Thursday, 30 September 2010

Hadith Qudsi : Manfaat Harta Di Jalan Allah – Siri 9.








Hadith Qudsi : Manfaat Harta Di Jalan Allah – Siri 9.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.


BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera buat semua yang hadir dan setia di sini sepanjang perjalanan perkongsian kita selama ini.

Episod huraian Hadith Qudsi yang terakhir dari saya untuk pertemuan kali ini bagi memberi sedikit iktibar yang berguna untuk kita sama-sama gunapakai dalam menjalani kehidupan di alam fana ini. Berikutan dengan itu juga, tidak bermakna huraian berkaitan Hadith-hadith Qudsi ini akan saya henti dan berhentikan untuk sampai seketika di sini sahaja, InsyaAllah di waktu dan kelapangan yang akan datang kelak serta keizinan dari-Nya, akan saya muatkan lagi Hadith-hadith Qudsi ini dengan episod-episod yang lebih menarik lagi untuk kita ambilnya sebagai jalan mengikuti Sunnah Baginda SAW dan Syariat Allah SWT. Berkesempatan dengan itu juga, sememangnya saya cuba ingin menghabiskan dengan lebih banyak lagi berkenaan dengan Hadith Qudsi ini, tetapi setelah perancangan yang teliti saya hadirkan sejak dari awal penulisan artikel di blog ini, maka saya akur dan perlu mengikut jadual dan susunan yang telah saya sendiri tetapkan. Semoga dengan apa yang saya bawakan ini, sedikit sebanyak memberi kesan dan impak yang berguna dalam diri kita khasnya untuk mengetahui lebih lanjut bahawa kita ini sebenarnya adalah seorang hamba-Nya yang terlalu kerdil untuk diertikan dengan fahaman akal dan fikiran kita. Semoga Allah SWT memberi taufik dan hidayah kepada kita semua untuk mendekatkan lagi diri ini kepada Allah Azza Wajalla. InsyaAllah


Berkata Abu Waqid Al-Laitsi r.a bahawasanya Nabi SAW telah bersabda : Allah SWT telah berfirman dengan bermaksud :


“Sesungguhnya Kami (Allah) turunkan harta untuk orang-orang yang mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat. Sekiranya anak Adam itu mempunyai satu lembah, nescaya ia ingin mempunyai dua. Sekiranya ia mempunyai dua, ia hendak pula mempunyai tiga. Dan tidak akan memenuhi perut anak Adam melainkan tanah saja. Kemudian Allah akan mengampuni siapa yang bertaubat.” (Hadith Riwayat Ahmad dan Thabarani r.h).


Harta kekayaan diturunkan Tuhan ke dunia ini untuk tujuan kebaktian kepada-Nya, dan untuk kita membantu yang lain agar Allah SWT dapat disembah terus-menerus di alam fana ini, serta orang-orang yang susah dan kekurangan dapat dibantu dengan mengeluarkan zakat ataupun sedekah jariah. Bukanlah harta kekayaan itu untuk dipendam dan disimpan di dalam bank dan peti besi berkepok-kepok untuk tujuan peribadi sendiri dan memuaskan hawa nafsu semata-mata. Ia perlu dan wajib dikeluarkan bagi memperlihatkan kita akur akan perintah Allah SWT agar membantu kepada golongan yang memerlukan.


Akan tetapi manusia menjadikan harta kekayaan itu sebagai lambang agar dikatakan ia seorang yang kaya raya, gah dengan banyak menyimpan, berpengaruh, berlaku sombong dan segala seribu satu sifat-sifat takabur yang terdapat di dalam dirinya. Oleh itu ia tidak kenal penat lelah untuk mengumpul harta kekayaan itu, walhal harta kekayaan itu akan membahayakan dirinya serta menjauhkan lagi dirinya terhadap Allah SWT.


Malah pernah orang bertanyakan soalan ini.


Bukankah orang yang mempunyai kekayaan itu membolehkan ia berbakti dan dekat dengan Allah SWT dengan mudah tanpa batasan-batasan yang dialami oleh orang-orang miskin?


Tidak dinafikan bahawa dengan berharta kita makin dekat dengan Allah SWT, kerana kita boleh gunakan kemewahan itu ke jalan-Nya. Tetapi perlu diingati juga, bahawa jawapan ini SEBELUM kita perolehi harta kekayaan, tetapi apabila dipertengahan pencarian harta kekayaan itu, diri kita kerap tersasar, kerana limpahan harta yang banyak di hadapan kita. Ini adalah kerana kita ini adalah seorang hamba-Nya yang mempunyai perasaan dan punyai juga nafsu yang sukar untuk dibendung jika Islam itu sering kita pinggirkan. Bertepatan dengan itu juga masa dan waktu kita juga terbatas dan terhad terhadap Allah SWT akibat sibuknya diri kepada pencarian harta keduniaan. Maka apabila sudah menjadi seorang yang benar-benar kaya, ujian itu lebih getir daripada situasi yang sebelum ini, ruang masa, amat-amat terhad, keluarga juga sering diketepikan, malahan suruhan Allah SWT juga kerap disia-siakan akibat sibuknya mengejar kemewahan duniawi tanpa batasan ini. Bukankah itu boleh menjadikan diri kita lebih jauh daripada Allah SWT dari sebelum ini?


Ingatlah pesan Hadith Qudsi ini bahawa “Kalau dia mempunyai satu lembah dari kekayaan, nescaya ia ingin menambah satu lagi menjadi dua. Kemudian sesudah memiliki dua lembah, ia ingin pula memiliki tiga.” Ini adalah firman Allah SWT yang jelas menyatakan akan maksud yang telah saya huraikan seperti di atas tadi. Ingatlah Allah Maha Mengetahui setiap apa yang berlaku, sebelum berlaku dan akan berlaku.


Tetapi!


Dinyatakan juga bahawa Hadith ini tidaklah melarang kita untuk mengumpul harta sampai kita membiarkan diri kita hidup papa kedana (miskin).


Bukan begitu!


Sebab urusan akhirat kita itu tidak akan sempurna selama urusan dunia ini kita tidak tunai dan sempurnakan, manakala urusan dunia itu hanya dapat ditunaikan bila ada wang di dalam ‘kocek’ kita.


Hanya sebagai pedoman di sini, agar janganlah sampai kita letakkan cinta wang itu yang utama di dalam hati dan fikiran kita. Nanti kita akan menghabiskan semua waktu kita hanya untuk mencari wang dan harta kemewahan dunia semata-mata, sehingga akhirat kita abaikan serta kewajiban kita terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya pun kita tidak sempurnakan kerana urusan-urusan mencari kemewahan duniawi itu yang tiada berpenghujung di dalam sejarah manusia.


Maka wang dan harta yang kita kumpulkan itu ada pula bahagiannya yang mesti kita keluarkan. Lantaran terlalu mencintakan wang, ada kalanya orang yang lalai itu sombong untuk mengeluarkan wang yang wajib (zakat) ke atas mereka yang memerlukan. Maka Hadith ini cuba mengingatkan kita agar bersikap berlapang dada dalam mengeluarkan harta kekayaan kita kepada mereka yang memerlukan, supaya kita semua akan sedar bahaya yang di hadapan kita kerana tidak mengeluarkan harta tersebut. Mudah-mudahan sesudah itu kita semua akan menyesali dan kembali kepada Allah SWT untuk memohon pengampunan-Nya sebelum terlambat.


Andaikata sudah ada yang menyesali dirinya dalam hal mengumpul dan menahan harta kekayaan ini, dan ingin kembali kepada Allah Ta’ala serta ingin bertaubat, kembalilah dan bertaubatlah dengan segera kepada-Nya, kerana Allah SWT akan mengampuni sesiapa saja hamba-Nya yang ingin bertaubat dan kembali kepada Syariat-Nya. WaAllahua’lam. Allahu Akbar!, Allahu Akbar!, Allahu Akbar!

2 comments:

  1. salam alaik....bahan bacaan yg sangat menarik dan bolh dijadikan iktibar untuk semua..semoga terus sukses selalu...chaiyok2..:)

    ReplyDelete
  2. Waalaikumsalam Izza.

    BismillahirRahmanirRahim.

    Ahlan Wa Sahlan!

    Terlebih dahulu, saya ucap terima kasih kerana di sini.

    Ia hanyalah satu perkongsian yg bermanfaat untuk kita semua, semoga dengan apa yg telah kita ketahui dari Hadith-hadith Qudsi ini, sedikit sebanyak membuka ruang hati dan minda kita khasnya untuk lebih dekat kepada Allah Ta'ala.

    Sememangnya manusia itu kerap dan mudah lupa, seperti Nabi Adam a.s yang lupa akan janjinya terhadap Allah SWT setibanya Malaikat Maut untuk mencabut nyawanya serta ia bersangkutan sehinggalah ke cucu-cicitnya iaitu kita. Akan sebab itu, sifat lupa itu kadangkalanya menjadikan diri kita tersasar, Oleh yang demikian, mempelajari, memahami dan melakukan segala tuntutan Sunnah SAW itu adalah penawar bagi mengubati sifat2 pelupa itu.

    Ayuh!

    Gerakkan diri umumnya untuk mendalami Hadith2 Nabi SAW serta mengikutnya dengan berpandukan ILMU.

    Saya doakan semoga saudari kelak menjadi pendidik anak bangsa yang berteraskan Ilmuan Islam yang berpaksikan Sunnah SAW dan Kalam-Nya agar generasi yg akan datang lebih celik dan berkarisma dalam memahami tuntutan-Nya.Amin.

    ReplyDelete

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails