Showing posts with label Aqidah.. Show all posts
Showing posts with label Aqidah.. Show all posts

Tuesday, 18 January 2011

Jihad : Kewajipan Atau Kekeliruan.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.




BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.


Umat Islam kini berhadapan dengan persoalan yang sangat rumit. Segelintir daripada pengikutnya telah mengambil tafsiran rambang ke atas tuntutan jihad lalu melakukan tindakan-tindakan jenayah kemanusiaan yang jelas menyalahi hukum syarak. Meskipun umat Islam di banyak Negara ditindas dan diperangi natijah dari sudut pandang melampau Barat ke atas pertembungan Islam-Barat seperti yang terungkap dalam Tesis ‘Clash of Civilization’ (Di petik dari Samuel Huntington). Namun ia tidak mewajarkan umat Islam membuat tafsiran sendiri mengenai jihad dan perlaksanaannya.



Dengan mengatanamakan pembelaan ke atas umat Islam yang menjadi mangsa dasar luar Amerika Syarikat seperti di Afghanistan, Iraq, Sudan, Palestin dan beberapa Negara Islam yang lain, mereka bertindak melakukan serangan ke atas sasaran awam di merata-rata tempat dan membunuh mereka yang tidak berkaitan sama sekali. Tidak ada dalam kamus kehidupan umat Islam apa yang dikatakan sebagai ‘Collateral Damage’ atau kemusnahan setimpal.


Pada pendapat saya, sebenarnya jihad adalah satu kewajipan, namun mengoperasikannya berbeza mengikut tuntutan dan situasi. Bagi rakyat Palestin, jihad bersenjata adalah satu kewajipan dan melakukan aksi nekad menyerang tempat-tempat awam adalah suatu yang diharuskan kerana Negara Israel adalah Negara haram yang didirikan di atas tanah air umat Islam dan seluruh rakyatnya telah mengisytiharkan perang ke atas umat Islam. Kematian orang awam termasuk kanak-kanak dan wanita tidak dapat dielakkan dalam senario yang sedemikian. Maka dengan itu, keputusan melakukan jihad di bumi Palestin menentang rejim-rejim Yahudi laknatulah adalah suatu pelara yang wajib demi menjadikan Negara Palestin bebas dari cengkaman kuasa-kuasa ganas Zionis. Oleh yang demikian, jika kita punyai hasrat untuk pergi ke Negara berdaulat seperti di Palestin bagi menghirup udara pantainya yang segar, menikmati teh madu dan kopi zaitunnya yang enak serta bersiar-siar melihat tinggalan sejarah para Anbiya suatu ketika dahulu, maka lupakanlah hasrat tersebut, ini adalah kerana tuntutan supaya berjihad itu adalah lebih penting dari apa yang kita mahukan sebelum itu. Jika tuntutan jihad tersebut kita pandang sepi malah lebih mementingkan keseronokan, maka ketika itu kita adalah di kalangan orang-orang yang tidak menyahut seruan agar berjihad ke jalan Allah, malah kita juga merupakan orang-orang yang berdosa terhadap penduduk Palestin yang tertindas. Tidak kiralah dengan berjihad apa sekalipun, kerana tuntutan tersebut adalah lebih besar dari segala-gala perbuatan kita ketika berkunjung ke bumi Palestin.






Seharusnya negara barat yang mengecam tindakan ini seharusnya bercermin diri. Sejarah merakamkan betapa Amerika Syarikat sewaktu melancarkan serangan udara ke atas bandaraya-bandaraya di Jepun dan sebelum menggugurkan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki (Bandaraya yang ke 3 dalam perancangan pengeboman tersebut adalah Tokyo) telah mengisytiharkan tidak ada ‘sasaran awam’ di Jepun. Dalam erti kata yang lain semua tempat awam adalah sasaran ketenteraan. Begitu juga apabila pihak Berikat mengebom bandaraya-bandaraya di Jerman semasa Perang Dunia Kedua mewajarkan pembunuhan puluhan ribu orang awam kerana sasaran ketenteraan dikatakan terletak di bandaraya Cologne dan Hamburg.






Begitu juga terjadinya ketika di Vietnam, tentera udara Amerika Syarikat menggunakan bom api ‘Napalm’ dan juga pesawat pengebom B-52 untuk melenyapkan kampung-kampung dan seluruh penghuninya kerana diperkira menjadi tempat perlindungan ‘Viet Cong’ atau simpatisannya. Tidak ada undang-undang di dunia ini yang mewajarkan tindakan yang amat biadap itu. Namun, dunia sudah semacam akur dengan falsafah “Might is Right”.


Namun, apabila serangan-serangan berani mati dilakukan juga di Iraq sehingga membunuh orang awam, meskipun dalam rangka menyerang kepentingan Amerika Syarikat, atau menyerang tempat-tempat peranginan di Bali sebagai tindak balas ke atas kerajaan Australia yang menyokong tindakan Amerika Syarikat di Iraq, akal yang sihat berpandukan syarak akan menolak tindakan keganasan tersebut.


Beginikah caranya!


Maka…


Persoalannya…


Apakah yang mendorong segelintir umat Islam mempunyai kefahaman yang sedemikian?


Mereka yang terlibat dalam serangan bom di tempat-tempat awam sama ada di Indonesia, Iraq, Pakistan dan di kota raya-kota raya di Eropah puas dengan hasil perbuatan mereka. Mereka melihat membunuh orang-orang kafir adalah satu jihad dan jika dia terkorban dia akan dianggap syahid. Inilah satu contoh di mana membunuh orang-orang kafir telah DISALAHTAFSIRKAN sebagai amal yang soleh dan jihad yang tinggi. (fahami semula artikel ini sebelum membuat sebarang andaian dan keputusan).


Sementara perbuatan umat Islam pada hari ini keliru dan menyeleweng atas sebab kurangnya ilmu dalam menilai erti sebenar makna jihad di jalan Allah. Sebagai contoh yang hendak saya kongsikan di sini adalah, di Aceh ketika mereka melawan Belanda, mereka dianggap sebagai suatu yang terpuji dan jihad yang tinggi. Begitu juga di era pemerintahan Melayu Islam Melaka yang menentang serangan Portugis adalah satu perbuatan yang disanjungi dan dianggap sebagai jihad yang tinggi.


Persoalannya lagi…


Kenapa perbuatan yang sama diperkira berbeza dari sudut hukum?


Jawapannya mudah. Ia adalah kerana parameter dan konteksnya ibarat langit dan bumi. Belanda datang dengan agenda untuk menguasai tanah air umat Islam dan Portugis juga hadir dengan niat yang sama tetapi motifya adalah untuk menghancurkan Negara-negara Islam pada ketika itu dengan cara paksaan dan penindasan. Maka, dalam keadaan sedemikian jihad menjadi tuntutan yang wajib bukan sahaja ke atas lelaki malah setiap rakyat termasuk wanita berdasarkan keupayaan masing-masing untuk mempertahankan kedaulatan Negara.






Maka dengan itu, tidak hairanlah mengapa umat Islam dewasa kini berlumba-lumba untuk berjihad dengan harta mereka bagi mengurangkan beban saudara-saudara Islam yang lain yang sering ditindas oleh kuasa-kuasa penjajah. Jihad itu bukanlah dengan menggangkat senjata dan meledakkan bom di kubu-kubu musuh, tetapi jihad itu juga boleh dilakukan oleh kita dengan memberi sedikit kemewahan dan kesenangan yang kita kecapi bagi meringkankan beban mereka-mereka yang di luar sana. Tidak usahlah memikirkan berapa banyak yang kita berikan, sebaliknya fikirkan berapa banyaknya pula keikhlasan kita terhadap saudara-saudara Islam kita. Kalau ini pun kita masih dibelenggu oleh sikap kita sendiri, maka jangan fikir pula kita hendak menawan kembali Baitul Maqdis 100 tahun lagi.



Waallahua’lam.



Tuesday, 30 March 2010

Jangan Gentar!

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.



Kau dilahirkan untuk berjuang,

Kita dilahirkan untuk melihat,

Kamu dihidupkan untuk serakah,

Apa beza semua itu?,

Perjuangan!,

Pengorbanan!,

Atau sebuah ilusi,

Anda faham?,

Jangan Gentar!.


Sampai bilakah darah ini mengalir,

Sampai bilakah kita diperbodohkan,

Kau pasti ketahui,

Bilamana bumi itu menyuarakan,

Jihad!, Jihad!, Jihad!.

Si Mujahid berteriak,

Diam, Diam, Diam,

Sang kaldai bersuara,

Pekakkah kita semua,

Bisukah kita ini,

Kenapa diam!,

Lawan dengan keberanianmu,

Hancurkan laknatullah,

Biar mereka gerun,

Walaupun senjatamu sebiji kerikil,

Ingat!,

Jangan Gentar!.


Kau dimuliakan dengan Fisabilillah,

Kami di sini iringi doa,

Perjuanganmu tetap kami sanjungi,

Biarpun jauh dari pandangan,

Kau di muliakan,

Bangkitlah para Mujahid,

Serulah wahai Mujahidah,

Jangan Gentar!.


Bilamana seruan ibu bergema,

Di manakah bapamu?

Syahid!,

Di manakah abang dan kakakmu?,

Syahid!

Kenapa kamu di sini?,

Pergi!,

Berjuanglah demi Tuhanmu,

Ingat! Anak-anakku,

Takutlah pada Allah,

Ini bumi Allah,

Kita semua milik Allah,

Pergi!,

Pergi!,

Jangan Gentar!.


Bezanya di sini sedemikian rupa,

Si muda giat memperaga,

Si ibu pula kerap ketawa,

Si ayah kian mabuk dan lupa,

Tok ketua pula sibuk dengan harta-hartanya,

Beginilah nasib Negara kami,

Bagaikan hidup tidak bernyawa,

Namun!...

Ku syukuri,

Ada yang bangkit menentang,

Berteraskan panji-panji Islam,

Dipagari dengan senjata-senjata Iman,

Demi kehancuran rejim Zionis,

Apalagi yang ditunggu?,

Sebuah sketsa mimpi?

Atau khayalan duniawi?,

Ayuh! Palestin,

Ayuh! saudaraku,

Ayuh! Negaraku,

Jangan tertipu,

Tomahan dan dusta melata,

Itu semua propaganda mereka,

Jangan undur,

Setiap langkahmu,

Takutlah Allah,

Perjuangkan hak-hakmu,

Bangkitlah!,

Jangan Gentar!.



Tuesday, 23 March 2010

"Kaya Harta Kaya Jiwa".

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.


BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Selamat Sejahtera.




Seringkali manusia menilai kekayaan itu dengan banyaknya harta yang bertimbun, rumah yang indah, kereta mewah yang menjalar, pakaian yang cantik, wang simpanan yang berkepuk-kepuk dalam bank dan saham-saham niaga yang berunit-unit banyaknya. Kemewahan dan kekayaan tersebut menjadi idaman dan impian bagi setiap manusia yang ingin memilikinya. Sangkaan mereka dengan kemewahan tersebut, hidup akan bahagia dan lebih menyeronokkan.


Namun benarkah dengan segala kemewahan itu dapat menenangkan jiwa?




Saya rujuk dalam Hadith Shahih Al-Bukhary dan Muslim r.a, bahawa telah diriwayatkan dalam sebuah Hadith daripada Abu Hurairah r.a telah berkata ia bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :


“Yang dikatakan kaya itu bukanlah kerana banyaknya harta, tetapi sebenar-benar kaya adalah Kaya Jiwa.”



Sebagai contoh yang hendak saya bawakan dan kongsikan bersama di sini adalah, sebagaimana yang telah kita semua ketahui bahawa Abdul Rahman bin Auf r.a adalah contoh insan dan sahabat Nabi SAW yang unggul yang memiliki kekayaan harta dan jiwa. Dari Anas bin Malik pernah meriwayatkan bahawa :


“Ketika Siti Aisyah r.a berada di rumah, dia terdengar bunyi riuh rendah, lalu bertanya akan hal itu pada para sahabat. Dan diketahuilah bahawa bunyi itu adalah derap unta kafilah dagang Abdul Rahman bin Auf r.a. Lalu Aisyah r.a berkata : “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Aku melihat Abdul Rahman bin Auf memasuki syurga dengan keadaan merangkak!” Berita itu akhirnya sampai ke pendengaran Abdul Rahman bin Auf lalu dia datang bertemu Aisyah r.a bertanyakan hal tersebut. Aisyah r.a menerangkan padanya tentang kekayaan membuatkannya merangkak masuk ke syurga. Maka di situ juga Abdul Rahman bin Auf r.a berkata : “Saksikanlah! Bahawa 700 ekor unta ini dengan muatannya itu aku sedekah pada jalan Allah SWT.”



Bukan mudah untuk jiwa ini tunduk mengorbankan harta yang amat dikasihi semata-mata memenuhi kehendak iman. Abdul Rahman bin Auf r.a diberikan keistimewaan oleh Allah SWT menguasai harta dunia di tangan tetapi beliau tidak meletakkan harta itu di dalam jiwanya. Beliau meyakini kesejahteraan akhirat lebih utama berbanding dunia yang sementara.



Inilah contoh insan tauladan yang wajib kita contohi. Kekayaan yang dimiliki tidak melalaikan dirinya kepada akhirat malah diletakkan sebagai matlamat utama berbanding dunia. Si miskin yang kaya jiwanya pula tidak memandang bahawa kemiskinan itu menjadi penghalang untuknya mendapat keredhaan Allah SWT. Orang kaya yang bersedekah dan berzakat adalah yang sewajarnya kerana mereka berharta, tetapi orang miskin yang bersedekah adalah lebih mulia kerana dalam keadaan hidupnya yang susah mereka masih merasakan ada lagi insan yang lebih susah hidup berbanding dirinya.



Si miskin akan jadi pemurah apabila jiwanya kaya. Satu ringgit yang didermakan oleh orang miskin tidak akan sama nilainya dengan satu ringgit yang didermakan oleh orang kaya. Satu ringgit tetap bernilai satu ringgit bagi orang kaya atau mungkin lebih rendah lagi jika dibandingkan kekayaan yang dimiliki. Sebaliknya satu ringgit mungkin bernilai 10 ringgit bagi orang miskin kerana sukarnya orang miskin untuk mendapatkan wang tersebut.



Justeru itu, keikhlasan seorang miskin yang dermawan mungkin lebih tinggi martabatnya berbanding seorang kaya seorang kaya yang dermawan kerana orang miskin yang dermawan pasti lebih tinggi martabatnya kerana dalam keadaan dirinya menghadapi kesulitan hidup namun dia masih mampu untuk menderma dan membantu orang lain.





Saya tertarik dengan satu riwayat yang mengisahkan tentang Syaidina Ali bin Abi Thalib dan Siti Fatimah r.a, di mana walaupun mereka sendiri hidup dalam kemiskinan, mereka tetap memiliki kekayaan duniawi dan akhiratwi. Sayidina Ali r.a pernah melucutkan cincin perak dari jarinya dan memberikannya kepada seorang peminta sedekah yang datang kepadanya, walaupun beliau ketika itu sedang sibuk mendirikan solat kerana takut peminta sedekah itu berlalu tanpa mendapat apa-apa, sebelum beliau selesai solat. Dalam peristiwa yang lain pula, setiap hari, selama tiga hari berturut-turut, sayidina Ali dan Siti Fatimah r.a menyedekahkan kepada orang-orang miskin yang datang meminta di rumahnya, makanan yang sepatutnya mereka makan untuk berbuka puasa nazar telah diberikan dan disedekahkan kepada fakir miskin tersebut. Hari pertama mereka menyedekahkan makanan yang disediakan untuk berbuka itu kepada fakir miskin yang sudah tidak makan selama beberapa hari lamanya. Hari keduanya pula disedakahkannya kepada seorang anak yatim yang sudah berpusing-pusing meminta makanan tetapi tidak mendapatkannya dan hari yang ketiga berikutnya pula, disedekahkan makanannya itu kepada seorang tawanan. Oleh kerana makanan untuk mereka berbuka itu disedekahkannya, Sayidina Ali dan Siti Fatimah sendiri tinggal kelaparan tiga hari berturut-turut. Allah SWT memuji sikap Sayidina Ali dan Siti Fatimah ini melalui firman-Nya yang bermaksud :


“(Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini. Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih, “Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut”. Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka), dan perasaan ria gembira (di hati). Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya), mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan (persalinan dari) sutera.” (Surah Al-Insan – Ayat 7-12).



Saudara dan saudariku sekelian,



Marilah kita meringgankan tangan untuk bersedekah dan berzakat kerana amalan itu akan menjadikan kita insan yang berjiwa kaya. Alangkah beruntungnya kita semua memiliki kekayaan harta dan kekayaan jiwa. Alangkah mulianya kita semua sekira tidak memiliki kekayaan harta tetapi memiliki kekayaan jiwa. Jiwa yang kaya akan melahirkan insan agung seperti Abdul Rahman bin Auf r.a yang kaya harta dan jiwa atau seperti para Sahabat r.a yang lain, mereka miskin harta tetapi memiliki jiwa yang kaya. Nanti di akhirat kita semua akan membawa jiwa yang kaya ini mengadap Allah SWT dengan penuh kesejahteraan dan kedamaian sebagaimana Firman-Nya di dalam Surah As-Syuaraa’ – Ayat 88 & 89 :


“Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, “Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik).”



Saudara dan saudariku yang dirahmati dan dikasihi Allah SWT,



Ingatlah!, segala harta dan kekayaan itu adalah milik Allah SWT, saat dan ketika yang telah ditentukan oleh-Nya, harta tersebut akan bertukar milik. Ia berhak mengambilnya mengikut ketentuan dan kebijaksaan-Nya. Kereta, rumah, anak pinak, isteri, suami, saham, pangkat, kedudukan, duit melimpah ruah dan segala harta itu adalah suatu pinjaman yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita, ia akan lenyap suatu masa nanti, tiada yang kekal kecuali Allah SWT yang Maha Perkasa dan Maha Agung. Kita hanya meminjamnya dari Allah SWT, dan adab meminjam mestilah dikembalikan kepada tuan-Nya. Kalau dahulu kita terlalu berkira-kira untuk menyumbangkan sesuatu kepada Islam, maka ketika dan saat ini tanamlah “Era Baru” untuk meringgankan tangan-tangan kita bagi membantu mereka-mereka yang memerlukan di luar sana. Ingatlah!, janji Allah SWT itu pasti, bagi mereka yang menolong agama-Nya. Allahuakbar!.



Saturday, 20 February 2010

Murtad.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.



Pengertian Murtad menurut kamus Al-Munjid dan Al-Marbawi mentafsirkan murtad atau Riddah adalah berundur, berpatah balik, kembali ke jalan asal atau keluar dari Agama Islam. Istilah murtad membawa maksud keluarnya daripada Islam (kembalinya orang Islam yang berakal dan dewasa kepada kekafiran dengan kehendaknya sendiri tanpa paksaan) melalui salah satu daripada tiga unsur iaitu ‘Niat’, ‘Perkataan’ dan ‘Perbuatan’. Saya akan membahagikan Riddah itu kepada dua bahagian iaitu ‘Riddah dengan Hati’ dan ‘Riddah dengan Perbuatan’ untuk kita semua sama-sama mengetahui akannya. Maka tidak mustahillah dalam kehidupan kita, kekadang kita terlepas pandang dan adakalanya kita tidak peka terhadap apa yang telah digarispandukan berkenaan dengan ciri-ciri kemurtadan ini. Sedangkan pekara ini telah kita semua ketahui umum akan akibatnya, serta kesannya terhadap diri kita dan Islam. Peruntukkan masa dan waktu itu sebenarnya ada, tetapi dengan timbulnya kesibukan kita akan hakikat duniawi itulah yang membuatkan kita menafikannya. Perlu diingati juga, saban hari kerektor manusia semakin hari semakin jauh, dan semakin hari juga semakin meluputkan apa yang dimaksudkan ‘Kekebalan Aqidah’.


Riddah Dengan Hati.


1) Tidak mengakui bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah s.w.t, atau mengakui ada sekutu bagi Allah pada Zat-Nya seperti beriktikad bahawa ada kuasa yang sebanding dengan kekuasaan Allah s.w.t, atau syak tentang kewujudan Allah s.w.t atau beriktikad bahawa Allah tiada bersifat dengan satu sifat yang wajib bagi Allah bersifat dengannya melalui ijmak umat Islam seperti ilmu Allah dan kudrat Allah, atau mensabitkan sesuatu sifat kepada Allah padahal Allah suci daripada sifat itu seperti berjisim, berwarna dan bertempat.


2) Tidak mengakui atau syak kewujudan Malaikat-malaikat dan segala urusan yang diserahkan Allah kepada mereka.

3) Tidak mengakui atau syak tentang kebenaran Kitab-kitab yang telah diturunkan Allah s.w.t kepada Rasul-Rasul-Nya termasuk kitab Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w atau tidak mengakui atau syak bahawa Al-Quran itu Kalamullah, terpelihara daripada tambahan dan kekurangan sama ada satu ayat atau satu huruf yang telah (disepakati) ijmak umat Islam padanya.

4) Tidak mengakui atau syak tentang kerasulan utusan-utusan Allah s.w.t yang disebut nama-nama mereka di dalam Al-Quran atau kerasulan Nabi Muhammad s.a.w atau beriktikad harus ada Nabi lagi selepas Nabi Muhammad s.a.w.

5) Tidak mengakui atau syak berlakunya Hari Kiamat (pekara ini telah saya bincangkan dalam artikel saya yang lalu) dan yang bersangkutan dengannya daripada soal hisab, syurga, neraka, timbalan amal perbuatan, pahala, dosa, seksa dan apa-apa yang diberitakan oleh Al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah daripada kejadian-kejadian yang akan berlaku pada Hari Kiamat dan pekara-pekara Ghaib yang wajib kita fahami dan mempercayainya.

6) Tidak mengakui atau syak tentang Qada’ dan Qadar Allah s.w.t, baik dan buruk semuanya datang daripada Allah s.w.t, bahawa Allah Pencipta segala sesuatu dan bebas menghendaki apa yang dikehendaki-Nya, memberi hidayat dan menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, bahawa Allah s.w.t tidak menzalimi hamba-Nya dan segala sesuatu yang berlaku itu adalah dengan Qada’ dan Qadar Allah s.w.t jua.

7) Tidak mengakui atau syak tentang hukum-hukum Allah s.w.t yang disebut di dalam Al-Quran dan Hadith Rasulullah s.a.w.

8) Tidak mengakui atau syak terhadap pekara-pekara yang telah ijmak umat Islam padanya daripada pekara agama yang telah sabit dengan tiada boleh ditolak atau disangkal seperti Israk Nabi s.a.w daripada Masjidilharam ke Masjidilaqsa, mukjizat para Nabi atau mengingkari sunnah-sunnah Nabi yang shahih atau menafikan pekara wajib yang telah disabit dengan ijmak seperti kewajipan sembahyang fardhu lima waktu, sujud di dalam sembahyang, berwudhuk sebelum sembahyang, zakat, puasa dan haji, atau mewajibkan pekara yang tidak wajib dengan ijmak seperti menambah satu rakaat atau sujud di dalam sembahyang fardhu atau menafikan sesuatu pekara yang disyariatkan Allah s.w.t dengan ijmak umat Islam padanya seperti menafikan hukum sunat sembahyang-sembahyang sunat rawatib yang mengiringi sembahyang fardhu lima waktu.

9) Mendustai ayat-ayat keterangan Allah s.w.t dengan menghalalkan pekara yang telah diharamkan dengan dalil Qat’i (Al-Quran, Hadith dan Ijmak) seperti haram berzina, liwat, mencuri, meminum arak, membunuh, riba dan sebagainya yang dikategorikan sebagai dosa-dosa besar, atau mengharamkan pekara yang telah dihalalkan dengan dalil Qat’i (Al-Quran, Hadith dan Ijmak) seperti halal jual beli, nikah, sewa menyewa dan sebagainya.

Firman Allah s.w.t :

“Dan janganlah kamu berkata dusta menurut yang diterangkan oleh lidahmu sendiri; ini halal dan ini haram, supaya kamu mengadakan dusta terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengadakan dusta terhadap Allah, tidak akan beroleh kemenangan” (Surah An-Nahl – Ayat 116).


“Dan orang-orang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni neraka, sedang mereka kekal di dalamnya.” (Surah Al-Baqarah – Ayat 39).


10) Berazam hendak kufur pada masa akan datang dan seterusnya. Adapun merasa was-was tidaklah menjadi kufur kerana ia hanya lintasan hati.


11) Membenci atau tidak menyukai ajaran-ajaran Tauhid atau hukum-hukum Syarak yang diturunkan oleh Allah s.w.t. Berlakunya yang demikian kerana sesungguhnya mereka tidak menyukai apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t (mengenai ajaran tauhid dan hukum-hukum syarak yang diterangkan di dalam Al-quran), lalu Allah s.w.t mengugurkan amal-amal mereka. Pada umumnya seseorang itu boleh menjadi murtad apabila saja dia beriktikad dengan iktikad yang bercanggah dengan rukun Iman dan Aqidah Islam yang telah ijmak umat islam padanya dan pekara yang sememangnya diketahui di dalam agama Islam.

Firman Allah s.w.t :

“Dan orang-orang kafir, maka kecelakaanlah untuk mereka dan Dia menghapuskan amalan mereka. Demikian itu kerana mereka benci kepada apa yang diturunkan Allah, lalu Dia menghapuskan (pahala) amalan mereka.” (Surah Muhammad – Ayat 8-9).


Riddah Dengan Perbuatan.


1) Perbuatan sengaja yang menunjukkan kepada kekufuran seperti sujud kepada berhala, matahari, bulan, makhluk yang bernyawa dan tidak bernyawa samaada haiwan dan tumbuhan atau pekara-pekara yang mensyirikkan Allah s.w.t seperti sujud kepada salib (cross), api, angin, gunung, bukit-bukau dan sebagainya. Adapun memakai salib (cross) juga adalah perbuatan kufur kerana para Ulama’ Muktaqin menyifatkan dan bersepakat bahawa :


“Perbuatan kufur itu tiap-tiap perbuatan yang telah ijmak orang Islam bahawa perbuatan itu tidak dilakukan melainkan oleh orang-orang kafir pada hakikatnya. Oleh yang demikian kerana itu sekalipun orang Islam yang melakukan perbuatan orang kafir itu menyatakan bahawa ia orang Islam dengan terang-terang atau tiada berterang-terangan, dengan disaksikan oleh zahir keadaannya, jika perbuatan itu keluar daripadanya dengan sengaja memperolok-olokkan agama Islam dengan olok-olok yang terang dan nyata, maka sebenarnya dia adalah ‘Kufur’.”


2) Perbuatan sengaja yang menunjukkan kepada penghinaan, memperolok, mengejek atau mempersendakan kitab Al-Quran atau kitab-kitab hadith seperti memijak atau melemparkan ke tempat yang kotor serta membakarnya.


Firman Allah s.w.t :

“Barang siapa yang murtad (kembali) di antaramu dari agamanya, lalu dia mati, sedang ia kafir, maka terhapus amalan mereka itu di dunia dan di akhirat, dan mereka itu penghuni neraka, sedang mereka kekal di dalamnya” (Surah Al-Baqarah – Ayat 217).


Murtad atau Riddah itu merupakan dosa besar yang dapat menghapuskan amal-amal soleh sebelumnya (semua amalan terbatal). Maka ia tidak mempunyai hak apa-apa terhadap kaum Muslimin dan haram untuknya nikmat akhirat bahkan mereka kekal di dalam neraka di akhirat nanti. Begitulah gambaran yang telah Allah s.w.t berikan kepada kita (manusia) bahawa gejala murtad ini adalah satu pekara Aqidah yang perlu kita semua ketahui akan hakikatnya. Dunia yang semakin hari semakin dimamah usianya, sering terlihat akan gejala murtad itu kian berleluasa tidak kiralah di luar atau di dalam Negara kita amnya. Budaya-budaya mengagungkan idola-idola barat serta sekularisme yang tidak mempunyai unsur-unsur keislaman itulah sedikit sebanyak merobek-robek jiwa dan hati-hati masyarakat kita untuk menjerumuskan diri kepada kemurtadan. Maka tidak hairanlah mengapa ada golongan Para Mufti dan Solehfusoleh kita bersepakat bahawa hampir sebilangan masyarakat Islam di Negara kita tergolong kepada gelaja Murtad. Malahan apa yang membimbangkan kita lagi golongan tersebut majoritinya datang dari golongan muda-mudi dan belia yang datangnya dari keluarga yang beragama Islam. Pekara ini yang amat-amat kita bimbangi dan takuti. Lihat sahaja edisi-edisi perancanaan media massa dan penerbitan elektronik serta multimedia kita, rata-ratanya mengajak dan mengajar kita akan ketaksuban terhadap golongan kemurtadan malahan dibimbangi pula akan budaya keseronokan melampau itu sedikit sebanyak membawa kepada unsur-unsur murtad. Bimbingilah dan teladanilah diri, keluarga dan generasi kita untuk mengetahui akan hakikat ini. Berilah ruang dan ketika untuk memberi peringatan kepada mereka-mereka ini akan hakikat mensyirik dan murtad kepada Allah s.w.t. Allahu Akhbar!.



You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails