Saturday, 4 September 2010

Hadith Qudsi : “Bersabar Menghadapi Musibah” - Siri 1.





Hadith Qudsi : “Bersabar Menghadapi Musibah” - Siri 1.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.







BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.



Berkata Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi SAW telah bersabda : Allah SWT berfirman :


“Apabila Aku Menimpakan bala ke atas hamba-Ku yang mu’min, lalu ia bersabar (atas penderitaan itu), tiada ia mengadu atau mengeluh kepada pengunjung-pengunjungnya, nescaya akan Aku lepaskan dia dari tahanan-Ku (penderitaan itu), kemudian akan Aku tukarkan dagingnya dengan daging yang lebih baik, dan darahnya dengan darah yang lebih baik, sehingga ia dapat berkerja semula (iaitu setelah semua dosa dan kesalahannya yang lalu Tuhan ampunkan semuanya).” (Hadith Riwayat Hakim r.h)




Saudara dan Saudari yang dimuliakan Allah SWT.



Kehidupan di dunia ini tidak terlepas daripada ujian dan cabaran serta dugaan. Segala ujian tersebut, biarpun yang ringan mahupun yang berat datangnya dari Allah SWT. Manusia tidak terdaya untuk menolak ujian Allah Ta’ala. Adakalanya ujian itu mendatangkan manfaat kepada manusia. Bertapa banyaknya manusia yang telah lalai dari jalan Allah SWT, dan tenggelam di dalam dosa dan maksiat. Apabila ditimpa saja bala dan bencana, segeralah dia kembali kepada Allah SWT. Segeralah dia ingat akan Allah Ta’ala. Segeralah dia sedar bahawa dia itu adalah hamba yang tiada berdaya, dan bahawa di atasnya ada Tuhan yang Berkuasa.



Di samping itu, ada pula manusia yang apabila tidak diuji oleh Allah SWT, dia merasa berdukacita. Dia bimbang, kalau-kalau dia sudah tiada lagi dikasihi oleh Allah SWT. Lantaran itu dibiarkannya hidup mewah dan senang-lenang. Sebab ada sebuah sabda menyatakan, bahawa jika Allah SWT mengasihi hamba-Nya, nescaya diujilah hamba itu dengan berbagai-bagai ujian. Kini dia hidup dalam sihat wal-afiat terus menerus tanpa sebarang kedukaan hidup. Dia menikmati kemewahan dan kelazatan hidup tanpa sakit. Dia kini khuatir kalau-kalau itu semua menandakan, bahawa Allah SWT sudah tidak sayang dan kasih lagi terhadapnya.



Maka dengan itu, ada yang berpendapat bahawa kemewahan hidup itu juga merupakan salah satu daripada ujian-ujian Allah Ta’ala. Allah ingin melihat apakah aku bersyukur atas nikmat yang dikurniakan kepadaku, ataupun aku kufur. Akan tetapi syukur itu bukanlah setakat menyatakan terima kasih kepada Allah SWT sahaja, ataupun setakat mengucapkan perkataan ‘Alhamdulillah’ kepada Allah SWT sahaja. Bahkan, kalau nikmat itu merupakan kekayaan wang ringgit, hendaklah wang ringgit itu dibelanjakan kepada orang-orang yang memerlukan. Kalau nikmat itu juga merupakan kemewahan makan, minum dan pakaian, hendaklah ia tidak melupakan fakir-miskin yang berhajat kepadanya. Hendaklah juga ia sentiasa membantu orang yang tidak terdaya. Dia tidak boleh bakhil kerana bakhil itu adalah suatu tanda bagi kekufuran nikmat.



Saudara-saudari yang dirahmati Allah SWT.



Di sini Allah SWT mengatakan :


“Apabila Aku Menimpakan bala ke atas hamba-Ku yang mu’min, lalu ia bersabar (atas penderitaan itu), tiada ia mengadu atau mengeluh kepada pengunjung-pengunjungnya,”



Maka jika kalau ia mengeluh sekalipun atau mengadukan hal tersebut kepada orang lain, apakah dapat dia ditolong dan dibantu”




Tentu sekali tidak!



Kemudian ujian itu mungkin kerana dosanya yang banyak, Allah SWT hendak menebusnya. Mungkin kerana kekhilafannya yang berbakul-bakul, Allah SWT hendak mengigatkannya. Mungkin takabburnya yang sangat, Allah SWT mahu menundukkannya. Semua yang berlaku mungkin bersebab. Ketika itu ujian ini merupakan suatu nikmat juga dari Allah SWT.



Maka lantaran dengan itu juga, kesabarannya atas menanggung bala itulah, lantas Allah SWT mengampunkan segala kesalahannya. Semua dosanya terhakis. Semua kekhilafannya terhapus. Tinggallah ia sebagai kain putih yang bersih dan suci. Daging di badannya pula digantikan dengan daging yang baru. Darah yang mengalir dalam urat-uratnya juga ditukar kepada darah yang baru. Seolah-olah daging lama dan darah lama yang kotor itu sudah tidak sesuai lagi hidup dan mengalir ditubuh yang suci bersih dari salah dan dosa tersebut, lalu semuanya diganti oleh Allah SWT dengan yang baru.



Sesudah itu, sambung firman di atas tadi, maka ia bermaksud dibiarkanlah hamba itu menyambung kehidupannya yang baru dalam ‘pakaian’ yang baru pula. Terserahlah kepadanya, mahu memelihara ‘pakaiannya’ yang baru itu supaya sentiasa bersih dan putih? Ataupun akan dicontengnya lagi dengan arang yang hitam, sehingga menjadi kotor dan hitam pekat semula?



Saudara-saudari yang dikasihi Allah SWT.



Manusia!



Oh manusia!



Alangkah sedikitnya orang yang dapat menginsafkan dirinya dari peristiwa-peristiwa yang lalu!



Saya akhiri perkongsian maksud huraian Hadith Qudsi ini dengan mengemukakan sebuah Hadith Nabi SAW yang bermaksud :


“Sekiranya Allah Ta’ala menghendaki kebaikan bagi hamba-Nya disegerakan balasan penderitaan ke atasnya di dunia. Dan jika Dia menghendaki keburukan buat seseorang hamba-Nya, ditahankan daripadanya balasan-Nya, sehingga hamba tersebut bermaharajalela dengan dosa-dosanya, lalu dibalas-Nya nanti di hari kiamat kelak.”



Kemudian sambung Baginda SAW lagi : “Besarnya penderitaan itu adalah sesuai dengan beratnya dosa. Begitulah Allah Ta’ala menimpakan bala-Nya kepada sesiapa yang dikasihi-Nya. Maka barangsiapa yang rela menanggung bala tersebut serta bersabar menderita, nescaya Allah SWT akan merelakannya. Dan barangsiapa yang bersunggut dan selalu mengadu halnya kepada orang lain. Nescaya Allah SWT menyungutinya pula. WaAllahua’lam.



Semoga perkongsian ini akan memberi impak yang berguna untuk diri saya dan saudara-saudari semua dan mudah-mudahan kita semua (umat Islam) tergolong di dalam orang-orang yang redha dan bersabar dalam setiap ujian-ujian dari Allah Azza Wajalla. Insya Allah!.



6 comments:

  1. salam ziarah. :)

    terima kasih atas entri sebegini.Tiada kekuatan nak share entri macam ni.banyak sangat compangnya campingnye nanti.

    lama tak kesini. :)

    ReplyDelete
  2. alhamdulillah wa syukran untuk nasihat kali ini.

    ReplyDelete
  3. Waalaikumsalam IKTIRAF.

    BismillahirRahmanirRahim.

    Ahlan Wa Sahlan!. Kerana sudi ke sini.

    Setiap manusia punyai khilaf, iaitu khilafnya terhadap diri sendiri (anggota badan), khilafnya terhadap ibubapa, khilafnya terhadap kawan2, khilafnya terhadap sekelilingnya dan khilafnya terhadap Maha Pencipta. Maka amat mudah untuk melakukan khilaf tersebut tanpa disedari, tetapi amat sedikit untuk kembali membersihkannya. Moga2 dgn khilafnya itu akan membuka ruang untuk dirinya sendiri agar kembali kepada-Nya dengan sebenar-benar ikhlas.

    Hadith Qudsi ini sebenarnya membuka ruang minda kita semua untuk melihat betapa kasih dan sayangnya Allah SWT terhadap hamba-hamba-Nya yang ditimpa pelbagai dugaan dan ujian dari-Nya, agar segera kembali dan menginsafi segala perbuatan dan perlakuan kita ketika melalui cabang2 kehidupan di dunia ini. WaAllahua'lam.

    ReplyDelete
  4. Salam Benrauf.

    BismillahirRahmanirRahim.

    Ahlan Wa Sahlan!. Kerana melewati di sini.

    Moga-moga ia memberi pencerahan buat umat Islam agar kembali kepada ajaran Tauhid Allah SWT.

    Sebagai perkongsian bersama!

    "Pernah suatu ketika dahulu telah diceritakan, seorang ulama' mahsyur sedang berjalan-jalan, dengan tiba-tiba kakinya tersepak batu lalu berdarah ibu kakinya diikuti dengan kasakitan yang amat sangat, lantas ulama' tersebut duduk seketika dan memerhatikan lukanya itu, dan teringat beliau, bahawa mungkin itu adalah satu cara bagi Allah SWT menghukumnya akibat dosa yang telah ia lakukan seketika yg lalu. Lalu ia mengingati segala perbuatannya yang lalu sehingga terjadinya kejadian tersebut, didapati bahawa tiada satupun yang melanggari hukum2 Allah SWT, lantas dengan tidak beberapa lama kemudian, barulah ia menyedari bahawa dia telah mengingkari ajaran Nabi SAW dan suruhan Allah SWT yang mana ketika hendak keluar dari tandas seketika yg lalu, dia mulai dengan kaki kiri. Sepatutnya ketika hendak keluar dari tandas, kita diajar didahulukan dgn kaki kanan. Maka kembalilah ia bertaubat kepada Allah SWT dengan kesilapannya itu"

    Lihatlah kita semua, betapa akrabnya ulama'2 terdahulu terhadap Maha Pencipta, mereka akan segera mencari kesilapan diri sendiri lantas kembali bertaubat kpd Allah SWT, walaupun ia adalah suatu pekara yg kecil.

    Beginilah sepatutnya dlm kita menjalani kehidupan di dunia ini, senantiasa mengingati akan kesilapan dan dosa2 kita terdahulu tanpa terlebih dahulu menuduh kpd org lain. WaAllahua'lam.

    ReplyDelete
  5. Salam...Alhamdulillah entry yg baik utk sy gunepakai skrg nie...time kasih byk2 yee,kesabaran dlm setiap ujian akan menemukan kite dgn ganjaran dr ALLAH SWT....insyaALLAH

    ReplyDelete
  6. Waalaikumsalam Bunga.

    BismillahirRahmanirRahim.

    Ahlan Wa Sahlan!.

    Semoga ia bermanfaat untuk saudari dan semua umat Islam.

    ReplyDelete

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails