Hadith Qudsi : Ganjaran Amalan Soleh – Siri 5 .
Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.
BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera buat semua yang hadir di WWW.MujahidinCyber.Blogspot.com. Diingatkan juga kepada sesiapa yang ingin melebarkan serta memanjangkan setiap artikel di ruang blog kelolaan saya ini adalah amat-amat dialu-alukan, tiada sebarang bantahan untuk menidakkannya. Maka dengan itu, dinasihatkan juga agar setiap artikel itu mestilah di’kredit’ atau di’link’ kan kembali kepada blog ini. Semoga jasa baik dari semua yang hadir bagaikan mutiara Islam di sini akan memberi sinar yang berpanjangan hendaknya dan memberi inspirasi baru buat saya dan anda semua yang berada di luar sana untuk terus berjihad di alam maya ini. InsyaAllah.
Berkata Anas r.a bahawasanya Nabi SAW telah bersabda : Allah SWT telah berfirman :
“Aku telah menyediakan bagi hamba-hamba-Ku yang soleh kenikmatan yang tidak pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telingga, dan terlintas di hati manusia.” (Hadith Riwayat Thabarani r.h, Manakala Hadith ini juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Jarir dan Qatadah r.h).
Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah SWT, pekara yang dimaksudkan dengan kenikmatan di dalam Hadith tersebut adalah kenikmatan yang disediakan Tuhan di dalam syurga. Kenikmatan syurga itu tentu sekali istimewa tanpa banyak soal jawab lagi kerana syurga itu adalah tempat balasan Tuhan, dan balasan Tuhan bukanlah sembarangan. Tentulah ia istimewa, bukan saja dari segi jenis dan kualitinya, tetapi ia lebih dari itu, sehingga Allah SWT mensifatkannya sebagai kenikmatan yang tidak pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga, dan terlintas di hati manusia. Jelaslah balasan itu istimewa dalam ertikata tidak dapat disifati, kerana ia bukanlah dari barang-barang yang terdapat di alam fana ini.
Saudara Muslimin dan Muslimat yang saya hormati sekelian.
Sifat-sifat kenikmatan yang dijanjikan Tuhan sebagai balasan di dalam syurga itu kerap disebutkan di dalam Al-quran Nur Karim. Keindahan kenikmatan itu tidak dapat dinilai tingginya oleh pemikiran manusia, selain dari apa yang dijelaskan oleh sesetengah Hadith dari Rasulullah SAW sahaja. Itupun manusia hanya dapat mengukurnya dengan khayalan yang terbatas. Padahal hakikatnya tentulah jauh, dan lebih jauh daripada yang terjauh sekali. Lantaran itu disifatkannya dalam ayat yang paling ringkas, tetapi cukup mengkagumkan. Iaitu tidak pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga dan terlintas di hati manusia. SubhanaAllah!
Saudara dan saudari yang dirahmati dan dikasihi Allah SWT.
Apa yang kita lihat pada hari ini sebagai gejala-gejala yang luarbiasa lagi menakjubkan, akan dipandang oleh generasi akan datang sebagai remeh dan pekara biasa sahaja. Misalnya hal-hal berhubung rapat dengan kemajuan Sains dan Teknologi sekarang ini yang baru saja dalam peringkat awalnya sudah dianggap suatu pekara yang menakjubkan serta luarbiasa. Padahal di hadapan kita ada masa yang panjang lagi yang mana pekara-pekara yang menghairankan hari ini akan terus berkembang dan akan sampai ke kemuncak kemajuannya, sehingga ia tiada dipandang takjub lagi. Demikian pula dengan pekara yang baru yang mengantikannya akan menjalani proses yang sama dan berubah dari suatu masa ke semasa. Namun apa yang akan kita pandang di dalam syurga nanti tidak sama dan tidak pernah dirasakan oleh sesiapa pun ketika mereka berada di dunia.
Begitu juga dengan apa yang didengar oleh telinga tidak sama dan tidak pernah didengar oleh sesiapa pun ketika berada di dunia. Akhir sekali, sebagai kemuncak dari keluarbiasaannya hal-hal yang diperolehi disyurga nanti tidak pernah terlintas di hati manusia, betapapun kuat khayalannya, atau bernilai daya kreatifnya, namun itu tetap khayalan dan ciptaan manusia, tidak akan sama dengan ciptaan Allah SWT.
Saudara Muslimin dan Muslimat yang dimuliakan Allah SWT.
Ingatlah!
Renungilah!
Semua itu dijanjikan Tuhan sebagai balasan buat orang-orang yang SOLEH, yang suka berbuat baik, hatinya suci dengan keesaan Allah SWT, pemikirannya bersih dengan ingatan kepada Allah Azza Wa Jalla. Mereka inilah yang nanti bakal menghuni syurga Allah SWT.
Ayuh kita semua!
Ayuh Saudara-saudaraku sekelian!
Beramallah dengan sempurna, berdoalah berpanjangan, mudah-mudahan syurgalah menjadi balasan! InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment