Saturday, 12 December 2009

Beriman Kepada Malaikat.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Selamat sejahtera. Pujian dan syukur kehadrat Allah s.w.t yang telah menciptakan segala makhluk yang ada di alam ini. Sungguh besar kekuasaan-Nya tidak ada satupun kekuasaan selain Dia yang dapat menciptakan dan menjaga alam dan segala isinya. Selawat dan salam kepada Rasulullah s.a.w yang merupakan kekasih Allah pembawa kebenaran untuk seluruh makhluk di dunia ini.

Malaikat adalah makhluk Allah yang taat dan setia kepada-Nya. Dalam keadaan bagaimanapun ia tetap berzikir dan membesarkan kebesaran Allah s.w.t.. Hadith Rasulullah s.a.w telah menjelaskan kepada kita bahawa malaikat itu diciptakan daripada ‘nur’ (cahaya).


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

“Malaikat itu diciptakan daripada nur, jin diciptakan daripada nyalaan api dan Adam diciptakan daripada apa yang telah disifatkan kepadamu”.


Ikrimah berkata :

“Malaikat itu diciptakan daripada ‘nurul izzah’."


Yazid bin Rumman pula berkata :

“Telah sampai khabar kepadaku bahawa malaikat itu diciptakan daripada ‘Ruhullah’”.


Ramai di antara ahli sejarah memperkatakan tentang masa malaikat diciptakan dan mereka telah menyebutkan bermacam-macam Qaul dan pendapat yang kesemuanya itu tidak berasaskan dalil dari Al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Apa yang saya terangkan nanti adalah sesungguhnya Allah s.w.t telah menciptakan malaikat itu sebelum Dia menciptakan manusia. Tegasnya, malaikat diciptakan lebih dahulu daripada manusia. Ia dapat dilihat di dalam Al-Quran bahawa Allah s.w.t telah memberitahu kepada para malaikat bahawa Dia akan menjadikan Khalifah di muka bumi ini iaitu manusia.


Firman Allah s.w.t :

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. (Surah Al-Baqarah – Ayat 30).


Jumlah bilangan malaikat itu sangat ramai. Tidak ada dalil menunjukkan tentang berapakah jumlah malaikat yang sebenar, kecuali hanya dalil yang mengatakan bahawa jumlahnya begitu banyak sekali. Dan disebutkan bahawa yang mengetahui jumlah malaikat sebenar hanyalah Allah s.w.t.


Firman Allah s.w.t :

“Dan (ketahuilah bahawa hikmat) Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal neraka itu melainkan (dari kalangan) malaikat, (kerana merekalah sekuat-kuat dan sebenar-benar makhluk yang menjalankan perintah Kami); dan (hikmat) Kami tidak menerangkan bilangan mereka melainkan dengan satu bilangan yang menyebabkan kesesatan dan kesengsaraan orang-orang kafir itu, supaya orang-orang yang diberi Kitab (Yahudi dan Nasrani) boleh percaya dengan yakin (akan kebenaran Al-Quran), dan supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya; dan juga supaya orang-orang yang diberi Kitab dan orang-orang yang beriman itu tidak ragu-ragu (tentang kebenaran keterangan itu); dan (sebaliknya) supaya orang-orang (munafik) yang ada penyakit (ragu-ragu) dalam hatinya dan orang-orang kafir berkata: “Apakah yang di maksudkan oleh Allah dengan menyebutkan bilangan ganjil ini?” Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja. Dan (ingatlah, segala yang diterangkan berkenaan dengan) neraka itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia.” (Surah Al-Muddaththir – Ayat 31).


Firman Allah s.w.t :

“(Malaikat pula menegaskan pendirian mereka dengan berkata): “Dan tiada sesiapapun dari kalangan kami melainkan ada baginya darjat kedudukan yang tertentu (dalam menyempurnakan tugasnya); “Dan sesungguhnya kamilah yang sentiasa berbaris (menjunjung perintah dan beribadat), “Dan sesungguhnya kamilah yang sentiasa bertasbih (mensucikan Allah dari sebarang sifat kekurangan)!” (Surah As-Shaffat – Ayat 164-166).


Ada juga beberapa hadith Rasulullah s.a.w menyatakan ketika Baginda s.a.w sedang berada di majlisnya tiba-tiba Baginda bersabda :


“Apakah engkau mendengar apa yang kami dengar?”


Para sahabat bertanya :

“Apa yang sedang anda dengar wahai Rasulullah?”


Rasulullah s.a.w menjawab :

“Langit berbunyi dan benar padanya suara. Tidak ada tempat satu kakipun di langit melainkan terdapat malaikat yang sedang berdiri, rukuk atau bersujud di situ.”


Kemudian Baginda s.a.w membaca ayat yang ertinya :

“Sesungguhnya kami benar-benar bertasbih (kepada Allah s.w.t).”


Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud :

“Pada hari itu akan didatangkan neraka Jahannam, padanya terdapat 70,000 tali pengikat yang ditarik oleh 70,000 malaikat” (H.R Muslim).


Setelah kita mengetahui akan jumlah banyaknya malaikat di alam semesta ini, maka persoalan akan timbul dalam kotak pemikiran kita. Persoalan untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi tentang malaikat ini menunjukkan bahawa betapa teguhnya keimanan kita terhadap Allah s.w.t. Pada umumnya, sebagaimana yang kita ketahui, manusia (segelintir) sering menyamai malaikat itu dengan makhluk yang lain. Ada yang perlu kita kongsikan di sini, dan ada yang perlu kita fikirkan akan kekuasaan Allah s.w.t terhadap makhluk-Nya. Janganlah dengan hanya melampirkan pengetahuan-pengetahuan yang cetek membuatkan diri kita hampir dengan gejala Khurafat dan Syirik terhadap Allah s.w.t. Maka dengan itu, saya akan lampirkan dua persoalan yang berbentuk Aqidah untuk kita sama-sama dapat mengetahui akan hakikat sebenar makhluk ciptaan Allah s.w.t ini.




1) Apakah malaikat akan mati?


Jawapannya ; Ya, malaikat akan mati dan makhluk-makhluk yang lain juga tetap akan mati.


Pekara ini terjadi apabila sangkakala telah ditiup. Iaitu pada tiupan kedua yang pada waktu itu akan mati semua makhluk yang hidup di langit dan di bumi kecuali yang di kehendaki oleh Allah s.w.t, sebagaimana yang telah diterangkan dalam hadith Rasulullah s.a.w tentang ketika berlakunya kiamat kelak. Kemudian Allah s.w.t akan mencabut roh-roh makhluk yang masih hidup itu sehinggalah yang paling akhir sekali iaitu malaikat maut. Maka tinggallah sendiri Zat Yang Maha Hidup dan Maha Kekal iaitu Allah s.w.t.


Pada Ketika itu Allah s.w.t akan berfirman :

“Untuk siapakah kerajaan pada hari ini?”


Kemudian Dia menjawab sendiri pertanyaan-Nya itu.

“Untuk Allah Yang Maha Satu yang Maha Perkasa.”


Dalil yang menunjukkan bahawa malaikat itu akan mati ialah firman Allah s.w.t yang bermaksud :


“Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).” (Surah Az-Zumar – Ayat 68).


Firman Allah s.w.t :

“Dan janganlah engkau menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah. Tiada Tuhan melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah. BagiNyalah kuasa memutuskan segala hukum, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan (untuk dihitung amal masing-masing dan menerima balasan).” (Surah Al-Qasas – Ayat 88).


Rasulullah s.a.w bersabda berkenaan dengan kisah trompet (sangkakala) yang mahsyur ini :


Kemudian Allah s.w.t memerintahkan malaikat Israfil.


Maka ditiuplah trompet itu, maka matilah semua penghuni langit dan bumi kecuali yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.


Berkata malaikat maut :

“Telah mati semua penghuni langit dan bumi kecuali yang Engkau kehendaki.”


Allah s.w.t bertanya : (Sebenarnya Dia lebih mengetahui).

“Siapakah yang masih hidup?”


Berkata malaikat maut :

“Tinggallah Engkau Zat yang maha Hidup tidak mati, malaikat pembawa Arasy, malaikat jibril, malaikat mikail dan aku.”


Allah s.w.t berfirman :

“Matilah Jibril dan Mikail!”


Malaikat Jibril dan Mikail pun mati. Kemudian malaikat maut datang melaporkan kepada Allah s.w.t :

“Malaikat Jibril dan Mikail telah mati.”


Allah s.w.t berfirman :

“Matilah malaikat pembawa Arasy!”


Kemudian mereka pun mati. Allah s.w.t memerintahkan pada Arasy, maka Allah mengambil sangkakala dari malaikat Israfil. Kemudian Malaikat maut datang kepada Allah s.w.t dan melaporkan :


“Wahai Tuhanku, malaikat pembawa ArasyMu telahpun mati.”


Allah s.w.t bertanya :

(Sebenarnya Dia lebih mengetahui). "Siapakah yang masih hidup?”


Malaikat maut menjawab :

“Tinggallah Engkau Zat Yang Maha Hidup, tidak mati dan tinggallah aku.”


Allah s.w.t berfirman :

“Engkau makhluk di antara makhluk juga Aku menciptakan engkau sebagaimana engkau telah ketahui, maka matilah engkau!”


Maka Malaikat maut pun mati.


2) Adakah malaikat itu berpasangan?

Jantina lelaki atau perempuan tidak saja ada pada makhluk yang bernama manusia, tetapi jantina itu juga ada pada haiwan, tumbuh-tumbuhan dan benda-benda lain. Semua makhluk yang ada itu terdiri daripada jantan dan betina, bahkan benda yang tidak dapat dilihat oleh mata manusia juga terdiri dari jantina yang berlawanan; Sebagai contoh aliran elektrik, ia terdiri daripada elemen positif dan negatif. Dengan penjanaan kuasa berpasangan tersebut maka dapatlah ia menghasilkan satu kuasa yang membolehkan ia bergabung lalu menjadi aliran elektrik yang kukuh.


Firman Allah s.w.t :

“Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kami dan mengingati (kekuasaan kami dan mentauhidkan Kami).” (Surah Az-Zariyat – Ayat 49).

Firman Allah s.w.t :

“Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan - lelaki dan perempuan”. (Surah An-Najm – Ayat 45).


Firman Allah s.w.t :

“Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.” (Surah Yassin – Ayat 36).


Maka dengan itu, jelaslah kepada kita bahawa semua makhluk itu terdiri dari lelaki dan perempuan sebagaimana yang telah disebutkan dalam Al-Quran, kecuali malaikat sahaja yang tidak termasuk dalam ayat tersebut. Malaikat tidak lelaki dan tidak perempuan. Mereka hanya disebut Allah s.w.t sebagai “Ibadurrahman” atau hamba-hamba Allah yang Maha Pemurah. InsyaAllah akan saya lanjutkan lagi kisah-kisah mengenai malaikat ini diposting yang akan datang untuk kita sama-sama mengetahui dengan lebih mendalam tentangnya lagi. WaAllahua'lam.


No comments:

Post a Comment

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails