BismillahirRahmanirRahim. Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera. Alhamdulillah, syukur, kembali kita dengan keizinan dari-Nya, bagi mendalami lagi berkenaan dengan “Beriman Kepada Malaikat”. InsyaAllah.
Apabila sampai masa kematian, maka Allah s.w.t mengutuskan malaikat Maut (Izrail) mencabut roh dari tubuh orang tersebut. Allah s.w.t berfirman dengan bermaksud :
“Dan Dia lah yang berkuasa atas sekalian hambaNya; dan Ia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).” (Surah Al-An’am – Ayat-61).
Sekiranya orang yang akan dicabut rohnya itu merupakan seorang yang mukmin, maka malaikat itu datang sebagai seorang yang rupawan. Tetapi jika datang pada orang yang kafir dan munafik maka mereka mendatanginya dengan rupa yang menakutkan.
Saya rujuk dalam hadith Rasulullah s.a.w yang telah diriwayatkan oleh Bara’ bin Azib r.a di dalam hadith shahih Imam Abu Dawud r.a :
“Sesungguhnya jika orang Mukmin, maka ketika dia akan keluar dari dunia ini dan menuju kea lam akhirat, maka dia didatangi malaikat yang turun dari langit dengan muka yang putih berseri. Mereka itu membawa kain kafan yang dibawa dari syurga. Juga membawa wangian dari syurga. Malaikat datang sambil duduk sejauh mata memandang. Kemudian datanglah malaikat Maut (Izrail) dengan duduk di sisi kepalanya. Malaikat itu mengatakan : “Hai roh yang baik (tenang), keluarlah anda sekarang dengan mendapat ampunan dari Allah s.w.t dan kerelaan-Nya” Kemudian roh itu keluar seperti mengalirnya sebuah titisan yang berasal dari satu minuman, kemudian malaikat itu mengambil roh tersebut."
Dan saya rujuk juga dalam hadith shahih dari Imam Abu Dawud r.a :
“Dan sesungguhnya jika orang yang akan dicabut itu roh orang yang kafir, (Dalam riwayat yang lain pula : orang yang ‘fajir’ bererti penjahat, penzina atau pendusta) maka ketika orang itu di dunia lalu dia didatangi malaikat yang turun dari langit (yang berkeadaan kasar dan kejam) dengan rupanya yang hitam. Dengan membawa pakaian berbulu, lalu malaikat Maut (Izrail) datang dan duduk daripadanya sejauh mata memandang. Lalu malaikat Izrail datang dan duduk pula di sisi kepalanya, sambil mengatakan : “Hair oh yang jahat, keluarlah engkau sekarang menuju kemurkaan Allah dan kemarahan-Nya. Lalu dipisahkan roh itu dari tubuhnya, yang terpisahnya itu laksana dicabutnya bulu basah oleh besi panas (yang kemudian diikuti dengan putusnya keringatnya dan urat sarafnya).”
Semasa kejadian tersebut berlaku, mereka yang berada disampingnya tidak dapat melihat dan tidak mengetahui apa-apa tentang pekara tersebut. Firman Allah s.w.t :
“Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang dari kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkongnya, Sedang kamu pada masa itu (berada di sekelilingnya) menyaksikan keadaannya, Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat.” (Surah Al-Waqi’ah – Ayat 83-85).
Nabi Muhammad s.a.w telah mengungkapkan tentang adanya malaikat Maut (Izrail) yang akan memberikan berita gembira kepada mereka yang akan mati sebagai seorang Mukmin. Dengan janji ampunan Allah s.w.t serta kecintaan-Nya. Namun bagi mereka yang kafir atau ingkar (berdosa), bagi mereka dijanjikan pula adanya kemurkaan dan kemarahan Allah s.w.t kepadanya. Berkenaan dengan janji syurga yang telah Allah s.w.t janjikan kepada orang-orang mukmin tersebut telah diterangkan dalam Al-Quran :
“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh - pada hari akhirat - apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh - pada hari itu - apa yang kamu cita-citakan mendapatnya. (Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!” (Surah Fussilat – Ayat 30-32).
Mengikut tafsir dari ayat Al-quran tersebut ia berkenaan dengan orang yang akan mati dalam keadaan serba takut dan susah, menghadapi masa yang akan datangnya kematian. Bahkan takutnya orang-orang yang akan mati kemudian. Dengan ayat tersebut maka jelaslah bahawa malaikat akan turun padanya nanti pada saat-saat kematiannya dengan berita yang membawa ketenteraman, yang seolah-olah malaikat itu akan mengatakan : “Jangan anda susah dalam menghadapi masa akan datang, baik ketika di alam barzakh mahupun di akhirat nanti. Juga anda tidak perlu susah tentang keluarga anda, anak-anak anda, mahupun hutang-hutang anda.” Bahkan diberinya berita dengan janji akan dimasukkan syurga sebagai berita gembira.
Sebaliknya, bagi orang yang kafir maka malaikat berjanji kepada mereka untuk menempatkan mereka di dalam neraka Jahanam. Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Dan (amatlah ngerinya) kalau engkau melihat (wahai orang yang memandang), ketika malaikat mengambil nyawa orang-orang kafir dengan memukul muka dan belakang mereka (sambil berkata): “Rasalah kamu azab seksa neraka yang membakar. (Azab seksa) yang demikian itu ialah disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri, kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.” (surah Al-Anfal – Ayat 50-51).
Dari firman Allah s.w.t di atas menunjukkan pada kita bagaimana para malaikat mencabut roh orang yang kafir, maka ia merupakan satu peristiwa yang mengerikan, di mana para malaikat itu memukul wajah dan belakang mereka dan serta merta malaikat menyatakan; “Rasakanlah engkau sekarang dengan seksaan yang pedih.”
Diriwayatkan juga bahawa kisah tersebut berlaku dalam peperangan Badar, namun ia juga boleh terjadi bila-bila masa sahaja berkaitan masaalah yang bersangkutan dengan kekafiran. Tidak hanya khusus berlaku pada orang-orang kafir ketika perang Badar tersebut, tetapi ia juga boleh berlaku pada hari dan ketika ini untuk orang yang ingkar terhadap Allah s.w.t. Maka dengan itu renungilah kembali akan diri kita, adakah kita terjamin dengan amalan-amalan yang sedikit yang telah kita lakukan. Fikirkanlah. InsyaAllah, saya akan huraikan lagi berkenaan dengan malaikat ini di posting saya yang akan datang mengikut ketentuan dari-Nya.Allahu Akhbar!
Askm saudara Ibnu Nazir....
ReplyDeleteSyukur kehadrat Allah swt...ada seorang insan yg bernama Ibnu Nazir..yang sudi bersengkang mata dan mentalaah ilmu untuk pembaca2...blog nye..
Ameen ..semoga Allah memberi pahala & ganjaran yang setimpal dgn usaha murni Ibnu Nazir...kearah kebaikan...Allahuakhbar.x3
Waalaikumsalam Tuan Anonymous, Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.
ReplyDeleteSaya kembalikannya kepada Yang Haq, Terima kasih jua kepada tuan kerana sudi menghadirkan diri ke blog kelolaan saya, semoga Allah s.w.t memberkati tuan dan seluruh umat Islam, dan dilimpahi dengan rahmat dan hidayah-Nya. Amin