Hadith Qudsi : Ketaatan Kepada Ilahi, Di Mana Posisi Kita? – Siri 4 .
Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.
BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera buat semua yang hadir bagaikan mutiara di sini. Dengan izin-Nya kita dipertemukan lagi, dalam siri yang berikutnya iaitu berkaitan dengan huraian Hadith-hadith Qudsi. Insya’Allah.
Berkata Abu Hind Ar-Razi r.a bahawasanya Nabi SAW telah bersabda : Allah SWT telah berfirman yang berbunyi :
“Ingatilah Aku dengan mentaati-Ku, niscayalah Aku akan mengingatimu dengan pengampunan-Ku. Barangsiapa yang mengingati-Ku, sedang ia taat setia kepada-Ku, maka berhaklah dia akan Aku mengingatinya dengan pengampunan-Ku. Dan barangsiapa yang mengingati-Ku, sedang ia derhaka dan maksiat kepada-Ku, maka berhaklah dia akan Aku mengingatinya dengan kebencanaan-Ku.” (Hadith Riwayat Dailami dan Ibnu Asakir r.h).
Allah SWT memerintahkan kita agar mengingati-Nya dengan memperbanyakkan amal-amal yang soleh, kelak Dia akan mengingati kita dengan memberikan pengampunan-Nya.
Lihatlah!
Betapa kasih sayangnya Allah Ta’ala kepada hamba-hamba-Nya. Sebagai Tuhan yang bersifat Ar-Rahman (Maha Pengasih), Ar-Rahim (Maha Penyayang), diingatkan kita supaya tidak lalai daripada mengingati-Nya.
Tetapi!
Bagaimana caranya kita hendak mengingati Allah SWT?
Adakah seperti kita mengingati ibu dan bapa kita?
Atau,
Anak, isteri kita?
Ataupun,
Seperti mengingati sahabat-sahabat tersayang kita?
Ingatlah!
Peringatan serupa itu boleh diselangi dengan LUPA!
Kerana manusia tidak sepi dari perasaan dan perbuatan LUPA!
Walhal, para Auliya dan Salihin pula sedikit pun tidak pernah lupa kepada Allah SWT, dan daripada Allah Ta’ala. Malahan dalam kesemua waktunya, mereka sentiasa mengingati Allah SWT.
Jadi!
Adakah kita dituntut untuk mengingati Allah SWT seperti para Auliya dan para Salihin juga?
Ataupun,
Bagaimana caranya kita mesti mengingati Allah Ta’ala?
Maka yang demikian,
Hadith Qudsi ini menunjukkan kepada kita iaitu dengan memperbanyakkan ketaatan kepada-Nya. Bukan sekadar dengan sembahyang lima waktu sahaja, puasa setahun sekali sahaja, berzakat dan bersedekah, bila ada kelebihan atau melakukan haji seumur hidup sekali sahaja. Pada amnya memanglah itu semua adalah ketaatan. Sebab ada Hadith yang lain juga mengatakan, jika seorang hamba dapat menunaikan semua itu dengan baik dan sempurna, maka berhaklah dia dipanggil seorang MUSLIM MUKMIN yang hakiki, manakala bagi orang yang digelar sebagai Muslim Mukmin balasannya adalah SYURGA.
Akan tetapi,
Yang dikehendaki di sini adalah lebih dari itu. Bukankah ada sebuah Hadith Qudsi yang lain, menganjurkan kita supaya mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala dengan memperbanyakkan ‘NAWAFIL’ (solat sunat), sehingga kita terkira antara orang-orang yang dikasihi Allah Ta’ala. Ini kerana setiap kali kita memperbanyakkan amalan yang salih, setiap itulah kita akan merasakan kasih dan sayang daripada Allah SWT. Itulah tandanya kita telah dekat kepada Allah Ta’ala. Apabila telah dekat kepada Allah SWT, tentulah kita akan sentiasa ingat kepada-Nya dan hati kita pun akan didorong oleh-Nya agar sentiasa berbakti dan beramal untuk mencapai keredhaan Allah Azza Wajalla. SubhanaAllah!
Itulah sebabnya maka Hadith ini mengatakan, bahawa kalau kita mengingati Allah dengan ketaatan kita kepada-Nya, niscayalah Allah akan mengingati kita pula dengan pengampunan-Nya. Malah diperkuatkan lagi dengan ayat yang sesudah itu, iaitu firman-Nya :
“Berhaklah dia akan Aku mengingatinya dengan pengampunan-Ku”
Apakah hak yang ada pada manusia untuk dituntutnya kepada Tuhan?
Kalau tidak diberinya kita apa-apa pun, kita tidak punya hak apa-apa pun untuk menuntutnya. Tetapi, lantaran manusia itu memang sifatnya MATERIALISMA, maka seolah-olah Allah SWT mengakui hak manusia terhadap Zat-Nya, iaitulah balasan-Nya dengan pengampunan dan orang yang mendapat pengampunan Allah Ta’ala, akan terpimpinlah ia ke jalan menuju ke syurga. Insya’Allah.
Tetapi!
Jika sebaliknya pula, bagi sesiapa yang mengingati Allah Ta’ala, sedang dia berlumuran dengan dosa dan maksiat. Dia mengetahui bahawa Allah SWT memerintahnya supaya bersembahyang, berpuasa, berzakat, haji, mengerjakan pekara-pekara baik dan seumpamanya, namun dia terus lalai dan melalaikan dirinya, semua itu tiada dilakukannya, walhal dia mengetahui hukum-hukumnya dan mengetahui balasan Allah Ta’ala terhadap orang-orang yang mengabaikan semua itu, maka berhaklah Allah SWT membencinya dan mengutuknya sehingga akhirnya jika dia tidak terus bertaubat dengan segera akan terpimpinlah dia ke jalan yang sempit yang akan menariknya ke azab neraka. Nasalullahas Salamah!
Maka sebab itulah Allah SWT berfirman :
“Dan barangsiapa yang mengingati-Ku, sedang ia derhaka dan maksiat kepada-Ku, maka berhaklah dia akan Aku mengingatinya dengan kebencanaan-Ku.”
Siapa yang boleh tahan menanggung bencana Tuhan?
Siapa!
Cuba nyatakan!
Tiada seorangpun yang sanggup menanggungnya!
Lantaran itu berhati-hatilah menjaga diri, jangan sampai melakukan sesuatu yang boleh menjadikan Tuhan murka terhadap diri kita. Memang tiada seorang pun yang dapat mengaku dirinya tidak bersalah, tidak berdosa. Tetapi jangan biarkan diri kita kekal di atas dosa itu!
Jangan sanggup berendam di dalam maksiat setiap waktu, tanpa menghiraukan segala suruhan dan larangan-Nya. Dampingkanlah diri kita kepada rakan-rakan yang soleh serta solehah, niscaya kita akan tergolong serta terdorong ke jalan yang dimuliakan oleh-Nya. Dan jangan sekali-kali kita semua mendekatkan diri kepada rakan-rakan syaitan dan mereka yang tunduk ke bawah arahan kehendak nafsu yang dipimpin syaitan, kelak kita akan tertarik ke jalan yang bakal membawa kita ke neraka Allah SWT.
Semoga Allah SWT merahmati kita semua dan memberi kita Taufiq untuk mengubah sikap kita dan mengalih penujuan kita kepada apa yang diredhai-Nya. Insya’Allah!
No comments:
Post a Comment