Tuesday, 7 September 2010

Hadith Qudsi : Sentiasa Mengingati Allah – Siri 2.






Hadith Qudsi : Sentiasa Mengingati Allah – Siri 2.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.






BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera buat anda yang memanjangkan silaturrohim di sini.



Berkata Ibnu Abbas r.a bahawasanya Nabi SAW telah bersabda, Allah SWT telah berfirman :


“Apabila hamba-Ku mengingati-Ku sendirian, Aku pun akan mengingatinya sendirian. Dan apabila dia mengingati-Ku di hadapan khalayak ramai, nescaya Aku akan mengingatinya pula di khalayak yang lebih baik daripada khalayak ramai yang dia mengingati-Ku.” (Hadith Riwayat Thabarani r.h).



Apabila mengingati Tuhan dengan berzikir iaitu dengan bertasbih (menyebut SubhaanAllah), bertahmid (menyebut Alhamdulillah), bertakbir (menyebut Allahu Akbar), bertahlil (menyebut Laa Ilaaha IllaAllah), ataupun sebagainya daripada zikir-zikir yang lain, hati kita akan menjadi tenang.



Hadith ini menganjurkan kepada kaum Muslimin agar sentiasa mengingati Allah SWT di dalam hati ataupun secara terang-terangan. Setiap kali kita mengingati Allah SWT, maka setiap itulah juga kita sebenarnya mengingati diri kita sebenarnya. Allah SWT sebagai Pencipta, dan kita sebagai hamba-Nya. Allah SWT yang telah mengurniakan rezeki kepada kita, maka wajiblah kita pula sebagai hamba-Nya yang telah menerima kurniaan itu mengucapkan syukur kepada-Nya. Kemudian apabila kita mengingati Allah SWT, kita harus mengingati pula segala perintah-Nya dan segala larangan dari-Nya. Begitulah sepatutnya sikap hamba yang patuh, hamba yang mengenal dirinya sendiri sebagai hamba, hamba yang mengenal Tuhannya sebagai Tuan. Sembahyang tidak boleh ditinggalkan. Puasa jangan kita cuaikan. Zakat mesti kita keluarkan apabila sudah cukup syarat-syaratnya. Haji pula mesti kita tunaikan sekurang-kurangnya seumur hidup sekali. Semua ini berkaitan dengan Rukun-rukun Islam yang kita telah semua ketahui. Sebagai orang-orang yang beriman, kita mesti menjaga Rukun-rukun tersebut sebaik mungkin agar tidak lari daripada syariat-Nya.



Mengingati Allah SWT juga berkait-rapat dengan Rukun-rukun Iman yang enam. Apabila kita mengingati Allah SWT, kita harus mengenal-Nya dan sifat-sifat-Nya menerusi Rukun-rukun Iman tersebut. Di samping mempercayai Allah SWT sebagai Tuhan, kita harus mempercayai para Malaikat-Nya, para Rasul-Nya, semua Kitab-kitab-Nya. Kemudian di samping itu pula hidup ini ada lagi hidup lain yang kekal abadi yang akan kita rasakan sesudah kita mati kelak. Di dalam kehidupan ini (di dunia), maka harus kita berpegang teguh kepada takdir dan putusan Allah Ta’ala. Lalu sesudah kita mati (di akhirat), maka kita akan diadili Tuhan di Hari Kiamat nanti.



Bukankah ini telah kita semua sedia maklum!



Demikianlah, apabila kita mengingati Allah SWT dengan menyebut nama-Nya, kita turut memperbaharui I’tikad kita tentang keEsaan Tuhan yang Satu dan Tunggal, tiada sekutu pula bagi-Nya. Tiada yang patut disembah melainkan Dia. Dia-lah yang menentukan segala sesuatu, sedang semua ciptaan-Nya harus tunduk kepada-Nya. Dia wajib ditaati, sedang semua hati akan tenang kepada-Nya akan merajai-Nya, akan berhukum kepada-Nya serta bertawa’kal kepada-Nya.




Bukankah ini juga yang patut kita sematkan dalam diri kita!



Orang yang masih belum mengakui hal-hal ini tidak diertikan atau dinamakan hamba Allah, dan bila tidak dinamakan hamba Allah, tidak perlu lagi dia menyebut nama Allah, kerana ‘dia telah berendam di dalam Lumpur kejahilan dan keraguan’. Maka tidak sesuai orang yang mahu menyebut nama Allah, walhal di dalam hatinya masih bercanggah dengan cabang-cabang kesamaran dan keraguan yang pekat di dalam hatinya, atau masih belum mengakui kekuasaan Allah Ta’ala yang mutlak dan sepenuhnya pada semua takdir dan Qadha’-Nya, kerana semua ini adalah pekara asas yang tidak boleh ditawar-tawarkan lagi.



Demikianlah, Allah SWT mengatakan menerusi Hadith Qudsi ini bahawa jika hamba-Nya mengingati-Nya secara tersembunyi, tiada sesiapa yang mengetahui, maka Dia juga akan mengingati hamba itu secara tersembunyi juga. Diberikan-Nya ketenangan hidup, ketenteraman jiwa, segala keperluannya dicukupi sehingga dia kelihatan tenang dan bahagia dalam kehidupannya. Sentiasa bersyukur apabila diberi kesenangan dan selalu bersabar apabila ditimpa musibah dan ujian. Tidak pernah berasa kecewa apabila dalam kesusahan dan serba kekurangan.



Jika kita lihat pula pengertian Hadith tersebut yang berbunyi :


Dan apabila dia mengingati-Ku di hadapan khalayak ramai, nescaya Aku akan mengingatinya pula di khalayak yang lebih baik daripada khalayak ramai yang dia mengingati-Ku.”



Sabda daripada pecahan Hadith ini menggambarkan, bahawa Allah Ta’ala sentiasa membalas amalan makhluk-Nya dengan balasan yang baik. Sebab itu ada sesetengah ahli Tasawwuf menciptakan pelbagai Thariqat dan majlis berzikir beramai-ramai, moga-moga inilah yang dimakduskan Hadith itu. Disamping itu ada yang mengadakan majlis tahlil beramai-ramai, kemudian dihadiahkan pahala tersebut kepada roh sifulan dan sifulan. Ini juga mudah-mudahan termasuk di dalam maksud Hadith ini. Hanya ada pula orang yang mengingkari amalan ini. Katanya amalan itu hanyalah sia-sia dan merupakan pekara Bid’ah dan hadiah pahala tersebut tidak akan sampai kepada sipenerimanya. Akan tetapi Ulama’ Mutaakhirin telah membuktikan apa yang diingkari itu adalah tidak benar dan sengaja ditimbulkan untuk mengelirukan pihak Islam. KITA MESTILAH MENYIMPAN NIAT YANG BAIK TERHADAP ALLAH SWT. Kita juga mestilah meletakkan Allah SWT tertinggi di dalam pekara tersebut. Sepatutnya umat Islam mestilah lebih rasional dan optimis dalam mendalami pekara ini dengan merujuk kepada pakar-pakar ahli Hadith dan Ahli Ulama’ yang lebih mengetahui akan pekara ini. Umat Islam juga perlulah berlapang dada dalam menghadapi situasi ini, bukannya melemparkan tuduhan yang boleh mengerutukan lagi keadaan. Perlu diingati juga, saya punyai bukti dan alasan yang kukuh, kenapa pekara ini adalah suatu pekara yang perlu dipersetujui tanpa melalui situasi perdebatan yang panjang lebar. WaAllahua’lam.



Oleh yang demikian kita hendaklah melupakan pertelingkahan dalam usul yang kecil sehingga mendatangkan perpecahan di kalangan umat Islam. Senantiasalah mengingati Allah SWT dan berzikir kepadanya pada masa-masa kelapangan kita, diwaktu berdiri dan duduk, diwaktu diam dan berjalan, diwaktu senang dan susah, bahkan pada bila-bila masa, agar Allah SWT mengingati dan merahmati kita pula.



Firman Allah SWT :


(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Surah Ali-Imraan – Ayat – 191).



Orang yang dirahmati Tuhan sentiasa berada di dalam lindungan-Nya, hidupnya aman di dunia dan selamat pula di akhirat. Tidakkah ini yang telah kita cari dan idam-idamkan selama ini? Maka dengan itu panjatkanlah diri kita agar dekat dengan Allah SWT dengan selalu mengingati-Nya walaupun dalam keadaan tertekan dan kesusahan sekali. Letakkanlah Allah SWT diperingkat yang tertinggi sekali dalam kita mengatur urusan-urusan kehidupan di dunia ini, agar diri kita akan terjamin di sana kelak. Insya’ Allah Ta’ala. Amin!



No comments:

Post a Comment

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails