Saturday, 23 January 2010

Allah Itu Wujud.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.


Alhamdulillah, syukur kehadrat-Nya kita dipertemukan lagi, mengharungi perjalanan hidup sebagai khalifah di jagadraya ini dengan rahmat dan hidayah dari-Nya. Ada yang bernafas lega mengucapkan syukur kerana menikmati nikmat dari Allah s.w.t. Ada yang berduka ketika ini, melalui situasi dugaan kehidupan yang mencabar. Ada yang menafikan langsung nikmat Tuhan yang melimpah ruah kepadanya sehingga sanggup membiarkan diri dilingkari dengan kekufuran.


Kita bersyukur diberikan ruang kesihatan yang selesa, malahan setiap tuntutan kewajipan itu dapat dilakukan dengan sempurna. Tetapi ada insan-insan yang lain berhempas pulas mengharungi liku-liku kehidupan yang dhaif dan serba kekurangan. Ada yang kaya-raya, memiliki harta yang banyak, rumah yang besar, kereta mewah, syarikat perniagaan yang mahsyur malah serba serbi kehidupannya dihiasi dengan kemewahan, tetapi ruang kesihatannya tidak memuaskan. Malahan ada juga yang tidak memiliki harta, hidup seringkali dengan kedhaifan dan kesusahan, tetapi sebaliknya ia memiliki kesihatan yang sempurna. Allah s.w.t Maha Adil terhadap hamba-hamba-Nya. Setiap pemberiannya itu adalah yang terbaik untuk setiap hamba-hamba-Nya.


Allah s.w.t Maha Adil terhadap ciptaan-Nya. Maha Adil itu tidak hanya tertumpu kepada manusia sahaja, tetapi seluruh alam ini termasuklah haiwan, tumbuh-tumbuhan, planet dan sebagainya. Begitulah nikmat yang telah Allah s.w.t berikan kepada makhluk ciptaan-Nya, sehinggakan setiap sesuatu itu mempunyai tugas dan tanggungjawabnya terhadap Allah s.w.t. Ada makhluk-Nya yang mempunyai tugas jangka masa yang pendek, dan ada tugas yang meliputi jangka masa yang panjang. Semua itu telah diatur dan mengikut kehendak dari-Nya. Setiap kejadian itu mempunyai hikmah dan rahmatnya. Sebagai contoh, tumbuh-tumbuhan, Allah s.w.t menciptakannya untuk membantu manusia menjalani kehidupan di alam ini. Hakikatnya tugas tumbuh-tumbuhan tersebut merupakan tugas jangka masa yang singkat. Pernahkah kita terfikir, kertas yang sering kita gunakan untuk mencatat, menulis dan membaca itu, adalah sebenarnya berasal dari tumbuh-tumbuhan?.


Tumbuh-tumbuhan tersebut memainkan peranan yang cukup besar, hidup sebagai pembantu manusia di alam ini. Cuba kita bayangkan jika tumbuh-tumbuhan tersebut Allah s.w.t tidak wujudkan di muka bumi ini. Adakah kita pada hari ini boleh menikmati kehidupan harian tanpanya?. Tentu amat sukar bukan. Segala kejadian itu telah diatur oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Tetapi pernahkah kita bersyukur terhadap segala nikmat-nikmat yang telah Allah s.w.t berikan kepada kita. Itu hanyalah sekelumit sahaja nikmat yang kita lihat, sebenarnya nikmat Allah s.w.t itu terlalu banyak untuk dikatakan. Sebagai contoh yang lain, Tumbuh-tumbuhan ini juga mengawal serta menjaga bumi kita dan manusia dengan begitu baik sekali. Pernahkah anda terfikir, tumbuh-tumbuhan ini juga memainkan peranan yang cukup penting untuk neutralkan sistem oksigen ke dalam tubuh kita melalui proses ‘Fotosintesis’. Melalui tumbuh-tumbuhan ini juga memberi perlindungan kepada manusia dari hawa panas terik matahari. Malahan tumbuh-tumbuhan ini juga adakalanya memberi peluang rezeki yang luas kepada manusia. Pernahkah kita bersyukur terhadap pemberian Allah s.w.t ini terhadap kita?. Tumbuh-tumbuhan tersebut hidup untuk tumbesaran dirinya, tetapi ia ada ruang dalam kehidupannya untuk membantu kehidupan manusia. Walaupun ia hanya tumbuhan yang bersaiz kecil seperti taugeh, tetapi pengorbanannya untuk membantu kehidupan manusia terlalu besar untuk kita gambarkan. Pernahkah kita terfikir, Siapa Dia yang mengatur semua ini?


Allah s.w.t yang mengatur segala urusan tersebut mengikut kehendak dan ketentuan dari-Nya. Allah s.w.t memberi penghidupan kepada tumbuh-tumbuhan tersebut untuk terus hidup, malah rahmat dari kehidupan tersebut dikongsi bersama dengan manusia. Besarnya nikmat dan rahmat Allah s.w.t ini terhadap kita, sukar untuk digambarkan dengan pancaindera dan akal kita. Kita selalu mendambakan diri kita kepada Allah s.w.t untuk berdoa memohon sesuatu apa yang kita hajati, tetapi adakalanya doa tersebut kita rasakan tidak diterima oleh Allah s.w.t. Malahan adakalanya kita berasa terlalu jauh dengan Allah s.w.t. Sehinggakan sanggup kita menjauhkan diri terhadap-Nya. Ingatlah wahai kita semua, sebenarnya Allah s.w.t telah memakbulkan doa kita sebelum kita menadah tangan memohon kepada-Nya. Allah s.w.t Maha Mengetahui setiap apa yang terkandung dalam hati kita. Walaupun sejahil mana kelakuan dan perbuatan kita, Allah s.w.t akan menerima segala taubat dan doa-doa kita. Setiap doa kita itu akan Allah s.w.t makbulkan mengikut ketentuan dari-Nya. Ada yang memperolehi ketika di dunia, dan ada juga yang tidak perolehi ketika di dunia tetapi ketika di akhirat kelak ia akan mendapatnya. Allah s.w.t penuh dengan rahmatnya, tetapi kita sebagai manusia sering terlupa akan rahmat pemberian-Nya.


Cuba kita semua fikirkan, apabila ketika kita melangkah menuju ke tempat solat, maka itu adalah rahmat dari-Nya, sejadah yang terbentang itu juga rahmat-Nya, lampu yang menerangi sinaran tempat kita bersolat itu juga merupakan rahmat-Nya, pakaian dan suasana kenderaan serta sekeliling kita ketika hendak menunaikan solat itu juga adalah merupakan rahmat dari-Nya. Jadi kenapa pekara yang sedemikian kita tidak nampak akan kebesaran-Nya, sedangkan kita seringkali mengeluh kesah menyatakan Allah s.w.t tidak pernah memakbulkan permintaan kita. Itu merupakan rahmat yang Allah s.w.t berikan kepada kita. Cuba kita perhatikan, lihat saja di Negara-negara yang sedang bergolak dengan peperangan, kemiskinan, kedhaifan dan sebagainya, mereka sukar untuk bersolat dan menjalani ibadah kepada Allah s.w.t, sehinggakan segala keperluan harian mereka tidak dikecapi dengan sempurna. Apatah lagi jika hendak dibandingkan dengan kita, yang penuh kelengkapan keperluan beribadah dengan sempurna. Tetapi mereka itu tidak pernah jemu, kecewa, sedih dengan apa yang telah menimpa mereka. Sebaliknya ia menganggap bahawa ia adalah ujian terhadap keimanan dan ketaqwaan seseorang muslim. Inilah yang patut kita contohi, tauladan yang tersemat dalam hati-hati mereka untuk mentauhidkan Allah s.w.t walau susah dan dhaif sekalipun.


Rahmat Allah s.w.t itu tidak hanya meliputi terhadap tumbuh-tumbuhan saja, tetapi haiwan juga menikmati rahmat tersebut melalui proses yang telah diatur Allah s.w.t. Walaupun ia merupakan haiwan yang ganas dari sudut pandangan manusia, tetapi ia juga memberi manfaat kepada kehidupan manusia itu sendiri. Haiwan memainkan peranan yang cukup penting dalam kehidupan manusia, dari sudut akalnya, haiwan adalah pemangkin kepada pertumbuhan kehidupan manusia yang meliputi punca rezeki utamanya. Tanpa kita sedari, haiwan itu juga memberi manfaat kepada sekelian manusia. Maka tidak hairanlah dekad kini, penternak ayam, itik, kambing, lembu dan segala macam binatang ternakan merupakan orang yang berjaya dalam kehidupan. Cuba kita bayangkan, jika di dunia ini tidak ada seekor pun haiwan?. Tentu ia amat menyulitkan kehidupan kita bukan. Dalam sains juga menyatakan sumber daging adalah sumber tumbesaran yang paling banyak kalorinya dan sesuai dengan pertumbuhan badan manusia. Tanpa daging-daging dari haiwan ternakan ini juga akan menyulitkan lagi atau membantutkan lagi pertumbuhan sistem badan kita. Maka haiwan itu memainkan peranan yang cukup besar dalam kehidupan harian manusia.

Pernahkah kita terfikir, setiap haiwan mempunyai tugas-tugasnya tersendiri untuk terus hidup. Sebagai contoh yang hendak saya bawa di sini, lihat saja ikan di air tawar atau air payau, dengan ikan di air masin (laut), mereka mempunyai tugas yang berbeza-beza, walaupun dalam spesis yang sama iaitu ikan. Ikan air tawar tidak akan menyeberangi ke dalam laut, sebaliknya ia tahu had-had yang telah ditetapkan untuk ia terus berkembang dan hidup. Begitu juga dengan kehidupan ikan di air masin, ia juga tidak akan melintasi untuk memasuki ke daerah air tawar. Pernahkah kita terfikir, Siapa Dia yang mengatur semua ini?. Allah s.w.t yang telah mengaturnya mengikut kehendak dan ketentuan-Nya. Allah s.w.t Maha Bijaksana dalam mengatur setiap kehidupan makhluknya walaupun ia hanya seekor ikan. Tetapi kita yang telah Allah s.w.t mengurniakan akal fikiran, masih tidak dapat membezakan antara halal dan haram, dosa dan pahala, syurga dan neraka. Sebaliknya kita mencampuri semua pekara-pekara tersebut. Kalaulah ikan yang tidak punyai akal dan fikiran itu tahu akan daerah serta had-had kehidupannya, mustahil bagi manusia yang punyai sifat dan akal tidak dapat membezakan pekara-pekara yang dilarang dengan pekara-pekara yang disuruh-Nya.


Begitu juga halnya kepada haiwan-haiwan yang lain, Allah s.w.t menjadikan haiwan tersebut hidup untuk membantu manusia tanpa ada imbuhan dari mana-mana sekalipun. Cuba kita perhatikan lebah. Lebah merupakan haiwan yang kerdil, tetapi manfaat madunya memberi kesan terhadap kehidupan manusia. Walaupun kerdilnya haiwan ini, jasa dan pengorbanannya terhadap kita terlalu tinggi. Kita hanya mengetahui lebah melalui madunya saja, tetapi kita tidak pernah melihat betapa sukarnya binatang ini untuk menghasilkan madu bagi kehidupan manusia. Pernahkah kita terfikir, Siapa Dia yang mengatur lebah-lebah ini untuk membantu manusia?. Sedangkan kita mengetahui bahawa lebah-lebah ini tidak dikurniakan akal seperti manusia. SubhanaAllah!. Ini semua telah ditentukan Allah s.w.t.


Rahmat Allah s.w.t tidak tertumpu kepada tumbuh-tumbuhan dan haiwan semata-mata, ia meliputi seluruh alam semesta ini termasuklah bintang, bulan, matahari dan planet-planet yang lain. Rahmat-Nya memberi impak yang berkesan terhadap kehidupan alam ini. Sebagai contoh matahari. Matahari seperti yang telah kita ketahui umum, ia mengeluarkan cahayanya yang panas untuk membantu kehidupan manusia. Kepanasan itu juga memberi kesan kepada tumbesaran tumbuh-tumbuhan dan haiwan di muka bumi ini. Allah s.w.t menciptakan matahari untuk membantu pertumbuhan perkembangan manusia amnya. Dengan cahaya dan suhu kepanasan yang tinggi itu membolehkan manusia menjalankan aktiviti harian mereka di bumi ini dengan sempurna. Matahari memberi sinar kepada kegelapan dunia ini, malah ia memberi manfaat kepada manusia dalam punca rezeki. Cuba kita bayangkan kalaulah tiada matahari di planet kita ini, apakah akan terjadi terhadap kita semua?. Tentu agak sukar bukan untuk kita menjalani kehidupan kita. Allah s.w.t telah menjadikan matahari itu dengan begitu sempurna sekali. Kepanasannya itu sebenarnya sesuai dengan rencana kehidupan manusia amnya. Cuba kita fikirkan jika matahari itu terlalu jauh dengan kita, apakah akan terjadi terhadap kita semua?. Semestinya kita diselaputi dengan salji yang menebal dan kegelapan itu adalah rutin seharian kita. Maka cacatlah pertumbuhan kehidupan harian kita. Dan cuba kita renungi pula, jika matahari itu terlalu hampir dengan kita semua?. Tentu keadaan kita semua ketika itu tidak wujud lagi. Kepanasan melampau itu membakar kita semua. Tetapi Allah s.w.t Maha Bijaksana. Dia mengatur semua itu mengikut ketentuan dan kemahuan dari-Nya. Allah s.w.t telah mengatur seluruh planet ini dengan pelbagai kemudahan dan rahmatnya terhadap makhluk-Nya. Pernahkah kita bersyukur terhadap-Nya?. Matahari sejak diciptakan hingga ke hari ini, tidak pernah ingkar terhadap Allah s.w.t. Ia akan mengikut putaran paksinya walaupun sudah berbilion-bilion tahun lama ia diciptakan. Tiada seinci pun paksi matahari tersebut tersasar keluar dari asas koordinatnya. Malahan tiada perbezaan jarak sekalipun ia dengan bumi walaupun seinci sekalipun. Kerana Allah s.w.t telah mengatur yang terbaik untuk kita semua, untuk kita faham bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan yang Maha Berkuasa dan Maha Penyayang terhadap makhluk-Nya.


Begitu juganya dengan bulan. Bulan juga seperti matahari, tetapi bezanya antara panas dengan dingin. Allah s.w.t menciptakan bulan yang bersifat bercahaya. Bila terbenamnya matahari, maka timbulnya bulan untuk menyinari kegelapan malam. Pada amnya kalau kita lihat, Allah s.w.t memberi kita cahaya disetiap kehidupan kita, kalau siangnya kita disinari dengan cahaya matahari, tetapi pada malamnya pula kita juga disinari dengan cahaya iaitu bulan. Ini semua rahmat dari-Nya, mengatur setiap kejadian itu mengikut kehendak-Nya. Pernahkah kita terfikir, jika bulan tersebut tiada dalam peredaran planet kita, apakah akan terjadi terhadap kita semua?. Tentu ia menyukarkan pertumbuhan kehidupan harian kita kelak. Dan jika bulan tersebut terlalu hampir dengan kita, apakah akan berlaku terhadap kita semua?. Tentu kita tidak dapat membezakan warna-warna yang terdapat di bumi ini, malahan cahaya tersebut memberi kesan terhadap kesihatan kita semua. Allah s.w.t Maha Bijaksana, mengatur sesuatu itu punyai tujuan yang bermanfaat kepada kita semua. Pernahkah kita bersyukur terhadap nikmat serta rahmat-Nya terhadap kita?.


Oleh yang demikian, kita sebagai hamba-Nya, perlulah mengucap syukur terhadap Allah s.w.t yang telah memberi rahmat kepada kita semua. Rahmat Allah s.w.t itu terlalu besar untuk kita gambarkan. Lihat saja keadaan jantung kamu, ia adalah rahmat yang amat bernilai dari Allah s.w.t. Bermulanya kita di dalam rahim ibu hingga ke saat ini, ia senantiasa membantu kita untuk mengepam dan membekalkan oksigen untuk diri kita tanpa sesaat pun berhenti. Cuba kita bayangkan, jantung kita mengepam setiap saat dan waktu sejak di alam rahim ibu kita lagi tanpa rasa penat dan letih, tetapi dalam masa yang sama ada manusia yang tidak pernah mengetahuinya malah tidak bersyukur terhadap pemberian Allah s.w.t itu kepada kita. Allah s.w.t memberi rahmat tubuh badan kita ini dengan begitu sempurna sekali. Pernahkah kita bersyukur terhadap-Nya?. Susah sangatkah untuk kita bersyukur terhadap-Nya. Cuba kita lihat, jika seseorang itu mengucapkan pujian dan rasa terima kasihnya terhadap seseorang atau pemimpin, maka ia akan mengarangkan berjela-jela karangan ucapan terima kasihnya terhadap yang hendak diucapkannya itu. Sehinggakan karangan ucapannya itu mengambil masa yang agak panjang dan lama. Lebih panjang dan lama ucapan karangan pujian tersebut, lebih banyak ‘kelentongnya’. Ini semua realiti. Tetapi pernahkah kita terfikir dengan hanya ringkas ucapan yang kita hulurkan kepada Allah s.w.t itu sudah memadai kita sebagai hamba-Nya. Apakah ucapan untuk kita ucapkan kesyukuran kita terhadap-Nya. Apakah dia adik-adik, abang-abang, kakak-kakak, tuan-tuan, puan-puan, maulana, syeikh. “Alhamdulillah”. Ringkas bukan, tapi penuh makna. Pernahkah ucapan ini terpalit pada lidah-lidah kita. Pernahkah?. Maka dengan itu renungilah diri kita amnya, kita terlalu kerdil jika hendak digambarkan. Allah s.w.t sering dicaci, dikeji, ditomah, difitnah oleh orang-orang kafir, tetapi Allah s.w.t Maha Penyabar dan Maha Penyayang. Kenapa sifat penyabar itu tidak ada dalam diri kita. Kenapa kita terburu-buru untuk memilih jalan yang sesat. Bersabarlah wahai saudara dan saudariku, ini semua adalah ujian dari-Nya untuk menguji keimanan dan ketaqwaan kita terhadap-Nya. Ingatlah, kesabaran itu adalah tunjang keimanan dan ketaqwaan seseorang mukmin. Kesabaran itu juga membezakan antara akal dan nafsu. Semoga kita semua dirahmati dan dilindungi oleh-Nya. InsyaAllah. Allahu Akhbar!.


2 comments:

  1. salam alaik...idea yg bernas dan bolh dijadikan iktibar serta renungan sahabat2 yg lain...manusia merupakan makhluk Allah yang paling mulia berbanding denga makhluk yang lain.Allah jua lah yang menentukan perjalanan setia makhluk dengan teratur mengikut SunnahNya(ketetapanNya)...keadaan ini jelas Allah menyebutnya dalam surah AzZumar ayat 62..sebagai hambaNya kita dituntut untuk beriman dan bertaqwa kepadaNya..renung2kan lah...

    ReplyDelete
  2. Waalaikumsalam izza, terima kasih kerana di sini dan terima kasih sekali lagi kerana memanjangkan lagi sudut ikhtibar-ikhtibar yang berguna untuk sekelian manusia sejagat. Semoga kita semua di bawah lindungan dan keredhaan-Nya. Amin.

    ReplyDelete

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails