Saturday 29 January 2011

Hadith Qudsi : Jangan Mengingkari Kekuasaan Allah - Siri 12.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.




Hadith Qudsi Siri 11.


BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera buat semua yang berkunjung di sini.


Berkata Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi SAW telah bersabda : Allah telah berfirman :


“Aku telah dicaci oleh anak Adam, padahal tiadalah pantas dia mencaci Aku. Dan Aku juga didustakan olehnya, padahal tiadalah pantas dia mendustakan Aku. Adapun cacinya terhadap Aku ialah dengan berkata : Bahawasanya Aku mempunyai anak, sedang Aku ini adalah Tuhan Yang Maha Esa, tempat memohon segala sesuatu, tiada beranak dan tiadalah diberanakkan, dan tiada sesuatu pun yang menyerupai Aku. Ada pun pendustaannya terhadap Aku ialah dengan berkata : Tuhan tiada dapat mengembalikanku seperti aku diciptakan mula-mula dahulu, padahal penciptaan mula makhluk tiadalah lebih sukar bagi-Ku daripada menjelmakannya semula.” (Hadith Riwayat Imam Ahmad r.h, turut diriwayatkan juga oleh Imam Nasa’i dan Imam Bukhari r.h).


Allah Ta’ala itu Tuhan, dan kita adalah hamba-hamba-Nya. Dia yang mencipta kita, sedang kita adalah ciptaan-Nya. Dia Maha Berkuasa, tempat kita memohon dan meminta, sedang kita lemah tiada berdaya. Jika kita terus membanding sifat kita dengan Zat Tuhan, tentulah yang satu di atas dan yang satu lagi di bawah, amat jauh perbezaannya, malah dapat kita katakan tidak boleh dibanding atau dibezakan sama sekali. Mana sama sifat Pencipta dengan barang ciptaannya, sifat yang “Haadits” dengan sifat yang “Qadiim”, sifat yang tidak ada lalu diadakan dengan sifat yang sentiasa Ada lagi menciptakan.


Demikianlah, apabila ada orang yang mengatakan bahawa Tuhan itu beranak, atau diberanakkan, maka orang itu telah mencaci Tuhan dan telah merendahkan Zat-Nya yang Maha Tinggi itu kepada zat benda ciptaan yang serba memerlukan kepada yang lain serta bergantung harap. Manusia memerlukan zuriat yang akan menyambung keturunannya, maka Allah menciptakan baginya anak. Apabila manusia itu mati, anaknya itu akan mengambil tempatnya sebagai pengganti bagi warisnya. Sedang Tuhan tidak mati, Dia sentiasa Ada dan Hidup. Dan sifat AdaNya dan HidupNya tidak serupa dengan adanya dan hidupnya makhluk seperti kita.


Jadi, mengapa manusia pula mengatakan Tuhan itu beranak, dan siapa anakNya?!


Mengapa manusia mengatakan Tuhan itu diberanakkan, dan siapa pula ayahNya?!


Renunglah!


Zat yang beranak dan yang diberanakkan itu tentu memerlukan kepada yang lain. Kalau Tuhan itu beranak dan diberanakkan, maka bukan Tuhanlah Dia. Oleh yang demikian, tertolaklah tuduhan atau anggapan Tuhan itu beranak atau diberanakkan, kerana akan tidak akan mengakuinya.


Kemudian Allah Ta’ala menolak pula dakwaan yang mengatakan bahawa Tuhan tidak berkuasa mengembalikan makhluk yang telah mati. Mana boleh manusia yang telah mati, tulang-belulangnya sudah hancur-luluh, tubuh badannya sudah dimakan tanah, dan telah sebati dengan tanah, dijelmakan semula menjadi hidup?!


Ini adalah suatu anggapan tanpa pengetahuan!


Itu juga adalah kata-kata dari mereka-mereka yang mempunyai akal tanpa berfikir!


Mengapa tidak!


Kalau benda yang tidak ada sama sekali, dapat dicipta-Nya, mengapa pula yang sudah ada tidak boleh dikembalikan semula menjadi ada?!


Mana yang lebih susah, yang tidak ada sama sekali, lalu diadakan?


Ataupun...


Yang sudah ada, biarpun dia tinggal abu saja, atau bekas saja, lalu dikembalikan?


Fikirlah sebaik mungkin!


Yang menghairankan lagi adalah ciptaan manusia selalu kita bangga-banggakan, Walhal ciptaan itu tidak selalunya kekal, tidak lama malah saban hari ada sahaja ciptaan baru yang dapat menandinginya. Akan tetapi terhadap ciptaan Tuhan, kita tidak pernah ambil peduli.


Perhatikan semula!


Cuba lihat apa yang diciptakan Tuhan dalam tubuh badan kita dari berbagai-bagai benda yang ajaib dan menakjubkan. Lihat sahaja jantung kita, sejak kita dilahirkan sampailah ke hari ini, ia tetap berdenyut mengepam darah ke seluruh urat saraf kita tanpa sedikit rehat dan terhenti sekalipun, menakjub bukan!. Berbanding dengan alatan mekanikal dan metronik yang memerlukan masa yang tertentu untuk dihidupkan dan dimatikan malah ia juga diaturcarakan oleh manusia untuk memacu arah pergerakannya. Lihatlah sendiri! Itulah kebesaran Allah dan itulah juga kasih sayang Allah terhadap makhluk-Nya.


Tetapi!


Pernahkah kita letakkan hal tersebut di dalam pemikiran kita?


Perhatikan lagi...


Lihatlah pula segala ciptaan Tuhan yang ada di sekitar kita, semuanya itu akan terus menimbulkan kekaguman dan dan keindahan yang kalau hendak dibicarakan tentulah tidak akan habis sampai ke hari kiamat.


Allah Ta’ala memberi kita akal justeru untuk meninjau dan memikirkan semua ciptaan-Nya. Itu pun tidak tercapai akal kita untuk meliputinya. Dan bukan semua orang dapat meliputi sesuatu pemikiran seperti itu, melainkan orang-orang pilihan-Nya. Namun begitu, akal itu hanya dapat menjangkau batasan-batasan yang tertentu sesuai dengan tenaga dan persekitaran yang membantu pada asas pencapaian.


Manakala pencapaian akal manusia itu sentiasa tidak sama berbanding satu zaman dengan zaman yang lain. Demikianlah hikmah Allah Ta’ala yang mengurniakan akal itu. Sebab Rasulullah SAW menyuruh kita berbicara sesuai dengan pencapaian manusia. Jadi jangan cuba mengatakan sesuatu yang melewati batasan pencapaian akal itu, apatah lagi terhadap hal-hal yang tiada diketahuinya, khususnya pada pekara-pekara yang ghaib, yang tidak tercapai akal yang sedia ada ini untuk mencapainya, kelak bukan hakikat yang akan kita bicarakan, melainkan hanya tekaan semata-mata.


Padahal meneka sebarangan pada wujud hakikat alam ini dapat dibetulkan salahnya, tetapi tekaan pada hakikat “Zatul-Wujud”, tiada seorang dapat mengampunkannya, tinggal di hadapan matanya sesat seribu kali sesat, tiada siapa yang akan merasa gembira kerananya selain syaitan dan ahli pengikut syaitan laknatullah saja.


Allah ta’ala telah mengigatkan kita dalam firman-Nya bahawa Dia itu “Tiada yang serupa dengan Dia” dan itu saya berpendapat bahawa sudah cukup bagi KITA yang beriman dengan Allah Ta’ala serta menyakini-Nya tanpa syak dan ragu-ragu lagi. Apabila menyebut KITA, beerti ia termasuklah diri SAYA.



Waallahua’lam.





Hadith Qudsi : Hubungan Silaturahim - Siri 11.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.



Hadith Qudsi : Siri 10

BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Berkata Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi SAW telah bersabda : Allah telah berfirman :

“Aku-lah Ar-Rahman, dan Ar-Rahim itu telah Ku-ciptakan dan Ku-ambil nama itu dari nama-Ku. Maka barangsiapa yang memperhubungkan silaturahim, niscaya Aku menghubunginya. Dan barangsiapa yang memutuskan silaturahim, niscaya Aku akan memutuskan hubungan-Ku dengannya. Dan barangsiapa yang menetapkan silaturahim, niscaya Aku akan menetapkannya. Sesungguhnya rahmat-Ku mendahului kemurkaan-Ku” (Hadith Riwayat Imam Ahmad r.h, manakala Hadith ini juga telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi, Ibnu Hibban, Hakim, Baihaqi r.h daripada Ibnu Auf, dan Hakim, Khara’ithi, dan Khatib daripada Abu Hurairah r.a).

Ar-Rahman ialah nama Allah Taala yang bermaksud Maha Pengasih. Daripadanya diambil perkataan ‘Rahim’ yang bermaksud ‘keluarga’ atau ‘kerabat’ dan yang biasa kita ucapkan dalam maksud ini ialah ‘SILATURAHIM’ yang bermaksud juga ‘memperhubungkan tali keluarga’.

Pada asasnya memperhubungkan silaturahim itu merupakan suatu tugas suci yang dianjurkan oleh syariat Islam. Nabi SAW kerap berpesan kepada kita supaya memperhubungkan silaturahim iaitu berbuat baik terhadap kaum keluarga, membantu mereka dan meringankan penderitaan mereka. Di dalam Hadith Qudsi yang saya bentang serta kongsikan ini pula, Allah SWT mengingatkan perhubungan seseorang dengan keluarganya. Kata-Nya dengan tegas, bahawa sesiapa yang memperhubungkan silaturahim dengan keluarganya (sesama manusia), Allah SWT akan menghubungkan tali-Nya dengan orang tersebut. Sebaliknya pula siapa yang memutuskan tali silaturahim itu, maka Allah SWT akan memutuskan pula tali-Nya dengan orang itu.

Hadith Qudsi ini lebih banyak memperlihatkan ancaman daripada peringatan. Memang manusia ada kalanya terlalai terhadap saudara dan keluarganya, Tidak diperhatikannya, tidak bertanya khabar dan keadaan kehidupannya, apatah lagi mahu membantu atau menolong dengan harta atau wang ringgit. Sudah ada kelebihan dan kekayaan sedikit, segera melupakan saudara dan keluarganya sendiri, walhal ada kalanya mereka itu hidup dalam kesempitan dan serba kekurangan. Kadang-kadang yang kaya sudah tidak menziarahi yang miskin, padahal mereka asalnya adalah bersaudara.

Ingatlah!

Jangan sedemikian!

Allah Ta’ala berjanji akan memutuskan hubungan-Nya dengan orang tersebut, jika ia terus memutuskan hubungannya dengan saudara serta ahli keluarganya.

Siapa yang sanggup menahan kemurkaan Allah!

Tentu tidak ada sesiapa pun yang sanggup menerimanya bukan!

Renungilah!

Iblis pernah menentang Tuhan sekali saja, tetapi kesalnya tidak berpenghujung sampai ke hari Kiamat kelak!

Maka akhir sekali firman-Nya pula bahawa “sesungguhnya rahmat-Ku mendahului kemurkaan-Ku.” Dia sentiasa merahmati hamba-hamba-Nya sebelum Dia memurkainya, maka sudah tentunya kita sebagai makhluk-Nya saling kasih-mengasihi, sayang-menyayangi, bantu-membantu, saling maaf-memaafi dan seterusnya.

Adakalanya sesetengah dari saudara dan ahli keluarga kita yang tidak menyenangkan hati dan diri kita, khususnya bila berhubung soal harta kekayaan, wang ringgit atau sebaliknya serta boleh menyebabkan ikatan silaturahim itu mudah terputus, lebih-lebih lagi bila ada dalang yang menghasut akan pekara-pekara tersebut. Maka bila berlakunya pekara yang sedemikian, hendaklah kita bersabar dan cuba mengatasinya dengan cara yang tidak sampai memutuskan perhubungan silaturahim kita dengan mereka, ini adalah kerana dikhuatiri Allah Ta’ala akan murka terhadap kita atas sikap serupa itu, lalu Dia pula yang memutuskan hubungan-Nya dengan kita. Alangkah ruginya orang-orang yang telah diputuskan Tuhan hubungannya dengan Dia!

Secara tegasnya, apa yang hendak saya nyatakan di sini adalah silaturahim itu hendaklah dipelihara dan dijaga dengan sebaik-baiknya. Kalau pihak yang lain cuba memutuskan, janganlah hendaknya pihak yang lain terus membalas, walaupun dia tidak bersalah. Tetapi hendaklah pihak yang mengerti pekara tersebut mengingati akan dosa dan kemurkaan Allah serta mencari jalan penyelesaian bagi memperbetulkan semula kekusutan tersebut. Ingatlah! Mungkin dia bersalah, tetapi dia tidak menyedarinya akan kesalahan tersebut kerana setiap manusia itu tidak pernah melakukan kesalahan serta dosa!

Oleh itu, yakinlah akan kita semua, bahawa perhubungan Allah Ta’ala dengan kita semua tidak akan terputus, sehingga kita semua berada di bawah naungan belas kasihan-Nya dan perlindungan-Nya. Janganlah pekara-pekara yang kecil yang punyai jalan penyelesaian itu kita anggapnya sebagai satu punca permasaalahan yang tidak ada jalan penyelesaiannya sehingga menjejaskan ikatan silaturahim kita sesama saudara dan ahli keluarga. Dewasa kini juga kelihatan manusia tidak faham malah tidak mengambil berat tentang apa yang dimaksudkan dengan silaturahim, sebaliknya segelintir masyarakat kita menganggap bahawa ia bukanlah satu pekara yang perlu dipandang dengan serius, bukankah ia juga melibatkan hubungan antara makhluk dengan Maha Pencipta? Jika ini pun kita tidak mengetahuinya dengan betul, bagaimana pula kita hendak mengetahui tentang hubungan Allah Ta’ala dengan manusia-manusia pilihan-Nya.



Waallahua’lam.




Wednesday 26 January 2011

Istilah Aqidah Dan Peranannya.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.



BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.


Sebagai mana yang telah kita semua ketahui, Umat Islam adalah umat aqidah. Hanya aqidah yang murni dari syirik diterima oleh Allah SWT. Manakala Para Rasul juga memulakan dakwah mereka dengan aqidah tauhid. Aqidah yang benar menjadi dorongan utama bagi amal yang diterima. Menurut sejarah, Umat Islamlah yang membawa cahaya ilmu ad-deen dan ilmu duniawi ke seluruh dunia Barat dan Timur pada zaman kegelapan Eropah sedikit masa dulu.




Umat Islam telah menjadi pemangkin bagi pembanggunan ilmu sains dan teknologi bagi masyarakat Eropah. Pada abad ketujuh Masihi Eropah sedang melalui zaman kegelapannya (The Dark Ages). Manakala pihak gereja Ortodhoks pada masa itu bersifat sufi ala Hindu, aqidahnya adalah aqidah syirik dengan merupakan tuhan dalam bentuk makhluk, zuhud sehingga para mubaligh-mubaligh mereka meninggalkan tuntutan ikatan perkahwinan, anti pembanggunan dan sebagainya.




Sebagai contoh yang hendak saya kongsikan di sini adalah, universiti-universiti Islam di Cardova, Andalus (Sepanyol) telah menjadi tempat belajar ramai penuntut-penuntut Eropah dalam bidang sains. Mereka menjadi pendorong utama untuk kebangkitan Eropah pada zaman Renaissance pada abad ke 14 sehingga ke 17M.


Apa yang diqadarkan Allah SWT, umat Islam sebaliknya telah mengalami kerosakan aqidah. Falsafah Yunani dan Hindu (berkenaan sifat tuhan) masuk ke dalam pemikiran umat melalui buku Muktazilah, Jahmiyah, Syiah dan Batiniyah. Semangat taksub, taklid buta pada adat yang diwariskan membantu untuk meninggalkan AS-SUNNAH. Perpecahan bermula pada abad ketiga Hijrah lagi, hampir seribu tahun selepas kerajaan Uthamiyyah di Istanbul telah runtuh iaitu kira-kira pada tahun 1920. Negara Barat telah dapat menjajah Negara Islam bermula pada abad 17M. Manakala pada awal abad 21M dua buah Negara Islam telah diserang oleh Amerika atas nama “Pengganas”.


Persoalannya…


Apakah rahsia kekuatan umat Islam?


Dan…


Apakah sebab-sebab yang mengakibatkan umat Islam menjadi tumpuan serangan Barat dari segi zahir dan batin?


Banyak yang dapat dipelajari daripada sejarah! Malah rahsianya adalah umat Islam adalah umat yang mewarisi aqidah tauhid yang murni!


Saya ulangi sekali lagi umat Islam adalah umat yang mewarisi aqidah tauhid yang murni.


Nabi Muhammad SAW menyeru kaumnya di Mekah selama 13 tahun kepada aqidah tauhid. Begitu juga para Rasul sebelumnya. Semua menyeru kepada Tauhidullah yang sama sebelum menumpukan perhatian kepada masaalah lain seperti keadilan dan mengatur sistem muamalat.


Seruan kepada mentauhidkan Allah merupakan jalan Ilahi untuk mengubat penyakit masyarakat. Menurut Imam Malik r.h :

Apa yang boleh membetulkan generasi awal Islam itulah juga ubat yang boleh membetulkan generasi yang kemudiannya.”


Tauhid yang sahih ini adalah satu keperluan asasi untuk membina asas masyarakat yang kukuh dan kemajuan yang seiring serta seimbang. Penyatuan dua bidang ilmu iaitu antara sains (teknologi) dan ad-deen menjadi suatu cabaran khas bagi umat Islam. Ia dimulakan dengan pemurnian aqidah daripada bid’ah dan khurafat.



Persoalannya lagi…


Apakah yang dimaksudkan dengan aqidah?


Dari segi bahasa, aqidah adalah merupakan apa yang diyakini oleh hati atau kepercayaan hati. Manakala menurut syariat, ia adalah beriman kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para-rasul-Nya dan hari Akhirat, serta yang terakhir sekali adalah beriman kepada takdir yang baik ataupun yang buruk. Ia juga disebut sebagai rukum Iman.



Untuk pengetahuan kita semua, saya akan cuba terangkan serba sedikit mengenai syariat yang mana ia terbahagi kepada dua iaitu I’tiqadiyah (Aqidah) iaitu yang mengandungi rukun-rukun Iman. Dan Amaliyah yang mengandungi rukun-rukun Islam.


Rukun Iman yang pertama adalah percaya kepada Allah SWT. Tauhid ini mengandungi kepercayaan kepada Rububiyah Allah, Asma’ was Sifat dan kewajipan beribadah kepada-Nya (Tauhid Uluhiyah). Ia juga adalah syarat asliyah iaitu asas utama dalam agama Islam.


Manakala syariat Amaliyah (rukun Islam) adalah apa yang berhubung dengan tatacara amal seperti lafaz Syahadatain, Solat, Zakat, Puasa, Haji dan seluruh hukum-hakam amaliyah. Bahagian ini disebut sebagai fari’yah (cabang agama). Ini adalah kerana aqidah itu asas jika aqidah telah rosak maka amalan pun turut rosak.




Waallahua’lam.



You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails