Tuesday, 19 January 2010

Antara Iman Dan Taklid.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.




Alhamdulillah, Syukur ke hadrat-Nya, dilimpahi dengan nikmat dan hikmah bagi seluruh alam semesta. Ucapan Alhamdulillah sudah memadai dengan keyakinan dalam diri bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan semesta alam. Tidak perlu gusar dan gundah untuk ‘berebut-rebut’ Allah s.w.t kerana Allah s.w.t itu Wujud, dan Allah s.w.t itu adalah Tuhan untuk seluruh alam semesta ini. Tumbuhan, haiwan, manusia, alam cakrawala dan sebagainya adalah milik Allah s.w.t. Dan Tuhan kita adalah Esa, iaitu Allah s.w.t yang mentadbir seluruh alam ini mengikut kehendak-Nya.


Iman itu percaya dan yakin, dan Islam itu pula menyerah dengan segala senang hati dan rela, timbulnya ialah setelah akal itu sendiri sampai kepada hujung perjalanan yang masih dapat dijalaninya. Oleh sebab itu maka bertambah tinggi perjalanan akal, bertambah banyak gerbang pengetahuan yang dipakai, pada akhirnya bertambah tinggi pulalah martabat Iman dan Islam seseorang.


Sabda Nabi s.a.w :

“Agama itu ialah akal. Dan tidak ada agama pada orang yang tidak berakal”


Maka dengan itu juga Iman atau Islam yang hanya dipusakai atau hanya dikerjakan kerana turut-turutan, belumlah tentu kesempurnaannya. Meskipun bagaimana teguhnya mereka memegang segala asas agama, maka pegangan itu mudahlah terlepas atas sebab pertahanannya tidak ada di dalam lubuk kesedaran jiwanya sendiri.


Sebagai contoh yang hendak saya digambarkan di sini seumpamaannya orang-orang dari desa (kampung) di dalam masyarakat mereka yang agama telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian, tetapi tiba-tiba ia berpindah ke kota. Maka kian sehari kian tanggal dan tinggallah agama itu daripada dirinya, kerana keadaan sekitarnya yang berubah secara mendadak daripada yang dipergaulinya dahulu. Dan agama yang dikejarkan hanya kerana turut-turutan (Taklid), amat takut akan ujian akal. Lantas ia murka, dan menuduh ‘keluar dari Agama’.


Dengan itu disimpulkan, diertikan dan ditafsirkan bahawa yang maksud dengan perkataan “Aku percaya dan Aku menyerah dengan segala senang hati” adalah ucapan serta merta (spontan) yang keluar dari lubuk jiwa manusia setelah diajukan sendiri mempergunakan akal dan fikirannya, sampai selanjutnya mungkin. Akhirnya bertemulah dia dengan suatu akhir perjalanan yang akal tidak dapat memberi keputusan lagi, sebagaimana yang telah saya terangkan di awal tadi.


Apa sebab dia tidak dapat memberi keputusan?


Dia hendak mencari keputusan apa yang dikatakan benda!. Padahal dia adalah hidup dalam lingkungan benda itu sendiri!. Padahal dia pun benda!. Dan dia hendak mencari apa dan siapa Zat yang mengatur benda. Padahal mencari dirinya sendiri pun akal itu tidak tahu!.


Saya tertarik dengan seorang tokoh pujangga Jerman yang mahsyur ketika itu iaitu Goethe. Beliau berkata :

“Jika begini yang dikatakan Islam, mengapa aku tidak masuk ke dalam golongan seorang Muslim?”.


Lantaran itu dilanjutkan lagi, bagi memperlihatkan kebenaran,

“Ya Rasulullah s.a.w, tunjukkanlah dan ajarkan daku tentang agamamu iaitu Islam kepadaku”

(Saiyidina Umar Al-Khatab r.a)


Dan lagi.

“Aku mencari ribuan ketenangan dalam hidup, akhirnya aku menemui Islam”

(Yusuff Islam).


Dan mungkin pula orang-orang yang telah mengakui dirinya Islam, Umat Islam dan ibu bapanya Islam, hidup dalam masyarakat Islam, harus memeriksa kepercayaan itu kembali, sebab sudah terlalu jauh dilihat terkeluar dari asasnya. Kepercayaan itu sebenarnya dilihat sering berlegar-legar ke suatu arah tanpa tuan yang empunya. Keyakinan tersebut sering disalah ertikan antara ‘Percaya’ (Iman) dengan ‘menurut sajalah’ (Bebalisme).


Iman adalah pendapat sendiri, di dalam perjalanan hidup mencari kebenaran, iaitu kesungguhan yang tidak pernah berhenti dan jemu sehingga insaf kelemahan diri di hadapan Kebesaran Yang Maha Besar. Manakala ‘percaya sajalah!’ adalah menurut dengan membuta-tuli apa yang telah dikatakan orang lain, atau apa yang diterima dari guru, sehingga akal sendiri menjadi beku dan kaku. Setelah timbulnya kekakuan dan kebekuan tersebut, maka membeku pulalah kefahaman agama dan tidak bercahaya sinarnya. Itulah yang bernama ‘Taklid’. Dengan itu diertikan bahawa ‘Taklid’ itu sebenarnya musuh kemerdekaan Akal!.


Akal yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t, Tuhan Semesta Alam, telah disalah ertikan, diperlakukan, ditujukan dan dipraktikkan kepada arahtujuan kemungkaran, maka akan timbul pula satu sifat untuk ‘Penafian’ terhadap Maha Agung. Ini lumrah apabila manusia itu bersifat makhluk dan benda!. Padahal kita disebenarnya tahu dan lebih tahu dari makhluknya yang tidak berakal. Benarlah kata-katanya Islam itu untuk yang berakal. Akal itu menafikan kebathilan. Adakah saya orang yang berakal?. Adakah anda juga orang yang berakal?. Tanya Iman. Allahu Akhbar!.



2 comments:

  1. Assalammualaikum...
    Alhamdulillah kupasan yang menarik...moga kita semua diberi IMAN yang teguh dan AKAL yang sempurna, serta dapat berfikir yang baik dan yang buruk menuju akhirat yang kekal abadi insyaALLAH...semoga saudara dan umat islam terus memperjuangkan islam yang ad-deen insyaALLAH...

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikumsalam. Saya kembalikan pujian tersebut kepada yang Haq. SubhanaAllah!, Alhamdulillah!, Allahu Akhbar!.

    ReplyDelete

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails