Saturday, 20 March 2010

Fisabilillah - Mut'ah.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.
Masjid Hj Ismail, Kuala Selangor.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Selamat Sejahtera.



Alhamdulillah, kini kita dipertemukan lagi dengan rahmat dan hidayahnya. Terima kasih kepada saudara dan saudari sekelian yang sudi hadirkan diri untuk membaca posting saya sejak dari awal artikel saya berkenaan dengan “Fisabilillah”. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan keredhaannya kepada kita semua dalam kita mencari ilmu-ilmu Allah SWT. InsyaAllah.



Artikel ini saya mulakan dengan setelah pulangnya Nabi SAW dari menunaikan ibadah haji, Baginda SAW kembali mengirimkan para utusannya untuk menyampaikan surat kepada ketua-ketua Bani keturunan Arab. Baginda SAW mengirimkan utusan seramai 50 orang kepada Bani Sulaim untuk menyebarkan agama Islam ke pelusuk Jazirah Arab. Tetapi apa yang malangnya apabila sebahagian besar utusan Nabi SAW itu telah dibunuh oleh musuh-musuh Islam. Demikian juga 15 orang utusan Nabi SAW telah dihantar oleh Nabi SAW ke Dhat Atla iaitu di perbatasan Syam dengan tugas utama mereka adalah untuk berdakwah dan mengajak agar manusia menganut agama Islam secara keseluruhannya telah ditangkap dan dibunuh oleh mereka-mereka yang bencikan Nabi SAW dan Islam. Mereka telah diperlakukan dengan kejam oleh musuh-musuh Islam, didera, diseksa, dan dibunuh oleh musuh-musuh Islam yang sangat membencikan Nabi SAW. Apabila terlepasnya seorang utusan Nabi SAW dari dihukum bunuh, maka ketika itu ia pergi berjumpa dengan Nabi SAW, lalu diceritakannya akan peristiwa penangkapan dan pembunuhan itu kepada Nabi SAW dan Para Sahabat r.a, maka Nabi SAW berasa begitu kecewa dengan apa yang menimpa di atas sekelian utusannya.




Peristiwa pembunuhan utusan Nabi SAW itu telah dilakukan oleh Syarahbil bin Amr, iaitu seorang ketua Negara dari Bashrah yang beragama Kristian. Syurahbil bin Amr juga telah membunuh Harith bin Amr iaitu seorang utusan Nabi SAW yang telah membawa surat ke tempat tersebut. Apabila Nabi SAW mendengar akan peristiwa pembunuhan tersebut, Baginda SAW sangat kecewa dan sedih di atas apa yang berlaku kepada para utusannya. Lantas Baginda SAW telah merancang untuk menubuhkan satu pasukan untuk membalas kembali perbuatan-perbuatan terkutuk mereka itu.



Pada bulan Jamadil Awwal, iaitu awal tahun ke 8 Hijrah bersamaan dengan 629 Masehi, Nabi Saw telah mengatur dan mempersiapkan bala tenteranya untuk pergi berperang iaitu seramai 3000 orang. Nabi SAW telah memilih Zaid bin Harithah iaitu bekas hambanya sebagai pemimpin untuk menerajui peperangan tersebut. Kalau kita semua mengkaji dan memerhatikan perlantikanan tersebut, Nabi SAW itu memilih seseorang sebagai pemimpin bukan dasar akan kedudukannya sebelum itu. Walaupun pada umumnya sebagaimana yang telah kita ketahui, bahawa Zaid bin Harithah ini adalah merupakan seorang hamba, tetapi pada saat yang diperlukan, Nabi SAW telah mengangkatnya sebagai seorang pemimpin untuk mengetuai umat Islam pergi berperang dan berjihad menentang pihak musuh. Ini adalah gambaran kepada kita, bahawa darjat, keturunan dan sebagainya itu bukanlah kayu pengukur bagi seseorang, tetapi Iman dan Takwanya itu terhadap Allah SWT adalah lebih mulia di sisi Islam. Maka dengan itu, ini membuktikan bahawa Nabi SAW tidak membeza-bezakan darjat serta keturunan di antara umatnya.



Setelah Nabi SAW selesai mengadakan pembentukan pasukan tersebut, lantas Nabi bersabda :


“Apabila Zaid gugur, maka Jaafar bin Abu Thalib yang memegang pimpinan dan apabila Jaafar gugur, maka Abdullah bin Rawahah yang akan memimpin pimpinan. Sekiranya beliau juga terbunuh, maka dengan itu bolehlah kamu sekelian memilih seorang ketua dari kalangan kamu hendaknya.”


Maka ketika itu seorang yahudi kebetulan telah terdengar sabda Nabi SAW tersebut dan berkata :


“Ketiga-tiga mereka ini pasti akan mati, inilah caranya yang lumrah bagaimana para-para Nabi yang terdahulunya selalu meramalkan.”



Maka, pasukan Muslimin yang dipimpin oleh Zaid bin Harithah r.a telah berangkat ke medan pertempuran untuk menentang musuh-musuh Islam. Baginda SAW memberi kepada Zaid sehelai bendera putih yang telah dibuat oleh Baginda SAW sendiri. Lebih manisnya ketika itu, Khalid bin Walid r.a baru sahaja memeluk Islam atas kesedaran dirinya sendiri. Beliau merupakan panglima perang yang amat-amat digeruni dan dikagumi oleh semua pihak. Dengan kemasukan beliau ke dalam agama Islam, sedikit sebanyak memberi tamparan hebat kepada pihak musuh pada ketika itu, malahan ia juga memberi inspirasi untuk terus berjuang bagi pihak Islam. Keperwiraan beliau telah diketahui umum oleh masyarakat Arab pada ketika itu. Keberanian beliau juga merupakan tonggak utama bagi tentera Muslimin untuk bangkit bersama-sama menentang pihak musuh-musuh Islam. Dengan keikhlasan dan kesanggupannya dalam peperangan itulah yang menunjukkan iktikad baiknya sebagai seorang yang beriman terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya. Pada ketika itu juga, Nabi SAW telah berdoa kepada Allah SWT akan keselamatan seluruh tentera-tenteranya malahan turut menghantar tentera Islam untuk menentang pihak musuh sehingga sampai ke Saniyatul Wida. Ini juga sedikit sebanyak memberi semangat kepada tentera-tentera Islam untuk maju ke hadapan menentang pihak musuh-musuh Islam.



Setelah beberapa hari mereka melakukan perjalanan ke medan peperangan, akhirnya sampailah mereka ke suatu tempat yang bernama Ma’ab. Dua malam mereka berada di tempat tersebut memerhatikan pihak musuh yang jauh lebih banyak jumlahnya dari pihak tentera Islam. Pihak tentera Islam yang dipimpin oleh Zaid bin Harithah tetap dengan pendirian mereka untuk terus berjuang menentang pihak kuffar. Sementara itu juga pihak musuh yang dipimpin oleh Syurahbil bin Amr telah menghimpunkan kelompok-kelompok kabilah yang ada di sekitarnya ditambah dengan pasukan tentera yang terdiri dari orang-orang yahudi dan orang-orang kafir Arab, di mana mereka keseluruhan berjumlah 100,000 orang.



Ketika itu juga, pihak Muslimin telah bergerak menuju ke hadapan menghala ke medan peperangan yang bernama Balqa’ iaitu sebuah desa yang bernama Musyarif. Pihak Muslimin juga telah bertemu dan berhadapan dengan pasukan musuh, akan tetapi pasukan ini segera beralih arah ke suatu tempat yang dinamakan “Mut’ah”. Maka di Mut’ah inilah terjadinya pertempuran yang sengit di antara pihak Islam dan pihak musuh. Pada ketika itu pihak musuh telah diangotai seramai 100,000 orang bala tenteranya manakala pihak Islam telah diangotai juga seramai 3,000 orang tentera Muslim. Peperangan mulai tercetus dengan hebatnya, para tentera Islam berjuang habis-hasisan menentang pihak musuh yang lebih besar bilangan tenteranya tanpa rasa gerun dan takut sekali. Semangat mereka berkobar-kobar apabila menentang pihak musuh, mereka saling bantu membantu ketika mana mereka diserang disegenap sudut oleh pihak musuh. Laungan “Allahu Akhbar” jelas berkumandang di setiap sudut. Manakala pihak musuh kelihatan takut dan curiga terhadap kemaraan pihak Islam ke atas mereka. Ada yang lari bertempiaran dan bersembunyi untuk mengelak dari dibunuh oleh tentera Islam. Ada yang lari meninggalkan medan pertempuran tersebut, akibat takutnya mereka terhadap keperwiraan tentera Islam yang kian mara ke hadapan.




Syahidnya Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abu Thalib dan Abdullah bin Rawahah r.a.


Bendera Nabi SAW telah dibawa oleh Zaid bin Harithah dan dia terus maju ke tengah-tengah pihak musuh dengan beraninya tanpa menghiraukan anak-anak panah yang telah menusuk ke badannya. Ia yakin bahawa kematiannya itu tidak akan dapat dielakkannya lagi. Tetapi mati di medan itu, bererti syahid di jalan Allah SWT. Selain kemenangan, hanya satu pilihan, iaitu mati syahid di jalan Allah SWT. Dan di sinilah Zaid bertempur bermati-matian sehingga akhirnya ia hancur luluh oleh tombak musuh. Ketika beliau tercedera, beliau sempat menebas beberapa kepala musuh walaupun puluhan anak panah telah menusuk ke dalam badan beliau. Keberanian beliau itu juga membakar semangat kepada para pejuang lain untuk terus berjuang menentang pihak kuffar.



Saat itu juga bendera Islam disambut oleh Jaafar bin Abu Thalib r.a dari tangannya. Ketika Jaafar menerajui peperangan tersebut setelah kesyahidan Zaid, beliau ketika itu hanya berumur 33 tahun, sebagai pemuda yang berwajah tampan dan berani. Jaafar terus bertempur dengan membawa bendera tersebut sambil menebas kepala dan badan-badan musuh yang berhampiran dengannya tanpa rasa takut. Peristiwa tersebut membuatkan pihak musuh berasa amat gerun lantas ada yang melarikan diri untuk mengelak dari dibunuh oleh beliau dan tentera Islam. Bilamana kudanya dikepung oleh pihak musuh, dilompat kudanya itu dari pihak musuh dan menetak sekelian yang berada disekelilingnya itu, dan dia sendiri terjun ketengah-tengah pihak musuh, menyerbu dengan menghayunkan pedang ke leher sesiapa sahaja yang berhampiran dengannya tanpa ada perasaan takut. Bendera Islam pada ketika itu dipegang olehnya, dan bilamana tangan kanannya ditetak oleh pihak musuh dan terputus dari anggota badannya, maka tangan kirinya pula memegang bendera tersebut walaupun ketika itu tangan kanannya kelihatan darah memancut-mancut keluar dari tangannya. Beliau sendiri tidak menyedari akan peristiawa tersebut. Manakala apabila tangan kirinya juga turut terputus, maka dipeluknya bendera itu dengan kedua pangkal lengannya sampai ketika syahidnya beliau. Ya Allah! Hebat pengorbanan beliau demi Islam yang suci. Jika saya dan kamu membaca artikel ini, kamu akan teruja, tetapi jika kita ada ketika itu menyaksikan apa yang berlaku, maka semangat kita berbeza dari apa yang kita ketahui hari ini. SubhanaAllah!.



Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a menceritakan bahawa :


“Apabila kami mengangkat keluar beliau dari medan pertempuran itu, kami telah mengira dan mendapati sebanyak sembilan puluh liang luka di badan beliau, malahan kesemuanya dari bahagian depan badannya”



Setelah Jaafar syahid di medan pertempuran, pimpinan tersebut beralih kepada Abdullah bin Rawahah r.a. Beliau merupakan pahlawan yang berjiwa kental ketika menghadapi pihak musuh. Jaafar terus maju dengan kudanya membawa bendera tersebut, sementara itu terfikir olehnya bahawa syahid di jalan Allah SWT itu lebih utama dari terkorban dalam kekafiran. Beliau menentang musuh dengan beraninya, menetak kepala dan badan-badan musuh yang cuba menghampirinya. Ketika itu juga, beliau sempat menyelamatkan sebilangan tentera Islam yang dikepung oleh pihak musuh. Beliau terus membunuh pihak musuh tanpa ada perasaan takut dalam dirinya. Ketika itu juga ramai dari pihak musuh telah melarikan diri dari medan petempuran tersebut, walaupun sebagaimana yang telah kta ketahui bahawa tentera musuh itu lebih besar bilangannya dari pihak Muslimin. Abdullah terus bertempur sehingga beliau sendiri telah syahid di jalan Allah SWT. Allahu Akhbar!. Inilah perjuangan sahabat Nabi SAW dan para syuhada ketika itu yang jarang kita ketahui akannya. Perjuangan untuk menegakkan Islam, walaupun nyawanya menjadi taruhan. Begitu besar pengorbanan mereka-mereka ini di jalan Allah SWT. Semoga Allah SWT merahmati mereka dan ditempatkan mereka dikalangan orang-orang yang berjaya di dunia dan akhirat. Amin.


Khalid bin Walid r.a sebagai peneraju.


Setelah syahidnya pemimpin yang telah diamanahkan Nabi SAW dalam peperangan Mut’ah tersebut, kini giliran Khalid bin Walid sebagai pemimpin dan peneraju peperangan tersebut. Beliau telah menentang pihak musuh dengan gagah beraninya, mengunakan segala pengalamannya untuk menentang pihak musuh. Beliau telah mengambil alih bendera Islam tersebut dari Abdullah bin Rawahah r.a yang telah syahid di medan pertempuran. Beliau telah melihat dan didapati bahawa pihak Islam telah banyak yang terkorban dan kelihatan mereka terlalu kelaparan dan kehausan akibat 3 hari sebelum pertempuran mereka telah kehabisan bekalan makanan dan perjalan yang agak jauh untuk sampai ke medan pertempuran tersebut. Ketika itu juga pihak kafir telah meminta bantuan kepada pihak Qaisar untuk menghantar 200,000 orang tentera lagi bagi membantu Syurahbil bin Amr menentang pihak Islam yang pada umumnya mereka telah mengalami kekalahan akibat banyak tenteranya yang telah terbunuh. Maka ketika itu Khalid bin Walid telah mengatur agar pihak Islam segera berundur dan memerintahkan agar pasukan Muslimin untuk menarik diri kembali ke Madinah setelah pihak musuh telah dapat dikucar-kacirkan. Pihak musuh ketika itu begitu teruja dengan apa yang telah mereka lihat, mereka menyangkakan bahawa mereka dapat menewaskan pihak Islam dengan begitu mudah sekali, walaupun bilangan tentera mereka jumlahnya lebih ramai dan dilengkapi dengan peralatan perang yang serba mewah dan tersusun, tetapi ia sebaliknya mereka terpaksa menghadapi peperangan tersebut dengan jalan yang sukar dan pahit. Pihak musuh telah mengalami kekalahan yang memalukan apabila pihak Islam yang sedikit bilangannya itu telah dapat mencerobohi kubu-kubu kuat mereka dan dapat membunuh sebilangan pahlawan-pahlawan mereka. Pihak musuh juga begitu takut dan gerun terhadap pihak Islam sehinggakan ia sanggup meminta bantuan ketenteraan dari pihak Qaisar.



Oleh yang demikian, terhindarlah tentera Islam dari bencana yang lebih dahsyat lagi ketika di medan Mut’ah, apabila Khalid bin Walid r.a telah mengarahkan agar pihaknya berundur menuju ke kota Madinah. Peperangan ini merupakan, medan perjuangan yang pertama dalam rangkaian perluasan Islam keluar dari Jazirah Arab.



Saya amat tertarik dengan 3 lingkaran syair yang telah dialunkan oleh Abdullah bin Rawahah r.a iaitu sebelum peprangan tersebut berlaku di mana syair tersebut adalah berbunyi begini :


“Daku hanya mengiginkan keampunan terhadap segala debu-debuan dosa-dosaku dan sebilah pedang untuk menyebabkan darah-darah merahku terpancar mengalir umpama jernihan air yang mengalir keluar dari mata air.”


“Atau sebilah tombak untuk menembusi masuk keliang hatiku dan ke isi perutku”


"Dan tatkala insan-insan melalui ditepian pinggir kuburku, mereka akan berkata : ‘Semoga engkau yang telah gugur kerana Allah…berjaya dan makmur. Engkau sesungguhnya insan yang berjaya dan makmur.”



Maka dengan itu, bagi diri kita juga, yang mempunyai semangat pengorbanan dan keperwiraan telah dapat dilihat dengan mata hati kita sendiri. Buih-buih pengorbanan tersebut serta keperwiraan para Sahabat r.a yang masih lagi hangat ke hari ini, dapatlah kita jadikannya satu ikutan yang berguna. Jika peristiwa pergorbanan tersebut sering dan malah kita kian lupai, maka mana mungkin kita tergolong di dalam golongan yang berjihad. Berjihad itu tidak bermakna hanya di medan ‘Fisabilillah’ tetapi berjihad sebenar ketika kita di dunia ini adalah “Melawan godaan Syaitan dan Nafsu”. Ini adalah jihad kita yang sebenar, jihad yang sering kita alaminya saban hari. Jika jihad melawan syaitan dan nafsu itu kita sering tewas, maka macammana kita hendak berjihad dengan pekara-pekara yang lebih besar lagi. Allahu Akhbar!.



InsyaAllah, saya akan lanjutkankan lagi posting saya yang terakhir berkenaan dengan artikel “Fisabilillah” iaitu berkenaan dengan “Fisabilillah - Hunain”, di artikel dan posting yang akan datang mengikut ketentuan dan keizinan dari Allah SWT. WaAllahu A’lam.



No comments:

Post a Comment

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails