Dari Petikan Bahagian satu..(disini)
BismillahirRahmanirRahim. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Alhamdulillah syukur kehadrat Illahi, Salam dan Selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w , Ahli keluarga Baginda, Sahabat-sahabat dan sahabiahnya serta para pejuang-pejuang mujahid di jalan Allah s.w.t. Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad s.a.w adalah hamba dan PesuruhNya.
Sebagaimana yang telah diperbincangkan sebelum ini berkenaan dengan Hati, banyak penguraian dan tafsiran maksud dapat kita mengupas, mengenal, mengkaji dan mentarbiyahkan tentang persoalan yang kita halusi ini. Dengan tafsiran pemikiran yang positif itu jugalah melahirkan satu bentuk pemahaman yang sebenar tentang hakikat Hati. Hati merupakan agen dalaman naluri insan untuk melahirkan manusia yang celik dalam membezakan antara akal dan nafsu. Hati juga sebenarnya boleh menyesatkan insan yang hanya mengunakan kedengkalan dan kejumudan akal dalam mencanang sesuatu pekara tanpa melalui Syariat-Nya. Kita akan perbincangkan lagi soal ilmuan dalaman naluri manusia, bagi mengenal, sejauhmana kita (manusia) mengunakan kewarasan akal untuk melahirkan atau menghasilkan buah fikiran bagi memacu segala gerak-geri badan untuk kebaikan atau keburukan. Sepertimana posting saya yang lalu iaitu ‘Hati Itu...,saya telah memberi serba sedikit tentang erti makna hakikat Hati. Penguraiannya akan saya lanjutkan lagi dalam posting saya ini untuk memperbincangkan lagi maksud Hati tersebut dengan lebih mendalam. InsyaAllah.
Hati Itu Umpama Raja
Hati itu umpama Raja. Raja yang mentadbir segala urusan naluri manusia bagi menghasilkan sesuatu yang lebih baik. Hati yang kotor, bererti hati yang dijajahi oleh Raja yang jahat. Manakala hati yang bersih pula, bererti hati yang ditakbirkan oleh Raja yang bersifat Zuhud keimanannya kepada Allah s.w.t. Ini suatu keadaan yang berbeza untuk kita perbincangkan. Satu golongan hati yang dikelolakan dengan Raja yang jahat, dan satu lagi ditakbirkan dengan Raja yang teguh Iman dan takwanya. Raja (hati) juga perlu memainkan peranannya dengan cukup berkesan untuk menjadikan dirinya seorang pentadbir dan pemerintah yang bersih dari kekufuran. Sebagai contoh, seorang Raja itu juga perlulah dapat membezakan antara Haq dan Bathil. Seorang Raja itu juga mestilah mengunakan buah fikirannya yang telus untuk melahirkan sebuah fahaman yang adil dan saksama dalam meletakkan sesuatu perbuatan. Kesimpulannya di sini, Hati itu unpama Raja, Raja yang mentadbir sekelian ‘rakyat jelata’. ‘Rakya’t yang dimaksudkan ini pula adalah “Anggota Badan Manusia”. Ini akan saya bincang dan jelaskan lagi di akhir perenggan nanti. Contoh yang perlu diambil di sini, seorang raja itu memerlukan penasihat untuk mentadbir sesebuah pemerintahan. Penasihat itu juga merupakan individu yang membuahkan idea-idea yang baik atau buruk, bergantung kepada ideologi-ideologi yang telah terpahat dalam nalurinya. Jika penasihat itu merupakan jeneral perang, maka raja itu juga sering melancarkan perang, jika penasihat itu suka akan kekayaan, kemewahan, kemahsyuran duniawi, maka raja tersebut sedikit sebanyak nalurinya sedemikian rupa dan jika penasihat tersebut merupakan tekunnya keimanan dan ketakwaan kepada Maha Pencipta, maka sudah tentu raja tersebut merupakan raja yang baik dari segi akhlaq dan Imannya. Ini bergantung kepada tahap mana kotak pemikiran Raja tersebut untuk memilih susunatur penasihat tersebut. Sebagaimana yang telah kita perbincangkan ini, Hati itu saya maksudkan sebagai Raja, dan Raja itu juga menpunyai penasihatnya tersendiri. Siapakah penasihat tersebut?. Ini akan kita sama-sama bincangkan dengan lebih mendalam lagi. InsyaAllah.
Allah s.w.t Berfirman :
“Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.” (Surah Al-Hajj – Ayat 46).
Penasihat Hati
Setalah kita mengetahui bahawa Hati itu merupakan Raja dalam naluri kita, maka Penasihatnya pula semestinya berkaitrapat dengan Hati (Raja). Penasihat yang dimaksudkan ini juga merupakan agen tarbiyah yang baik atau buruk dalam sistem koordinasi naluri hati manusia. Jika penasihat itu kufur, maka kufur itu juga menanti dalam setiap hati (Raja), manakala jika penasihat itu baik lagi mulia, maka mustahil seorang Raja (Hati) itu melakukan pekara-pekara yang keji. Di sini apa yang hendak saya nyatakan adalah, Penasihat kepada Raja (Hati) itu mempunyai dua penasihat, iaitu ‘Dua Penasihat Baik’ dan ‘Dua Penasihat Tidak Baik’. Saya akan bincangkan dahulu tentang Dua Penasihat Tidak Baik’. InsyaAllah Selepas itu akan saya huraikan juga tentang “Penasihat Yang Baik”.
Dua Penasihat Tidak Baik.
1)Syaitan Dan Iblis Laknatullah
Sebagaimana yang telah kita ketahui umum bahawa Syaitan dan Iblis ini merupakan agen penasihat Hati (Raja) yang amat-amat merbahayakan hati, jika segala tunjukajar dan telunjuknya kita turuti. Ia merupakan musuh nombor satu kita di muka bumi ini. Musuh yang sering menyesatkan sekelian manusia yang tipis Imannya. Syaitan dan Iblis ini juga telah bersumpah di hadapan Allah s.w.t, bahawa tugasnya akan menyesatkan, memesongkan dan menjadikan cucu Adam a.s. ini ke lembah kesesatan. Ia juga merupakan penasihat hati-hati manusia yang inginkan kesenangan duniawi serta yang meminggirkan Syariat Allah s.w.t
Firman Allah s.w.t :
“Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.” (Surah Al-Baqarah – Ayat 34).
Syaitan juga akan memainkan segala rancangan untuk menyesatkan dan memesongkan manusia, melalui bisikkannya juga ramai manusia yang terpengaruh. Ia terlalu licik untuk kita perkatakan, tetapi agak sukar baginya terhadapi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah s.w.t. Syaitan ini juga sering menjadi Penasihat Hati (Raja), yang mengajak agar melakukan kemaksiatan. Setiap ruang yang terhidang akan dipergunakannya dengan sebaik mungkin agar manusia leka dengan Tauhid Allah s.w.t. Syaitan ini juga merupakan rakan penasihat yang akrab bagi mereka-mereka (Manusia) yang lebih cintakan dunia dari akhirat. Setiap kata-katanya merupakan nasihat dan azimat untuk menjadikan Hati (Raja) itu kufur dan sesat. Setiap detik, ia akan menjalankan tugasnya sebagai Penasihat kepada Hati (Raja) agar segala suruhan Allah s.w.t itu kita jauhi. Ini salah satu contoh Penasihat Tidak Baik bagi Hati (Raja) yang saya kemukakan bagi kita sama-sama menilai akan hakikat erti sebenar koordinasi Hati kita. Hati yang diterajui oleh Penasihat Tidak Baik ini juga merupakan hati yang kelam dan kusut, jika ia tidak kembali kepada Allah s.w.t. Sebagai contoh yang hendak kita perbincangkan ini, dengan Penasihat Tidak Baik untuk Hati (Raja), ia seringkali mengajak agar Hati (Raja) melakukan kemungkaran, tidak kiralah ia merupakan dosa-dosa yang kecil. Sedikit demi sedikit, hasutannya itu menjadikan kita melakukan dosa yang besar dan akhirnya melakukan dosa yang tegar dan kebiasaan. Semua ini rancangan yang telah diaturkan olehnya dengan cermat sekali. Kadangkalanya pula ada manusia yang terus menerus kufur dan sesat, sehinggakan mempercayai sepenuhnya nasihat syaitan ini. Syirik, Khurafat, Bi’daah, Tahyul dan sebagainya merupakan agen penyesatan yang sebati dalam diri manusia dekad ini. Ini salah satu bentuk penyesatan yang ketara yang telah dimainkan oleh syaitan. Maka dengan itu beringatlah bahawa Syaitan dan Iblis itu merupakan Penasihat Tidak Baik untuk Hati (Raja) kita yang patut kita jauhi darinya. Perbanyakkanlah Istifar dan Zikrullah untuk menjauhkan Hati (Raja) kita darinya. Berdoalah selalu kepada Allah s.w.t agar hati-hati kita ini tidak dikongkong dan dibelenggu olehnya.
2) Nafsu.
Sebagaimana yang kita ketahui umum, bahawa nafsu itu merupakan alat yang dikelola oleh syaitan untuk menyesatkan Hati (Raja) manusia. Nafsu itu merupakan tindakan tipudaya syaitan untuk menjadikan manusia itu kufur. Nafsu juga merupakan agen Penasihat Tidak Baik untuk Hati (Raja) bagi melahirkan insan-insan yang mengkhianati Rasulullah s.a.w. Dengan nafsu, manusia jadi leka dengan syariat-Nya. Dengan nafsu itu juga menjadikan manusia itu jauh terpesong dari keadaan asalnya. Nafsu membawa bahana tanpa kta sedari. Dengan nafsu juga menjadikan kita insan yang bersifatkan naluri syaitan. Kadangkalanya menjadikan manusia ingkar terhadap Allah s.w.t. Nafsu itu lawannya Iman. Jika nafsu itu meningkat tinggi, maka tahap Iman kita kepada Allah s.w.t menurun. Dan jika Iman kita meningkat, maka nafsu itu sebenarnya telah menurun. Sebagai contoh, orang yang melakukan maksiat, ia merupakan seorang yang tidak mempunyai Iman yang kukuh malah ada yang langsung tidak beriman. Ini menunjukkan bahawa apabila nafsu itu meningkat naik, maka tahap keimanan kita sebenarnya kurang. Dan sebagai contoh yang lain, jika manusia itu melakukan sesuatu kebaikan dan kebajikan, maka sebenarnya bahawa Iman itu mengatasi nafsu yang terdapat dalam dirinya. Itu menunjukkan bahawa jika Iman kita meningkat tinggi maka nafsu kita sebenarnya berkurangan. Maka dengan itu peliharalah Iman kita dengan sebaik mungkin agar tidak dibatasi dan dilingkari oleh nafsu. Dengan Iman menjadikan manusia itu yakin dengan sepenuhnya terhadap Allah s.w.t. Dengan Iman menjadi kita hampir terhadap Allah s.w.t. Dengan Iman, menjadikan kita mengenal akan kekusutan hati-hati kita.
Dua Penasihat Baik.
1) Akal
Akal merupakan buah fikiran manusia yang mengunakan sepenuhnya melalui pemikiran yang bernas dan bertauhid. Akal mengajar kita agar mentaati-Nya. Akal juga sebenarnya melahirkan golongan Ahlul Albab. Golongan yang memikirkan kesan terhadap segala kesudahan. Golongan yang berakal juga merupakan, golongan yang mensyukuri segala nikmat Allah s.w.t yang telah diberikan kepada manusia. Jika Akal itu, diletakkan terkebelakang, maka lihat sahaja kesudahannya. Manusia yang mengunakan akal dalam setiap kehidupannya merupakan golongan yang senantiasa mengingati Keagungan Allah s.w.t. Akal itu mengajar manusia membezakan Haq dan Bathil, membezakan dosa dan pahala dan membezakan syurga dan neraka. Melalui akal juga maka lahirlah generasi peneraju Ummah yang zuhud. Generasi yang mentauhidkan Allah s.w.t. Generasi pemimpin umat sejagat melalui syariat-Nya. Sebagai contoh, jika kita hendak mengambil buah yang terdapat di pokok, kita mestilah mengunakan akal kita agar buah tersebut tidak jatuh berkecai, dan diri kita tidak tercedera. Maka jalan untuk mengunakan tangga itu merupakan jalan yang terbaik, daripada membahayakan diri untuk memanjat dahan pokok tersebut. Maka di situ kita dapati, akal itu memainkan peranan dalam situasi tersebut. Dapat membezakan kebaikan dan keburukan sesudah itu. Jika pencaturan pengunaan akal yang singkat maka, sebenarnya kita menuju ke arah jalan yang berliku. Jalan yang mempunyai kenikmatan tetapi dikerumuni dengan duri-duri yang tajam. Maka dengan itu Akal merupakan penasihat Hati (Raja) yang baik, dan wajib kita utamakan dalam setiap pencaturan hidup kita. Penasihat Hati (Raja) yang mengunakan akal merupakan penasihat yang mengajar agar kita kembali kepada Tauhid-Nya. Akal adalah anugerah Allah s.w.t kepada manusia. Manusia yang berakal merupakan manusia yang mengunakan nikmat Allah s.w.t sepenuhnya. Manusia yang tidak berakal bererti seperti makhluk lain yang Allah s.w.t anugerahkannya “Otak” tetapi tidak berakal. Sebagai contoh, harimau akan membaham mangsanya mengikut segala kekuatan yang terdapat dalam dirinya tanpa mengunakan Akal. Mengoyak, mengigiit, menyiat lalu memakan mangsanya. Ini contoh makhluk Allah yang tidak berakal tetapi punyai otak, akan itu manusia lainnya pula. Manusia akan menangkap binatang yang halal dimakan, lalu disembelih, membersihkan dagingnya serta lalu dimasak dan seterusnya dimakan jika mengikut hukum Allah s.w.t. Ini lumrah bagi manusia yang mengunakan akal. Jika manusia itu seperti harimau yang telah saya nyatakan tadi, bererti manusia itu sebenarnya tidak mengunakan akal, sebaliknya mengunakan otak. Walaupun ia seorang yang berpangkat Pemimpin, Professor, Doktor, Jurutera, Arkitek, Sainstis, Pelajar, Pekebun dan sebagainya. Ini salah satu contoh bagi manusia yang dikurniakan Akal, tetapi tidak mengunakannya. Maka dengan itu, Akal sebenarnya mendekatkan diri kita terhadap Allah s.w.t serta menjadikan Penasihat Baik untuk Hati (Raja) kita yang kerdil ini. Akal merupakan nikmat yang tidak terhingga yang telah Allah s.w.t kurniakan kepada manusia amnya. Bertindaklah mengunakan segala nikmat yang telah Allah s.w.t berikan kepada kita ini sebaik mungkin. Hargailah jua, pemberian Allah s.w.t ini, ke jalan yang diredhai-Nya.
2) Ilmu
Ilmu itu merupakan Penasihat Yang Baik untuk Hati (Raja) kita. Dengan Ilmu itu juga menjadikan manusia menilai kebaikan dan keburukan. Jika tidak berilmu, maka kelam itu akan menanti. Sebagai contoh seorang Jurutera Mekanikal, ia bukan sahaja mengetahui tentang ilmu Mekanikal sahaja, tetapi ia juga mestilah mengetahui tentang ilmu-ilmu yang lain untuk menjadikannya seorang tokoh Jurutera Mekanikal yang berjaya. Dengan pengetahuan ilmu selain dari bidangnya, maka itu menunjukkan ia seorang yang cekap dan berilmu. Sebagai contoh, ia perlu mempelajari Ilmu Elektrikal, maka barulah ia dapat mendalami dan menguasai segala ilmu berkaitan sistem Mekanikal. Ini kerana Ilmu Mekanikal tersebut berkaitrapat juga dengan Ilmu Elektrikal. Oleh yang demikian, orang yang berilmu itu tidak semestinya dalam satu bidang sahaja, sebaliknya ia merangkumi semua aspek yang berkaitrapat dengan bidang yang ia ceburi, bagi memperlihatkan bahawa ia seorang tokoh yang berilmu serta berbakti kepada manusia. Contoh yang lain pula, sebagai seorang pendakwah, ia mestilah berilmu. Dengan ilmu itu juga akan menjadikannya lebih berhemah dan bersikap optimis dalam berdakwah. Lihat sahaja jika pendakwah yang kurang berpengetahuan dan berilmu, ia sedikit sebanyak merumitkan situasinya sebagai seorang pendakwah, lebih-lebih lagi ia berkaitan dengan soalan-soalan yang melibatkan hukum-hukum Islam. Dengan Ilmu itu juga menjadikannya seorang yang akan berbakti kepada insan yang memerlukan. Dengan berilmu itu juga ia menjadikan manusia mengenal Allah s.w.t. Malahan dengan berilmu itu juga, manusia akan menjadi lebih bertamadun. Sebagai contoh yang lain, dalam bab solat, dengan berilmu itulah yang menjadikan solat kita itu tertil. Jika kita tidak berilmu, mungkin solat kita itu tidak khusyuk dan tidak menepati apa yang dikehendaki. Ilmu itu mencerminkan keperibadian seseorang. Tak percaya?. Lihat sahaja dekad ini, orang yang berilmu itu disanjungi daripada orang yang tidak berilmu. Orang yang berilmu juga diangkat sebagai pemimpin. Mana mungkin orang yang tidak berpengetahuan dan berilmu itu diangkat setinggi langit, mungkin ada, tetapi lihat sahaja kesudahannya kelak dari keputusan yang telah ia lakukan. Oleh yang demikian, Ilmu itu adalah Penasihat Baik untuk hati (Raja) kita ini. Dengan Ilmu, menjadikan Hati kita bersih dari kekufuran. Dengan Ilmu itu juga melahirkan penasihat hati yang berteraskan Islam yang Ad-Deen. Maka dengan itu Penasihat Yang Baik, mestilah melalui Ilmu. Ilmu itu pemimpin kita di kala kegelapan. Ilmu itu menerajui Hati (Raja) kita ke arah Keredhaan-Nya.
Setelah kita mengupas segala ciri-ciri Penasihat Hati (Raja) dengan lebih mendalam, maka terungkailah khasnya arah dan tujuan untuk memilih antara yang haq dan yang bathil. Ini semua memerlukan bentuk pemikiran yang positif yang sebenarnya telah terpahat dalam diri kita. Pekara ini tidak berakhir hanya di sini, ia akan saya perhalusi lagi demi untuk memperlihatkan kepada diri kita amnya, tentang hakikat penganugerahan dari Allah s.w.t yang tidak ternilai ini, di gunakan sebaik mungkin mengikut syariat-Nya.
Anggota Badan Manusia (Rakyat)
Secara keseluruhannya, maka dapatlah kita melihat, bahawa anggota badan manusia ini sebenarnya digerakkan oleh hati kita. Jika gerakannya itu ke arah kebaikan, maka hati kita tersebut telah dimacu oleh akal dan ilmu. Dan jika ia menuju ke arah kemungkaran, maka ia sedikit sebanyak mengambarkan kepada kita bahawa ia sebenarnya telah dibelenggu oleh syaitan dan nafsu. Ini semua sebagai gambaran untuk kita sebenarnya, tahap gerakan dalaman hati kita untuk memilih antara kebaikan dan kekufuran. Tak percaya?. Lihat sahaja perbuatan pesalah-pesalah yang telah diberkas, rata-ratanya mempunyai rekod jenayah yang tegar dan sering berulang-ulang. Dengan bernafsukan seperti binatang dan manusia yang tidak bertamadun itu sebenarnya gambaran yang harus diberikan kepada manusia ini. Ia sebenarnya masih tidak dapat melihat tentang apa yang telah dimainkan oleh syaitan, tidak kiralah ia datangnya dari kalangan manusia sekalipun. Oleh yang demikian, berwaspadalah dengan segala bisikan syaitan dan nafsu yang sering berlegar-legar di hati kita. Berbandingnya pula dengan hati yang diterajui oleh penasihat yang baik iaitu Akal dan Ilmu. Manusia akan bertindak mengunakan akal dan ilmu yang telah Allah s.w.t kurniakan kepadanya. Walaupun kadangkalanya jalan berliku dan berduri itu adalah jalan pilihannya. Sebagai contoh yang saya bawakan di sini, Rasulullah s.a.w merupakan contoh yang tepat dan berkesan. Baginda s.a.w mengunakan pemikiran yang cekap dalam menghadapi segala isu-isu dan cabaran yang dihadapi. Berperibadian contoh tauladan yang baik serta bersifat amanah itu membuatkan ramai orang-orang kafir Quraisy tertarik lalu memeluk Islam. Baginda melahirkan sifat peribadi murni yang patut kita contohi. Baginda s.a.w juga merupakan Pemimpin, Pendakwah, Ketua angkatan perang, ketua keluarga dan sebagainya yang tiada tolok banding. Keberkesanan tarbiyah beliau juga boleh kita rasai sehingga ke saat ini. Saya tertarik dengan satu kisah di mana Baginda s.a.w telah bertemu dengan seorang wanita tua berbangsa yahudi. Wanita tua ini sebenarnya amat-amat membenci Rasulullah s.a.w dari apa yang telah kawan-kawannya beritahu kepadanya. Maka ketika Rasulullah s.a.w sedang berjalan merentasi padang pasir lalu bertemu dengan wanita ini, ia sebenarnya tidak mengetahui lelaki tersebut merupakan Nabi s.a.w. Lalu semasa mereka berjalan merentasi padang pasir tersebut, Rasulullah s.a.w telah memperlihatkan contoh keperibadian yang terbaik, sehinggakan semasa mereka berhenti untuk berehat, baginda mengambil pelepah pokok tamar untuk memberikan penghormatan kepada wanita tua tersebut untuk berehat, sedangkan baginda s.a.w hanya beralaskan pasir sahaja. Dalam masa yang sama, wanita tua tersebut memuji Baginda s.a.w atas keperihatiannya terhadap dirinya. Walaupun disaat perjalanan mereka, wanita tua itu sering menyatakan tentang keburukan Nabi s.a.w. Setelah selesai jauhnya perjalanan tersebut, wanita tersebut bertanyakan kepada Rasulullah s.a.w. “Siapakah anak ini sebenar?”. Lalu Baginda s.a.w menyatakan, “Saya adalah Muhammad, Rasul terakhir Allah s.w.t, sayalah lelaki yang makcik katakan itu, sayalah Muhammad yang makcik marahkan itu”. Lalu wanita tua itu tergamam dan berkata, ‘Jika ini adalah Muhammad, Rasulullah s.a.w. Nabi terakhir, mana mungkin cacian dan fitnah orang terhadap kamu itu benar, kamu merupakan orang yang baik akhlaknya”. “Maka pada hari ini aku (wanita tua) mengakui bahawa Tiada Tuhan yang layak disembah, kecuali Allah dan Muhammad itu Pesuruh Allah”. Maka Islamlah wanita tua tersebut ketika itu, atas tertariknya dia terhadap sifat yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. Keperibadian manusia itu terserlah bukan kerana kemewahan, kekayaan, pangkat, kemahsyuran dan sebagainya, tetapi akhlak yang mulia itu lebih menjamin untuk kita kelak. Oleh yang demikian, manusia perlulah pandai memilih halatuju yang akan di bawa olehnya. Samaada buruk atau baik itu bergantung kepada dirinya sendiri. Kita dikurniakan dengan pelbagai nikmat, gunakanlah nikmat itu ke jalan yang sebaiknya untuk melahirkan hati-hati yang sering bertaut kepada Allah s.w.t.
Di atas penguraian yang telah kita sama-sama ketahui ini, maka dapatlah kita perbaiki lagi segala kesalahan dan kekhilafan yang sering terpahat dalam diri kita. Perhalusilah lagi langkah-langkah halatuju kita untuk mencari tujuan hidup. Ingatlah saudara-saudariku, jika jalan kemaksiatan itu pilihan kita, ia akan kita laluinya dengan mudah, tetapi kesannya amat berliku dan berduri. Sebagai contoh, jika ia seorang perompak, maka saat itu pula ia terlepas dari tangkapan polis, ia berasa begitu selamat sekali kerana dapat melarikan diri dengan hasil kekayaan yang dimilikinya, tetapi di sebalik itu juga sebenarnya hatinya berasa takut, gerun dan sedih. Dan kadangkalanya pula ia kelihatan seolah-olah hidup dilingkari dengan duri-duri dan keadaan sekeliling yang tidak selamat. Bukankah itu menunjukkan kepada kita bahawa keseronokan melakukan kemaksiatan itu hanya bersifat sementara. Berbandingnya pula mereka yang melakukan kebaikan. Ia kadangkalanya sering dibelenggu dengan kesukaran dan kesempitan tetapi di akhirnya kejayaan dan ketenangan itu miliknya. Sebagai contoh, lihat sahaja para penulis yang berkaitan dengan Ilmuan Islam, tidak kiralah ia penulis buku, majalah, surat khabar, cerpen, novel, malahan penulis blog. Golongan ini sebenarnya golongan sasaran pihak tertentu untuk menjatuhkan dan mengaibkan apabila isu-isu kebenaran dan ilmuan itu di ketengahkan. Kadangkalanya pula ada yang di fitnah, dicaci dan sebagainya. Ia amat menyukarkan, dan memeritkannya untuk mengembangkan syiar Islam melalui dakwah. Allah Maha Penyayang, Allah Maha Pengasih, pernahkah kita terfikir jika ilmu kebaikkan itu memberi syafaat dan manfaat yang berguna untuk manusia, malah ia turut dipraktikkan dari hasil yang telah penulis itu kemukakan, pahalanya berlipat kali ganda di atas kesinambungan penulisan ilmuan bermanfaat itu terhadap pengikut dan penyebarnya. Dan ia lebih bermanfaat lagi jika, kita telah pergi menemui-Nya. Pahala itu tetap akan berlanjutan tanpa ada had dan sekatan. Bukankah ini menunjukkan kepada kita Allah Maha Penyayang terhadap makhluk ciptaan-Nya. Pekara ini sepatutnya kita terapkan dalam diri kita sejak dari bangku sekolah lagi. Bukan hanya menerbitkan laman Blog Dakwah, tetapi hasil karyanya bersifat kejumudan. Dan adanya pula dengan bangga melahirkan blog-blog yang bermotifkan fitnah dan kemaksiatan. Pekara inilah yang membimbangkan kita dekad ini, segala kemudahan terhidang tidak digunakan dengan sebaik mungkin. Bilalah kita hendak membuang sifat-sifat Bebalisma dan Tahyulisma ini?. Bukankah ini semua merugikan kita malah melemahkan lagi umat Islam.
Allah s.w.t Berfirman :
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. (Surah At-Taubah – Ayat 71).
Maka dengan itu, perlihatkanlah hati-hati kita, tentang halatuju yang sepatutnya kita tempuhi dan lalui. Pergunakanlah anggota badan kita ini ke jalan yang di redhai-Nya mengikut cara positifnya pemikiran kita agar diri dan generasi kita kelak akan lebih di kasihi-Nya. Allahu Akhbar!. Allahu Akhbar!. Allahu Akhbar!.
No comments:
Post a Comment