Monday, 22 February 2010

Rasulullah s.a.w Utusan Terakhir.

Oleh Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.


Ahamdulillah syukur kehadrat-Nya. Salam dan Selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w, Ahli keluarga Baginda serta Sahabat dan Sahabiah s.a.w. Dengan rahmat dari-Nya, kita dipertemukan lagi, dihidupkan, diberikan rezeki, diberikan hidayah dan diberikan segala nikmat yang melimpah-ruah untuk menjalani kehidupan di muka bumi ini mengikut syariat dari-Nya.


Sebagaimana yang kita ketahui, di dalam Kitab Taurat dan Injil telah dinyatakan tentang akan adanya Nabi di akhir zaman untuk menyatukan umat manusia agar mentauhidkan serta mengEsakan Allah s.w.t. Pekara ini sememangnya diketahui umum oleh masyarakat Yahudi dan Nasrani bahawa kemunculan Nabi diakhir zaman itu benar-benar pasti akan berlaku. Tetapi dengan sikap sombong dan egonya mereka itu, membuatkan diri mereka menyangka bahawa Nabi tersebut adalah datangnya dari masyarakat keturunan mereka juga (Yahudi). Saban hari penantian mereka menunggu-nunggu akan kemunculan Nabi di akhir zaman tersebut, sehinggakan sangup menamakan anak-anak mereka itu sama seperti nama Nabi di akhir zaman tersebut mengikut apa yang telah dinyatakan di dalam kitab mereka, agar dengan harapan anak mereka itu beroleh pangkat kenabian dari Allah s.w.t.


Firman Allah s.w.t:

Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).” (Surah Al-Baqarah – Ayat 146).


Jika kita lihat di dalam kitab Injil, kita dapati bahawa, sememangnya akan hadir Nabi diakhir zaman di mana Beliau akan hadir mengantikan Nabi yang terdahulu, untuk membawa agar sekelian manusia kembali kepada syariat Allah s.w.t. Tetapi pekara ini telah disangkal sekeras-kerasnya oleh Ahli Kitab, di mana mereka berkepercayaan bahawa Nabi diakhir zaman itu adalah dari keturuanan mereka iaitu Yahudi.


“Jika kamu kasih akan daku, kamu akan memeliharakan hukum-hukumku, dan aku akan minta kepada Bapa supaya Ia beri kepada kamu Penghibur yang lain pula.” (Yuhana 14:15).


“Tetapi aku mengatakan yang benar kepada kamu, bahawa berfaedahlah bagi kamu jika aku undur dari kamu, kerana jika aku tidak undur, Penghibur itu tidak akan datang kepada kamu.” (Yuhana 16:17).


“Maka Penghibur itu akan membawa kamu kepada jalan kebenaran, kerana tidak ia akan berkata-kata dengan kemahuan dirinya sendiri, melainkan barang yang didengarnya kelak akan dikatakannya, dan ia akan khabarkan kepada kamu pekara-pekara yang akan datang. Ia akan memuliakan daku, kerana diambilnya pekara-pekara lalu dikhabarkan kepada kamu.” (Yuhana 16:13).


Dari tiga ayat tersebut, maka kita faham bahawa Nabi Isa a.s seorang penghibur, dan sesudah perginya akan datang Penghibur yang lain pula. Perkataan “Penghibur” yang tersebut itu, di dalam kitab Injil yang terdahulu, dikatakan berasal dari perkataan “Paraceleet” atau “Paraceliet”. Perkataan itu juga beerti “orang yang sangat terpuji (Ahmad atau Muhammad)” dan makna lainnya pula ada yang mengatakan sebagai “Orang yang melepaskan” atau “Menyelamatkan”.

Justeru itu saya lihat sifat-sifat “Penghibur” itu bertepatan dengan Nabi Muhammad s.a.w iaitu Nabi yang terakhir bagi sekelian umat manusia. Sebagai contohnya, saya cuba lampirkan beberapa sifat berkenaan makna “Penghibur” tersebut dengan Nabi s.a.w untuk kita semua memahaminya.


1) Orang yang memperlihatkan agama akan mengetahui bahawa tidak ada kebenaran yang lebih nyata dari apa yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

2) Nabi Muhammad s.a.w tidak berkata-kata tentang hukum, melainkan apa yang Baginda dengar dari Allah s.w.t.

3) Nabi Muhammad s.a.w sudah menyatakan terlalu banyak pekara-pekara yang akan datang.

4) Nabi Muhammad s.a.w sering memuliakan Nabi Isa s.a tentang tauhid yang beliau bawa.


Maka dengan itu, jika kalaulah “Penghibur” itu bukan Nabi Muhammad s.a.w, maka siapakah Nabi yang telah datang sesudah Nabi Isa a.s bagi memenuhi Nubuwah (Khabaran) tersebut?. Persoalan inilah yang perlu bagi penganut-penganut kristian menjawabnya bagi menyatakan kebenaran akan hadirnya Nabi bagi sekelian umat diakhir zaman nanti. Sepanjang pengetahuan kita (Umat Islam), tidak akan ada seorangpun yang sudah mendakwakan dirinya sebagai Penghibur yang dinubuwahkan oleh Nabi Isa a.s, selain dari Nabi Muhammad s.a.w. Maka jika yang dikehendakinya itu bukan Nabi Muahammad s.a.w, maka siapakah yang ditunggu-tunggu oleh kaum Kristian?.


“Telah datang Tuhan dari Sinai, dan ia terbit bagi orang-orang itu dari sa’ir dan Ia bersinar dari gunung Faran, dan Ia datang dengan ribuan dari orang-orang yang kudus, dan di tangan kanannya ada syariat yang berapi. Ia saying akan kaumnya.” (Ulangan 33 : 2-3).


Dari apa yang dapat kita tafsirkan juga dari ayat tersebut maka:


1) “Tuhan datang dari Sinai” itu bermaksud, Nabi Musa a.s telah datang dari Thursina (Sinai) dengan membawa agama Allah s.w.t.

2) “Tuhan datang dari Sa’ir” itu bermaksud, Nabi Isa a.s datang dari gunung Sa’ir di Baitul Muqaddis dengan membawa agama Allah s.w.t.

3) “Tuhan datang dari Faran” itu bermaksud, Nabi Muhammad s.a.w datang dari gunung-gunung Makkah dengan membawa agama Allah s.w.t.


Mungkin kita keliru, apakah itu Faran?. Maka jika kita lihat dan mempelajari bahasa arab yang lama, Faran itu bermaksud salah satu tempat iaitu Makkah atau gunung-gunungnya. Ini beerti bahawa Faran itu adalah tempat lahirnya Nabi Muhammad s.a.w. Jadi siapakah Nabi yang lahir dari gunung Faran tersebut, selain dari Nabi Muhammad s.a.w?. Adakah ada selain dari nama gunung Faran dan sudahkah keluar daripadanya seorang Nabi buat menyempurnakan nubuwah Taurat tersebut?. Tentu jawapannya Tidak ada!. Kecuali Nabi Muhammad s.a.w. Allahu Akhbar!.


“Katakanlah kepada Bani Israil, bahawa Aku akan adakan bagi mereka di akhir zaman, seorang nabi sepertimu dari saudara-saudara mereka, dan Aku akan letakkan perkataan-Ku dimulutnya, dan iapun akan berkata kepada mereka segala yang Aku hendak pesan kepada mereka.” (Ulangan 18:18).


Jika kita lihat bahawa, saudara bagi Bani Israil itu adalah Bani Ismail, kerana datuk bagi Bani Israil ini Ishak dan sedangkan Ishak itu pula Bani Israil. Semua Nabi yang dibangkitkan sesudah Nabi Musa a.s, adalah dari Bani israil, kecuali Nabi Muhammad s.a.w. lantaran itu, Nabi yang tersebut di ayat di atas merujuk bahawa tidak ada melainkan Nabi Muhammad s.a.w. Kalaulah yang tertera di dalam kitab Taurat itu bukan Nabi Muhammad s.a.w, maka tunjukkanlah siapa yang sudah memenuhi nubuwah tersebut?. Atau, adakah mereka tunggu kedatangan lain Nabi dari Bani Israil?. Kenapa diam!. Saya lampirkan lagi ayat tersebut untuk kita semua mudah memahaminya.


“Aku lihat pula langit terbuka, maka adalah kuda putih, dan yang menunggang dia dinamakan “Orang kepercayaan dan Benar”, maka dengan keadilan ia memutuskan hokum serta berperang. Adapun matanya itu seperti api, dan di kepalanya ada banyak mahkota.” (Yuhana 19:11).


Maka dari ayat tersebut, ditafsirkan bahawa ia sesuai dengan sifat Nabi Muhammad s.a.w, ini kerana Nabi s.a.w dinamakan Amin iaitu orang kepercayaan dan Shidiq orang yang benar, dan hukumnya adil serta dengan tidak memandang kanan atau kiri ketika Nabi Muhammad s.a.w di medan perang. “Matanya seperti api” bermaksud pahlawan yang gagah di dalam peperangan. Nabi Muhammad s.a.w berperang tetapi Nabi Isa a.s itu tidak berperang. Dan apa yang dimaksudkan dengan “Di kepalanya ada banyak mahkota” adalah dikepala pemikiran Nabi Muhammad itu mempunyai banyak rahmat dari Allah s.w.t sehinggakan para raja-raja akan tunduk, merendah diri dan beriman kepadanya.


“Alangkah bahagianya zaman yang Rasul itu akan datang kea lam ini. Percayalah kepadaku, aku telah melihat dia telah memajukan penghormatan, sebagaimana tiap-tiap Nabi sudah lihat dia, kerana Allah berikan kepada mereka rohnya sebagai kenabian. Di waktu aku lihat dia penuh kehiburanku dan aku berkata : “Ya Muhammad! Mudah-mudahan Allah bersertamu, dan hendaklah Ia jadikan daku orang yang layak membuka tali kusutmu, kerana kalau aku boleh dapat permintaanku itu, jadilah aku Nabi yang besar dan hamba Allah yang suci.” (Barnaba 44:27-30).


Jika kita lihat, bukan sekadar di ayat tersebut malah di beberapa tempat dari Injil Barnaba ada tersebut nama Nabi Muhammad s.a.w dengan tegas, bukan dengan lafaz yang mempunyai erti Muhammad. Oleh sebab itu kaum Kristian tidak mahu mengunakan kitab Injil Barnaba tersebut. Menurut tarikh, bahawa pada akhir-akhir kurun yang kelima sebelum Nabi Muhammad dijadikan Rasul, Paus bernama Glacuis telah mengharamkan orang-orang Kristian membaca beberapa kitab yang di antaranya adalah Injil Barnaba.


Kitab Injil Barnaba tersebut telah diubah bahasanya iaitu dari bahasa Itali kepada Inggeris dan dari Inggeris pula ke bahasa Arab. Penterjemahan kepada bahasa Arab ini telah dilakukan oleh Dr. Khalil Sa’adah iaitu seorang berbangsa Mesir yang beragama kristian. Manakala kitab ini pula telah dicetak oleh Mathba’ah Al-Manar.


Lantaran dengan itu nama Nabi Muhammad tersebut dengan tegas, maka khabar kenabiannya tersiar dengan pantas dan diterima juga oleh orang-orang yang cerdik pandai. Satu daripada tanda khabar tersebut adalah apabila raja-raja kristian yang dikirimkan surat oleh Nabi Muhammad s.a.w, telah hormati utusannya dengan secukupnya, malahan sebahagian daripada mereka ada yang memeluk Islam dan sebahagiannya pula menafikannya. Mungkin kurangnya kepercayaan mereka terhadap apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w pada ketika itu.


Oleh yang demikian, telah terbukti dan dibuktikan bahawa, kitab Injil dan Taurat ada menyatakan akan kenabian Muhammad s.a.w iaitu Nabi bagi sekelian umat manusia di akhir zaman. Tetapi dekad kini, segala pencaturan tersebut dianggap mudah bagi mereka-mereka yang tidak putus-putus menafikan bahawa Rasulullah s.a.w itulah utusan-Nya yang terakhir, sehinggakan sanggup mengadaikan maruah Islam itu semata-mata mngejar hasrat nafsu keduniaan. Kalaulah mereka-mereka ini mengkaji dan mengikuti apa yang telah diajar dan dibawa oleh Rasulullah s.a.w itu sebaik mungkin, maka tidak akan adanya pekara-pekara murtad di kalangan warga Islam kita. Adakah ketika itu juga kita masih menyalahkan Allah?. Dengarlah wahai saudara dan saudariku sekelian, kita sebenarnya adalah Umat Nabi Muhammad s.a.w, iaitu umat yang terakhir di kalangan umat manusia. Tiada umat selepas ini, kita akan menuju ke alam abadi untuk memperlihatkan segala amalan-amalan kita kelak. Maka dengan itu perteguhkanlah lagi keimanan dan ketakwaan kita terhadap-Nya, agar kita semua dapat bersama-sama menikmati syurga Allah s.w.t bersama-sama utusan-utusan-Nya malah disamping itu juga kita dapat melihat ‘Wajah’ Allah s.w.t yang telah menciptakan kita. Allahu Akhbar!.






Nota dan Rujukan :

1) Tafsir Al-Quran Prof. Dr. Hj Mahmud Yunus.

2) Fiqhus Sirah, Al-Ghazali.

3) A study of Islamic History, Prof. K. Ali.

4) Assabiyayaatufil Mawaa’idhil Barriyyaati, Al Imam As-Syaikhy Abu Nashry.




1 comment:

  1. Salam, Ijad.

    BismillahirRahmanirRahim.

    Terima kasih kerana di sini. Semoga Allah SWT merahmati saudara dan seluruh umat Islam di dunia dan di akhirat. Amin.

    ReplyDelete

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails