BismillahirRahmanirRahim. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera. Alhamdulillah syukur kehadrat Illahi, dengan nikmat dan rahmat-Nya, dapatlah kita hidup dan menjalankan tanggungjawab kita sebagai seorang mukmin kepada-Nya. Salam dan Selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W , Ahli keluarga Baginda dan Sahabat-sahabatnya. Aku bersaksi tiada Tuhan yang wajib disembah kecuali-Nya dan Muhammad S.A.W itu hamba dan PesuruhNya.
Islam mengajar kita supaya menjadikan pengorbanan sesuatu yang berharga sebagai penyaksian dan pembuktian kepada akidah kita demi untuk kebahagiaan dan keselamatan hidup di dunia dan akhirat.
Firman Allah s.w.t :
“Dan sesungguhnya diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu, daripadamu, demi sesungguhnya jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) nescaya akan tetap gugur amalanmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi”. (Surah Az-Zumar – Ayat 65).
Saya tertarik dengan satu kisah pengorbanan di mana Saidina Abu Bakar r.a mengorbankan semua hartanya untuk Islam dan umatnya sehingga Rasulullah s.a.w bertanya : “Apakah yang engkau tinggalkan untuk keluargamu?.” Jawab Abu Bakar r.a : “Aku tinggalkan buat mereka Allah dan Rasul-Nya.” Kata-kata hikmat sahabat yang dijanjikan syurga itu cukup ringkas tetapi penuh pengertian. Itulah pengorbanan yang cukup sukar untuk dilakukan umat Islam hari ini kerana apa yang dipandang adalah harta dan bukannya berada di sisi Allah s.w.t.
Jumaat ini, kita, bersama dengan saudara kita yang menunaikan ibadah haji menyambut Aidiladha dengan menunaikan syiarnya seperti bertakbir, bersembahyang dan menyembelih korban sebagai bukti melahirkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Aidiladha lebih besar erti dan tinggi nilai darjatnya berbanding dengan Aidilfitri. Sejajar dengan kedudukan itu masa bertakbir dipanjangkan bermula daripada malam hari raya, hinggalah hari keempat belas Zulhijjah yang dinamakan hari-hari Tasyrik. Disamping bertakbir, umat Islam melakukan ibadah korban pada hari-hari berkenaan.
Demikian pula bagi umat Islam yang berada di tanah suci menunaikan ibadah haji pada tiga hari tasyrik itu, ialah melontar jamrah di Mina. Mereka meneruskan kerja-kerja ibadah haji dengan iringan Talbiyah iaitu, “Wahai Tuhan kami, kami datang semata-mata dengan ikrar setia dan taat kepada pemerintah-Mu, Wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagi-Mu, kami sahut seruan-Mu, sesungguhnya segala puji nikmat dan kekuasaan kesemuanya adalah bagi-Mu, Wahai Tuhan kami tiada sekutu bagi-Mu”
Saya juga amat tertarik dengan kisah Nabi Ibrahim a.s dan cerita ini begitu sinonim buat buah mulut umat Islam hingga ke hari ini dari apa yang telah di kisahkan di dalam Al-Quran, iaitu peristiwa kepatuhan Nabi Ibrahim a.s untuk menyembelih putera baginda dan kepatuhan Nabi Ismail a.s terhadap perintah Allah s.w.t memaparkan kekuatan Iman dan keteguhan mental yang perlu kita contohi dekad ini, kerana ia adalah pengorbanan yang cukup besar semata-mata kerana Allah s.w.t. Sejarah pengorbanan teragung itu tidak tertinggal dalam lipatan sejarah malah ia dihayati sepanjang zaman demi menegakkan agama Illahi ini. Begitu juga dengan pengorbanan Nabi Muhammad s.a.w, sahabat serta ramai lagi dari segi nyawa serta harta benda dalam menegakkan dan mempertahankan Islam adalah pengorbanan yang sangat agung. Maka dengan itu, laluilah lipatan sejarah ini, dengan satu pendekatan dalam diri kita untuk mencontohinya dan mentauhidkan Allah s.w.t. Semoga keberkatan dan keredhaan dari-Nya untuk kita semua mendekatkan lagi nilai diri kita terhadap Maha Pencipta. WaAllahualam.
No comments:
Post a Comment