, tetapi Nabi SAW telah mengirimkan pula Ali bin Abi Thalib untuk mara kehadapan. Tanpa dilengah-lengahkan lagi Ali bin Abi Thalib telah mara kehadapan menentang Thalhah dengan penuh bersemangat dan perkasa sekali, sehinggakan beliau telah membuatkan kepala lawannya (Thalhah) itu terbelah menjadi dua.



Selepasnya pertarungan itu, maka bermulalah peperangan yang sebenar dan lebih dahsyat. Abu Juhana r.a telah menyerbu di tengah-tengah musuh untuk berjuang dengan beraninya. Begitu juga dengan Hamzah bin Abu Muthalib (bapa saudara Nabi SAW), ia telah mara kehadapan sehingga memporak perandakan pihak kafir quraisy. Namun Allah SWT lebih menyayanginya, ia gugur syahid di medan Uhud apabila ia telah dilempar tombak oleh Wahsyi iaitu seorang hamba yang berbangsa Habsyi. Peristiwa itu telah diketahui oleh para Sahabat r.a yang lain, lalu mereka terus mara dan mara ke hadapan untuk menentang musuh, ramai ketua dan tentera kafir quraisy ketika itu terkorban dan mereka segera menyelamatkan diri dari dikejar oleh pihak Muslimin.



Melihat musuh lari lintang pukang, tentera Islam yang berjumlah 50 orang yang telah diamanahkan oleh Nabi SAW untuk menjaga gunung Uhud agar tidak berganjak dari kedudukan mereka, lantas mereka lupa akan amanahnya itu. Mereka turut turun mengejar musuh-musuh yang lari tersebut dan segera memungut harta peningalan pertahanan musuh yang terdapat di bawah kaki gunung Uhud tersebut dengan harapan agar memperolehi harta rampasan yang banyak. Lalu Ibnu Zubair r.a menyuruh agar mereka kembali kepada posisi mereka iaitu di atas gunung Uhud, tetapi mereka tetap ingkar atas arahannya itu.



Maka detik yang amat sedih telah berlaku, apabila pasukan kafir quraisy yang dipimpin oleh Khalid bin Walid telah melihat kawasan gunung Uhud itu telah kosong lalu iapun menaklukinya tempat tersebut dari pihak Muslimin dan pasukan Khalid serta bala tentera berkudanya telah menyerang pihak Muslimin dari belakang dengan begitu mudah sekali. Ketika itu beberapa tentera Islam yang taat setia pada perintah Nabi SAW telah melawan dengan gagah berani lalu kesemuanya gugur sebagai Syahid. Allahu Akhbar!.



Saudara-saudariku yang dirahmati dan dikasihi Allah,



Pasukan kafir quraisy telah mengetahui bahawa mereka telah dapat menawan gunung Uhud tersebut, lalu mereka mara kehadapan menentang semula pihak Muslimin yang ketika itu terpingga-pingga melihat kawasan mereka telah dapat ditakluki oleh pihak kafir quraisy. Pihak kafir quraisy menyerbu kepada Nabi SAW dan para sahabat r.a dengan begitu hebat sekali. Melihat keadaan seperti itu, pasukan tentera Muslimin segera merapatkan diri mereka untuk membantu Nabi SAW dan para sahabat r.a untuk menghapuskan pihak kafir quraisy. Para sahabat r.a segera mengepung Nabi SAW untuk melindungi Baginda dari pihak musuh yang datang menyerang bertubi-tubi. Ketika itu juga, Abu Juhana r.a tidak berganjak sedikit dari tubuh Nabi SAW sekalipun anak panah dari pihak musuh bertubi-tubi mengenai tubuhnya bagi melindungi Nabi SAW. Ketika itu, Nabi SAW juga terkena pukulan yang melukai keningnya, hingga mukanya berlumuran darah dan ia juga dilemparkan sebuah batu besar oleh Uthbah bin Abi Waqqash sehingga mengenai kepalanya. Dua keping lingkaran rantai pada topi besi Nabi SAW yang menutupi wajahnya telah menacap dipipinya mengenai gigi Baginda SAW. Melihat Nabi SAW terjatuh, seorang dari pihak kafir quraisy telah berteriak keras mengatakan bahawa Nabi SAW telah terbunuh.



Apabila mendengar khabar angin tersebut maka tidak tenteramlah dibenak fikiran para sahabat dan menimbulkan kesedihan serta kekeliruan yang jelas terpancar dari wajah-wajah mereka semua. Ali bin Abi Thalib r.a telah menyatakan bahawa ketika sebelum terjadinya kejadian tersebut:


“Kami telah dikepungi oleh pihak musuh dan daku tidak dapat melihat di mana Rasulullah SAW berada. Daku mula mencari Baginda SAW di kalangan mereka-mereka yang masih hidup dan juga di kalangan mereka yang telah gugur syahid, tetapi daku hampa sekali. Daku berbisik di dalam hatiku, Adalah tidak mungkin sekali Baginda SAW meninggalkan medan pertempuran ini. Mungkin Allah SWT telah murkai terhadap dosa-dosa kami itu dan telah mengangkat kekasih-Nya, Rasulullah SAW ke syurga. Tidak ada jalan lain bagiku yang tinggal melainkan daku mesti melompat masuk ke dalam barisan tentera musuh-musuh dan bertempur sehingga ke akhir hayatku. Oleh itu daku perangi mereka dengan hebatnya sehingga daku menyeleraikan barisan musuh itu dengan pedang kepunyaanku sehingga dapatlah daku melihat kembali wajah Rasulullah SAW. Betapa sungguh gembira daku ketika itu dan daku cukup yakini bahawa para malaikat telah diutus oleh Allah SWT bagi melindungi Baginda SAW. Daku menghampiri Baginda SAW lalu berdiri gagah di samping Baginda SAW. Sementara itu daku melihat barisan pasukan musuh mara menuju hendak menyerang rasulullah SAW, lalu Baginda Berkata : “Ali, pergilah menghalangi musuh-musuhku itu”. Maka daku lantas melawan dan menolak mereka itu seorang dariku hingga dapat membunuh beberapa orang musuh di antara mereka. Selepas itu daku lihat ada barisan lain dari pihak musuh datang mara ke hadapan untuk menyerang Rasulullah SAW. Maka Baginda SAW sekali lagi berteriak kepadaku, : “Ali pergilah menghalangi musuh-musuhmu Itu”. Daku terus mengempur barisan musuh laknatullah itu seorang diri sehingga mereka terpaksa lari serta berundur dari tempat tersebut”. Adakala tatkala peristiwa yang sengit itu berlaku, Jibril a.s telah datang lalu memuji sifat keberanian Ali r.a dan kebaktiannya yang telah beliau tunjukkan di dalam detik-detik menyelamatkan rasulullah SAW. Baginda SAW telah bersabda: “ Ali adalah sebahagian dariku dan Daku pula adalah sebahagian dari Ali”. Dengan demikian Jibril a.s telah menjawab : “Daku ini sebahagian dari kamu berdua.”


Maka ketika itu Anas bin Nadr r.a telah melihat tubuh Nabi SAW rebah ke bumi, ia menyangka bahawa Nabi Saw telah wafat, lalu ia menerjahkan dirinya ke tengah-tengah musuh (kafir quraisy) bertempur habis-habisan sampai ia juga turut syahid dengan kesan luka-luka yang banyak sehinggakan tidak dapat dikenali lagi raut wajahnya. Begitulah keberanian beliau terhadap musuh-musuh Islam yang cuba menentang Nabi SAW. Betapa cintanya beliau terhadap Nabi SAW ketika itu sehinggakan sakit yang sepatutnya ia merasai, tidak memberi kesan terhadap dirinya.



Kaab bin Malik juga dengar berita tersebut, lalu ia menghampiri tubuh Nabi SAW, dan ia dapati bahawa Nabi SAW masih hidup, lalu ia berteriak :



“Wahai saudara-saudaraku! selamat! Khabar gembira! Rasulullah SAW masih hidup! Baginda SAW masih ada di sini!.”



Dengan cepat Nabi SAW memberi isyarat agar Kaab bin Malik agar menutup mulut, supaya pertempuran segera ditamatkan serta agar korban di pihak Muslimin dapat dikurangkan dan tidak bertambah lagi.



Di dalam pertempuran tersebut Umat Islam menderita kerugian yang cukup besar, ada riwayat menyatakan seramai 70 orang telah syahid. Sedangkan di pihak musuh hanya 25 orang sahaja yang tewas. Kekalahan kaum Muslimin di pertempuran Uhud bukan merupakan kekalahan yang sebenarnya. Allah SWT telah menguji keimanan Nabi SAW serta para Sahabat r.a di dalam peperangan tersebut dan telah dibuktikannya dengan begitu baik sekali. Di saat-saat bahaya dan kesukaran tersebut, Nabi SAW tetap bertahan. Pekara ini juga merupakan pengajaran bagi pengikut-pengikutnya yang telah derhakai terhadap perintah Nabi SAW.



Firman Allah SWT:


Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janjiNya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izinNya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang). Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata dengan limpah kurniaNya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurniaNya kepada orang-orang yang beriman
” (Surah Ali-Imraan – Ayat 152).




Syahidnya Hanzalah r.a.

Diriwayatkan bahawa apabila peperangan Uhud berlaku, Hanzalah r.a baru sahaja melangsungkan perkahwinannya dan dengan yang demikian itu beliau tidak menyertai di dalam peperangan tersebut dari awal berlakunya. Tatkala berita mengenai kekalahan tentera Islam sampai kepengetahuan beliau, lalu Hanzalah r.a lantas bangun dari katil setelah bersama dengan isterinya tanpa beliau sempat mandi junub. Lantas Hanzalah r.a mencapai pedangnya terus maju menuju ke medan pertempuran Uhud. Pertempuran sengit telah berlaku dan Hanzalah r.a dengan kegigihannya telah menempuh masuk ke khemah musuhnya dan terus berlawan setiap musuh-musuh Islam yang dihadapinya dan akhirnya beliau Hanzalah r.a telah terkorban. Kini gugurlah seorang perwira Islam di sisi Allah SWT. Beliau gugur sebagai syuhada ketika berada di dalam keadaan diri beliau berjunub. Maka para sahabat telah mengebumikan mayat beliau tanpa mengetahui bahawa beliau seharusnya dimandikan. Rasulullah SAW telah bersabda:



“Daku dapat melihat para malaikat memandikan mayat Hanzalah r.a.” Abu Said Saidi r.a menerangkan : “Semasa mendengar perkhabaran itu dari Baginda SAW, daku pun pergi untuk melihat wajah Hanzalah dan apa yang daku dapati ialah titisan-titisan air berlinangan turun dari rambutnya”



Syahidnya Musab bin Umair r.a

Diriwayatkan juga bahawa Musab bin Umair r.a telah dipelihara dan dibesarkan dengan penuh kasih saying oleh kedua ibubapanya di dalam sebuah keluarga yang mewah. Sebelum memeluki Islam, beliau hidup di dalam keadaan mewah dan berada. Adalah juga diriwayatkan beliau seorang pemuda yang paling bergaya di kota Mekah. Malahan kedua ibubapanya akan membelikan beliau sehelai pakaian yang berharga 200 dirham untuknya. Akan dengan itu juga, beliau sebenarnya telah memeluk Islam sejak dari awal lagi tanpa diketahui oleh kedua orang tuanya. Bagaimanapun setelah kedua orang tuanya mengetahui akan pekara itu, lalu mereka telah mengikat Musab r.a dengan tali dan memaksa beliau tinggal di dalam rumah. Beliau mendapat peluang melarikan diri lalu berpindah ke Abbysinia. Sekembalinya dari Abbysinia, beliau telah berhijrah pula ke kota Madinah. Dengan itu, menjadi seorang pemuda yang serba dhaif dan kekurang berbeza dengan dirinya sebelum ini. Kini ia terpaksa menjalani hidup seorang diri dengan keadaan yang sedehana dan serba kekurangan.



Diriwayatkan juga, suatu ketika Rasulullah SAW sedang duduk beristirehat, beliau telah melalui di hadapan Baginda SAW. Musab r.a ketika itu hanya memakai sehelai kain yang bertampal-tampal, satu daripada tampalan tersebut dijahit dengan kulit haiwan bagi menutupi anggota tubuhnya. Maka ketika pertempuran medan Uhud pula, beliau berjuang sebagai pemegang utama bendera Islam. Apabila tentera-tentera Islam mengalami kekalahan dan setengahnya berlari bertempiaran dalam keadaan kekeliruan, maka ketika itu beliau terus memegang kukuh tiang bendera Islam dengan erat sambil berdiri teguh ditempatnya. Seorang musuh Islam telah muncul lalu menetak tangannya agar bendera yang dipegangnya itu akan jatuh rebah ke atas debu-debu padang pasir dengan membawa maksud kekalahan. Lantas Musab r.a mencapai bendera tersebut dengan sebelah tangannya lagi. Begitu juga, musuh Islam itupun menetak tangan beliau yang sebelah lagi. Beliau tetap memegang bendera Islam di dadanya dengan dibantu oleh kedua belah lengannya yang masih mengalir darah merah itu. Akhirnya dada Musab r.a ditembusi oleh anak panah dari pihak musuh dan beliau rebah ke bumi sebagai syuhada. Lantaran dengan itu seorang tentera Muslimin telah berlari ke arah beliau lalu mencapai semula bendera Islam tersebut dari jatuh ke bumi. Ketika itu didapati Musab r.a telah gugur di atas debu-debu pasir tersebut.



Di saat-saat pengkebumiannya, beliau hanya mempunyai sehelai kain bagi menutupi mayatnya. Namun demikian, kain tersebut terlalu kecil. Jika ditarik untuk menutupi kakinya, kepalanya akan terdedah dan apabila ianya ditarik untuk menutupi kepalanya, kakinya pula akan terdedah.



Lalu Baginda SAW bersabda:


“Selimutkanlah kepalanya dengan kain itu dan tutupilah kakinya dengan daun-daun Azkhar.”


Begitulah akhirnya riwayat seorang pemuda Islam yang dahulunya dibesarkan di dalam keadaan yang serba kemewahan dan kesenangan serta memiliki pakaian yang berharga 200 dirham dan akhirnya beliau hanya memiliki sehelai kain yang kecil bagi menutupi mayatnya. Lihatlah saudara dan saudari sekelian, betapa cekal dan gigih keberaniannya itu sehinggakan beliau sendiri menempuh maut daripada membiarkan bendera Islam rebah tewas di tangan musuh menyembah bumi. Inilah satu keajaiban Iman, sekali Iman menjalar segar di dalam jiwa seseorang itu dari saat itu jugalah ia akan melupakan segala yang lain samaada harta kekayaan, kemewahan dan kesenangan mahupun nyawa yang dimilikinya sendiri.



Syahidnya Wahab bin Qabus r.a.

Diriwayatkan bahawa Wahab bin Qabus adalah seorang pengembala kambing dan beliau memeluk Islam sejak dari awalnya lagi. Pada suatu ketika beliau ingin pergi berjumpa dengan Rasulullah SAW di kota Madinah. Kedatangan beliau ke kota Madinah ditemani bersama seorang anak saudaranya diiringi pula sekumpulan kambing-kambing pemeliharaannya yang diikat dengan tali. Beliau telah mendapat perkhabaran menyatakan bahawa Rasulullah SAW ketika itu berada di medan peperangan Uhud. Lantas beliau telah meninggalkan kambing-kambingnya itu lalu menuju ke medan peperangan tersebut untuk bersama-sama berjuang di sisi Rasulullah SAW. Setibanya beliau di medan pertempuran itu, beliau melihat sekumpulan pejuang musuh ingin mara ke hadapan untuk menyerang Rasulullah SAW. Dengan nada kata-kata semangat yang lantang, Rasulullah SAW bersabda:



“Sesungguhnya sesiapa di antara kamu yang dapat menceraikan musuh-musuh ini, dia akan menjadi temanku ketika di syurga kelak.”



Wahab bin Qabus r.a dengan segera merempuh dan menyerangi barisan musuh-musuh itu dan berjaya mengalahkan mereka semua. Di kala itu juga sebarisan musuh yang kedua dan ketiga mara ke hadapan, tetapi dengan seorang dirinya sahaja menentang sehebat-hebatnya kumpulan musuh-musuh sehingga mereka terpaksa berundur diri dan lari. Akhirnya beliau mendapat perkhabaran berita baik mengenai syurga kepadanya itu dari Rasulullah SAW lantas beliau sendiri telah terkorban dan gugur syahid di dalam pertempuran tersebut.



Saad bin Abi Waqas r.a menyatakan:


“Daku sekali-kali tidak pernah melihat seorang pejuang Islam yang benar-benar berjuang dengan beraninya tanpa sikit pun tersingkap kegentaran di hatinya seperti Wahab r.a. Daku lihat Baginda SAW terpaku berdiri di sisi mayatnya lalu bersadba : “Wahab!, Wahab!. Sesungguhnya kamu telah menyenangi hatiku, semoga Allah akan memberi kesenangan terhadapmu.”



Sungguhpun Rasulullah SAW sendiri tercedera di dalam pertempuran itu, namun Baginda SAW telah membaringkan mayat Wahab r.a dengan tangan beliau sendiri. Umar Al-Khatab r.a pernah berkata:



“Daku tidak pernah mencemburui sesiapapun kecuali Wahab r.a . Daku berharap daku dapat berdiri di hadapan Allah SWT kelak dengan catatanku yang baik dan yang menyerupai dengannya.”



Apakah sifat yang terdapat di dalam diri Wahab r.a yang telah menyebabkan beliau termahsyur dan terkenal serta dicemburui oleh Umar Al-Khatab r.a?. Ini adalah persoalan yang perlu kita semua sama-sama mencari jawapannya. Berjuangan di jalan Allah SWT bersama-sama Nabi tersayang dan tercinta, tanpa mempedulikan harta dan keselamatan demi untuk Islam yang Ad-Deen. SubhanaAllah!.



Oleh yang demikian, dengan kemenangan dari pihak kafir quraisy merasa begitu gembira seolah-olah telah dapat membalas kembali terhadap kekalahan mereka ketika di medan peperangan Badar yang lalu. Apa yang amat-amat menyayat hati pada ketika itu adalah, Hindun (isteri Abu Sufyan) serta kawan-kawannya telah pergi menganiaya mayat-mayat kaum Muslimin yang telah terkorban dengan begitu kejam sekali. Di mana pada ketika itu Hindun serta kawan-kawannya telah memotong telinga serta hidung mayat tersebut untuk dipakaikannya sebagai kalung dan anting-anting. Lebih menyedih dan menyayatkan lagi, apabila perut Hamzah bin Abu Muthalib telah dibelahnya lalu diambil jantung dan dikunyah-kunyah dengan giginya dengan rakus sekali. Begitulah gambaran yang hina diperlakukan oleh Hindun serta kawan-kawannya terhadap jenazah kaum Muslimin yang terkorban di medan Uhud.



Pada ketika Nabi SAW hendak mencari mayat bapa saudaranya iaitu Hamzah Bin Abu Muthalib, kemudian dilihatnya bahawa tubuh anggota badan bapa saudaranya itu telah dianiaya dengan begitu zalim dan kejam sekali. Baginda SAW begitu sedih sekali lantas Baginda SAW bersabda :



“Demi Allah, kalau pada suatu ketika Tuahn memberi kemenangan kepada kami melawan mereka, nescaya akan kuaniaya mereka dengan cara yang belum pernah dilakukan oleh orang Arab.”



Allah SWT berfirman:


“Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar. Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.” (Surah An-Nahl – Ayat 126 & 127).



Dengan turunnya ayat ini, lalu Nabi SAW memaafkan mereka yang melakukan perbuatan keji tersebut, ditabahkan hatinya dan ia melarang orang melakukan penganiayaan. Selepas itu Nabi SAW memerintahkan supaya jenazah-jenazah para syuhada tersebut di kuburkan. Sesudah itu kaum Muslimin dengan dipimpin oleh Nabi SAW sendiri kembali ke Madinah.



Ini adalah realiti perjuangan menegakkan syiar Islam, walaupun nyawa, harta dan keluarga itu menjadi taruhan. Allah SWT menguji setiap insan itu dengan pelbagai cara, kemewahan, kekayaan, kemiskinan, kesakitan, dan sebagainya. Kita sebagai Insan yang telah dikurniakan dengan akal dan fikiran wajiblah menilai akan erti ujian Allah SWT tersebut. Janganlah kita terlalu alpa dengan apa yang telah kita kecapi sekarang ini. Ada yang bangga dengan pangkat serta kedudukan yang ia kecapi sekarang, tetapi sebaliknya apabila tibanya unsur-unsur yang melibatkan hukum-hukum Allah SWT, kita tewas. Kita kadangkalanya begitu taksub dengan kemewahan dan kekayaan yang telah kita kecapi sekarang ini, tetapi dalam masa yang sama orang-orang yang berada disekeliling kita dipenuhi dengan kemiskinan dan kebuluran, tidak kita ambil peduli. Malahan ada juga masyarakat kita yang terlalu bangga dengan ijazah yang berprestej, tetapi apabila diberikan tugas yang melibatkan wang simpanan dan amanah orang ramai, kita pesongkan. Inikah yang dikatakan masyarakat Madani yang digembar-gemburkan selama ini?.



Saudara-saudariku sekelian yang dirahmati Allah SWT,



Mata kita ini, satu masa nanti akan kabur, jari jemari kita ini satu masa nanti akan bergetar-getar, kaki kita yang boleh bergerak ini, suatu masa nanti akan terhenti dengan kehendak-Nya. Kulit kita ini semakin hari semakin berkedut, muka dan tubuh badan kita ini juga suatu masa kelak akan mengendur dan rambut kita semua ini suatu masa yang telah ditetapkan-Nya, pasti akan beruban dan gugur, maka adakah ketika itu kita bersama-sama dengan golongan pembela agama-Nya, atau ketika itu kita masih lagi alpa dengan duniawi?. Ini persoalan asas yang perlu kita semua renunginya. Bukan sekadar berkata :



“Ahh!, umur aku masih panjang, jauh lagi perjalanan hidupku.”



“Buat masa sekarang, hati aku belum terbuka untuk memakai tudung dan menutup aurat, mungkin selepas aku kahwin nanti aku akan memakai dan menutupnya.”



“Buat apa sembahyang, orang yang tidak sembahyangpun boleh kaya raya dalam dunia ini.”



Ini adalah jawapan orang-orang yang fasikh, yang tipis akan Iman dan Taqwanya terhadap Allah SWT. Lebih peliknya lagi, orang-orang yang sedemikian rupa adalah orang-orang yang tinggi ‘sahamnya’. Jika beginilah sikap segelintir masyarakat kita, mungkin suatu masa kelak, tidak mustahil bumi kita ditimpa malapetaka yang dahsyat. Dan mungkin juga kita hanya tinggal pada namanya sahaja tanpa mengetahui dan memahami hakikat sebenar Islam.



Perjuangan Nabi SAW dan para Sahabat r.a adalah contoh ikutan yang perlu kita terapkan dalam hati-hati kita. Baca dan kajilah tentang perjuangan hebat ini yang semakin hari semakin dilupai oleh masyarakat Islam kita. Janganlah kita terlalu mengikut serta mencontohi asas perjuangan barat, yang rata-ratanya mengenepikan Islam. Lebih malangnya lagi, ada masyarakat kita yang terlalu taksub dengan tokoh-tokoh pemimpin yang sememangnya mementingkan hal-hal duniawi. Pernahkah kita terfikir,



“Siapa yang membawa hati-hati manusia yang suatu ketika itu dalam kegelapan kepada kebenaran?.”



“Siapa yang mengajar akan kita tentang hakikat kehidupan ini?”



“Siapa yang mengajar akan kita tentang hakikat kebathilan?’



“Adakah Beliau mengajar kita semua melakukan maksiat?.”



“Siapa dia Insan ini?.”





“Siapa dia?”





“Siapa dia?”






“Jawab saudara-saudariku sekelian!”












Muhammad Ibni Abdullah Ibni Abu Muthalib!



No comments:

Post a Comment

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails