Wednesday, 13 January 2010

Golongan Manusia Yang Dimurkai Di Padang Mahsyar.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.


Alhamdulillah dengan limpah-Nya, kita bersua kembali mengharungi kehidupan fana ini yang mencabar dan tercabar. Begitu sinonimnya, ketika ini kemelut pencerahan Pengunaan Kalimah Allah kian terungkai satu demi satu. Segala tipu muslihat ahlil kitab kian terserlah kebodohannya sehingga sanggup mengunakan undang-undang mereka untuk ‘memaksa’ masyarakat Islam agar patuh atas desakkan mereka. Umat Islam bukan Umat yang mudah untuk diperlekehkan dengan undang-undang buatan manusia yang palsu. Walaupun kita kenal malah patuh dengan undang-undang tersebut, tetapi dalam soal melibatkan Agama Islam, lantas segenap Umat Islam bersatu bangun menentangnya dengan lantang. Walaupun ada minoritinya golongan pemimpin kita yang bersetongkol dengan mereka, namun jihad tersebut tidak pernah luntur dalam hati-hati kita terhadap Islam. Begitulah kuatnya masyarakat Islam kita hari ini, walaupun golongan belianya hampir hancur dan musnah akibat propaganda barat yang mendengkelkan. Ini semua adalah ketentuan dari Allah s.w.t untuk menguji sejauhmana keimanan dan ketaqwaan kita terhadap-Nya. Bagi yang mengagungkan pemimpin-pemimpin yang mengelarkan diri mereka seorang pejuang, Nah! Kini kamu akan melihatnya sendiri apabila sentimen Kalimah Allah ini dimainkan oleh ahlil kitab, sejauhmana ia digelar sebagai pejuang Islam. Fikirkan!.


Buat pengetahuan kita semua, mengikut kajian awal sejarah ketamadunan Masyarakat Melayu adalah bangsa yang telah Allah s.w.t jadikan Islam itu agama tunggal sejak dari awal ia wujud lagi. Tiada bangsa dalam dunia ini yang Allah s.w.t jadikan ia satu bangsa dengan satu agama. Kadangkalanya pula satu bangsa dengan pelbagai etnik agama. Lihat sahaja bangsa China, mereka mempunyai banyak agama dalam satu bangsa, begitu juga dengan bangsa India, yang mempunyai banyak anutan agama dalam bangsa mereka, Bangsa Barat, amnya adalah bangsa yang mempunyai paling banyak beragama tidak terkecuali juga Bangsa Arab, ia juga merupakan bangsa yang banyak menganuti agama selain dari Islam, dan semua bangsa-bangsa di dunia ini mempunyai pelbagai agama dalam satu bangsa kecuali Bangsa Melayu. Masyarakat Melayu amnya sinonim dengan agama Islam. Jarang kita dengar masyarakat melayu beragama selain dari Islam. Kalau adapun ketika dahulunya ia adalah keturunan dari kalangan masyarakat beragama Islam juga. Lihat sahaja masyarakat Melayu Champa di Kemboja, Yala, Pattani, Narathiwat, Myanmar, Laos, Segelintir di Vietnam, di Afrika Selatan, di India, di China dan seluruh pelusuk dunia ini. Rata-ratanya adalah dari beragama Islam. Ini adalah ketentuan Allah s.w.t yang menaikkan bangsa Melayu itu dengan Islam. Saya tidak beranggapan bahawa masyarakat Melayu itu bagus dalam setiap semua bangsa di dunia ini, tetapi apa yang saya hendak perlihatkan di sini adalah tentang hakikat kepada mereka-mereka yang masih lagi samar-samar malah masih lagi mengagungkan bangsa luar dan agama selain dari Islam itu satu ikutan tanpa merujukpakai kepada kebenaran. Inilah realitinya apabila segelintir bangsa Melayu yang masih tidak segan silu mencedok budaya luar serta menganuti agama selain dari Islam tanpa mengetahui asas sebenar bahawa Islam itu telah sebati dalam masyarakat kita. Pekara inilah yang dibimbangi kita dekad ini, memertabatkan bangsa Melayu tetapi kesucian Islam itu dipandang remeh, dan hanya mempraktikkan ajaran Rasulullah s.a.w itu hanya pada tempat-tempat ibadah sahaja dan pekara-pekara asas dalam Islam. Kalau tidak berlakunya semua ini, mana mungkin timbulnya golongan murtad di kalangan warga Melayu hampir mencecah kepada 200.000 orang, serta mana mungkin fail pertukaran agama Islam kepada agama lain semakin hari semakin membimbangkan di pejabat-pejabat jabatan Islam berkanun. Ini adalah suatu pekara yang benar yang perlu kita sama-sama pertanggungjawabkan kelak. Maka dengan itu, pertahankanlah kesucian Islam itu demi menjamin keredhaan Allah s.w.t. Allahu Akhbar!.


Kita hentikan buat seketika berkenaan dengan itu, kita teruskan apa yang telah saya war-warkan di tajuk utama saya. Ini juga berkaitrapat dengan santapan Aqidah dan Iman kita khasnya. Percaya dan yakin bahawa wujudnya hari kiamat dan hari pembalasan itu wajib tersemat di dalam diri kita. Ahlil Kitab menyatakan bahawa apabila manusia itu mati kelak, tiada penghidupan selepas itu. Dan dunia ini juga adalah tempat untuk bersenang-lenang menikmati kemewahan duniawi. Sangkaan itu sama sekali meleset, setiap manusia itu pasti dibangkitkan kelak. Dibangkit dan dihitungkan amalan-amalan semasa berada di dunia. Ini adalah teras kepercayaan kita bahawa kehidupan dunia ini adalah tempat untuk mengumpul amalan sebanyaknya bagi bekalan hari akhirat kelak. Jika kosong amalan tersebut, maka kosong juga syafaat kita di hari kebangkitan kelak. Maka dengan itu fakir-fikirkanlah sesuatu untuk kita amnya, sejauhmana langkah kita setakat ini, adakah ia lurus atau ia bersimpang siur?.


Saya tertarik dengan sebuah kitab iaitu “Mukhtashar Tadzkiratul Qurthubi” karya Asy-Syaikh Abdul Wahab Asy-Sya’rani. Kitab ini bagus untuk kita semua baca dan miliki. Kadangkalanya penerangan dari penulis ini sedikit sebanyak menginsafkan diri seseorang. Penulis mengajak para pembaca kitabnya agar mentauhidkan syariat Allah s.w.t. Semoga Allah s.w.t merahmati penulis kitab tersebut. Saya rujuk muka surat halaman 44 hingga 45. Keterangan tersebut berupakan Hadith yang telah dinyatakan oleh sahabat Nabi s.a.w iaitu Mu’adz bin Jabal r.a. Beliau bertanya kepada Nabi s.a.w, apakah yang dimaksudkan Allah s.w.t dalam surah An-Nabaa’, ayat 18.


“Iaitu masa ditiup sangkakala, lalu kamu (bangkit hidup) serta datang berpuak-puak (ke Padang Mahsyar);” (Surah An-Nabaa’ – Ayat 18).


Ketika Rasulullah s.a.w ingin menerangkan kepada Mu’adz bin Jabal, lantas air mata baginda bercucuran keluar dari kelopak mata baginda s.a.w dan Beliau lalu berkata :


“Wahai Mu’adz, sesungguhnya engkau telah menyatakan sesuatu pekara yang benar!. Umatku kelak akan hadir di Padang Mahsyar dengan sepuluh golongan. Masing-masing adalah berbeza-beza keadaan rupa dan caranya. Dan Allah s.w.t telah menukar wajah-wajah mereka dan tidak akan dikembalikan lagi wajah-wajah tersebut sebagai manusia yang sempurna.” Antara golongan tersebut adalah :


Golongan Pertama.

Golongan mereka ini akan bertukar menjadi seperti seekor kera. Mereka ini adalah golongan manusia yang suka mengadu domba (mencela, mengumpat) ketika di dunia dahulu.


Golongan Kedua.

Golongan mereka ini akan bertukar wajah menjadi seekor babi. Mereka ini adalah golongan manusia yang suka memakan makanan dan minuman yang haram.


Golongan Ketiga.

Golongan manusia yang dihalau dalam keadaan yang terbalik, iaitu kakinya berada di atas dan kepalanya berada di bawah. Golongan mereka ini juga adalah golongan manusia yang ketika di dunianya gemar memakan pekara-pekara atau harta-harta yang berteraskan riba.


Golongan Keempat.

Golongan manusia yang dihalau dalam keadaan mata yang buta. Golongan manusia ini juga merupakan golongan yang bathil dalam menetapkan hukum-hukum Allah s.w.t ketika berada di dunia dahulu.


Golongan Kelima.

Golongan manusia yang bertukar menjadi bisu, pekak serta tidak berakal. Golongan ini adalah ketika di dunia suka membuat dirinya riya’, mengagumi diri dan berbangga pada amalan-amalannya sendiri kepada orang lain.


Golongan Keenam.

Golongan manusia yang dihalau dalam keadaan mengunyah lidahnya sendiri, lidah tersebut terjelir keluar sehingga ke paras dada sambil mengeluarkan nanah yang menjijikkan. Golongan manusia ini adalah golongan yang suka berpidato atau bercakap berkenaan pekara-pekara yang baik, tetapi hakikatnya ia tidak melakukan apa yang dikatakannya. Sebaliknya kejahatan dan kemaksiatan itu adalah rutin hariannya.


Golongan Ketujuh.

Golongan manusia yang berjalan dan dihalau dalam keadaan terpotong kedua belah tangan dan kakinya. Ini adalah golongan manusia yang suka menganggu jiran tetangganya dengan pekara-pekara yang jahat dan bathil.


Golongan Kelapan.

Golongan manusia yang berjalan dipadang mahsyar kelak dalam keadaan tersalib dipohon-pohon kurma dari neraka. Golongan manusia ini adalah golongan yang suka mengajak manusia agar mengikuti dan membela pemimpin-pemimpin negara yang jelas tidak jujur dalam pemerintahannya.


Golongan Kesembilan.

Golongan manusia yang berjalan di padang mahsyar dalam keadaan badan mereka berbau busuk yang dahsyat. Mereka-mereka ini adalah golongan manusia yang suka melempiaskan nafsu syahwat mereka dan menolak hak-hak Allah s.w.t dengan tidak berzakat, bersedekah dan sebagainya ketika di dunia dahulu.


Golongan Kesepuluh.

Golongan manusia yang dipakaikan Allah dengan baju yang panas ketika di padang mahsyar kelak. Golongan mereka ini adalah ketika di dunia dahulu merupakan seorang yang sombong, bongkak dan takabur terhadap syariat Allah s.w.t.


Merujuk daripada kesepuluh golongan tersebut, maka didapati bahawa ketika itu manusia akan melalui satu saat yang genting dan getir dan Allah s.w.t membezakan manusia bergantung kepada amalan-amalan kita ketika di dunia. Ia jelas berbeza-beza perwatakan manusia pada ketika itu. Ada yang diaibkan dan ada yang muliakan Allah s.w.t. Nanti saya akan terangkan berkenaan manusia yang berada di naungan Allah s.w.t ketika di padang Mahsyar di artikel saya yang akan datang. InsyaAllah.


Di dalam Al-Quran ada menyebut bahawa, manusia ketika berada di dunia sering berpaling dari syariat Allah s.w.t. Dalam masa yang sama juga mereka sering mendustakan ayat-ayat Allah, tetapi ketika di himpunkan di padang mahsyar kelak, Allah s.w.t akan butakan mata mereka. Padahal ketika di dunia mereka bukanlah dari kalangan orang-orang yang buta penglihatannya. Ini jelas dalam firman Allah s.w.t dalam Surah Thaha – Ayat 124-126 yang bermaksud :


“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. Ia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?. Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan”. (Surah Thaha – Ayat 124-126).


Dalam ketika itu juga, terdapat golongan manusia yang dihimpunkan dikalangan orang-orang yang ngeri seksaannya. Mereka adalah golongan orang-orang yang kafir di mana mereka dihalau dengan keras dan diseret-seret muka-muka mereka. Firman Allah s.w.t :


Orang-orang yang akan diseret beramai-ramai ke neraka Jahannam (dengan tertiarap) atas mukanya, merekalah orang-orang yang amat buruk keadaannya dan amat sesat jalannya. (Surah Al-Furqan – Ayat 34).


Oleh yang demikian, jelaslah kepada kita bahawa di himpunkan di padang Mahsyar itu benar, dan seksaan api neraka itu juga benar. Kita sebagai orang Islam wajib mempercayai dengan semaksimanya. Tiada nas-nas yang menyatakan bahawa kiamat itu satu dongengan yang direka-reka oleh Rasulullah s.a.w. Firman Allah s.w.t :


“Dan (ingatkanlah) hari Kami bongkar dan terbangkan gunung-ganang dan engkau akan melihat (seluruh) muka bumi terdedah nyata; dan Kami himpunkan mereka (di padang Mahsyar) sehingga Kami tidak akan tinggalkan seorangpun dari mereka.” (Surah Al-Khafi – Ayat 47).


Liku-liku kehidupan pada ketika itu hanya Allah s.w.t yang Maha Mengetahui. Jika kita melihat ayat-ayat Allah dalam Al-Quran, kita dapati Allah s.w.t sengaja menjelaskan dan memperlihatkan betapa dahsyatnya seksaan api neraka kepada makhluknya yang ingkar. Sehinggakan kita sebagai manusia yang diberikan akal dan fikiran juga dapat mengambarkan seksaan tersebut melalui gambaran akal fikiran kita. Gambaran ini seolah-olah Allah s.w.t gambarkan kepada manusia agar kembali kepada suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Tetapi ia berbeza pula dengan gambaran ketika berada di dalam syurga Allah. Sesuatu pekara yang Allah s.w.t gambarkan kepada kita, tetapi kenikmatan tersebut tidak dapat digambarkan atau ditafsirkan oleh akal-akal kita. Ini satu pertunjuk kepada kita bahawa nikmat yang Allah s.w.t janjikan itu adalah nikmat yang belum pernah kita lihat dan rasai ketika di dunia ini. Oleh yang demikian, kita masih di dalam bulan Muharam dan di awal bulan masehi, maka perbaharuilah lagi Iman kita untuk menjaminkan lagi diri kita agar tidak tergolong di dalam kalangan orang-orang yang rugi ketika di hari kiamat kelak. Kalau dahulunya kita suka melakukan pekara-pekara kemaksiatan, maka apabila melihat dan mendengar ayat-ayat Allah s.w.t, ambillah satu jalan pendekatan untuk menghampirkan lagi diri kita dengan Allah s.w.t. InsyaAllah jika ada kesempatan waktu dan ketika, saya akan menghuraikan lagi dengan lebih lanjut berkenaan dengan golongan manusia yang di bawah naungan Allah s.w.t ketika berada di Padang mahsyar. WaAllahualam.





Nota Dan Rujukan :

1- Tafsir Al-Quran Prof Dr. Hj Mahmud Yunus.

2- Kitab Mukhtashar Tadzkiratul Qurthubi (Karya Asy-Syeikh Abdul Wahab Asy-Syarani - Terbitan Salim Nabhan Surabaya)

3- Kitab Riyadlush Shalihin - Imam An Nawawi.




2 comments:

  1. Assalammualaikum...
    1 posting yang sungguh baik untuk kita (umat islam masa kini) kembali kepada ajaranNYA dan tinggalkan apa yang dilarang (amar makruf nahi mungkar)...moga kita sama2 dapat sesuatu dari posting yang telah saudara sampaikan insyaALLAH....

    ReplyDelete
  2. Waalaikumsalam BungaLarangan, semoga Umat Islam kembali kepada landasan-Nya. Terima kasih kerana menjadi tetamu di sini.

    ReplyDelete

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails