Saturday 6 February 2010

Alam Barzakh.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.





Alhamdulillah. Kini bertemu kembali, mengharungi dugaan dan cabaran hidup di dunia ini yang penuh dengan muslihat dan fitnahnya serta adakalanya meruncingkan segenap corong-corong kehidupan kita. Ada yang tersungkur, ada yang tegap berdiri, ada yang tergelincir lalu sedar dan ada yang terjerumus lalu menyembah ke bumi. Ini adalah rutin kehidupan manusia masa kini yang peka dan lalai akan syariat-Nya. Kehidupan yang semakin sempit serta dilingkari dengan ketaksuban akan manusia dengan pekara-pekara keindahan dan kemuliaan duniawi. Kalau kita lihat dekad kini, manusia tanpa segan silu sering melakukan kemungkaran dan kemaksiatan, seolah-olah ia menjadi satu budaya yang perlu dipraktikalkan oleh setiap genap kehidupan manusia. Tidak kiralah lingkaran golongan di bawah umur atau yang sudah meningkat umur. Ia menjadi trend untuk memperlihatkan bahawa, manusia itu sebenarnya mencabar serta mengkhianati Allah s.w.t dan Rasul-Nya.


Jika kita amati sedalam-dalamnya, kurang dan tipisnya Iman itu adalah penyebab utama lahirnya pekara-pekara tersebut. Kita dikurniakan Allah s.w.t dengan begitu menarik sekali organ pancaindera dan sifat pemikiran waras untuk mencanangkan suatu pekara, tetapi kita seringkali mengunakannya pada tempat dan pekara-pekara yang tidak mendatangkan apa-apa kesan dalam diri kita. Kita boleh melihat, tetapi kabur dan buta dalam meletakkan dan mentauhidkan hukum-hukum Allah s.w.t. Kita dapat menyentuh, tetapi bila bab-bab sensitiviti yang berkaitan agama Allah s.w.t, kita tewas, kita dapat mendengar sehingga lebih dari 10 meter, tetapi dalam masa yang sama, bisikan syaitan yang tidak sampai sejengkal itu kita turuti, kita dapat bertutur, sehinggakan kita diiktiraf sebagai pidato yang hebat, tetapi apabila kemungkaran yang melibatkan dosa dan kemaksiatan kita sering abaikan, kita dapat menghidu, tetapi dalam masa yang sama hiduan kita itu tidak menjangkaui apa yang sepatutnya dihidu oleh seseorang yang bergelar Muslim. Ini realiti, tidak kiralah kita sebagai seorang pemimpin, pendidik, saintis, doktor, jurutera, arkitek, pekerja bawahan, pekerja buruh dan sebagainya. Kebarangkalian ceteknya pengetahuan tentang pekara-pekara ghaib yang telah Allah s.w.t nyatakan dalam Kalam-Nya serta dilanjutkan lagi melalui Rasul-Nya itu tidak kita ambil kisah dan sering meminggirkannya. Kalau kita lihat zaman kegemilangan Rasulullah s.a.w, Baginda serta sahabat-sahabatnya beribadah sehinggakan bercucuran air mata. Apabila Rasulullah s.a.w menyatakan akan kebenaran pekara-pekara ghaib, lalu para sahabat jatuh pengsan ketika Baginda s.a.w berucap. Inilah yang dikatakan tebal dan teeguhnya Iman dalam diri seseorang. Tetapi kita pada hari ini, bercucuran airmata adalah kerana soal-soal yang melibatkan cinta dan sayangnya kita terhadap idola pujaan kita. Kalau pekara bercucuran air mata ketika beribadah ini kita tidak terapkan dalam diri dan hati-hati kita, maka sebenarnya kita terlalu jauh dengan golongan yang Rasulullah s.a.w itu sifatkan, malah pada amnya, kita juga terlalu jauh jika hendak dibandingkan dengan para mujahid dan mujahadah di Negara Palestin. Ini adalah kebenaran saudara dan saudari sekelian. Kebenaran yang memperlihatkan kepada kita bahawa benarlah sabda Rasulullah s.a.w itu, di mana sabda Beliau ketika di akhir zaman kelak maka hadirlah golongan yang berpenyakit cintakan dunia serta takutkan kematian. Dalam sedar dan tidak sedar, rupanya kita semakin hampir ke ambang tersebut. SubhanaAllah.


Alam barzakh?. Apa yang kita semua ketahui tentang alam barzakh?. Apa dalil-dalil yang menyatakan alam barzakh itu?. Persoalan inilah yang sepatutnya kita dalami untuk memperlihatkan betapa teguhnya Iman kita terhadap Allah s.w.t. Mempercayai pekara-pekara yang ghaib, mestilah tersemat dalam diri dan generasi kita. Semua agama di dunia ini mempercayai bahawa kelak manusia akan dibangkitkan setelah menuju kematian, tetapi ia berbeza-beza dan lebih afdal lagi Islam itu mengariskan panduan kebenaran, bahawa setiap sesuatu dan perbuatan itu akan ditimbal balik mengikut apa yang telah dilakukan manusia ketika di dunia dahulu. Ia amat berbeza sekali dengan agama selain dari Islam, di mana setelah kematian itu, maka seluruh manusia akan di masukkan ke dalam syurga, walaupun ia penuh dengan dosa-dosa ketika di dunia dahulu. Islam menyangkal akan semua itu. Perlu diingati juga, bahawa dosa bukan satu warisan yang akan terhapus melalui orang lain, setiap dosa tersebut akan ditanggung oleh orang yang membuat dosa. Ini Aqidah yang perlu kita semua ketahui untuk bekalan diri dan generasi kita akan hakikat dosa dan pekara-pekara ghaib tersebut. Bukankah Islam itu satu kebenaran yang sempurna?.


Firman Allah s.w.t dalam Surah Ali-Imraan – Ayat 185.


“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”


Menurut Al-Quran dan Al-Hadith telah dinyatakan bahawa tahanan di alam barzakh itu adalah hak, iaitu sesuatu yang benar-benar terjadi dan akan berlaku pada setiap manusia. Sebagai bukti dan kenyataan yang konkrit yang perlu dikongsikan bahawa orang-orang yang telah mati mendahului kita mereka telah dikuburkan atau dimakamkan di dalam liang lahad. Maka mereka itu sudah berada di alam barzakh. Tahanan atau kediaman yang saya nyatakan ini juga adalah sebagai lanjutan kehidupan setiap manusia, Setelah mengalami hidup pada dua tahap.


Yang pertama hidup di alam kandungan ketika sewaktu masih dalam kandungan ibu, yang pada umumnya selama hanya 9 bulan. Keadaan pada ketika itu adalah sempit, amat terbatas, banyak kesukaran dan penuh kegelapan yang menyukarkannya. Setelah 9 bulan lamanya lalu ia dilahirkan dari kandungan ibu, maka beradalah manusia itu dalam alam yang lebih luas seperti apa yang kita kecapi sekarang ini.


Tahap yang kedua adalah merupakan perumahan yang sedang kita alami sekarang ini, iaitu di alam dunia yang sementara dan seketika sahaja. Kini kita sedang mengalami pertumbuhan yang pasti berlaku sejak dari kecil menjadi muda, dari miskin menjadi kaya, dari tidak berilmu menjadi pintar, dari muda menjadi tua, dari sihat menjadi sakit, dari lemah menjadi kuat, dari yang hidup menjadi mati dan sebagainya. Di dunia ini adalah untuk menentukan adakah manusia itu beriman atau kufur, manusia itu soleh atau derhaka, manusia itu melakukan maksiat atau bertakwa kepada Allah s.w.t dan seterusnya, sehingga manusia itu menemui ajalnya. Ini kerana setiap manusia pasti akan merasai kematian, dan di akhirat kelak semua pahala perbuatan kita akan disempurnakan. Semua perbuatan dosa kita akan diperhitungkan dan diadili dengan seadilnya di hadapan Allah s.w.t. Pekara ini telah saya bincangkan di artikel saya yang lalu.


Oleh yang demikian, setelah sukatan umur yang telah dikurniakan Allah s.w.t kepada manusia itu telah datang akan masanya, di saat itulah akan hadir tamu yang diundang dan diperintahkan oleh Allah s.w.t iaitu Malaikat Izrail a.s hadir untuk mencabut nyawa. Pekara ini juga telah saya bincangkan dalam artikel saya yang lalu. Maka ketika itu juga, kesakitannya bukan kepalang lagi, sehinggakan ada yang menyatakan bahawa tubuh kita ketika itu seperti ditusuk oleh sebuah pedang yang tajam sebanyak 300 kali bagi mereka-mereka yang kufur terhadap Allah s.w.t. Ini berbeza pula bagi mereka yang dikasihi oleh Allah s.w.t, di mana ketika itu malaikat Izrail mencabut nyawanya dengan begitu teliti dan secara perlahan-lahan.


Menurut Imam Ibnu Abiddunya r.a, setelah manusia itu mati (ruh terpisah dari jasad) lalu ia menjadi kaku dan tidak berdaya. Apabila ia sebagai seorang yang mukmin dan mukminat, muslim dan muslimat, maka segeralah kaum kerabat, ahli keluarga, kawan-kawan dan sebagainya memberi penghormatan (berta’ziah) dengan bermaksud memberi penghormatan terakhir kepada simati tersebut. Setelah dimandikan, dikafankan dan disolatkan lalu jenazah tersebut diiringi pergi ke tanah perkuburan untuk disemadikan. Sesudah dimasukkan jenazah tersebut ke dalam liang lahad yang telah sedia digali maka jenazah tersebut dimakamkan dengan sempurna sekali. Ia ditimbuni dengan tanah-tanah yang lembut kemudian setelah selesai maka ia dibacakan tahlil dan didoakan serta ada yang ditalkinkan (bagi kebanyakan pengubur jenazah). Setelah selesai, maka sendirilah ia di dalam kubur seorang diri yang diliputi dengan kegelapan, kedukaan, kecemasan, ketakutan, kegembiraan, kesenangan, kemuliaan dan sebagainya.


Apabila jenazah tersebut berada di dalam alam barzakh dan setelah para hadirin serta sanak saudara meninggalkannya, maka ketika itu Allah s.w.t mengembalikan roh simati tersebut ke dalam jasad tubuhnya dan dihidupkan kembali untuk menghadapi hal pekara alam kubur yang meliputi seksaannya, kenikmatan kubur dan pertanyaan alam barzakh. Tetapi pada ketika itu, ia bukanlah seperti mana beradanya kita di alam dunia ini, ia amat berbeza dan ia adalah kebijaksanaan dan Kekuasaan Allah s.w.t. Tetapi kita sebagai orang-orang yang beriman yakin dan pasti bahawa alam barzakh itu adalah suatu alam kebenaran dan tetap akan berlaku kepada setiap manusia.


Dalam Al-Hadith Imam Bukhari dan Imam Muslim r.a, yang telah diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda :


“Sesungguhnya apabila jenazah telah diletakkan di dalam kubur (alam barzakh) lalu para hadirin dan ahli keluarga yang telah menghantarnya itu pulang, maka sesungguhnya jenazah tersebut benar-benar dapat mendengar bunyi tapak-tapak kaki mereka yang sedang pulang tersebut”.


Lalu ia didatangi pula oleh dua malaikat dan keduanya seolah-olah didudukkan dan kemudian menanyainya. “Apa yang telah engkau I’tikadkan tentang orang ini? (Nabi Muhammad s.a.w). Jika orang tersebut seorang yang mukmin, ia akan menjawab : “Saya bersaksi bahawa ia adalah hamba Allah dan Rasul-Nya”. Lalu ia menyuruh melihat tempat di dalam neraka sambil mengatakan bahawa tempat itu telah digantikan Allah dengan tempatnya di dalam syurga. Orang tersebut dapat memandangnya dan bergembiralah ia.


Rasulullah s.a.w telah bersabda bahawa dari Qatadah (rawi Anas bin malik r.a),


Baginda s.a.w telah menyebutkan kepada kami bahawa untuk tempat orang itu di dalam kuburnya, dilebarkan seluas 70 hasta dan dipenuhi dengan sesuatu yang hijau (kemungkinan untuk hiburannya).”


Jika orang tersebut ternyata orang kafir dan munafik dalam menjawab pertanyaan di atas, ia akan menjawab ‘tidak tahu, saya ikut-ikutan sahaja apa yang dikatakan orang (tidak diiringi dengan Iman), maka ketika itu secara spontan sahaja dua malaikat tersebut menyatakan : “Semoga engkau tidak tahu menahu apa-apa” lalu ia dipukul dan diseksa dengan besi sehingga menjerit sekuat-kuatnya. Di mana jeritan dari pukulan kepada orang yang berdosa tersebut dapat didengari oleh semua ciptaan Allah s.w.t kecuali syaitan, iblis, jin dan manusia. Saya ulangi sekali, kecuali syaitan, iblis, jin dan manusia.


Saya rujuk dalam Hadith yang lain pula yang telah diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud r.a dari Anas bin malik r.a :


“Keduanya (Munkar dan Nakir) bertanya kepadanya : “Siapakah Tuhanmu, apa agamamu? dan apa diutuskan ditengah-tengah kamu?” Orang mukmin akan menjawab : “Tuhanku Allah, agamaku Islam dan orang yang dibangkitkan di tengah-tengah kami ialah Rasulullah.” Sedang orang kafir pula pada ketiga-tiga pertanyaan itu hanya dapat menjawab : “Tidak tahu”.”


Lalu saya rujuk juga dalam Hadith yang lain pula yang telah diriwayatkan oleh Imam Dailami r.a dari Anas bin Malik r.a :


“Munkar dan Nakir datang menemui mayat tersebut dalam kuburnya lalu mendudukkannya, Jika orang itu mukmin kedua malaikat tersebut bertanya kepadanya : “Siapa Tuhanmu?.” Ia menjawab : “Allah”, “Siapa Nabimu?.” Ia menjawab : “Muhammad”, “Siapa Imammu?.” Lalu ia menjawab : “Al-Quran”. Lalu malaikat tersebut melapangkan kuburnya. Jika ia orang kafir dan munafik, keduanya bertanya : “Siapa Tuhanmu?”, Ia menjawab : “Tidak tahu”, “Siapa Nabimu?”, Ia menjawab : “Tidak tahu”, “Siapa Imammu?”, lalu ia juga menjawab : “Tidak tahu”. Lalu kedua malaikat tersebut memukulnya dengan kedua tiang, suatu pukulan sehinggalah menyala-nyala api di dalam kuburnya dan disempitkan kuburnya hingga ia terhimpit berpatah tulang belulangnya”.


Oleh yang demikian, Hadith tersebut menerangkan kepada kita keadaan manusia ketika di dalam tahanan alam barzakh. Di mana seseorang itu akan ditanya oleh dua malaikat (Munkar dan Nakir) serta diseksa olehnya jika orang tersebut orang yang ingkar terhadap perintah-Nya, begitu juga sebaliknya dengan kenikmatan dan kesenangan ketika di kubur bagi para Muttaqin.


Setiap manusia yang telah berada di alam barzakh, ia akan berdiam sehingga datangnya akan hari kiamat kelak, serta dibangkitkan sekelian manusia dari kuburnya untuk diajukan dalam Persidangan Mahkamah Allah di padang Mahsyar nanti. Sebagaimana yang diketahui umum, bahawa alam barzakh itu adalah merupakan suatu taman dari taman-taman Syurga dan ia juga merupakan suatu lubang dari lubang-lubang Neraka. Ia juga merupakan tahap pertama untuk kita ke alam akhirat. Maka dengan itu, sesiapa yang berada di dalam alam kubur itu dalam keadaan yang selamat, ia juga akan terselamat ketika di hari akhirat kelak. Dan sebaliknya jika ia berada di alam barzakh itu dengan keadaan yang tidak selamat, maka lebih ngeri lagi kecelakaan dan kesengsaraannya ketika di akhirat nanti.


Nabi s.a.w bersabda :


Dari Uthman bin Affan r.a, Rasulullah s.a.w berkata : “Sesungguhnya alam kubur itu adalah tahap pertama untuk alam akhirat. Bilamana seseorang telah selamat dalam tahap pertama itu, untuk tahap-tahap selanjutnya akan lebih ringan. Tetapi kalau tidak selamat dalam tahap pertama (alam kubur itu), maka untuk tahap-tahap selanjutnya akan lebih dahsyat” (HR Imam Tirmizi, Imam Ibnu Majah dan Imam Al-Hakim r.a).


Maka jelas dan tertillah dari apa yang telah kita perbincangkan ini. Setiap manusia yang telah mati itu akan dipertanggungjawapkan dari perbuatannya sendiri ketika di dunia. Tiada unsur-unsur yang menyatakan bahawa alam barzakh itu adalah tempat yang kekal abadi, ia disangkal sekeras-kerasnya dalam Islam. Alam barzakh itu adalah tempat yang sementara sebelum kita semua dibangkitkan menuju ke padang Mahsyar untuk diadili Allah s.w.t mengikut apa yang telah kita lakukan ketika di dunia dahulu dengan seadil-adilnya. Kalau dahulunya ketika di dunia kita seorang pemimpin, maka ketika di hadapan Allah, kita sebenarnya adalah hanya sebagai seorang hamba kepada Maha Pencipta.


Kita akan dibangkitkan kelak mengikut golongan-golongan yang kita taksub ketika di dunia dahulu, kalau kita taksub dan cenderong kepada para Muktaqin, maka ketika dibangkitkan kelak kita bersama-sama golongan Muktaqin juga. Dan sebaliknya jika kita terlalu taksub dan cenderong terhadap golongan kufur dan munafik ketika di dunia dahulu, maka ketika dipadang mahsyar kelak kita digolongkan Allah s.w.t ke dalam golongan yang kufur dan munafik juga. Perlu diingati juga bahawa ketika kita berhadapan dengan Allah s.w.t untuk diadili atas apa yang telah kita lakukan ketika di dunia dahulu, kita sebenarnya hadir kepada Allah s.w.t hanya berseorangan diri. Maka ketika itu segala kebaikan dan keburukan kita ketika di dunia dahulu akan dipersembahkan dan diperlihatkan bersama-sama bukti dan saksi-saksi yang jelas nyata di hadapan Allah s.w.t. Kalau dahulunya kita boleh menghapuskan segala bukti kesalahan kita untuk melepaskan diri kita ketika di dunia, tetapi ketika di akhirat nanti seluruh anggota badan dan persekitaran kita akan menjadi saksi dan bukti di atas perbuatan kita. Di hadapan Allah s.w.t ketika itu, tangan, kaki, mata, kulit, daun-daun, debu, angin dan seluruhnya akan berkata-kata akan kebenaran di hadapan Allah s.w.t. Ia akan tunduk dan patuh akan perintah Allah s.w.t. Dan ketika itu tiada yang lebih berkuasa selain dari Allah s.w.t. Allahu Akhbar!.


Oleh itu, setelah kita sama-sama bincangkan dengan panjang lebar ini, kita ambillah satu pendekatan dalam diri kita bahawa menyakini hakikat kebenaran Alam Ghaib ini yang telah Allah s.w.t nyatakan kepada kita. Kita sememangnya mengetahui akan hakikat ini, tetapi dengan tipisnya Iman dalam diri kita itu membuatkan ia dipandang remeh serta menganggap bahawa masa itu terlalu panjang. Baca dan carilah kitab-kitab serta buku-buku yang berkaitan dengan Alam Akhirat dan Alam Barzakh ini yang banyak terdapat di kedai-kedai buku. Ambillah satu nasihat yang berguna untuk kita semua gunapakai bagi diri dan generasi kita yang mendatang. Ceritakanlah pekara-pekara yang benar tentang Islam kepada generasi dan kawan-kawan kita khasnya akan hakikat kesempurnaan Islam. Kalau dahulunya kita sering menghabiskan masa berjam-jam lamanya untuk membaca dan melayari siber dengan pekara-pekara yang tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada kita, maka saat ini ubahlah dan hijrahlah minda kita untuk mencari info-info tentang Ad-deen.

Kita berbangga mempunyai ramai kenalan, kadangkalanya meliputi segenap kaum yang ada dalam Negara kita ini, tetapi bila timbulnya bab-bab yang berkaitan dengan Islam, kita sering kaku, dan menganggap golongan yang tertentu sahaja yang perlu dipraktikkan. Sedarkah kita, bahawa kita ini adalah Khalifah-Nya.


Lebih malangnya lagi ada segelintir dari kita yang berbangga membaca buku-buku berkaitan Islam dengan kuantiti yang begitu banyak sekali, sehingga menyatakan bahawa satu hari dengan satu buku, bukankah itu menimbulkan riak dalam diri kita terhadap orang lain. Orang-orang yang benar-benar memahami akan konsep Mukmin serta memahami akan maksud ayat-ayat Allah s.w.t, ia tidak akan memperhebahkan apa yang telah ia lakukannya terhadap agama Allah s.w.t. Sifat rendah diri dan Tawadhuk itu tersemat dalam dirinya. Beribadah dan beramal itu bukan sekadar dari sudut imej semata-mata, ia perlulah lahir keyakinan dan cintanya kita terhadap Allah s.w.t. Barulah kita akan dapat menikmati kemanisan ketika beribadah. Lihat sahaja ketika zaman Rasulullah s.a.w, para sahabat sebagai contoh yang terdekat, mereka beribadah bukan untuk menunjukkan bahawa mereka hampir terhadap Rasulullah s.a.w, tetapi dengan keteguhan Iman dan takwa itulah yang menjadikan Rasulullah s.a.w mengiktiraf mereka. Pernahkah kita terfikir sikap riak dalam diri itu sebenarnya memakan diri kita sendiri. Riak itu satu unsur betapa ceteknya Iman seseorang terhadap Allah s.w.t. Riak itu juga merupakan syirik-syirik kecil yang telah Nabi s.a.w nyatakan dalam hadithnya. Lupakah kita akan hakikat riak itu?. Maka dengan itu, kembalilah diri kita amnya kepada hakikat yang sebenar, bahawa mempercayai dan menyakini bahawa kita ini hanyalah sebagai hamba-Nya. Saya berpesan pada diri saya dan saudara serta saudari sekelian, kembalilah kita kepada syariat-Nya, pergunakanlah ruang masa yang singkat ini untuk mentauhidkan-Nya, hindarkanlah masa-masa kita untuk melayari siber dengan pekara-pekara yang tidak mendatangkan faedah, bagi yang gemar menghabiskan masa berjam-jam lamanya untuk membahaskan suatu isu yang tidak mendatangkan apa-apa kesan itu, maka hentikanlah. Hiasilah masa dan ruang kita ini dengan pekara-pekara yang berfaedah, sudahkah kita mengkhatam Al-Quran serta mempelajari tafsirnya sebulan yang lalu, setahun yang lalu?, sudahkah kita membaca hadith-hadith Rasulullah s.a.w sebulan yang lalu, setahun yang lalu?, sudahkah kita bersedekah kepada yang memerlukan, sebulan yang lalu, setahun yang lalu?, sudahkah kita membantu ibubapa kita dalam kehidupan mereka, sebulan yang lalu, setahun yang lalu?. Ini batu asas untuk kita semua ketahui, akan hakikat itu. Ini juga mengambarkan kepada kita bahawa masa dan ruang ketika itu terlalu terhad ketika kini. Zaman yang begitu pantas dengan peredaran masa dan ketikanya sehingga membuatkan manusia itu leka dan lalai. WaAllahua’lam. Allahu Akhbar!.


6 comments:

  1. jazakallahukhair atas artikel
    ...x sempat baca

    ReplyDelete
  2. salam alaik...artikel yg menarik dn banyak memberi peringatan kepada kita semua..ketahuilah hidup di dunia ini hanyalah sementara.belum tentu lagi ia memberi kejaminan yang kekal abadi.hiasilah hidup ini dengan segala amalan yang dapat menjamin kita di akhirat kelak.jangan terlalu berseronok dengan kemewahan di dunia dan mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan olehNya kerana dengan amalan itu sajalah yang dapat membantu kita untuk terlepas daripada azab Allah s.w.t.moga2 kita tergolong dalam rahmat Allah...Amin..

    ReplyDelete
  3. Salam alaika...entri kali ini sbgai peringtn..
    Mati itu pasti,tidak ada siapa yang mampu lari,dan alam barzakh itu tmpt manusia disoal bertubi,manakala padang masyar pula tmpt hitungan diri,nah!lalu balsan yang bagaimana wahai diri kamu ingini?pemilihan syurga atau neraka? ia terletak ditangnmu sendiri, oleh itu wahai diri,hati-hati dalam mengejar nikmat duniawi,asal saja berasa puas hati,maka syariat dilanggari,tidak diendah nasihat agama yang diberi...terpulang pada-mu wahai diri yang terdiri,untuk mengelokkan diri yang terperi,supaya mampu mencapai kemakrifatan diri yang tajalli..wallahu a'lam..dakwah bil kalam...

    ReplyDelete
  4. Salam, Ibnu Muthalib.

    BismillahirRahmanirRahim.

    Terima kasih saya ucapkan kerana saudara di sini. Buku-buku tersebut banyak terdapat di kedai-kedai buku, kalau untuk memudahkan lagi, carilah buku2 tersebut di masjid-masjid. kerana ketika membacanya di dalam masjid, kita akan mendapat keberkesanannya dalam hati-hati kita kelak. InsyaAllah.

    ReplyDelete
  5. Waalaikumsalam Izzah,

    BismillahirRahmanirRahim.

    Saya menyokong penuh komentar dari saudari.

    Semoga kita semua dilindungi di bawah naungan-Nya. InsyaAllah

    ReplyDelete
  6. Waalaikumsalam saniah,

    BismillahirRahmanirRahim.

    Benar apa yang dikata, kematian itu pasti, hidup InsyaAllah.

    Terima kasih kerana di sini, semoga Allah SWT memberkati saudari dan seluruh umat Islam, serta di tempatkan di kalangan orang-orang yang berjaya di dunia dan di akhirat. Amin.

    ReplyDelete

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails