BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.
Alhamdulillah, syukur dengan nikmat dan rahmat-Nya kita dipertemukan lagi mengharungi liku-liku kehidupan yang mencabar keimanan dan ketaqwaan. Masa dan detik waktu berlalu meninggalkan kita dengan begitu pantas tanpa menoleh ke belakang, membuatkan dunia kini semakin hari semakin uzur usianya. Begitu juga dengan keadaan kita, yang semakin hari meningkat akan usianya. Dari yang cerah pandangan matanya kembali kabur, dari yang hitam warna rambutnya kembali putih, yang bergigi kembali menghilang, yang tegang dan gebu kulit kembali kepada kekedutan dan begitulah seterusnya. Dunia ini adalah tempat untuk diuji bagi sekelian manusia untuk membezakan keimanan dan ketaqwaannya terhadap Allah s.w.t. Dunia yang penuh dengan muslihat, merencanakan seribu satu kedhaifan kehidupan jika syariat-Nya kita sisihkan. Tidak kiralah ia lahir dari golongan yang tertinggi dan berpendidikan sekalipun, ketetapan manusia membuat dosa itu tetap ada. Pembohongan, penyelewengan, pengkhianatan, dan seribu macam sifat-sifat iblis sering terlihat dekad kini, membuatkan manusia semakin hari semakin melanggari perintah-Nya.
Saya suka berbicara berkenaan dengan hari kebangkitan (Kiamat), kerana topik ini merupakan topik aqidah yang mula-mula ibubapa saya ajarkan kepada saya. Dan topik ini juga sebenarnya memberi kesan yang mendalam kepada setiap individu yang yakin dan percaya akan munculnya hari kebangkitan. Jika Allah s.w.t boleh menciptakan manusia berjalan mengunakan kedua belah kakinya dengan begitu seimbang sekali, maka tidak mustahil di hari kiamat kelak Allah s.w.t menjadikan manusia-manusia yang ingkar berjalan mengunakan mukanya. Secara logik akal manusia adalah mustahil, tetapi Allah s.w.t Maha Berkuasa. Ketika itu tiada ertikata tidak, keadaan akan berubah dari apa yang terlihat di dunia ini dahulu. Jika ia berkuasa ketika di dunia, tetapi ketika di hari kiamat nanti, tiada yang lebih berkuasa selain dari Allah s.w.t.
Manusia begitu bangga menerokai alam cakrawala, sehinggakan ada yang menyatakan bahawa pernah menjejaki bulan dan marikh. Manusia begitu gah menyatakan pernah menakluki gunung tertinggi dunia. Manusia berbangga dengan hasil ciptaan sains dan teknologinya sehinggakan dapat menghasilkan robotik seakan-akan sifat manusia. Begitu juga dengan sistem peperangannya yang menjangkaui apa yang pernah Hitler fikirkan. Tetapi had-had akal manusia itu terbatas. Tidak semua manusia boleh melahirkan, menciptakan, memikirkan, mengkajikan dan mendalami ilmu-ilmu Allah s.w.t. Sebagai contoh, sebijak-bijak manusia dekad kini, belum ada yang mengkaji tentang hari kiamat, belum ada yang mengetahui hakikat sebenar alam barzakh. Semua itu terbatas oleh akal fikiran manusia. Allah s.w.t lebih mengetahui dari makhluk-Nya. Dan kita sebagai makhluk-Nya pula, mestilah mengetahui bahawa akal kita sebenarnya terlalu terhad. Sebagai contoh yang lain, manusia hingga ke hari ini belum dapat mengetahui maksud ayat-ayat ‘Muthasabihad’ yang tertera dalam Kalam-Nya. Kalau ada pun mungkin ia adalah di antara 30 golongan dajal yang telah Nabi s.a.w nyatakan dalam hadithnya yang akan muncul di akhir zaman nanti. Sedangkan Abu Lahab dan Abu jahal yang kafir itu pun menyatakan bahawa ayat-ayat Muthasabihad itu hanya Allah s.w.t yang Maha Mengetahui. Pelik bukan!. Itu adalah hakikat, bertapa kerdilnya diri kita ini.
Apa itu Ash-Shirath?. Kelak saya akan huraikan berkenaan dengannya dengan lebih mendalam mengikut keizinan-Nya. InsyaAllah. Setelah para terdakwa (manusia) mengalami proses persidangan di padang mahsyar (di hari kiamat) dan telah diteliti, diadili serta diperiksa segala pekara dan amalannya bersertakan bukti-bukti dan saksi-saksi di hadapan Allah s.w.t, maka para terdakwa (manusia) itu perlu melalui proses yang amat getir dan menakutkan sekali, iaitu melintasi satu jambatan yang sangat tajam dan halus laluannya yang disebut sebagai “Ash-Shirath”. Cara dan perlakuan manusia ketika melintasi Ash Shirath tersebut mempunyai pelbagai cara dan berbeza-beza di antara satu sama lain. Ini bergantung pula kepada amalan dan aqidah masing-masing ketika melintasi jambatan tersebut. Dinyatakan juga bahawa Ash Shirath itu melintasi di mana bawahnya terdampar neraka Jahanam yang luas dan mengerikan. Maka sesiapa yang dapat melintasi Ash Shirath tersebut dengan selamat, ia akan pasti sampai ke syurga Allah s.w.t. Tetapi jika sesiapa yang terkandas pula, ia akan terjatuh ke dalam api neraka yang sedia menunggunya untuk di bakar.
Di dalam Al-Quran tidak mengemukakan dengan jelas tentang Ash Shirath ini, tetapi ia telah diriwayatkan dengan jelas berkenaan dengannya melalui hadith Nabi s.a.w.
“Dari Abi said Al-Khudri r.a, Nabi s.a.w bersabda bahawa Ash Shirath itu adalah lebih kecil dan lembut dari rambut (sepertujuh belahan rambut) dan lebih tajam daripada pedang (pisau pencukur)” (HR Bukhari r.a).
Situasi melintasi Ash Shirath itu berbeza-beza, mengikut amalan-amalan kita ketika di dunia dahulu. Mengikut Imam Wahab berkata, Nabi s.a.w berdoa “Ya Allah selamatkanlah, Ya Allah selamatkanlah umatku!” Sebahagian mereka melintasi jambatan tersebut berasa gementar dan takut. Takut dan gementar ketika itu tidak sama ketika di dunia ini, ia amat berbeza sekali ketakutanya.
1) Golongan pertama seperti kilat yang menyambar.
2) Golongan kedua seperti angin yang kuat menghembus.
3) Golongan ketiga seperti burung terbang dengan laju.
4) Golongan keempat seperti sepantas kuda.
5) Golongan kelima seperti kekuatan larian manusia.
6) Golongan keenam seperti binatang ternak.
7) Golongan ketujuh seperti selama sehari semalam.
8) Golongan kelapan seperti berjalan kaki.
9) Golongan kesembilan seperti merangkak.
Dan diriwayatkan juga bahawa ada sebahagian mereka melintasi Ash Shirath menjangkaui selama satu bulan, satu, dua dan tiga tahun, manakala ada juga mencecah ke 25,000 tahun mengikut tahun dunia, ada yang merangkak dan melutut. Ini semua adalah gambaran sebenar ketika di
Firman Allah s.w.t :
“Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu.
Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa, dan kami akan biarkan orang-orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu.” (Surah Mariam – Ayat 71-72).
Ash Shirath di hari kiamat itu merupakan titian yang melintang di atas jurang neraka Jahanam. Titian tersebut pasti wajib dilalui oleh manusia yang telah diadili, diteliti dan diperiksa di hadapan Allah s.w.t ketika di
Oleh yang demikian, ini adalah paparan gambaran hakikat sebenar yang patut kita yakin dan percaya malah sematkan dalam generasi kita amnya. Kalau dahulunya kita sering mengagungkan artis populariti dan bintang bola sepak yang terkenal, namun kini ubahlah selera kita kepada pekara-pekara yang mendatangkan keredhaan Allah s.w.t. Belilah buku-buku atau multimedia tentang berkaitan dengan Islam, bercirikan Islam, berkonsepkan Islam dari kita membeli pekara-pekara yang tidak ada kaitan langsung dengan Islam. Dalam masa yang sama juga artis dan bintang bola sepak yang kita agungkan itu sebenarnya di kalangan orang –orang yang tidak beragama Islam, malahan menafikan serta khianat kepada Rasulullah s.a.w . Bukankah ini satu kerugian yang besar pada kita dan generasi kita amnya. Lebih malangnya lagi kita menghabiskan wang dan masa kita untuk mengagungkan mereka ini sedangkan setiap detik tidak terlintas dalam diri mereka itu untuk mengetahui akan peminat-peminat mereka, malah bangsa kita pun mereka tidak ketahui. Ini adalah kenyataan, cuba kamu fikirkan jika kamu di datangi sakit, adakah mereka-mereka ini menyumbangkan sesuatu kepada kamu, malah melawat kamu yang sedang terlantar sakit?. Ingatlah, Allah s.w.t yang akan ‘menjaga’ dan ‘merawat’ kita.
Segala keajaiban yang ada pada mereka itu adalah dari Allah s.w.t. tetapi mereka-mereka ini jugalah menafikan syariat Allah s.w.t. Golongan inikah yang patut kita contohi dan dijadikan ‘Role Model’ dalam harian hidup kita?. Rasulullah s.a.w itu adalah sebaik-baik manusia yang patut kita contohi dan jadikan ikutan yang baik dan sempurna. Nabi s.a.w tidak pernah melupai umat-umatnya ketika sepanjang hidupnya, ketika hendak wafat dan ketika di hari kiamat nanti. Lupakah kita akan hakikat ini?. Maka dengan itu ini satu permulaan bagi kita untuk mengetahui akan kebenaran. Kebenaran hakikat Allah s.w.t itu selayak-layaknya disembah. Allah s.w.t sedia menerima taubat kita walaupun kita digelumbangi dengan dosa yang melimpah ruah, kerana rahmat Allah s.w.t itu pasti kepada sekelian makhluknya sama ada ia berakal mahupun yang tidak berakal. Tegakkan dan sinarilah Islam itu walaupun terpaksa kita merangkak, meniarap dan melihat, kerana sesungguhnya solat kita, ibadah kita, hidup kita, mati kita itu adalah kerana Allah s.w.t. Allahu Akhbar!, Allahu Akhbar!, Allahu Akhbar!.
No comments:
Post a Comment