Tuesday, 23 February 2010

Kelahiran Nabi s.a.w.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.



Beberapa hari lagi, adalah merupakan hari memperingati peristiwa kelahiran Nabi Muhammad s.a.w (Maulidur Rasul) sebagaimana yang telah kita ketahui, malah hari yang seringkali kita sambut malahan tertunggu-tunggu bagi memperingati kembali sejarah perjuangan Insan unggul ini. Jika kita mengkaji sejarah sebelum kelahiran Nabi s.a.w, kisah tentera bergajah ketika hendak menyerang Kaabah ketika itu sememangnya sinonim dibuah mulut kita amnya. Peristiwa itu adalah satu peristiwa sebagaimana memperingati kembali tentang keadaan umat manusia pada ketika itu diselubungi dengan zaman Jahilliah. Tetapi apabila lahirnya Nabi Muhammad s.a.w di dunia ini telah mengubah segala persepsi tersebut, di mana zaman yang penuh kegelapan itu bertukar menjadi zaman yang penuh gilang gemilang. Malahan sinar cahaya kegemilangan tersebut terpancar dari timur ke barat hingga ke saat ini.


Firman Allah s.w.t:

Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan. Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras. Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.” (Surah Al-Fill – Ayat 1-5).


Sebagaimana yang telah kita semua ketahui apabila menjelang beberapa lama perkahwinannya diantara bapa dan ibu Nabi s.a.w iaitu Abdullah dengan Aminah, maka ia tinggal di rumah orang tuanya. Tidak lama kemudian Abdullah berangkat ke Syiria membawa barang dagangan. Dalam perjalanan pulang, Abdullah jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia di Yatsrib. Oleh kerana Abdullah Abdullah meninggal pada masa yang relatif muda, tidak banyaklah ia meninggalkan warisan. Ia hanya meninggalkan sebuah rumah, lima ekor unta dan sejumlah kambing serta seorang budak perempuan yang bernama Ummu Aiman.


Mendengar suami yang amat dicintainya itu meninggal dunia, Aminah terkejut dan sedih sekali. Kesedihan itu lebih menekan perasaannya kerana ia dalam keadaan hamil. Hatinya meratap bila ia membayangkan nasib anaknya yang masih dalam kandungannya itu yang bakal lahir sebagai anak yatim. Dengan sabar ia menunggu kelahiran anaknya, kerana setidak-tidaknya anak yang bakal lahir itu kelak akan menjadi palipur lara serta penghibur duka yang selama ini meliputi dirinya.


Akhirnya tibalah saat yang dinanti-nantikan itu, lahirlah bayi Muhammad. Aminah sendiri tidak menduga bahawa pada malam menjelang dinihari, Isnin tarikh 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bertepatan dengan tanggal 20 April 571 Masehi ia akan melahirkan bayi yang dikandungnya itu.


Setelah datuknya iaitu Abdul Muthalib mendengar akan cucunya lahir, maka ia langsung berlari-lari mendatangi rumah Aminah. Diangkatlah bayi yang baru lahir itu, diciumnya, didakapnya, lalu dibawanya ke Kaabah. Ia tawaf setengah berlari mengelilingi Kaabah menggendong bayi yang baru saja lahir itu.


Sekembalinya dari Kaabah, ia berkata kepada menantunya, “Bayi ini akan kuberi nama Muhammad. Aku berharap agar seluruh dunia sampai akhir nanti akan memuji ia (Muhammad)”. Sedangkan ibunya sendiri sudah pula menamai bayinya itu Ahmad. Nama Ahmad ini sudah disebut dalam Taurat dan Injil terdahulu. Kedua nama tersebut, iaitu Muhammad dan Ahmad telah disebut juga di dalam Al-Quranul Karim.


Maka dengan itu, kelahiran Nabi s.a.w di dunia ini membawa rahmat kepada sekelian manusia agar kembali ke landasan yang betul. Tiada nas-nas atau unsur-unsur kebathilan dan keburukan yang di bawa Baginda s.a.w untuk sekelian manusia hingga ke saat ini. Nabi s.a.w mengajar agar umat manusia mentauhidkan Allah s.w.t serta mengembalikan kepercayaan Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang terdahulu. Kalau kita perhatikan banyak pengorbanan yang dibawa oleh Rasulullah kepada sekelian manusia, salah satunya adalah Nabi Muhammad s.a.w adalah Nabi di antara Nabi yang boleh memberi syafaat terhadap umatnya ketika di hari kiamat nanti. Itulah yang telah baginda janjikan kepada sekelian umatnya yang patuh terhadap Allah s.w.t. Jika kita ingkar dan tidak mematuhi apa yang telah dibawa oleh baginda serta menafikan sekeras-kerasnya, mana mungkin baginda akan mengenali diri kita malah mana mungkin Baginda akan memberi syafaatnya terhadap kita, jika ketika di dunia dahulu kita sering melupai Baginda dan Allah s.w.t.


Maka dengan itu tanamkanlah rasa kasih dan sayang kita dan seluruh keluarga kita terhadap Junjungan Besar kita iaitu Nabi Muhammad s.a.w serta Ahli keluarga Baginda. Carilah buku-buku yang berkenaan dengan Sirah para Anbiyaa dan Sejarah kehidupan Nabi kita Muhammad s.a.w, lalu ceritakanlah kepada generasi kita akan kebenarannya. Janganlah kita pesongkan minda generasi kita dengan pekara-pekara yang berunsurkan Tahyul dan Khurafat. Lihat sahaja generasi sekarang, kanak-kanak yang berumur 5 tahun sudah mengenali akan nama-nama hero animasi dengan begitu terperinci lagi, tetapi sebaliknya kanak-kanak tersebut belum tentu dapat mengingati malah mengenali siapa itu Muhammad s.a.w serta keluarga baginda. Pekara inilah yang amat-amat ditakuti dekad ini. Masyarakatnya lebih mementingkan unsur-unsur keduniaan yang melampau selain dari mengingati sejarah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w serta sahabat Baginda yang terdahulu. Perjuangakanlah apa yang telah Nabi s.a.w amanahkan kepada kita, agar kita berjaya dan diredhai oleh Allah s.w.t di dunia mahupun di akhirat kelak. Allahu Akhbar!.


No comments:

Post a Comment

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails