Thursday, 11 February 2010

Ketaatan Mendirikan Solat.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man

yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.




Solat atau sembahyang merupakan salah satu rukun Islam yang terpenting dalam setiap diri seorang Muslim. Solat juga adalah ikatan benteng terakhir bagi Aqidah seorang yang mengenal Allah s.w.t. Jika seseorang itu tidak bersolat, maka tiadalah lagi ikatan pertaliannya dengan Islam. Pada Hari Kiamat kelak, sepertimana yang kita semua ketahui bahawa solat itu adalah merupakan amalan yang pertama sekali diperiksa dan ditanya oleh Allah s.w.t. Bagi pendapat saya, solat itu adalah perisai atau benteng bagi diri setiap orang Islam. Jika tidak bersolat, maka ia juga dilabelkan sebagai orang yang mensyirikkan Allah s.w.t dengan sesuatu. InsyaAllah saya akan perjelaskan pekara ini di akhir perenggan nanti. Maka bersolatlah kita semua sebelum ‘kita disolatkan dihadapan Imam’. Ketika itu solat kita sudah tidak berguna lagi sebagai bekalan menuju ke alam yang abadi.


Sabda Rasulullah s.a.w :

“Solatlah yang membezakan kekufuran dengan keimanan”


Nabi s.a.w telah menyatakan bahawa Allah s.w.t telah berfirman kepada Baginda :


“Kemurkaan-Ku akan menimpa orang yang menaruh sebarang perasaan benci terhadap sahabat-sahabat-Ku. Mereka yang diberkati dengan kasih sayang-Ku ialah mereka yang menjalankan setiap perintah-Ku tanpa ragu-ragu. Orang yang meningkat tinggi pada pandangan-Ku ialah orang yang melakukan Nafilah sehingga dia Ku jadikan ‘kekasih-Ku’. Kemudian jadilah Aku telingganya, dengan mana ia mendengar, matanya, dengan mana ia melihat, tangannya, dengan mana ia memegang dan kakinya, dengan mana ia berjalan .(pendengarannya, penglihatannya, pemegangannya, dan perjalanannya sesuai dengan perintah-Ku sehingga ia tidak ingin mengunakan sebarang anggota badannya untuk mengingkari perintah-perintah-Ku) Kalau orang tersebut adalah yang sedemikian, maka doanya Aku makbulkan, kalau ia meminta perlindungan, permintaannya Aku tunaikan”


Sebagai contoh yang hendak saya nyatakan di sini adalah, solat itu sebenarnya merupakan pembersihan hati dan jiwa kita sebagai seorang hamba-Nya untuk mentauhidkan Allah s.w.t. Solat itu juga adalah kemuliaan Iman dan Takwa kita terhadap Allah s.w.t. Tidak mendirikan solat beerti kita ingkar terhadap perintah-Nya. Selayak keingkaran tersebut juga tergolong di dalam golongan orang kafir dan kufur terhadap Allah s.w.t. Jika kita memegang jawatan tinggi atau diri kita disanjungi orang, tetapi kita tidak mendirikan solat, maka sebenarnya martabat kita sebagai seorang Muslim itu sebenarnya yang terbawah sekali dari kaca pandangan Allah s.w.t. Allah s.w.t tidak memandang seseorang itu berdasarkan keturunan, pangkat, rupa, harta, kerjaya dan sebagainya, tetapi sebaliknya Allah s.w.t melihat hamba-Nya itu berdasarkan Keimanan dan Ketakwaannya terhadap Allah s.w.t. Jika kita sebagai seorang pendidik sekalipun malah kita sebagai orang yang sering membantu masyarakat dalam segenap topik, tetapi kita mengambil mudah berkenaan dengan solat, maka ia adalah satu usaha yang sia-sia dan keberkatan kita di hadapan Allah s.w.t sebagai seorang yang beragama Islam itu adalah yang terburuk. Walaupun usaha-usaha murni kita itu memberi kesan yang mendalam terhadap seseorang. Maka secara keseluruhannya solat itu merupakan tiang dan batu asas monumen sebagai seorang Muslim.


Oleh yang demikian, sebagai contoh yang hendak saya bawa dan kongsikan di sini adalah tentang solat Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya. Saya tertarik dengan satu riwayat dari Isteri Nabi s.a.w iaitu Ummul Mukminin Aishah r.a yang mengisahkan ketika pada suatu malam Rasulullah s.a.w sedang tidur berbaring bersamanya, lalu Baginda s.a.w kemuadian berkata, “Sekarang biarlah aku menyembah Allah, Pemberi rezekiku”. Sambil berkata demikian, Baginda pun lalu bangun serta mendirikan solat dengan segala perasaan ikhlas dan tawadhuk. Semasa Baginda s.a.w bersolat, ia menangis, demikian juga keadaannya ketika rukuk dan sujud. Setelah bangun dari sujud keadaan Baginda s.a.w masih tidak berubah dengan tangisannya. Demikianlah halnya sehingga Bilal r.a melaungkan azan menandakan waktu fajar telah menjelang tiba. Lalu ketika itu Isteri Nabi s.a.w Ummul Mukminin Aishah r.a bertanya kepada Rasulullah s.a.w.


“Ya Rasulullah, tuan tidak berdosa kerana Allah telah mengampuni setiap dosa Tuan, mahupun yang telah lalu ataupun yang akan datang. Tetapi Tuan masih memandang rendah terhadap diri Tuan sendiri”. Maka ketika itu Baginda Rasulullah s.a.w menjawab; “Aku sudah sepatutnya berterima kasih kepada Allah. Aku sudah sepatutnya bersembahyang begini mengigatkan ayat-ayat yang telah diwahyukan Allah kepada aku. Apakah tidak patut aku berterima kasih kepada Tuhanku?”


Firman Allah s.w.t:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”(Surah Ali-Imran – Ayat 190-191).


Ada juga diriwayatkan dalam hadith Rasulullah s.a.w bahawa kaki Baginda s.a.w bengkak-bengkak kerana Beliau memanjangkan rakaat ketika di dalam sembahyangnya. Begitulah apa yang di gambarkan oleh Baginda terhadap ketekunannya ketika bersolat. Pekara ini sepatutnya kita ambil ibrah yang berguna untuk mengukuhkan lagi keimanan dan ketakwaan kita terhadap Allah s.w.t dari apa yang telah di ajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Perlu diingati juga, bahawa kita baru di permulaan tajuk, banyak lagi yang kita perlu kongsikan di sini tentang hakikat bersolat. Sebagai contoh yang lain pula, saya bawakan di sini adalah solat yang di lakukan oleh Para Sahabat r.a yang mahsyur.


Ada riwayat juga menyatakan bahawa Syaidina Abu Bakar As-Siddiq r.a yang telah dinyatakan oleh Abdullah bin Zubair r.a bahawa, beliau bersolat berdiri dengan tegak tanpa bergerak-gerak seolah-olah beliau terpaku di bumi. Maka para ulama’ semuanya berpendapat yang Abdullah bin Zubair itu telah belajar sembahyangnya daripada Abu Bakar r.a dan Abu Bakar r.a pula mempelajarinya dari Nabi s.a.w. Menurut cerita, Abdullah bin Zubair apabila ia bersujud, maka sujudnya itu terlalu lama sehingga burung-burung dapat hinggap bertenggek di atas badannya. Kadangkalanya pula ia berukuk dan bersujud sepanjang malam. Begitulah gambarannya yang telah ditunjukkan oleh para sahabat Nabi s.a.w terhadap cintanya mereka kepada Allah s.w.t.


Begitu juga dengan sahabat-sahabat yang lain iaitu ketika Syaidina Umar Al-Khatab r.a telah ditikam dan luka akibat tikaman itulah yang menyebabkan ia meninggal dunia. Badannya berdarah dan kadangkalanya ia jatuh pengsan selama beberapa ketika. Tetapi apabila diberitahu tentang tibanya waktu solat, dia pun bangun lalu mendirikannya. Kata-kata huqamah beliau berkenaan solat ketika itu adalah; “Tiada tempat dalam Islam bagi orang yang meninggalkan solat”. Inilah yang sepatutnya kita semua contohi, tidak bermakna kita sakit, maka tidak diwajibkan bersolat. Bukankah Islam juga mengajar akan kita tentang solat ketika kita sakit?.


Sebagai contoh sahabat yang lain pula adalah Syaidina Uthman r.a, beliau akan bersolat sepanjang malam serta mengkhatamkan seluruh Al-Quran dari masa ke semasa. Begitu juga dengan syaidina Ali r.a, beliau akan mengeletar dan wajahnya menjadi pucat. Ketika itu beliau telah ditanya oleh seseorang berkenaan dengan keadaan dirinya, lalu ia menjawab; “Telah tibalah masanya untuk aku tunaikan amanah yang telah dipersimpankan kepada aku oleh Allah s.w.t dan yang enggan diterima oleh langit, bumi dan bukit-bukau”.


Saudara-saudari kenal tidak dengan sahabat Nabi s.a.w iaitu Hatim bin Asam r.a?. Beliau merupakan seorang yang tekun ketika beribadah kepada Allah s.w.t. Ada riwayat menyatakan bahawa ketika tibanya waktu sembahyang, lalu ia berwudhuk serta berjalan ke tempat yang hendak ia bersembahyang. Kemudian ia pun berdiri untuk bersembahyang. Semasa itulah beliau membayangkan suatu gambaran yang jelas di hadapan matanya iaitu kaabah di hadapan, kakinya di titian Ash Shirath dengan syurga di sebelah kanannya dan neraka di sebelah kirinya serta malaikat Izrail a.s di belakangnya. Beliau berasa seolah-olah itu adalah solatnya yang terakhir. Dalam ketika itu beliau menunaikan solat tersebut dengan penuh Keimanan, Keikhlasan dan Ketaatan terhadap Allah s.w.t.


Oleh yang demikian ini adalah gambaran yang telah ditunjukkan dan diajarkan oleh Nabi s.a.w kepada sahabat-sahabatnya dan seterusnya ia diwarisi hingga ke saat ini. Jika Nabi s.a.w dan sahabat r.a sangat ikhlas dan tekun ketika bersolat, malah di kalangan mereka juga adalah golongan yang Nabi s.a.w nyatakan sebagai ahli syurga dengan segala rintangan dan dugaan, kenapakah kita tidak mencontohinya, sedangkan kita ini amat dan terlalu jauh jika hendak dibandingkan dengan mereka semua?. Persoalan inilah yang sepatutnya bermain diminda kita ketika ini. Lihat sahaja ketika zaman Rasulullah s.a.w, ketika itu masjid Baginda tidak secantik dan seindah masjid yang tersergam sekarang, tetapi Makmumnya ketika itu sehinggakan bersolat di luar masjid bersama-sama Rasulullah s.a.w. Tetapi berbeza dengan keadaan pada hari ini, ruang masjid ketika solat fardu wajib itu kadangkalanya amat-amat menyedihkan walaupun masjid tersebut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang canggih. Lebih malangnya lagi, apabila tibanya musim perayaan, solat sunat itu pula melebihi Mukmunnya dari solat fardu. Bukankah itu menunjukkan bahawa kita sebenarnya memperlekehkan Islam secara umumnya.


Begitu juga halnya bagi orang-orang yang sengaja meninggalkan solat. Kadangkalanya cara mereka ini seolah-olah tidak mengambarkan rasa kesalahan mereka terhadap Allah s.w.t. Lebih malangnya lagi ia terdiri dari golongan yang tahu akan erti solat tersebut, malahan golongan ini juga merupakan golongan yang rata-rata berpendidikan. Golongan yang meninggalkan solat ini, saya gambarkan ia sebagai golongan yang mensyirikkan Allah. Tentu ada di antara kita di luar sana menganggap bahawa ia sesuatu yang melampau, tetapi ini adalah satu peringatan buat kita semua, bahawa orang yang tidak bersolat itu adalah orang yang sememangnya tidak beragama, malah ia juga termasuk dalam golongan orang yang syirik terhadap Allah s.w.t serta kufur terhadap nikmat-Nya. Tahukah kita semua akan dosa Syirik itu? Apakah syirik itu?. Tentu kita tahu malah mengenal akan makna syirik itu, jadi kenapa kita meninggalkan solat kalau kita benar-benar malah tahu akan hakikat syirik tersebut. Bukankah Islam itu untuk orang yang berakal. Maka akal itulah yang membezakannya.


Firman Allah s.w.t:

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (Surah Az-Zariyat – Ayat 56).


Saudara dan saudari faham tidak akan maksud dan tafsir ayat Allah s.w.t tersebut?. Ia adalah bersifat tegas dan larangan serta peringatan kepada golongan jin dan manusia agar mengigati-Nya. Melalui apa?. Melalui Solat dan ibadah kepada-Nya. Maka sudah jelas, Allah s.w.t berfirman bahawa solat itu merupakan ibadah yang penting dan merupakan rukun bagi seseorang Muslim. Jika solat itu dianggap remeh, maka sebenarnya kita adalah golongan yang tidak pernah mensyukuri nikmat dan rahmat Tuhan. Sebagai contoh yang lain, jika seseorang itu tidak bersolat, maka ia tidak mengigati langsung akan Allah s.w.t. Sedangkan dalam hidup dan mati kita mestilah berpaksikan kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t yang memberi kehidupan kepada kita dan Allah s.w.t yang memberi rezeki kepada kita. Maka jika ia enggan bersolat, disifatkan juga bahawa hati dan jiwanya berpaksi kepada selain dari Allah s.w.t. Mungkin boleh jadi kemewahan, kemahsyuran, pangkat, harta, kerjaya, dan sebagainya. Ini menunjukkan bahawa pekara tersebut melebihi pentingnya dari Allah s.w.t. Bukankah ini sesuatu pekara yang menduakan Allah?, Bukankah ini juga tergolong kepada pekara yang mensyirikkan Allah?. Sedangkan pada hakikatnya kita hanya sedar bahawa mensyirikkan Allah itu hanya kepada bomoh, pawang, dukun dan sebagainya, tetapi dalam masa yang sama, pekara-pekara yang lain yang bersangkutan dengan entiti syirik itu kita tidak kisahkan.


Oleh yang demikian, di sini saya ingin memperbetulkan sedikit tentang apa yang kita sama-sama perbincangkan dan akan dilalui nanti, di mana, ubahlah pemikiran kita tentang hakikat bersolat. Pada ibu dan bapa yang berada di luar sana, ubahlah sikap agar memilih bakal menantu yang bersolat. Untuk apa yang perlu saya katakana di sini?. Cuba kita semua bayangkan, dekad ini orang melihat bakal menantu itu berpaksikan kepada sejauh mana pelajaran mereka, pekerjaan yang dijawatnya, keturunan, malah ada seribu satu asas yang tidak munasabah yang telah lama diperlihatkan oleh mereka-mereka ini. Tetapi bermulalah dengan Tarbiyah ini, ubahlah dari sikap memilih bakal menantu yang sedemikian kepada bakal menantu yang bersolat. Pilihlah bakal menantu yang benar-benar tahu tentang Syariat-Nya, malahan tergolong di dalam golongan orang-orang yang bersolat. Bukankah dalam Islam telah mengajar akan hakikat tersebut?. Bukankah agama itu satu pencaturan kehidupan yang utuh?. Jadi kenapa harus memperlekehkannya. Cuba kita lihat, jika seseorang itu tergolong di dalam orang yang tidak bersolat, dan ketika itu ia diraikan dengan meriah di majlis perkahwinannya, maka sebenarnya kita sekeluarga sebenarnya berdosa. Berdosa bagaimana? Berdosa kerana meraikan orang yang tidak bersolat ketika di hari perkahwinannya. Kalau pada zaman Rasulullah s.a.w, orang yang tidak bersolat berjamaah ketika di masjid, Nabi s.a.w menyuruh agar membakar rumah-rumah mereka. Ini satu peringatan kepada kita semua bahawa solat itu adalah ibadah yang amat-amat penting dalam Islam. Maka dengan itu saya berpesan kepada diri saya dan kamu yang berada di luar sana malahan yang sering mengikuti perkembangan blog saya ini, agar segerahlah bertaubat dan kembalilah kepada-Nya. Hijrahkanlah pemikiran kita tentang istilah solat ini, kalau dahulunya kita ini golongan yang ingkar bersolat, maka bertekadlah bahawa saat ini kita adalah golongan orang yang menyegerakan ketikamana tibanya waktu solat. Bukalah minda kita akan hakikat kebenaran ini, kita diberikan waktu oleh Allah s.w.t, bukan untuk menambahkan atau membebankan dosa-dosa kita, sebaliknya kesempatan waktu dan ketika itu hendaklah digunakan untuk mentauhidkan-Nya. WaAllahua’lam. Allahu Akhbar!.



No comments:

Post a Comment

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails