Monday, 28 December 2009

Para Malaikat Dan Majlis Zikir.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Muhibah. Alhamdulillah, syukur ke hadrat-Nya dapat kita sama-sama kembali meneruskan apa yang telah dan akan diperbincangkan ini, moga-moga dengan hidayah dan rahmat-Nya, dapatlah hendaknya menjadikan diri kita semakin hari semakin mantap Iman dan Taqwa kita terhadap Allah s.w.t. InsyaAllah. Sebelum ini kita telah bincangkan tentang kejadian dan tugas penghulu-penghulu malaikat di posting saya yang lalu, tetapi kali ini saya cuba lanjutkan lagi berkenaan dengan malaikat dengan lebih mendalam dan terperinci lagi mengikut panduan Al-quran dan Hadith-hadith Rasulullah s.a.w.


Dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda : “Allah s.w.t mempunyai para malaikat yang ditugaskan mencari majlis zikir, sebaik sahaja menjumpai majlis zikir tersebut, maka mereka (malaikat) akan duduk bersama-sama dengan orang yang berzikir serta memanggil malaikat-malaikat yang lain. Mereka akan datang berkerumun mengelilingi orang-orang yang berzikir itu dengan sayap-sayap mereka hingga memenuhi ruang antara mereka dengan langit dunia.”


Apabila majlis zikir itu tamat, maka para malaikat akan naik kembali ke langit. Lalu Allah bertanya kepada mereka (Allah s.w.t Maha Mengetahui) : “Wahai para malaikat-Ku, dari manakah kamu semua?” Berkata para malaikat : “Ya Tuhan kami, kami baru sahaja pulang memeriksa hamba-hamba-Mu di bumi, mereka bertasbih, takbir, tahlil dan tahmid serta memohon kepada-Mu.” Setelah Allah s.w.t mendengar kata-kata malaikat-Nya, maka Allah s.w.t berfirman : “Wahai para malaikat-Ku, apakah yang mereka minta dari-Ku?” Berkata para malaikat : “Hamba-hamba-Mu itu memohon syurga dari-Mu.” Allah s.w.t berfirman lagi : “Pernahkah mereka melihat akan syurga itu?” Berkata para malaikat lagi : “Mereka tidak pernah melihat syurga itu.”


Allah s.w.t berfirman : “Hamba-hamba-Ku memohon syurga tetapi mereka tidak pernah melihatnya dan apalagi kalau mereka melihat syurga itu.” Berkata para malaikat : “Mereka juga memohon kebebasan.” Allah s.w.t bertanya : “Mohon bebas dari apa?” Berkata Malaikat : “Hamba-Mu itu memohon kepada-Mu agar mereka bebas dari neraka Jahanam.” Allah s.w.t berfirman kepada malaikat lagi : “Pernahkah hamba-hamba-Ku melihat neraka-Ku.” Berkata para malaikat : “Tidak Ya Allah.” Allah s.w.t berfirman : “Hamba-hamba-Ku tidak pernah melihat neraka jahanam, tapi mereka memohon supaya dibebaskan darinya, apalagi kalau mereka melihatnya.”


Kemudian para malaikat berkata lagi : “Ya Allah, hamba-Mu itu memohon ampun kepada-Mu,” Allah s.w.t berfirman : “Dengarlah wahai para malaikat-Ku, Aku mengampuni mereka itu dan Aku akan memberi apa yang mereka minta serta membebaskan mereka dari azab api neraka yang mereka takutkan itu.” Berkata malaikat lagi : “Ya Allah, di antara mereka itu terdapat seorang hamba yang penuh dengan dosa, dia melalui majlis itu lalu duduk bersama mereka yang sedang berzikir.” Allah s.w.t berfirman : “orang itu pun Aku ampuni, begitu juga dengan setiap orang yang terlibat dalam majlis zikir itu, tidak ada yang celaka.”


Kisah ini satu rentetan tauladan yang berguna untuk sekelian manusia khasnya, ia menunjukkan kepada kita, begitu kasih dan sayangnya Allah s.w.t terhadap makhluk ciptaan-Nya. Tiada satu makhluk pun yang berada dalam alam semesta ini yang tidak diberikan perhatian oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t maha Penyayang dan maha Pengasih, sesuai dengan zhat-Nya. InsyaAllah saya akan bawa lagi kisah-kisah para malaikat ini untuk sama-sama kita mengetahui dengan lebih terperinci dan tersusun lagi mengikut keizinan dan keredhaan dari-Nya.




No comments:

Post a Comment

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails