Friday, 6 November 2009

Bahaya Kemewahan Duniawi.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera. Alhamdulillah syukur kehadrat Illahi, Salam dan Selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w , Ahli keluarga Baginda dan Sahabat-sahabatnya. Aku bersaksi tiada Tuhan yang wajib disembah kecualiNya dan Muhammad s.a.w itu Hamba dan PesuruhNya. Segala Puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam .

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a “Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umar r.a dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala rasulullah s.a.w melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus’ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekah). Kemudian Nabi Muhammad s.a.w bersabda, “Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu seperti mana kamu memasang kelambu kaabah?” Maka jawab sahabat, “ Wahai Rasulullah s.a.w tentunya diwaktu itu kami lebih baik daripada di hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masaalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki”. Lalu Nabi s.a.w bersabda, “Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu.” (Hadith Riwayat Tirmidzi R.A).

Hadith ini menerangkan bahawa yang mendapat kekayaan dan kelapangan dalam kehidupan, seperti pagi-petang pakaian silih berganti, hidangan makanan tidak putus-putus, rumah tersergam indah dengan hiasan dalaman dan luaran yang beraneka seni, dan sering menyangka apabila semuanya sudah ada, maka mudahlah hendak membuat ibadat. Ia dapat digambarkan pada dekad ini, di mana manusia berpusu-pusu mengejar kemewahan dan kekayaan tanpa mengira batas-batas sebagai seorang Khalifah-Nya di muka bumi ini. Ada yang sanggup mengorbankan maruah diri dan keluarga semata-mata mencari sesuatu yang memuaskan nafsu. Sanggup membunuh, memfitnah, menipu dan sebagainya agar segala matlamat untuk menjadi seorang yang berharta itu berhasil. Amat malangnya lagi ia diperlakukan oleh orang yang mengakui mengikut syariat Islam. Tidak hairanlah juga globalisasi kini, muda-mudi turut serta dalam mendekati kemewahan dan kekayaan melampau ini. Dengan menyangka bahawa umur yang masih panjang itu, membuatkan mereka tanpa segan silu sehingga sanggup mengadaikan maruah diri bagi mencapai tujuan sebenar. Dan ada juga pelajar-pelajar di Pengajian Tinggi Awam atau Swasta, turut mendampingi diri dengan mengunakan duit bantuan pinjaman mereka untuk melabur kepada saham-saham skim cepat kaya, sehinggakan mereka tersasar jauh dari matlamat sebenar sebagai seorang pelajar. Lebih malangnya lagi, mereka-mereka ini tidak mengunakan duit tersebut untuk menampung keperluan pengajian mereka, sebaliknya membeli keperluan peribadi yang melampaui harganya bagi menunjukkan mereka itu seorang yang berharta serta bermegah dengan apa yang dimilikinya. Ujubnya mereka-mereka ini!. Tetapi pada hakikatnya mereka terlupa, ibubapa serta ahli keluarganya di kampong sanggup mengikat perut berjimat semata-mata kerananya, malah ada yang sanggup berhutang dan bergadai harta untuk melihat anak-anak mereka ini berjaya dalam hidup. Pekara ini benar-benar berlaku, di kalangan masyarakat pelajar kita amnya. Pernahkah kita terfikir terhadap mereka-mereka yang selalu berkorban malah setiap malam mengigati akan diri kita?. Fikirkan!. Maka dengan itu, berubahlah wahai saudara-saudariku, kembalilah kita kepada Islam. Islam mengajak kita agar berfikiran waras tanpa dikongkong oleh nafsu dan syaitan.




Saya amat tertarik dengan kisah seorang manusia yang bernama Qarun, di mana Qarun merupakan seorang yang amat kaya raya, sehinggakan pada masa itu ia merupakan seorang yang mempunyai banyak harta, serta hidup dengan keadaan kemewahan yang melimpah ruah. Ada juga riwayat yang menyatakan, Qarun mempunyai banyak ladang-ladang yang luas, hasil tanaman yang banyak, emas permata yang melimpah-limpah, gudang-gudang menyimpan harta kekayaannya yang begitu banyak sehinggakan beliau tidak terdaya untuk mengangkat anak-anak kunci gudang tersebut. Begitu banyaknya harta-harta yang ada pada Qarun ini. Tetapi dengan sifat kesombongan dan bongkak serta bakhilnya itu, lalu Qarun ditimpa bala dari Allah s.w.t, di mana semua harta-harta kekayaan tersebut ditelan oleh bumi termasuklah dirinya sendiri. Ini merupakan satu rentetan cerita motivasi untuk kita semua, sebagai bekalan dan pedoman bagi menghadapi rintangan hidup di muka bumi ini. Sebagaimana yang telah kita ketahui, Allah s.w.t menguji keimanan dan ketakwaan setiap makhluk-Nya dengan pelbagai cara mengikut kehendak dan ketentuan-Nya. Ada yang diuji dengan kemewahan, dan ada yang diuji dengan kemiskinan. Perlu diingat juga, bahawa setiap kekayaan itu ada penghujungnya dan setiap kemiskinan itu akan ada penamatnya. Ini semua satu bentuk roda-roda kehidupan yang perlu kita aqidahkan dalam diri kita yang kerdil ini. Kadangkala manusia itu terlalu dhaif di dunia ini, tetapi Allah s.w.t memakmurkannya di akhirat kelak. Ini semua ketentuan dari-Nya. Allah s.w.t berhak menerima sesiapa sekalipun yang Dia kehendaki untuk menerima nikmat dan dugaan dari-Nya. Sebagai renungan dan pedoman untuk semua, bacalah buku-buku tentang kisah Sirah Para Anbiyaa terdahulu, di mana Allah s.w.t menurunkan sesuatu musibah itu di atas sebab perbuatan dan perlakuan manusia itu sendiri. Dan semua musibah itu punyai hikmah dan ibrah yang mendekatkan lagi diri kita yang fakir ini pada Maha Esa. Banyak cerita umat-umat terdahulu yang lazimnya mengejar harta kekayaan serta pangkat duniawi, sehinggakan mereka ini lupus dalam tamadun serta keturunan mereka. Bukankah ini semua satu bentuk pengajaran yang berguna untuk umat-umat terakhir seperti kita. Ingatlah saudara-saudariku, bahawa, setiap harta dan kekayaan itu pasti akan ditanya dan disoal oleh Allah s.w.t, tentang dari sumber apakah ia diperolehi, dari manakah ia datang, dengan cara apakah ia berlaku dan sebagainya. Persoalan-persoalan berbentuk ini juga yang akan ditanya dan disoal oleh Allah s.w.t di Padang Mahsyar kelak. Maka dengan itu perbetulkanlah landasan hati-hati kita untuk menjamin keberkatan dan keredhaan-Nya di dunia dan akhirat.



Oleh yang demikian, organisasikanlah diri kita untuk mengetahui bahawa kemewahan dan kekayaan itu merupakan satu titik permulaan untuk menjauhkan diri kita dengan Maha Pencipta. Dengan kekayaan itu juga, mengajak kita agar jauh menyimpang dari syariat-Nya. Maka dengan itu bersederhanalah akan kita di muka bumi ini, agar segala peraturan dan paksi kita sebagai hamba-Nya tidak tersasar jauh. Saya tertarik dengan sabda Rasulullah s.a.w iaitu, “Keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita.” Ertinya lebih memungkinkan kita untuk ibadat. Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang dari beribadat kepada Allah s.w.t, sepertimana yang berlaku di hari ini. Kekayaan dan kemewahan yang ada, selalu menyibukkan kita dan menghalang dari beribadah. Kita sibuk menghimpun harta dan sibuk menjaganya serta sibuk untuk menambah lebih banyak lagi kekayaan. Tidak ubah seperti apa yang pernah apa yang disabdakan oleh Baginda s.a.w, “Seandainya seorang anak Adam itu telah mempunyai satu jurang emas, dia berhasrat untuk cari jurang yang kedua, sehinggalah dia masuk ke dalam tanah (menemui kematian).”

Begitulah gambaran yang sebenar terhadap ketamakan manusia dalam menghimpun harta kekayaan. Ia sentiasa mencari dan menambah, sehinggalah ia menemui kematian. Maka ketika itu, barulah ia sedar dengan seribu satu penyesalan. Tetapi di saat itu sudah tidak berguna lagi. Biarlah kita mencari harta benda pada batas-batas keperluan sahaja, kalau berlebihan bolehlah digunakan untuk menolong orang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan suka bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat kelak. Orang yang bijak adalah orang yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan ia menjadikan dunia ini tempat bertanam dan akhirat tempat memetik hasilnya. Allahu Akhbar!. Allahu Akhbar!. Allahu Akhbar!.

No comments:

Post a Comment

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails