Saturday 25 September 2010

Hadith Qudsi : Ganjaran Solat Fardhu – Siri 6.







Hadith Qudsi : Ganjaran Solat Fardhu – Siri 6.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.





BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera buat semua yang hadir di sini.


Berkata Qatadah r.a bahawasanya Nabi SAW telah bersabda: Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:

“Aku telah memfardhukan ke atas umatmu (wahai Muhammad!) sembahyang lima waktu, seraya Aku berjanji pada diri-Ku suatu perjanjian, bahawasanya barangsiapa yang memeliharanya tepat pada waktunya, akan Aku masukkannya ke dalam syurga. Dan barangsiapa yang tiada memeliharanya, maka tiadalah perjanjian apa-apa dari Aku baginya.” (Hadith Riwayat Ibnu Majah dan Abu Na’aim r.h).


Sembahyang lima waktu itu difardhukan oleh Allah SWT dari atas langit, yang diterimanya sendiri oleh junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Begitu tinggi nilainya dalam pandangan Allah Ta’ala sehingga Nabi Muhammad SAW diundang oleh-Nya khusus untuk menerima syariat sembahyang lima waktu ini. Cerita selanjutnya dapatlah kita membacanya di dalam peristiwa Mukjizat besar Isra’ dan Mi’raj, manakala dengan itu juga, pekara ini telah kita sama-sama kongsikan dalam artikel saya yang lalu.


Allah SWT juga telah mengingatkan kita bahawa sembahyang lima waktu itu adalah sebagai suatu PERISAI ataupun BENTENG yang akan memelihara manusia dari segala maksiat dan kemungkaran. Ini bererti, orang yang mengerjakan sembahyang lima waktu itu dengan baik dan sempurna akan terpeliharalah dia dari segala kelakuan yang bakal menyelewengkannya dari titian Shirathal Mustaqim. Ketika itu ia akan terdorong untuk melakukan segala pekara yang diredhai Tuhan, dan menjadilah dia seorang manusia yang benar-benar mematuhi segala perintah Tuhan serta menjauhi segala larangan-Nya sehingga ia dipanggil sebagai MUSLIM MUKMIN yang hakiki. Lantaran itulah maka Allah SWT telah menjanjikan baginya syurga sebagaimana sudah dinyatakan dari maksud Hadith Qudsi seperti di atas ini.


Mungkin orang akan bertanya,


Mengapa ada juga orang yang terus sembahyang, tetapi tidak pula berhenti-henti dari melakukan dosa dan maksiat?


Tentulah ini bertentangan dengan maksud firman Tuhan tadi.


Jawapannya,


TIDAK!


Cuba kita perhatikan kepada sembahyang orang tersebut, adakah ia bersembahyang dengan sebenar-benar ertikata makna sembahyang yang telah difardhu serta diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada Umatnya. Ataupun hanya ‘tonggak-tonggek semata-mata?! Seperti ayam yang sedang mematuk-matuk makanan! Kemungkinan juga sembahyangnya tidak sempurna, maka sembahyangnya itu tertolak, sehingga tiadalah ia menjadi perisai atau benteng baginya, maka samalah ia seperti tidak bersembahyang. Lantaran itulah dirinya tidak dapat terdinding dan terhakis dari dosa dan maksiat!


Saya tertarik dengan satu riwayat, serta riwayat ini amat-amat sinonim dari buah mulut kita dekad kini iaitu bahawa orang yang menyempurnakan sembahyangnya dengan baik, maka sembahyang itu akan terangkat ke atas langit dalam keadaan putih dan cemerlang. Ujar sembahyang itu : “Semoga Allah memelihara engkau, sebagaimana engkau memelihara aku.” Manakala orang yang tidak menyempurnakan sembahyangnya dengan baik, sembahyang itu akan terangkat dalam keadaan hitam-legam dan berbau busuk. Ujar pula sembahyang itu : “Semoga Allah menyia-nyiakan engkau, sebagaimana engkau menyia-nyiakan aku.” Lalu sembahyang itu dilipat-lipat sebagaimana dilipat pakaian yang koyak dan dilemparkan serta dipukulkan ke muka orang yang mengerjakannya. (Ada sesetengah menyatakan ia dilemparkan ke arah tengkoknya).


Itulah kesimpulan dari Hadith Qudsi ini bahawa orang yang memelihara sembahyangnya dengan baik dan sempurna, nescayalah Allah SWT akan membalasnya dengan syurga. Demikian pula sebaliknya, jika ia mencuaikan sembahyangnya maka tiadalah Allah SWT menjanjikan apa-apa kepadanya, dan ketika itu pekaranya adalah di dalam bahaya, kiranya ia tiada segera kembali ke jalan yang lurus. Siapa tahu ajalnya sedang menunggunya selangkah di hadapannya, sehingga apabila nyawanya diragut dengan tiba-tiba, sedang ia belum sempat bertaubat dan memperbaiki lagi sembahyangnya sepertimana yang Allah SWT kehendaki.


Orang yang pintar dan bijaksana hendaklah ia menjaganya dari awal-awal lagi agar tidak dibiarkan waktunya berlalu dengan sia-sia dalam kelalaian dan menambah dosa, walhal sembahyang itulah yang bakal menjadi dindingnya diakhirat nanti.


Ingatlah kita semua!


Umur manusia itu selalunya pendek, walaupun dia boleh duduk di dunia ini sehingga 60 tahun atau lebih dari itu. Dan apalah gunanya umur yang panjang kalau dihabiskan kesemuanya ke dalam kelalaian yang sia-sia, semakin lama hidup, semakin bertambah dosa dan maksiat, bererti semakin berat pikulan yang bakal dibawa ke akhirat kelak.


Oleh itu waspadalah kita semua!


Wahai saudara dan saudariku sekelian!


Fikirlah pekara ini dengan sebaik-baik akal kewarasan kita!


Bila sudah habis masanya, dan kita semua pun dijemput untuk pergi, ketika itu tidak ada yang boleh membantu kita kecuali amal dan pahala ikhlas kita semata-mata. Kalau banyaknya amalan kita ketika itu, maka bersyukurlah kita saat itu, kerana mudah-mudahan kita akan terselamat. Tetapi jika yang baik itu kosong dan yang ada hanyalah yang jahat sahaja, ataupun lebih banyak yang jahat dari yang baik atau semuanya banyak yang sia-sia belaka. Awaslah! Kita semua. Kerana semua itu akan dipersoal-jawabkan oleh Tuhan dengan teliti satu persatu sehinggakan sebesar zarah pun akan dibawa di hadapan Allah SWT sebagai bukti dan saksi perbuatan kita ketika di dunia dahulu.


Begitulah terjadinya jika ada di antara kita yang terus menerus melupakan sembahyang dari masa ke semasa sehingga tergolong ke dalam orang-orang yang tidak pernah bersujud langsung kepada Allah SWT, kecuali jika dia diberikan taufiq untuk kembali mengerjakannya semula. Ketika itu sesalannya berbakul-bakul kerana teringatkan kelakuannya yang melupakan Tuhan. Kalau tidakpun dia akan terus terumbang-ambing di dalam lautan hawa nafsunya, setiap hari menghitung dosa sedang yang menghapuskannya tidak dibuatnya. Orang yang sedemikian dikhuatiri akan mengakhiri hayatnya dengan ‘Su’ul-Khatimah’ semoga kita semua dijauhkan Tuhan. WaAllahua’lam.


2 comments:

  1. menarik, jazakallahukhair

    ReplyDelete
  2. Salam Ibnu Mutalib,

    BismillahirRahmanirRahim.

    Ahlan Wa Sahlan!

    Kerana berkelana di sini.

    Ana kembalikannya kepada yang Haq!

    ReplyDelete

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails