Wednesday 23 December 2009

Malaikat Izrail Memasukkan Roh.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim,Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Muhibah. Bertemu kita kembali dengan Izin Allah s.w.t. Allah s.w.t menjadikan tubuh Adam dengan sembilan rongga atau liang. Tujuh buah liang kepala, iaitu dua liang mata, dua liang telinga, dua liang hidung, dan sebuah liang mulut.Manakala dua buah liang di bawah badan pula adalah liang kemaluan dan liang dubur. Kajian sains juga mentafsirkan bahawa apa yang telah terkandung di atas tersebut yang terdapat pada tubuh badan manusia itu adalah benar dan tidak boleh disangkal lagi.


Ketika Allah s.w.t menjadikan Adam, tanah itu dicampuri dengan beberapa bahan iaitu air tawar, air masin, air hanyir, angin, dan api. Kemudian Allah resapkan Nur kebenaran dalam diri Adam dengan berbagai macam ‘Sifat’. Lalu tubuh Adam itu di genggam dengan genggaman ‘Jabarut’ kemudian diletakkan di dalam ‘Alam Malakut’. Sesungguhnya tanah yang akan dijadikan ‘Tubuh Adam’ adalah tanah pilihan. Maka sebelum dijadikan patung, tanah itu dicampurkan dengan rempah-rempah, wangi-wangian dari Nur Sifar Allah s.w.t, dan dirasmi dengan air hujan ‘Bahrul-Uluhiyah’. Kemudian tubuh itu dibenamkan dengan air ‘Kudral-Izzah-Nya’, Iaitu sifat “Jalan dan Jammal”, lalu diciptakan menjadi tubuh adam yang sempurna.


Menurut keterangan para ulama’, ketika tubuh Adam diselubinginya dalam waktu 120 tahun, 40 tahun di tanah yang kering, 40 tahun di tanah yang basah, dan 40 tahun lagi di tanah yang hitam dan berbau. Kemudian Allah s.w.t mengubah tubuh Adam dengan rupa kemuliaan. Maka tertutuplah pemandangan mata malaikat daripada melihat hakikat sebenarnya. Mereka memandang rendah akan bakal kejadian Adam lantaran menurut penglihatan yang nyata asal kejadian Adam. Tiada lain sebabnya dari kurang Ma’rifat mereka. Memang para malaikat telah mengetahui bahawa Adam ini akan menjadi Khalifah Allah s.w.t di dunia kelak. Sudah tentu mereka berasa hairan, mengapa orang yang akan menjadi Khalifah Allah s.w.t demikian asal kejadiannya. Sedangkan bangsa malaikat asal kejadian mereka adalah dari cahaya (Nur).


Demikian pula roh, ketika ia diperintahkan agar masuk ke dalam tubuh adam, ia pun merasa enggan, Segan dan malas untuk masuk ke tubuh Adam yang masih merupakan patung yang kian mengeras seperti batu. Roh itu bukan memasuki tubuh Adam, tetapi ia berputar-putar, mengelilingi patung Adam yang terlantar di situ di kelilingi malaikat yang menyaksikan seperti malaikat Jibril, Mikail, Israfil, Izrail dan lain-lain malaikat lagi. Kemudian Allah s.w.t menyuruh malaikat Izrail untuk memaksa roh itu masuk ke dalam tubuh Adam. Akhirnya mahu tidak mahu roh tersebut menyerah kepada malaikat Izrail. Ia dimasukkan ke dalam tubuh Adam, lalu roh itu masuk perlahan-lahan sehingga ke kepalanya yang mengambil masa selama 200 tahun. Demikianlah Allah s.w.t memberi kekuatan kepada Izrail untuk memasukkan roh ke dalam tubuh Adam. Dahulu malaikat Izrail ditugaskan untuk mengambil tanah untuk adam, dan kini dia pula ditugaskan untuk mencabut nyawa umat manusia. Pekara ini telah kita sama-sama bincangkan dalam posting saya yang lalu.


Setelah ia meresap ke kepala Adam, maka terjadilah otak dan tersusunlah urat-urat sarafnya dengan sempurna. Kemudian terjadilah matanya, seketika itu matanya terus terbuka melihat dan melirikkan ke kiri dan ke kanan. Dan juga melihat ke bawah di mana sebahagian daripada badannya masih merupakan tanah keras. Dilihatnya kiri dan kanan para malaikat yang sedang menyaksikan kejadian dia. Ketika itu telinga Adam telah dapat mendengar para malaikat mengucapkan tasbih memuji kebesaran Allah s.w.t, dengan bermacam-macam ucapan kalimah tasbih dengan suara merdu dan mengasyikkan.


Kemudian ketika roh sampai ke hidungnya, lalu ia bersin serta mulutnya terbuka. Ketika itu Allah mengajarkan mengucap “Alhamdulillah”. Itulah ucapan Adam pertama kali ke hadrat Allah s.w.t. Lalu Allah s.w.t berkata “Yarkhamukallah” yang bererti “Semoga engkau diberi rahmat Allah”. Oleh kerana itu jika orang bersin menjadi ikutan sunat mengucapkan : “Alhamdulillah” dan orang yang mendengarnya sunat mengucapkan : “Yarkhamukallah.” Kemudian ketika roh sampai pada dadanya, tiba-tiba saja ia mahu bangun. Padahal sebahagian badannya ke bawah masih menjadi tanah keras. Di sini menunjukkan sifat manusia yang suka tergesa-gesa (tidak sabar). Sebagaimana dengan firman Allah s.w.t dalam Al-Quran yang bermaksud :

Dan manusia berdoa dengan (memohon supaya ia ditimpa) kejahatan sebagaimana ia berdoa dengan memohon kebaikan, dan sememangnya manusia itu (bertabiat) terburu-buru.” (Surah Al-Israa’ – Ayat 11).


Maka roh itu sampai di bahagian perutnya, maka terjadilah susunan isi perut dengan sempurna. Maka seketika itu terasalah lapar. Kemudian terus roh itu meresap sampai ke seluruh tubuh Adam, tangan, kaki, lalu terjadi darah daging dan tulang, urat-urat, berkulit dengan sempurna, yang mana kulit itu kian lama kian bagus dan halus. Begitulah proses kejadian-kejadian tubuh Adam.


Menurut riwayat ketika Adam masih berada di Syurga sangat baik sekali kulitnya. Tidak seperti kulit kita sekarang ini. Kerana setelah Adam diturunkan ke dunia, terjadilah perubahan pada warna kulitnya. Sebagai peringatan untuk kita semua, yang masih tertinggal warnanya hanyalah pada kuku manusia. Hal ini kita boleh sama-sama melihatnya walaupun orang tersebut berkulit hitam, tetapi warna kukunya adalah sama iaitu putih kemerah-merahan.Cuba kita semua perhatikan kuku-kuku kita, ia amat berbeza berbanding dengan warna yang terdapat pada kulit jari kita.WaAllahua’lam.


Suatu keterangan bahawa Nabi Adam a.s dikenali dengan gelaran ‘Abul-Basyar’ (Bapa segala manusia) dan Muhammad s.a.w pula dengan gelaran ‘Abul Ruh’ atau ‘Abul Arwah’ (Bapa segala roh). Setelah kejadian Adam sempurna sebagai manusia baru, maka dialah merupakan jenis makhluk manusia yang pertama. Wajahnya cukup cantik, semua malaikat berasa kagum melihat Adam yang begitu menawan. Mereka sama sekali tidak menyangka bahawa makhluk yang asalnya dari tanah kini kelihatan indah dan menawan.


Kemudian Adam dipakaikan dengan pakaian kebesaran dari syurga dengan mahkota yang bertatah intan berlian yang menambahkan lagi keagungannya sebagai seorang raja atau khalifah. Setelah itu Adam duduk di atas kerusi keemasan yang bertatah permata sambil dikelilingi oleh para malaikat. Kemudian setelah Adam duduk di atas kerusi itu, lalu dia diusung oleh empat orang malaikat serta diiringi oleh ribuan malaikat untuk diperkenalkan kepada penghuni di langit yang pertama sehingga ke langit yang ke tujuh sampailah ke syurga.


Menurut riwayat mengatakan Adam diarak oleh malaikat selama lebih kurang 100 tahun. Setelah itu barulah Adam dibawa ke syurga iaitu tempat Adam mula-mula dijadikan. Kemudian datanglah Jibril membawa seekor kuda dari syurga yang berwarna hijau muda serta bersayap. Baunya sangat harum serta dapat berkata-kata seperti manusia. Di belakang kuda itu terdapat tempat duduk yang selesa. Jibril memegang tali pemacu, Mikail duduk di sebelah kanan Adam manakala Israfil pula duduk di sebelah kiri beliau. Diceritakan di mana saja Adam pergi, dia selalu mengucapkan “Assalamualaikum” yang mana ia dijawab oleh setiap para malaikat dengan perkataan “Waa’alaikumsalam”. Maka dengan itu ia menjadi ikutan untuk setiap manusia yang beragama Islam untuk memberi dan menjawab salam. Ini salah satu rentetan kisah Aqidah yang perlu kita sematkan dalam diri dan keluarga kita tentang kejadian Adam sejak dari mulanya Allah s.w.t menciptakannya. Pekara inilah yang perlu kita ceritakan kepada anak-anak dan generasi kita, agar mereka kelak akan lebih mengetahui tentang kebesaran Allah s.w.t terhadap makhluk-Nya. Janganlah kita terlalu bakhil terhadap wang dan kemewahan kita, sehinggakan kita sanggup tidak memberikan perhatian langsung tentang buku-buku atau kitab-kitab yang berkenaan dengan Islam. Pekara inilah yang amat-amat dibimbangi kita. InsyaAllah untuk di posting yang akan datang, saya akan muatkan lagi artikel saya berkenaan dengan malaikat dengan lebih mendalam untuk kita sama-sama kongsikan.WaAllahua’lam.


2 comments:

  1. salam...
    seperti biase mmg menarik posting awk tentang "malaikat izrail memasukkan roh"...teruskan berjuang untuk kita sama2 memantapkan aqidah supaya tidak terus jauh terpesong dgn arus dunia yg hanya pinjaman ini...insyaALLAH...jazakallahu khairan katsiran...ma'assalamah...

    ReplyDelete
  2. Waalaikumsalam, saya kembalikannya kepada yang haq, InsyaAllah jika diizinkan Allah s.w.t, saya akan muatkan lagi berkenaan dengan 'beriman kepada malaikat'. Semoga saudari diredhai oleh Allah s.w.t dunia dan akhirat.

    ReplyDelete

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails