Tuesday, 26 January 2010

Zabaniyah.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.



Alhamdulillah. Segala puji-pujian itu hanyalah kepada-Nya, yang memberi rahmat dan hidayah kepada sekelian alam. Aku bersaksi tiada Tuhan yang layak disembah kecuali-Nya dan Muhammad s.a.w itu Pesuruh dan hamba-Nya. Walaupun sejuta ujian hidup ini ditempuhi dengan pelbagai rentak dan cara, namun tekadku untuk berjuang demi Islam yang Ad-Deen itu tetap terencana. Aku tidak gentar dengan apa jua rancangan kekeliruan, kekecewaan, malah usaha-usaha untuk merencatkan usaha dakwahku ketika kini, namun yangku tahu Allah s.w.t akanku letakkan tertinggi dalam hidupku. Satu coretan peribadi untuk taulan semua agar bangkit!, dan bertempur menghadapi layanan manusia yang bertopengkan syaitan dan munafikun. Jiwaku sebati dengan kekecewaan, namun tidak semudah itu untuk berundur sebelum berjuang demi Agama Allah s.w.t. Jika kini sesuatu itu membuatkan diri tersenyum dan tertawa melihat aku tumbang, namun suatu hari kelakku perlihatkan pula kebangkitanku untuk memperjuangkan Islam di depan mata kalian yang bertopengkan syaitan laknatullah. Semoga Allah s.w.t memberikan hidayah dan petunjuk kepada kalian yang bertopengkan syaitan dan munafikun, serta di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan bertaqwa.


Apa itu Zabaniyah?. Mungkin ada yang mengenali dan mungkin juga ada yang belum mengenalinya, kelak saya akan huraikan dengan lebih lanjut untuk kita semua faham berkenaan dengan apa itu Zabaniyah?. Menurut Al-Quran, bahawa petugas yang akan menyeksa manusia ketika berada di dalam Neraka itu adalah malaikat yang Allah s.w.t tugaskan khas untuk menjalankan perintah-Nya. Ia juga meliputi dengan tugas menyeksa dan menjaga neraka Allah s.w.t tersebut.


Menurut keterangan yang dipercayai dan disepakati oleh semua ahli ulama’ bahawa malaikat yang menyeksa manusia ketika di neraka memiliki tangan-tangan dan kaki-kaki sebanyaknya jumlah ahli neraka. Setiap tangan dan kaki membelenggu dan merantai orang yang dikehendaki. Malaikat yang ditugaskan untuk menyeksa manusia yang derhaka dan kufur ketika di dalam neraka tersebut adalah bernama “ZABANIYAH”. Malaikat zabaniyah adalah malaikat yang akan menyeksa orang-orang yang berdosa ketika berada di dalam Neraka.


Firman Allah s.w.t :

Kami pula akan memanggil malaikat Zabaniyah (untuk menyeksanya)!” (Surah Al-A’laq – Ayat 18).


Menurut keterangan dalam riwayat, dan pekara ini telah disepati oleh semua para ulama’ bahawa setiap dari satu malaikat Zabaniyah ini dalam tugasnya mampu mengambil sebanyak 10,000 orang kafir dengan satu tangan, 10,000 lagi dengan tangan yang satunya, 10,000 lagi dengan salah satu dari kedua kakinya, dan 10,000 dengan mengunakan kakinya yang satu lagi. Lantas malaikat Zabaniyah melemparkan 40,000 orang durhaka dan kufur dengan hanya satu lemparan yang kuat sahaja ke dalam api neraka. Untuk pengetahuan kita semua, bahawa Malaikat Malik adalah pemimpin untuk menjaga seluruh organisasi neraka.


Firman Allah s.w.t :

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah Al-Tahrim – Ayat 6).


Demikianlah secara ringkasnya mengenai malaikat “Zabaniyah” yang ditugaskan oleh Allah s.w.t untuk menyeksa orang-orang yang durhaka dan kafir terhadap Allah s.w.t ketika berada di dalam neraka. Di sini juga dapatlah kita ketahui bahawa betapa hebatnya seksaan itu kelak ketika berada di dalam neraka. Ulama’ berpendapat bahawa ketika itu kita telah diadili di padang mahsyar di hadapan Allah s.w.t. Ada yang dibawa terus ke dalam syurga, ada yang dilempar dengan kasar ke dalam neraka dan ada yang diberikan syafaat dari Allah s.w.t. Keadaan itu tidak sama dengan apa yang digambarkan ketika manusia berada di dalam tawanan ketika di dunia. Ia amat berbeza sekali, sehinggakan ketika itu kita hanya memikirkan keadaan diri kita yang akan ditentukan oleh Allah s.w.t. kalau dahulunya kita terlepas dari hukuman ketika di dunia, tetapi ia tetap akan diadili juga ketika di hari akhirat kelak. Ini adalah satu kepastian yang akan berlaku dan benar-benar berlaku apabila telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Para Nabi dan Rasul serta orang-orang yang beriman akan menjadi saksi utama yang menentukan kita disingkirkan ke dalam api neraka ataupun dilayan baik lalu dimasukkan ke dalam syurga Allah s.w.t. Semoga kita semua diberikan syafaat dan kemuliaan dari Allah s.w.t ketika berada di sana kelak. Allahu Akhbar!.





3 comments:

  1. Assalammualaikum...
    Alhamdulillah posting yang boleh menyedarkan kita (umat islam) agar tidak terpesong dari landasan agama ALLAH SWT...Moga kita sama2 dijauhkan dari api neraka dan ditempatkan didalam syurga yg indah...aminnn

    ReplyDelete
  2. Waalaikumsalam Bunga larangan, terima kasih kerana saudari kian kerab di sini, banyak yang perlu di pelajari dari apa yang tertera, semoga kita semua dikasihi dan dirahmati-Nya di dunia dan akhirat. Amin.

    ReplyDelete
  3. asalamualaikum..terima kasih atas perkongsian di atas..mencari tugas malaikat zabaniyah akhirnya terjawab di blog yg ringkas tpi penuh dgn informasi bermakna..:) salam ziarah..

    ReplyDelete

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails