Tuesday, 16 March 2010

Fisabilillah - Ahzab

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.
Masjid Hj Ismail, Kuala Selangor.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Selamat Sejahtera.



Alhamdulillah, syukur kehadrat-Nya, kita kini dipertemukan lagi. Kali ini dengan artikel “Fisabilillah – Ahzab” yang telah saya janjikan tempohari. Saat saya menulis akan artikel “Fisabilillah” ini, saya dihujani dengan pelbagai dugaan yang merumitkan, namun setelah semua itu dapat di atasi, maka penulisan tersebut saya ajukan di sini walaupun masa dan ketika itu terlalu panjang yang saya ambil setakat ini. Ujian Allah SWT itu merangkumi pelbagai, yang pada dasarnya adalah untuk menguji keimanan dan ketakwaan kita terhadap-Nya.

SubhanaAllah!.



Musim cuti sekolah yang menyeronokkan, tetapi bagi saya ia satu musim yang merumitkan, di mana terpapar di persekitaran rumah saya, golongan muda-mudi yang rata-ratanya mempamerkan reaksi fesyen yang mengiurkan, walaupun ia datangnya dari golongan yang berperingkat remaja persekolahan, tetapi perlu diingati juga, cuti itu tidak bermakna untuk kita membuka aurat untuk tatapan umum. Cuti sekolah itu tidak bermakna kita bebas melakukan pergaulan dengan bukan muhrim tanpa batas. Cuti sekolah itu tidak bermakna kita melupai pekara-pekara wajib yang disuruh oleh Allah SWT. Cuti sekolah itu tidak semestinya kita………………………………



Adik-adik!, mana mungkin abang sering nasihatkan adik- adik dengan panjang lebar di sini, Kitakan ada ilmu dan akal, maka gunakanlah pemberian yang istimewa dari Allah SWT itu……..



“Semoga Allah SWT memberi kekuatan dan rahmatnya kepada Ibubapa masa kini dalam menanggani isu-isu dan masaalah anak-anak mereka…. Amin…”



Saudara-saudari yang dirahmati Allah SWT,





Kaum Bani Qainuka dan Nadhir dari golongan Yahudi telah dihalau keluar dari bumi Madinah oleh Nabi SAW atas sebab pelangaran perjanjian yang telah dimeterai oleh pihak Yahudi dan Islam. Perbuatan mereka itu juga telah menyebabkan timbulnya kekacauan di Madinah yang dipimpin oleh Nabi SAW. Mereka merancang untuk membunuh Nabi SAW dan para Sahabat r.a dari setiap sudut. Maka dengan itu, Nabi SAW mengeluarkan perintah agar pihak berbangsa yahudi agar keluar dari kota Madinah dan mereka diizinkan membawa harta benda serta kekayaan mereka. Tetapi dengan sombong mereka enggan keluar dari kota Madinah, kerana merasa kuat dan mengharapkan bantuan dari Abdullah bin Ubay (ketua Munafik) untuk membantu rancangan jahat mereka. Sesudah dikepung oleh tentera Islam, mereka menyerah serta akhirnya mereka diusir keluar dari kota Madinah.



Di antara mereka sebahagian besar pergi bertempat di Khaibar dan sebahagian yang lainnya menuju kedestinasi yang lain pula. Mereka bergabung pada dasarnya, bersatu bangkit untuk menentang kembali pihak Islam dengan memohon bantuan dari Abdullah bin Ubay serta pihak kafir quraisy Mekah.





Pada bulan Syawal tahun ke 5 Hijrah, pasukan gabungan yang terdiri dari 24,000 orang tentera musuh bergerak menuju kota Madinah untuk menyerang orang-orang Islam. Mereka bertekad untuk melancarkan serangan besar-besaran. Sementara ketika itu pihak Islam hanya mempunyai sejumlah 2000 orang sahaja yang telah bersiap sedia untuk berjuang mempertahankan Islam dan kota Madinah.



Niat buruk pihak yahudi tersebut sebenarnya telah diketahui oleh Nabi SAW. Dengan segera Nabi SAW bermusyawarah dengan para Sahabat r.a untuk menghalang serangan yang bakal dilancarkan oleh pihak yahudi tersebut.



Saudara-saudari yang dikasihi-Nya,


Salman Al-Farisi r.a adalah orang yang banyak mengetahui akan strategi peperangan yang belum dikenali di daerah-daerah Arab. Ia begitu bijak menyusun koordinasi peperangan dengan terperinci dan tersusun sekali. Maka dengan itu, ia mengusulkan agar, di sekitar kota Madinah dibina parit bagi memperkuatkan lagi pertahanan tentera Islam dari dalam kota Madinah. Usul ini segera dilaksanakan oleh kaum Muslimin. Ketika menggali parit, Nabi SAW juga ikut serta. Baginda SAW mengangkat tanah dan sambil terus menerus memberi semangat, dengan menganjurkan kepada mereka supaya melipatgandakan kegiatan agar segala strategi itu akan berhasil dan berkesan.



Setelah urusan pertahanan itu selesai, maka anak-anak serta wanita-wanita dipindahkan ke suatu tempat yang lebih selamat, untuk menjaga agar kaum yahudi yang masih di dalam kota menyerbu secara senyap-senyap dapat dipatahkan oleh tentera Islam.



Pihak tentera yahudi dan kafir quraisy Mekah bersedia bergabung untuk menyerang kota Madinah, setibanya mereka di kota Madinah, mereka begitu hairan dan terkejut akan apa yang mereka lihat, kelihatan parit disekeliling kota Madinah tersebut. Maka mereka mengambil keputusan agar berkhemah di luar kota Madinah untuk menanti kedatangan tentera Islam untuk menyerang mereka. Maka ketika itu, kota Madinah telah dikepung oleh pihak musuh di setiap sudut. Selama sebulan kota Madinah dikepung musuh dan selama pengepungan itu juga, kaum Muslimin menderita kelaparan. Ramai tentera Islam yang takut dan khuatir, apatah lagi kerana pengaruh beberapa orang Munafik dari golongan mereka yang terdapat lagi di dalam kota Madinah tersebut. Setelah lebih satu bulan, tentera musuh sudah tidak tahan lagi untuk menyerang tentera Islam, lalu mereka menyerbu dengan melompat parit yang agak sempit dengan kuda-kuda mereka. Peperangan kian bermula, dan tidak dapat dielakkan lagi.



Saudara-saudari yang dirahmati dan dikasihi oleh Allah SWT,



Dalam peperangan tersebut, Ali bin Abi Thalib telah dapat menewaskan panglima perang dari pihak musuh iaitu Amr bin Abdu Wadd yang kononnya beliau dapat menghadapi 100 tentera Islam dalam satu-satu peperangan. Kebongkakkan dan kesombongan Amr bin Abdu Wadd telah dipatahkan oleh Ali bin Abi Thalib, apabila ia terkorban dalam peperangan tersebut. Pihak musuh mula, gementar melihat kejadian tersebut, ada yang lari bertempiaran menyelamatkan diri dari dibunuh oleh tentera Islam. Pada amnya, tentera Islam telah berperang dengan begitu berani sekali, tanpa ada perasaan takut dan gerun terhadap musuh-musuhnya walaupun ketika itu bilangan musuh begitu banyak berbanding dengan bilangan tentera dipihak Islam. Mereka berperang dalam keadaan yang lemah dan lapar akibat dari pengepungan pihak musuh terhadap kota Madinah selama satu bulan lebih.




Firman Allah SWT:

Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.” (Surah Al-Ahzab – Ayat 10).




Ayat tersebut mengambarkan betapa hebatnya perasaan takut serta gementar oleh pihak Islam pada ketika itu. Ditambah lagi perasaan deritanya di pihak kaum Muslimin, setelah pimpinan baru dari kaum Bani Quraizhah iaitu kaab bin Asad telah khianat dan berpaling kepada pihak musuh. Pada umumnya bahawa, Kaab bin Asad itulah orang yang banyak mengetahui akan strategi peperangan dan pertahanan Nabi SAW. Pada ketika itu juga, jelas kelihatan begitu banyaknya orang-orang yang berpaling dengan Nabi SAW serta dikategorikan sebagai Munafik.



Maka dengan ketika itu juga datanglah seorang yang bernama Nu’aim bin Mas’ud iaitu seorang yang berbangsa Yahudi dari pihak musuh, menghadap Nabi SAW menyatakan dirinya masuk Islam di atas kesedaran dirinya sendiri. Kesempatan ini dimanfaatkan oleh Nabi SAW untuk menilai kekuatan musuh. Kemudian diutuslah Nu’aim itu menemui musuh. Dihasutnya bangsa Yahudi untuk tidak mempercayai bangsa Quraisy dan sebaliknya bangsa Quraisy pun dihasutnya supaya tidak percaya kepada bangsa Yahudi.



Pekara tersebut membuatkan barisan musuh mulai tidak mempercayai antara satu sama lain ketika di dalam medan peperangan tersebut. Selain perpecahan di antara mereka tidak dapat dielakkan lagi. Dalam keadaan seperti itu datanglah angin bertiup kencang disertai hujan yang turun dengan hebatnya memporakkan khemah-khemah pasukan musuh tersebut. Inilah pertolongan Allah SWT terhadap kaum Muslimin ketika di peperangan Ahzab tersebut. Allahu Akhbar!.



Firman Allah SWT:

Dan Allah telah menghalau kembali (angkatan tentera) orang-orang yang kafir itu (ke tempat masing-masing) dengan keadaan mereka geram marah (kerana gagal dan hampa), mereka tidak mendapat sebarang keuntungan. Dan Allah selamatkan orang-orang yang beriman dari bencana menghadapi peperangan itu. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” (Surah Al-Ahzab – Ayat 25).



Ayat tersebut juga mengambarkan kepada kaum Muslimin agar tidak perlu berperang lagi kerana Allah SWT telah menghalau mereka (musuh) dengan menghantarkan angin dan Malaikat untuk menyelamatkan mereka. Akhirnya pasukan musuh itu berundur diri dan kembali ke negeri masing-masing dalam keadaan yang hampa dan gerun.



Setelah seluruh pasukan musuh tersebut itu kembali ke tempat asal mereka, Nabi SAW mula mengatur dan memikirkan keadaan yang mungkin terjadi pada kesempatan peperangan yang lain pula dari pihak musuh. Pada kesempatan itu juga, Allah SWT telah menyelamatkan Baginda SAW serta orang-orang Islam dari serangan pihak musuh yang kejam dan tidak berperikemanusiaan itu. Tetapi sungguhpun begitu pihak yahudi dapat sahaja mengulangi serta mencari kesempatan untuk menyerang lagi pihak Muslimin. Maka dengan itu pihak Islam perlulah mencanangkan satu strategi baru bagi menghadapi tentera-tentera musuh di masa-masa yang akan datang.



Keberhasilan kaum Muslimin di dalam mematahkan serangan yang dilancarkan oleh pasukan musuh yang jumlahnya begitu besar sangat menakjubkan suku-suku di sekitarnya yang kemudian dengan penuh sukarela mereka bergabung dengan umat Islam. Ketika saat itulah Islam tersiar dengan cepat di antara suku-suku di sekitar kota Madinah.



Saudara-saudari yang muliakan,



Setelah mengusir musuh dari dalam kota, selanjutnya kaum Muslimin memutuskan untuk menghukum Bani Quraizhah yang membantu penduduk Mekah sewaktu menyerang kota Madinah. Kaum Yahudi memohon kepada Nabi SAW agar nasib mereka diputuskan oleh Saad bin Mu’adh iaitu seorang dari kaum mereka sendiri. Nabi SAW memberi isyarat agar cadangan tersebut dilakukan.



Sa’ad meminta Bani Quraizhah agar bersumpah untuk berjanji untuk tunduk atas keputusan yang diambilnya. Adapun putusan yang diambil oleh Sa’ad adalah sebagai berikut : Semua orang laki-laki berbangsa Quraizhah yang khianat terhadap Nabi SAW dan Islam agar dihukum bunuh. Segala harta benda dan kekayaan mestilah dibahagikan sama rata. Dan kanak-kanak serta wanita-wanita tersebut hendaklah ditawan dan dilayan dengan baik. Oleh yang demikian pekara itu telah diputuskan, seramai 700 orang bani Quraizhah telah dijatuhi hukum bunuh. Maka sejak berlakunya peristiwa tersebut, berakhirlah riwayat bangsa yahudi di kota Madinah yang majoritinya kini dikuasai oleh Umat Islam.



InsyaAllah saya akan melanjutkan lagi artikel saya berkenaan dengan “Fisabilillah – Khaibar” di masa dan waktu yang akan datang mengikut ketentuan dan keizinan dari-Nya. Allahu Akhbar!!!.



No comments:

Post a Comment

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails