Saturday, 14 November 2009

Jangan Seperti Buih.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera. Alhamdulillah syukur kehadrat Illahi, Salam dan Selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w , Ahli keluarga Baginda dan Sahabat-sahabatnya. Aku bersaksi tiada Tuhan yang wajib disembah kecualiNya dan Muhammad s.a.w itu Hamba dan PesuruhNya. Segala Puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam .

Daripada Tsauban r.a berkata : Rasulullah s.a.w Bersabda, “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni talam hidangan mereka”. Maka salah seorang sahabat bertanya, “Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi s.a.w menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir dan Allah s.w.t akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah s.w.t akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit “Wahan”. Seorang sahabat bertanya : “Apakah Wahan itu Ya Rasulullah?” Nabi menjawab : “Cinta pada dunia dan takut pada mati,”

(Hadith Riwayat Abu Dawud R.A).




Berkisarkan kepada Hadith Rasulullah s.a.w ini yang telah menjangkaui lebih dari 1400 tahun yang lalu, ia mengisahkan tentang satu golongan yang di mana Rasulullah s.a.w sifatkan sebagai orang yang mencintai akan keduniaan dan golongan orang yang rakus dalam mengejar kemewahan, kemasyuran dan kekayaan duniawi. Hadith ini juga telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dengan begitu tertil dan sempurna sekali. Jika kita perhatikan dari sudut pemahaman logik akal, maka dapat kita tafsirkan bahawa Rasulullah s.a.w itu seperti Al-Furqan yang bergerak, senantiasa Sahabat-sahabat r.a mengkaji, mencari dan mengupas setiap ilmu yang telah Rasulullah s.a.w ajarkan kepada mereka mengikut ketentuan dan syariat Allah s.w.t. Tetapi lain pula pendapat pihak Ahli kitab menyatakan bahawa Al-Quran itu adalah hasil karya Nabi s.a.w. Dengan menyatakan sesuatu yang tidak diterima akal, tidak menjiwai sifat sebagai seorang yang berilmu dan bertamadun, maka segala tomahan itu ditolak sama sekali oleh para Sahabat r.a dan Baginda s.a.w. Maka dengan itu, segala pertuduhan dari pihak Ahli kitab dapat kita lihat melalui Hadith ini, di mana Hadith ini telah dinyatakan 1400 tahun yang lalu dan ia berlaku sehingga ke hari ini. Bukankah ia menunjukkan bahawa itu Mukjizat yang terdapat pada Nabi s.a.w. Mana mungkin seorang manusia boleh meramalkan sesuatu pekara dan kejadian yang akan datang melalui pengetahuannya sendiri, kecuali melalui Mukjizat dan Wahyu dari Allah s.w.t. Inilah yang terdapat pada Rasulullah s.a.w, di mana Allah s.w.t mengangkat insan mulia ini di sisinya sebagai Pesuruh-Nya untuk sekelian manusia. Oleh yang demikian segala pembohongan dan pengkhianatan yang telah dilemparkan oleh pihak Ahli kitab dapat dipatahkan sedikit demi sedikit. Maka dengan itu segala persoalan yang membelenggu manusia itu telah terjawab dengan begitu adil sekali.



Hadith ini juga menyatakan bahawa golongan manusia yang mempunyai sifat cintakan duniawi, cintakan kemewahan, cintakan kemahsyuran, cintakan pangkat dan sebagainya untuk menjamin mereka lebih berkuasa dari kalangan manusia. Mempunyai sifat yang tamak dengan kebendaan, tamakkan kuasa dan sebagainya membuatkan manusia itu mudah leka dan amat jauh menyimpang dari Allah s.w.t. Inilah yang benar-benar berlaku terhadap umat Islam masa kini, mereka mempunyai harta yang banyak, sehingga melimpah ruah, dengan negaranya yang kaya raya dengan sumber galian yang berlimpah-limpah, dengan kekayaan teknologi canggih dari sistem elektrik dan elektroniknya, tetapi begitu lemah dalam menguruskan segala sumber-sumber tersebut, sehinggakan sanggup melantik golongan Ahli kitab untuk menguruskan segala harta dan dana mereka. Beginilah sikap-sikap umat Islam dekad ini, lebih mempercayai orang-orang bukan Islam dari orang-orang Islam yang sepatutnya. Perlu kita ketahui, bahawa musuh-musuh Islam ini tidak akan duduk berpeluk tubuh, mereka ingin melihat dunia Islam jatuh dan lumpuh. Di sebalik itu juga, umat Islam dekad ini, begitu alpa dengan suruhan dan arahan Allah s.w.t agar kembali kepada Syariat-Nya. Dengan adanya sikap yang begitu bakhil, dalam diri mereka itulah yang menyebabkan begitu ramai kalangan umat Islam merempat di negara sendiri, walaupun mempunyai hasil keluaran bumi yang begitu banyak. Lihat sahaja keadaan ini di negara Arab khasnya, pemimpinnya begitu kaya-raya, sehinggakan harta tersebut kian bertambah setiap minit hingga ke minit seterusnya, tetapi dengan adanya kekayaan tersebut, mereka tidak dapat menjalankan Syariat-Nya atas dasar sifat ketamakkan yang terpahat dalam hati-hati mereka. Mereka lebih rela menghabiskan harta-harta mereka ke jalan yang mungkar, dengan menaja sesuatu sukan yang diterajui oleh pihak Ahli Kitab. Sebagai contoh, dalam arena sukan Bola sepak, Permotoran, Pelayaran, dan sebagainya. Tetapi dalam masa yang sama, ada pihak yang dhaif dari kalangan umat Islam yang memerlukan dana tersebut untuk menampung kehidupaan hariannya. Inilah sikap-sikap segelintir pihak yang mengakui beragama Islam, tetapi mengenepikan Syariat Islam. Pekara ini berlanjutan lagi, apabila negara UAE dinobatkan sebagai negara yang pesat membanggun dari segi pembanggunan infrastrukturnya. Ia merupakan negara yang dipimpin oleh Khalifah yang mengakui dirinya Islam. Tetapi apa yang malangnya, segala projek untuk membanggunkan negara tersebut diterajui oleh orang bukan Islam. Manakala orang Islam diletakkan diperingkat terbawah sekali. Lihat sahaja Umat Islam yang berbangsa Indonesia, Malaysia, Bangladesh, India, Uzbek, Yaman, Mesir dan sebagainya bekerja sebagai orang bawahan. Beginilah sikap segelintir Umat Islam masa kini, sering mengagungkan orang bukan Islam berbanding orang Islam. Sikap inilah yang telah Baginda s.a.w gambarkan dalam Hadith beliau. Dengan adanya sikap tamak, rakus, bakhil dan tiada sifat untuk memperjuangkan Agama Islam itulah yang terpatri dalam setiap hati-hati manusia yang mengakui beragama Islam. Hadith ini bertepatan sekali dengan apa yang telah terjadi dekad ini. Ia dapat dilihat dengan begitu jelas sekali, walaupun Hadith ini telah dinyatakan Baginda s.a.w sejak 1400 tahun yang lalu.


Hadith ini juga menerangkan golongan orang Islam yang leka akan kehidupan duniawi. Jika kita ajukan soalan ini kepada kanak-kanak yang berumur 5 tahun ke atas, mereka mengetahui malah diajar oleh guru agama mereka, di mana kehidupan dunia ini bersifat sementara, malah kehidupan di akhirat di sisi Allah s.w.t itulah yang kekal abadi. Tetapi persoalannya, apabila ia diajukan kepada manusia yang mempunyai akal kewarasan fikiran dan berilmu duniawi, mereka menyatakan bahawa, mereka seolah-olah hidup di muka bumi ini selama-lamanya. Mereka menganggap bahawa harta dan kekayaan itu adalah segala-galanya. Malah dengan kekayaan itu membuatkan mereka lebih berkuasa. Sombongnya manusia-manusia seperti ini. Sanggup mengenepikan segala ajaran yang telah Baginda s.a.w ajarkan. Sanggup mengkhianati Agama Islam. Mungkin mereka-mereka ini terlupa, bahawa setiap harta kita itu milik Allah s.w.t. Bila sudah ditentukan oleh-Nya, maka harta itu perlu dipulangkan kepada yang berhak. Sebagai contoh, kereta atau motorsikal yang kita miliki, adakah kenderaan tersebut boleh bertahan selama-lamanya?. Mungkin suatu hari nanti kenderaan tersebut akan hilang, rosak atau dicuri oleh orang lain. Ia tidak akan kekal selama-lamanya di tangan kita, ia bersifat sementara. Begitu juga dengan mahligai kita yang indah itu, sampai masa ia akan musnah juga, akibat dari ribut, gempa, banjir, tanah runtuh dan sebagainya, dan ia tidak akan kekal. Tiada harta dan kekayaan di muka bumi ini akan kekal, semuanya akan hancur mengikut kehendak dan ketentuan dari-Nya. Pekara inilah yang perlu kita tauhidkan dalam diri kita, agar tidak terpesong jauh dari landasan-Nya. Hadith ini juga menerangkan bahawa, manusia di akhir zaman nanti akan takut untuk menginfakkan harta-hartanya atas sikap ketamakkan dan kerakusannya sendiri terhadap umat Islam yang memerlukan. Pekara ini sememangnya benar-benar berlaku, lihat sahaja di negara kita (Malaysia), saban hari kita lihat dikaca tv dan di dada akhbar, begitu banyak insan-insan yang dhaif, malangnya ia adalah orang-orang yang beragama Islam. Kalau kita lihatnya pula, ada kanak-kanak kecil yang pagi-pagi sudah keluar mencari rezeki di hutan-hutan, tempat-tempat sampah, di kebun-kebun dan sebagainya untuk mencari sesuap nasi untuk menampung keluarga mereka. Kadang-kala terfikir juga akan kita, ke manakah perginya orang-orang kaya yang sepatutnya membantu mereka-mereka ini?. Ke manakah perginya badan-badan yang sepatutnya membantu mereka-mereka ini? Seperti JKKKP, Jabatan Kemajuan Masyarakat, Pusat Zakat, dan sebagainya. Adakah mereka-mereka ini tidak mengetahui atau masih leka di kerusi empuk mereka. Sedangkan apa yang telah kita ketahui umum, bahawa wang untuk disalurkan kepada mereka-mereka ini sebenarnya mempunyai peruntukan, malah wang zakat di negara kita ini mencecah hampir billion ringgit. Mana mungkin untuk membantu keluarga-keluarga dhaif ini begitu tinggi kosnya. Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak, tidak semua badan tertentu itu tidak bagus, tetapi ia mestilah melalui proses yang telus dan adil, tiada kompromi dalam hal-hal yang melibatkan kemiskinan tegar. Wang tersebut adalah wang mereka, dan badan-badan tertentu itu hanya diamanahkan untuk menguruskannya sahaja, maka tiadalah permasaalahan untuk mencari mereka-mereka yang memerlukan ini. Maka uruskanlah dengan seadil-adilnya melalui proses yang betul, bukan secara birokrasi. Inilah sikap segelintir insan-insan yang Nabi s.a.w nyatakan dalam Hadith Beliau. Ini bertepatan pula apabila ia berlaku di negara yang majoritinya beragama Islam.




Hadith ini juga ada menyatakan bahawa umat-umat Islam di akhir zaman nanti begitu banyak, tetapi hanya seperti buih-buih di air. Ini memerlukan satu tafsiran yang panjang lebar. Saya bukan hendak menuduh, mengaibkan malah memalukan Umat Islam khasnya, tetapi ini melalui proses pemikiran saya yang agak cetek apabila hendak dibandingkan dengan pemikiran Para Ilmuan Islam yang lain. Tetapi biarlah ini menjadi satu pedoman yang ibrah untuk kita sama-sama renungkan apakah yang sebenarnya terjadi dalam koordinasi Umat Islam kita sekarang ini. Sebagai contoh yang hendak saya utarakan di sini adalah Golongan Tabligh. Di mana malah semua orang tahu apabila menyebut perkataan ini. Saya tidak bermaksud untuk mengaibkan mereka-mereka ini, tetapi ini sekadar intipati pemikiran saya yang tidak seberapa ini. Sebagaimana yang kita ketahui, Golongan Tabligh ini merupakan peneraju Ummah dan Aqidah umat Islam khasnya. Mereka akan hadir dari satu rumah ke satu rumah, dari satu individu ke individu yang lain malah, agenda yang mereka bawa itu adalah sama, tiada yang lari dari nas-nas Sunnah Rasulullah s.a.w. Dengan mempunyai pakar motivasi untuk menjadikan Umat Islam kembali kepada Syariat-Nya, mereka tekun mengajak agar manusia kembali kepada Islam. Saya kagum dengan hasrat dan jasa-jasa mereka ini. Satu pendekatan yang perlu sama-sama kita kongsikan dan perbincangkan lagi. Tetapi apa yang hendak saya nyatakan di sini adalah, sikap segelintir dari kalangan mereka yang jelas menyebarkan Sunnah Rasulullah s.a.w tetapi masih tidak melakukannya dengan cara yang betul. Malahan mereka-mereka ini sering mengagung-agungkan Maulana mereka yang kini berada di negara India. Orang yang terpilih sahaja boleh pergi berjumpa dengan Maulana-maulana ini, tidak semua mereka yang telah mengangotai jemaah yang boleh pergi menemui mereka. Ini satu fahaman yang perlu panjang lebar kita perbincangkan. Begitu juga dengan pekara-pekara yang lain, jika sesuatu pekara itu diterjemahkan dan dipidatokan oleh ketua-ketua mereka, mereka akan cuba memahami malah tiada permasaalahan untuk mendekati ceramah atau kuliah darinya. Ini amat berbeza sekali, bilamana penceramah yang bukan dari golongan mereka, ia akan dipinggirkan dengan alasan yang tidak munasabah. Pekara ini yang perlu kita sama-sama amati dengan telus sekali, agar tiada kepincangan berlaku. Mereka (para Tabligh) ini begitu petah berkata dalam soal Iman. Aqidah, Sunnah s.a.w dan sebagainya, sehinggakan ia mirip yang terdapat pada Hadith-hadith tersebut. Kadangkalanya pula bermusafir sehingga makan masa yang agak panjang, meninggalkan keluarga, kerja, kawan dan sebagainya. Ini satu bentuk pekara yang patut kita renunginya dengan mendalam. Satu persoalan yang bermain di minda kita sekarang ini. Apa yang menyedihkan lagi pula, mereka-mereka (Tabligh) ini tidak ada perasaan langsung tentang komuniti Umat Islam khasnya, sebagai contoh yang dapat kita sama-sama lihat, tiada seorang pun dari persatuan atau golongan mereka yang hadir untuk membantah, apabila isu ekonomi, sosiologi, politik, kemasyarakatan, Isu bahasa Melayu, keruntuhan Akhlak remaja, refomasi pemimpin dan sebagainya tampil mendekatkan diri. Mereka seolah-olah menganggap, isu yang tidak perlu mereka campuri dan sokongi, atas dasar adanya demontrasi jalanan. Pekara ini yang perlu kita perbincangkan lagi dengan mendalam. Ingatlah wahai saudara-saudaraku, bahawa dunia Islam kini telah difitnah, dihinjak-hinjak, dicemuh, dibaling, dimalukan oleh golongan Munafikun dan Ahli kitab. Maka wajib kita bangkit, demi untuk menegakkan kebenaran. Islam itu bukan berkisar kepada Sunnah, Iman, Akhlak dan sebagainya. Islam itu menyeluruh dalam semua segi. Ke manakah mereka-mereka (Tabligh) ini bila isu yang melibatkan ekonomi umat Islam diperkecil-kecilkan?. Bukankah kita semua bersaudara, bukankah Islam itu mengamalkan sifat bekerjasama antara sesama Muslim. Ini semuanya Sunnah Nabi s.a.w. Jadi kenapakah mereka tidak memperjuangkannya, jika mereka menganggap mereka peneraju Ummah?. Orang Islam di Malaysia ditindas, difitnah, dipecah belahkan oleh golongan Kafir laknatullah, maka wajib kita bersatu demi Islam. Tiada perbezaan antara Umat Islam, Tiada prajudis dalam soal yang melibatkan maruah Islam. Bangkitlah demi satu Ummah!.

Oleh yang demikian, ini satu bentuk di mana hadith Rasulullah itu bertepatan dengan apa yang telah saya huraikan tersebut. Umat Islam terlalu takut untuk berhadapan dengan musuh-musuh Islam, walaupun di dada mereka penuh dengan Iman dan Takwa. Atas dasar itulah juga Islam diperlekehkan dengan sewenang-wenangnya oleh pihak kafir. Ia bertepatan dengan Hadith Rasulullah s.a.w yang kita perbincangkan ini. Cuba kita perhatikan masa kini, Umat Islam mempunyai ramai tenaga mahir dalam kejuruteraan, kedoktoran, sainstis, pendidikan, Arkitek, Pakar Ekonomi, Pakar Aeroangkasa, Pakar pembuatan dan sebagainya. Sehinggakan setiap tahun IPTA dan IPTS melahirkan graduan Islam yang berpontensi lebih dari 10000 dalam setiap tenaga mahir tersebut. Tetapi malangnya hari ini, ke manakah mereka-mereka semua ini?. Adakah mereka-mereka ini hilang dengan sekelip mata? Pekara ini yang perlu kita perhatikan dengan jauh sekali. Sebenarnya graduan tenaga Profesional kita sudah mencukupi, kerana setiap tahun ia meningkat akan bilangannya. Tetapi mereka lebih suka bekerja di syarikat yang di kelolakan oleh orang bukan Islam atas faktor kemewahan dan kekayaan. Idea-idea bernas mereka telah ‘dibeli’ dengan murah oleh pihak kafir. Inilah penyebab bilamana, orang-orang Islam itu kian mundur di bumi sendiri. Mereka sepatutnya bangkit dari kelekaan dan kelalaian, berfikiran matang dalam mencanang sesuatu yang melibatkan ekonomi Umat Islam. Mereka perlu berani mencuba dan berani mendekatkan diri dalam membanggunkan ekonomi Umat Islam. Tidak perlulah fikirkan keuntungan dan kekayaan semata-mata, fikirkan nasib golongan Umat Islam terlebih dahulu. Pekara inilah yang perlu kita terapkan dalam diri kita selama ini. Ingatlah, setiap manusia itu punyai tanggungjawabnya untuk menyebarkan Agama Islam mengikut apa yang telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Tidak kiralah ia sebagai seorang penyapu sampah, Jurutera, Arkitek, Doktor, Guru, dan sebagainya, maka pergunakanlah ruang masa yang ada itu untuk menyebarkan Islam dengan telusnya. Gunakanlah ruang yang singkat itu untuk mentauhidkan Allah s.w.t.



Oleh yang demikian, setelah panjang lebar kita berbincang dengan cara santunnya, dapatlah kita sama-sama huraikan bahawa, Hadith Rasulullah s.a.w ini bertepatan dengan keadaan masa dan etika dekad ini. Ingatlah saudara-saudaraku, kita di ambang menuju satu alam yang abadi, menuju menemui Maha Pencipta. Dengan cara apakah kita akan persembahkan di hadapan Allah s.w.t, jika masih ada lagi ruang-ruang kosong yang belum kita penuhi. Cukupkah dengan hanya bersolat 5 waktu tanpa amalan-amalan yang lain?. Maka dengan itu pergunakanlah apa yang telah Allah s.w.t berikan kepada kita, bagi menjamin kita kemercu kesempurnaan. Semoga hari-hari yang mendatang akan mematangkan lagi pemikiran kita ini. Allahu Akhbar!, Allahu Akhbar!, Allahu Akhbar!.

No comments:

Post a Comment

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails