Daripada Ali bin Abi Thalib r.a berkata : Telah bersabda Rasulullah s.a.w : “Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya dan tinggal daripada Al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah dan mereka fitnah itu akan kembali”. (Hadith Riwayat Al-Baihaqi)
Dekad kini kita sering dikejutkan dengan pelbagai fenomena fitnah berpanjangan oleh pihak yang tidak putus-putus untuk menyesatkan Umat Islam khasnya bagi menjerumuskan mereka ke dalam kancah kesesatan. Pelbagai cara, pelbagai susunatur, pelbagai dakyah, pelbagai fahaman dan sebagainya, sehinggakan timbulnya kekeliruan yang tegar dalam diri setiap Muslim. Ideologi fahaman statik dan jumud ini juga telah menimbulkan perasaan kemarahan, kekusutan, ketidakadilan, dan sebagainya kepada mereka-mereka yang tipis Imannya seperti setipis ‘kulit bawang’. Jika kita perhatikan dalam Hadith Rasulullah s.a.w ini, kita dapati ia bertepatan dan tidak dapat disangkal lagi apabila ia bena-benar berlaku zaman yang penuh dengan kemahsyuran teknologi manusia. Berkenaan dengan itu juga, semakin banyaknya kemewahan duniawi, semakin luputnya identiti sebagai seorang Muslim dan semakin jauhnya manusia dari Allah s.w.t. Tidak percaya?. Lihat sahaja sekeliling kamu, berapa ramaikah yang memiliki telefon bimbit yang canggih dan berteknologi tinggi, dengan kemudahan perhubungan antara manusia dengan manusia yang begitu pantas, disusuli pula dengan kepesatan teknologi Multimedianya yang begitu menakjubkan, boleh dikatakan ia sebagai alat perhubungan yang mengagumkan manusia apabila ia dimiliki. Tetapi!, malangnya hari ini, segala kehebatan ciptaan manusia itu tidak digunakan ke jalan yang betul. Ada yang masih tidak segan silu menyimpan gambar dan momokan video yang memualkan. Tidak kiralah ia lelaki atau perempuan, selagi nafsu itu dikongkong oleh syaitan, maka ia menjadi satu kebanggaan yang perlu dipertontonkan. Ini semua satu budaya segelintir masyarakat kita amnya dekad ini, budaya yang menjerumuskan kita lagi ke mercu kekufuran tegar. Tanpa segan silu juga ada yang sanggup berkongsi dengan rakan, menyebarkan, malah ada yang melakukan. Ini sesuatu yang amat memilukan, satu pekara yang perlu kita perbincangkan lagi tentang tipisnya Iman seseorang itu, yang telah saya gambarkan sebentar tadi iaitu seperti setipis kulit bawang. Adakah ini yang dikatakan manusia yang mempunyai peradaban dan tamadun yang tinggi. Jika inilah yang menjadi kebanggaan manusia, maka saya percaya kita sebenarnya menuju ke ambang kehancuran yang dahsyat. Kehancuran sebuah tamadun yang memiliki umat yang khianat terhadap Rasulullah s.a.w dan melancarkan ‘perang’ kepada Allah s.w.t. Pekara inilah yang merungsingkan kita kala ini, pekara yang semakin hari semakin menjadi-jadi, pekara yang diketawakan oleh pihak Munafikun dan Kafir laknatullah. Mereka ketawa terbahak-bahak, sedangkan kita terpingga-pingga dengan perlakuan kita. Adakah kita sedar akan dengan rancangan mereka ini? Atau sedar dalam lena, sedar dalam mimpi, sedar dalam berdiam diri, sedar dalam alpa, sedar dalam dayus, semua ini perlu dijawab dengan mengunakan akal yang pemikiran kita. Kita bukan makhluk yang tidak berakal dan berilmu, kita bukan seperti haiwan, tumbuhan dan alam semesta ini, kita akan dibangkitkan, kita akan disoal, kita akan dipertanyakan, semua itu memerlukan jawapan yang konkrit, jawapan dari Iman dan Takwa dari kita. Mampukah kita menjawabnya nanti? Fikirkanlah!.
Jika kita bandingkan zaman Rasulullah s.a.w dan para Sahabat r.a, jauh bezanya dengan zaman yang kita lalui sekarang, kalau dilihat dari segi teknologinya pula, memang kita ke hadapan, zaman manusia berpusu-pusu mencari kemewahan, pangkat dan kemahsyuran sehinggakan menganggap dunia ini tempat mengumpul segala kehendak nafsunya. Ini berbeza sekali pada zaman Rasulullah s.a.w, zaman di mana hidup mentauhidkan Allah s.w.t dan menganggap dunia ini sebagai tempat persinggahan seperti musafir yang jauh perjalanannya dan berhenti seketika ke suatu tempat untuk berteduh dan memulakan kembali perjalanannya. Malahan tempat di mana untuk mengumpul segala amalan untuk bekalan hari kebangkitan nanti. Inilah yang telah terpahat dan diterapkan oleh Rasulullah s.a.w kepada sahabat-sahabatnya serta seluruh umat Baginda s.a.w. Butakah kita selama ini?. Kalau kita perhatikan Hadith Rasulullah s.a.w ini, kita dapati Beliau s.a.w menyatakan 5 pekara yang akan berlaku sebelum tibanya manusia itu menuju ke zaman kehancuran (Kiamat). Manusia semakin hari semakin banyak melanggar hukum Allah s.w.t, dan mengkhianati Baginda s.a.w, semakin hari semakin merumitkan manusia, dan semakin hari semakin jauh manusia terhadap Syariat-Nya. Beginilah sikap yang digambarkan oleh mereka, seolah-olah tiada pegangan batu asas dalam hidupnya. Contoh yang ketara yang boleh kita sama-sama lihat, ramai dikalangan orang Arab melancong ke negara Asean. Ini pekara yang patut kita perbincangkan lagi. Tidak salah menikmati suasana kehidupan majmuk masyarakat dunia, tetapi apa yang disangkakan itu tidak semestinya bertepatan dengan apa yang dirancangkannya. Sebaliknya Pak Arab ini (segelintir) sewenang-wenangnya melakukan pekara-pekara kemaksiatan. Negara kita pernah dikejutkan dengan satu peristiwa yang mengaibkan beberapa tahun yang lalu, di mana seorang gadis di bawah umur telah menjadi wanita perdagangan seks terhadap Pak Arab tersebut, dan pekara ini tidak diketahui oleh ibu dan bapa wanita tersebut. Allah Maha Berkuasa, Allah Maha Mengetahui, setiap tindak-tanduk itu telah diketahui umum, atas ketentuan dan kekuasaan Allah s.w.t. Apa yang malangnya ia diperlakukan oleh orang Islam dan melakukan juga datangnya dari negara Islam. Ini satu bentuk ceteknya ruang Aqidah dan Iman dalam diri seorang Muslim tersebut. Leka dengan kekayaan, kemewahan, keseronokan tanpa menghiraukan nas-nas Islam. Sepatutnya pelancong-pelancong dari negara arab tersebut perlulah menunjukkan sikap dan tauladan yang baik, di samping mereka melancong menikmati keindahan ciptaan Allah s.w.t, mereka juga sepatutnya berdakwah. Mereka rata-ratanya datang dari negara Para Anbiyaa, jadi tiada masaalah untuk mereka berdakwah dan menyebarkan Islam kepada penduduk Nusantara, bukan hanya menikmati dan menyebarkan kemaksiatan di negara Islam. Inilah satu bentuk pemikiran yang statik dan jumud berlegar-legar dalam diri umat Islam sekarang. Dengan mengakui beragama Islam, tetapi dalam masa yang sama memperlekeh-lekehkan Islam dan masyarakat Islam. Tidak kurangnya pula dengan perlakuan masyarakat Islam di negara kita (Malaysia), dengan budaya fesyen yang mengaibkan, budaya fahaman sesat, budaya dadah, budaya songsang, budaya samseng, budaya riba, budaya rasuah dan sebagainya. Ini memerlukan satu perbincangan yang lebih mendalam lagi. Lihat sahaja keadaan fesyen wanita sekarang, sungguh menjelekkan. Ada yang bertudung tetapi terdedah ditempat yang tidak sepatutnya, bertudung tetapi masih kelihatan rambut, bertudung tetapi memakai baju yang mengiurkan, bertudung tetapi memakai seluar yang ketat dan menampakkan benda yang tidak sepatutnya, dan sebagainya. Tidak percaya? Lihat sahaja rakan-rakan wanita kamu yang datang berkerja pada hari sabtu. Kalau pada hari jumaat ia kelihatan agak sopan, tetapi pada hari sabtunya pula berpakaian seperti “orang yang tidak cukup pakaian”. Inilah satu budaya ikutan yang telah dicedok bulat-bulat tanpa ditapis dan disejat oleh pemikiran yang majoritinya orang Islam. Begitu juga dengan kaum lelaki, berpeleseran waktu malam untuk mencari mangsa buasan nafsu, mengamalkan budaya songsang (gay), berjudi, meminum arak, dan sebagainya. Ini satu bentuk budaya yang saya samakan seperti di zaman Jahilliyah. Zaman di mana kegelapan manusia yang tidak bertamadun, zaman di mana manusia hidup dalam keadaan saling membunuh, tiada agama, berzina dan sebagainya. Pekara ini yang ditakuti kita selama ini. Pekara yang perlukan perbincangkan dengan meluas dan mendalam. Perlu diingati juga bahawa majoritinya ia dikalangan umat dan negara Islam. Islam mengajar manusia agar hidup berprinsip, hidup bertamadun, hidup dengan kesejahteraan tanpa dilingkari dengan kemaksiatan. Ini semua janji yang telah termaktub. Sedarkah kita akan hakikat ini? Fikirkanlah!.
Bertepatan dengan Hadith ini juga, Rasulullah s.a.w menyatakan satu golongan di mana manusia gemar mencantikkan dan mengindahkan Rumah Allah (masjid) dengan pelbagai ragam dan suasana. Malahan Baginda s.a.w turut menyatakan bahawa ada golongan yang membaca Al-Quran tetapi tidak mengamalkannya. Hadith ini bertepatan dan bersesuaian dengan apa yang telah kita perbincangkan ini. Jika kita perhatikan negara Islam amnya, mereka mempunyai banyak masjid yang indah-indah, boleh dikatakan setiap negara Islam mempunyai masjid yang besar dan tersergam indah. Ini adalah suatu pekara yang perlu kita perluaskan lagi perbincangan kita. Tidak salah memiliki atau membina masjid-masjid yang indah-indah, kerana itu suatu yang mendatangkan kekhusyukan dalam bersolat dan menghadirkan lagi jemaah ketika bersolat atas sebab cintanya tempat ibadat tersebut. Apa yang hendak diperjelaskan dan diperkatakan di sini adalah, tersergamnya masjid atau rumah ibadat yang indah dan suasana di dalamnya yang serba kemodenan dan kemewahan, diikuti pula ditempat yang menarik para jemaah untuk beribadat. Tetapi apa yang malangnya ia kelihatan sunyi, bukan beerti sunyi dari perbualan kosong para jemaah dan riuh rendah dari kanak-kanak, tetapi sunyi dari aktiviti yang sepatutnya dilakukan di dalam masjid sebagai seorang Muslim. Sunyi dari kedengaran bacaan Al-Quran, sunyi dari kuliah-kuliah ilmu, sunyi dari amalan zikrulullah dan sebagainya. Apa yang kelihatan adalah riuhnya perbualan dari pelancong-pelancong yang sedang menikmati keindahan masjid tersebut. Masjid yang menelan jutaan ringgit, dengan kesan teknologinya yang canggih dan moden, sistem organisasinya yang menarik, tetapi malangnya kita pada hari ini, saf yang sepatutnya boleh di muatkan hampir lebih 5 ribu jemaah, masih tidak dapat dipenuhi walaupun 1 saf. Kenapa kita perlu banggakan dengan kekayaan dan kemewahan yang terdapat pada masjid tersebut?. Dengan kutipan wang pada solat jumaat hampir puluhan ribu ringgit tetapi tanah perkuburan yang terdapat di sekitar masjid masih bersemak samun, seperti tidak dijagai. Ke manakah perginya sikap-sikap para pentadbir masjid?, lupakah mereka bahawa suatu hari nanti tempat tersebut sama-sama kita diami. Pekara ini seperti suatu keasyikan panorama mata dari melakukan pekara yang sepatutnya. Wang yang sepatutnya itu tidak digunakan pada tempat dan keadaan yang betul, mungkin kita perlu mengkaji semula pada diri kita, dan melihat kembali rumah-rumah ibadat agama yang lain. Sebagai contoh yang hendak saya utarakan di sini dalam agama kristian. Saya tidak menyatakan ia sesuatu yang bertepatan, malah saya tidak menyifatkan pihak agama lain bagus dari pihak kita, tetapi biarlah kita melihat pekara-pekara yang sepatutnya kita ketengahkan demi untuk mentauhidkan Islam. Biarlah kita membuka kotak pemikiran kita ini seluas-luasnya untuk mencanang kembali organisasi sistem masjid kita. Ini satu bentuk pemikiran yang bernas dan pengkajian tentang ini perlulah melalui pemikiran yang adil dan telus untuk menjadikan kita agar tidak buta hati. Pihak gereja amnya, mereka menyediakan rumah ibadat mereka sekadar ala kadar, tetapi dalam msa yang sama mereka menyediakan ruang dan tempat untuk penganutnya berasa selesa. Sebagai contoh, ada gereja yang menyediakan hospital, klinik, perpustakaan, sekolah, balairaya, tempat riadah dan sebagainya. Jika pihak gereja tersebut boleh melakukan pekara tersebut, kenapa kita yang terang-terang mempunyai dana yang cukup besar, masih tidak dapat melakukannya, duit yang sepatutnya itu mestilah disalurkan ke tempat yang sepatutnya, bukan sekadar untuk mencantikkan dan mengindahkan masjid tanpa memikirkan kebajikan umat Islam. Kebajikan umat Islam itu perlulah didahulukan, kita ini majoritinya dari kalangan orang-orang yang miskin dan memerlukan ruang kebajikan. Jika duit itu dihabiskan dengan membeli perabut dan peralatan yang mahal harganya dan diimport pula dari luar negara, maka di situ saya nampak ada pembaziran yang tegar. Masjid adalah tempat ibadat, tempat untuk menyatupadukan umat Islam, tempat untuk menuntut Ilmu dan tempat untuk mentauhidkan Islam. Maka gunakanlah situasi itu sebaik mungkin, ia bukan tempat untuk dibanggakan, dimegahkan dan dipercantikkan, ini semua fahaman yang sempit. Bukalah mata hati kita, kita sebenarnya telah menyempitkan lagi Islam itu atas dasar perlakuan pekara kita yang jumud itu. Jika suasana masjid itu mempunyai banyak ibrah dan kebajikan kepada manusia, maka tidak mustahil, orang bukan Islam tertarik dengan organisasi koordinasi sistem kebajikan umat Islam. Bukankah ini sesuatu bentuk dakwah?. Dakwah secara halus. Pekara ini yang sepatutnya kita perjuangkan dan kembangkan dalam setiap sistem masjid kita.
Hadith Rasulullah s.a.w ini juga menyatakan bahawa, ada golongan ulama’ palsu. Di mana ulama’ ini merupakan golongan yang cintakan duniawi, cintakan kemewahan, cintakan pangkat, cintakan kedudukan, cintakan pemimpin yang melakukan kekufuran dan sebagainya. Ini satu bentuk fahaman yang perlu kita perjelaskan lagi dengan mendalam. Pekara ini sebenarnya telah saya perjelaskan dalam posting saya yang lalu iaitu “Tazkiatun Nafs” di mana saya telah jelaskan panjang lebar akan 3 golongan ulama’ yang patut kita jauhi dan dekati. Bacalah kembali posting saya tersebut untuk menyegarkan kembali panduan hidup kita. Ada yang perlu kita perjelaskan dengan lisan, dan ada yang perlu kita perlihatkan dengan hujah. Semua ini bergantung kepada pemahaman peribadi seseorng, jika Hidayah Allah s.w.t itu bertepatan dan tuju pada tempatnya, maka ia akan membuka mata hatinya untuk mencari kebenaran, jika ia terpesong jauh, maka kekufuran itu menantinya. Pergunakanlah pemikiran kita yang waras ini untuk mencari dan mengupas, apabila soal ulama’-ulama’ ini diperjelaskan. Bacalah buku-buku tentang sifat seorang peribadi Muslim contoh yang banyak terdapat di pasaran.
Hadith ini juga menyatakan tentang hadirnya fitnah yang amat berleluasa. Fitnah di mana mengancam situasi kita sebagai seorang Muslim. Pekara ini sememangnya berlaku dan sedang berlaku. Jika kita lihat dalam negara kita (Malaysia), pekara memfitnah ini satu budaya biasa bagi mereka yang jahil. Malangnya itu pula, ia diperlakukan oleh orang-orang Islam terhadap Orang Islam juga. Ini suatu yang memalukan, sesuatu yang diperbincangkan dan diperhujahkan dengan tertil lagi. Seringkali kita terdengar di dada akhbar, media massa dan elektronik, pekara fitnah ini merupakan pekara yang amat-amat dibimbangi oleh Rasulullah s.a.w. dalam Hadith Beliau s.a.w, Baginda s.a.w menyatakan akan hadirnya nanti suatu fitnah yang mengancam Umat Islam khasnya. Sebenarnya pekara ini telah berlaku sejak dari zaman Sahabat r.a lagi, Sebagai contoh dengan fitnah, Saidina Umar Al Khatab r.a dibunuh, Dengan fitnah, kerajaan Andalus (Sepanyol) di robohkan, dengan fitnah juga, Kerajaan Uthmaniyah tumbang, dengan fitnah kerajaan Islam Iraq rebah, dengan fitnah umat Islam seluruh dunia dalam ketakutan. Ini satu bentuk fahaman pihak kafir untuk memecah belahkan umat Islam. Dengan fitnah itu juga membolehkan mereka (pihak kafir), lebih berkuasa dari pihak Islam. Tetapi apa yang berlaku masa kini, fitnah tersebut dilakukan terhadap orang Islam dan perlakunya pula datangnya dari orang Islam. Sebagai contoh yang ketara, kita dikejutkan dengan penglibatan pihak Pentadbiran Kerajaan Pakistan terhadap Pihak Islam Taliban. Fitnah yang dibawa oleh Amerika terhadap orang Islam itu sebenarnya disambut baik oleh Pihak Kerajaan Pakistan atas dasar kemewahan berbilion dolar yang telah dijanjikan. Maka dengan fitnah itu juga kerajaan Islam Taliban tumbang ditangan orang Islam yang dibonekakan oleh pihak kafir. Ini merupakan suatu bentuk pemahaman yang perlu kita perjelaskan lagi. Sebagai contoh yang ketara dalam arena politik kita sekarang, budaya fitnah berleluasa, dan budaya ini dipelopori oleh orang yang mengakui beragama Islam, sedangkan ia adalah satu bentuk boneka yang telah dimainkan oleh pihak yang tertentu untuk memecah belahkan umat Islam. Lupakah kita akan peristiwa penaklukan pihak Portugis terhadap kota Melaka, di mana pihak Melaka telah difitnahkan oleh mereka-mereka ini. Dengan fitnah itu juga maka tumbanglah Empayar Kesultanan Melayu Islam Melaka. Dengan Fitnah itu juga kita dijajah dengan begitu lama sekali. Ini suatu bentuk mainan yang telah dikelolakan oleh pihak kafir untuk menjadikan Umat Islam saling bermusuhan sesama sendiri, walaupun kita adalah dari Umat yang sama. Tidak terkecuali juga dengan Para Ulama’ kita, mereka sering difitnah, dicaci, dipenjarakan dan diperlakukan seperti orang yang tidak bertamadun. Ulama’ merupakan golongan yang sering menjadi bahan fitnah rambang oleh pihak Munafikun dan kafir. Inilah yang sebenarnya terjadi dalam dunia Islam. Dunia yang penuh dengan muslihat keduniaan. Maka dengan itu, hadith ini bersesuaian dengan apa yang telah Baginda s.a.w nyatakan ini terhadap apa yang akan dan telah berlaku kelak. Ia bertepatan sekali, bertepatan dengan masa, tempat, kedudukan dan peristiwa.
Oleh yang demikian, Hadith ini merupakan satu pengajaran dan nasihat yang ibrah untuk kita, sesuai dengan keadaan kita yang akan menuju menemui Allah s.w.t mengikut ketentuan-Nya. Setelah jauh dan panjang lebar kita perbincangkan, maka dapat kita sama-sama menjadikan ia satu pengajaran dan pedoman yang berguna untuk diri dan generasi kita. Pekara ini sering saya nasihatkan pada diri saya dan kamu semua di setiap posting saya yang lalu. Ini sedikit sebanyak mengigatkan kembali akan diri kita terhadap-Nya.
Masih segar dalam ingatan saya, di mana ketika itu saya pernah mengajukan soalan kepada ibu saya semasa saya masih kecil, ketika itu saya masih bersekolah rendah dan mengikuti serta membantu ibu saya bekerja di ladang getah kami. Perasaan ingin tahu itu menebal dalam diri saya. Ayah saya sering mengadakan kuliah ilmu selepas solat maghrib, ketika itu kami sekeluarga sering bersama-sama solat berjamaah di rumah kami. Saya bertanya kepada ibu saya “Di manakah Allah Ibu?”. Soalan yang pelik lagi terpegun itu lalu disapa oleh ibu saya dengan satu jawapan yang masih segar dalam ingatan saya sampai ke hari ini. Lalu ibu saya berkata : “Allah itu wujud tapi tiada 'bertempat'”, “Allah bukan di Arasy seperti mana yang telah orang Kristian dan Yahudi nyatakan”. Lantas ibu saya berhenti seketika, dan menjelaskan kepada saya dengan penuh amati sekali. "Allah Maha Agong, sesuai dengan Zat-Nya. Kita orang Islam mempercayai Rukun Iman. Iman itu membenarkan kita yakin dengan sepenuh hati bahawa Allah itu wujud tetapi tiada bertempat, Allah bukan di Arasy, di atas, di sebelah kita, di langit dan di mana-mana sahaja. Kepercayaan orang Yahudi dan Nasrani yang menganggap bahawa Allah s.w.t berada di Arasy adalah pekara yang menyamai Allah s.w.t dengan makhluk ciptaan-Nya. Mana mungkin Allah s.w.t yang menciptakan sesuatu, dan Allah s.w.t menumpang melaluinya. Mana mungkin Allah s.w.t menciptakan alam semesta, dan Allah s.w.t berpaut kepadanya. Mana mungkin Allah s.w.t yang menciptakan Arasy, dan Allah s.w.t bersemayam dan berada di Arasy. Allah tidak berpaut dan bergantung kepada sekelian ciptaan-Nya.. Allah Maha Besar, Allah Maha Berkuasa. Sesuai dengan Zat-Nya. Orang-orang Yahudi dan Nasrani mempercayai bahawa Allah itu berada di atas, iaitu di Arasy. Kita sebagai orang Islam mempercayai bahawa Allah s.w.t itu terlalu Agong. Allah Maha Melihat segala gerak geri kita. Akal manusia tidak tergapai untuk mentafsirkannya. Sebab itu ibu pesan pada adik (saya) agar jangan melakukan kesalahan yang boleh membawa kemurkaan kepada Allah s.w.t. Setiap apa yang adik (saya) lakukan Allah Maha Melihat dan Allah Maha Mengetahui..” Ibu terlalu berhati-hati ketika ia menjelaskan penerangannya itu kepada saya. Kata-kata dari ibu saya ini sudah menjangkaui lebih 15 tahun yang lalu, tetapi kesannya masih bertaut dalam hati saya hingga ke hari ini. Sehinggakan setiap kali saya mendoakan kesejahteraan untuk mereka, saya sering mengalirkan airmata yang amat deras apabila mengingatkan kembali jasa-jasa mereka kepada kami sekeluarga ketika kami masih kecil dahulu. Ini merupakan kata-kata dan nasihat yang menarik dalam hidup saya, yang mungkin tidak akan saya luputkan dalam ingatan saya selama-lamanya.
Oleh yang demikin, pergunakanlah ruang kita yang sesuai dengan keadaan kita sekarang ini untuk mentauhidkan Allah s.w.t. Ada yang mempunyai jawatan yang tinggi tetapi terlalu ego untuk bersujud, ada yang rendah kedudukannya dalam masyarakat, tetapi tekun mendekati diri dengan Allah s.w.t. Ada yang kaya-raya, fakir kedana tetapi masih kufur dengan Allah s.w.t. Semua ini rencah-rencah kehidupan yang perlu kita ketahui. Ingatlah saudara-saudariku, kita hidup punyai hasrat dan matlamat sebagai Khalifah-Nya. Janganlah kita tersungkur sebelum berjuang, dan undur ketika bertempur di medan perang. Beringat-ingatlah, kita pasti akan ketemui-Nya di akhirat nanti. Dengan keadaan apa yang patut kita persiapkan untuk bertemu dengan-Nya. Pergunakanlah ruang yang ada dalam kehidupan kita ini sebaik mungkin, mungkin hari ini, mungkin esok, mungkin lusa, mungkin tulat, mungkin seminggu, mungkin sebulan, mungkin setahun kita akan “pergi” menemui-Nya. Ini semua adalah ketentuan dari-Nya. Maka dengan itu saya berpesan untuk diri saya dan kamu yang sedang membaca posting saya ini bahawa kita punyai 3 pekara yang perlu kita mencari jawapannya ketika kita masih bernafas ini.
1) Siapakah yang menciptakan kita?
2) Apakah tujuan kita hidup di muka bumi ini?
3) Kemanakah arah kita, setelah wafat nanti?
Semoga dengan apa yang kita perbincangkan ini memberi banyak impak motivasi dan jatidiri dalam setiap kehidupan kita kelak. WaAllahualam.
No comments:
Post a Comment