Oleh : Muhammad Ibn Nazir
BismillahirRahmanirRahim. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera. Alhamdulillah syukur kehadrat Illahi, Salam dan Selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w , Ahli keluarga Baginda dan Sahabat-sahabatnya. Aku bersaksi tiada Tuhan yang wajib disembah kecualiNya dan Muhammad s.a.w itu PesuruhNya. Segala Puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam.
Pencaturan kehidupan masakini semakin rumit dan tidak ketentuan, akibat dari sikap-sikap segelintir kalangan warga manusia yang berpenyakitkan virus “Wahan”. Namun yang demikian, segala prinsip yang berteraskan rukun-rukun yang sempurna perlu diterapkan kepada sekelian manusia yang berkonsepkan Islam Hakiki. Lantaran dengan itu, maka timbullah kepura-puraan dalam hati segenap pasangan suami isteri yang hanya mengundangkan kekeliruan dan ketidakadilan dalam menempuhi segenap corong-corong alam kekeluargaan. Namun yang demikian tidak semua pasangan berubah begitu, ada yang tekun dan utuh imannya selagi ia tidak melanggari prinsip-prinsip Allah s.w.t. Pasangan ini adalah pasangan yang diredhai oleh Allah s.w.t di dunia dan di akhirat.
Allah s.w.t Berfirman :
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah Ar-Ruum – Ayat – 21).
Di dalam ayat di atas menunjukkan betapa Allah telah menciptakan manusia itu dijadikan fitrahnya berpasang-pasangan yang mana di kalangan mereka itu adalah saling memerlukan di antara lelaki dengan wanita. Iaitu saling melengkapi, malah, setiap satunya sama ada lelaki atau wanita, memiliki keinginan terhadap satu dengan yang lainnya. Ini, lantas membuktikan bahawa manusia itu diciptakan dengan mempunyai fitrah untuk memilki dan dimiliki terhadap pasangan mereka masing-masing menurut pilihan dan citarasa keinginan mereka. Mereka memiliki sikap dan sifat untuk disayangi dan menyayangi. Itulah sifat neutral dan fitrah setiap insan. Ia adalah merupakan suatu bentuk fitrah yang tidak boleh dihalang dan merupakah suatu sunnahtullah atau ketetapan, malah keperluan bagi kehidupan manusia yang sempurna dan harmoni.
Tetapi malangnya pada dekad ini, satu pencaturan ketidakadilan yang hebat telah berlaku, di mana kaum hawa ini yang bergelar sebagai seorang isteri telah diperkotakkatikkan oleh sang suami yang durjana dari segi akal dan pemikirannya. Mereka beranggapan bahawa keperluan duniawi memerlukan mereka untuk mengapai sesuatu itu mengikut hawa dan nafsu tanpa memikirkan hala dan tujuan sebenar, di mana konsep teras Islam itu dipandang remeh dan sembrono. Apakah masih wujud lagikah sikap-sikap atau konsep penderaan mentaliti ini di kalangan kita?
“Mengemari dunia itu akan meletihkan pengemarnya di dunia dan akhirat, sedangkan zuhudkan dunia akan merehatkan tuannya di dunia dan di akhirat”
(Ibnu Sam’ak)
Kesedaran tentang konsep ini perlu diterapkan sejak di usia yang kecil lagi, melayani, mentaati dan mematuhi kepada ibubapa, sedikit sebanyak membolehkan diri kita menghargai juga isteri-isteri kita. Saya telah jelaskan pada posting saya yang lalu, “Lindungi Dan Hargailah Ia”, (disini) di mana saya tekankan bahawa konsep mentaati dan menghormati kaum hawa perlu ada di segenap hati kita kerana setiap muslim itu adalah bersaudara. Namun apa yang mendukacitakan kita saat ini adalah, nas-nas itu tidak ditegakkan oleh sisuami yang masih punyai sikap yang ego dalam segala segi yang membabitkan hal-hal kekeluargaan. Hal ini juga berlarutan sehingga jalan yang terlalu mudah dan bacul itu pilihan sisuami, sehinggakan mengetepikan hak-hak yang telah Allah s.w.t amanahkan kepadanya. Sikap yang sedemikian adalah suatu yang merugikan dan menyebabkan pelbagai rencah kehidupan yang sempit. Perlu diingati juga, bahawa anak-anak yang masih kecil itu perlukan pembelaan dan kasih sayang daripada seorang yang bergelar suami dan ayah.
Allah s.w.t Berfirman :
“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).” (Surah Ali-Imraan – Ayat-14).
Jika kita lihat dari segi ketamadunan Parsi dan Rom umpamanya, kita dapati mereka sering memperkecil-kecilkan dan merendah-rendahkan kaum wanita, tidak kiralah ia bergelar isteri atau anak-anak mereka. Dalam keadaan zaman yang penuh dengan kegelapan dan ketidakadilan itulah menyebabkan hak-hak kaum wanita diperkecilkan dengan sewenang-wenangnya. Sebagai contoh yang ketara yang kita dapat lihat pada hari ini adalah, ukiran-ukiran seni yang boleh dilihat pada patong-patong dan gambar-gambar hiasan mereka. Ia mengambarkan seolah-olah, kaum wanita pada masa itu ialah satu kaum yang dipandang remeh dari kaca mata mereka. Dengan rekaan yang mengambarkan ukiran-ukiran dan lukisan-lukisan wanita yang tidak berpakaian, maka jelaslah kepada kita bahawa ketamadunan mereka itu mengambarkan bahawa wanita itu adalah simbol perhambaan seks, dan perlu diperlakukan sewenangnya oleh kaum lelaki. Bukankah itu mengambarkan bahawa, pada masa itu sangat tipis akhlaq mereka. Wanita pada masa itu juga digambarkan juga sebagai pembawa risalah kedukaan dan kehinaan dalam setiap komuniti sesebuah intitusi kekeluargaan. Bukankah itu suatu yang sangat zalim, dan tidak bertamadun. Hidup dengan suasana tanpa hala dan tujuan, mengikut hukum alam dan nafsu serakah semata-mata.
Begitu juga dengan Tamadun Babylon, mereka menyatakan dan mengambarkan bahawanya wanita pada masa itu dinafikan hak dan direndah-rendahkan martabatnya dengan begitu jelas sekali. Sebagai contoh yang dapat kita lihat, di mana apabila seorang lelaki membunuh seseorang wanita dan ia didapati bersalah, malahan hukuman itu tidak dijatuhkan kepada silelaki tadi, tetapi apa yang sebaliknya, bahawa juga hukuman itu dijatuhi kepada isteri sipembunuh tadi dengan hukuman yang berat iaitu, bunuh. Maka apa yang dapat kita tafsirkan di sini, kenapa begitu rendahnya situasi ini, sehinggakan wanita-wanita pada tamadun ini dianggap sebagai terlalu murah harga hidupnya?.
Lebih jelas dan malang lagi, bilamana konsep merendah-rendahkan maruah dan martabat wanita ini ditujukan juga kepada Tamadun yang masyur pada masa lampau, iaitu Tamadun Greek. Mereka beranggapan dan menyatakan dengan sekeras-kerasnya, bahawa wanita adalah jelmaan yang bergelar sebagai “Pandora” dan dikatakan juga wanita Pandora inilah punca kecelakaan dan musibah yang sering dihadapi oleh setiap manusia. Ini jelas menunjukkan bahawa ketamadunan ini lari dari konsep Islam yang sebenar. Dan menunjukkan kepada kita bahawa satu bentuk penderaan dan penyeksaan terhadap wanita telah berlaku sejak dari dahulu lagi.
Pekara ini diperluaskan lagi, bilamana kita mengetahui, bahawa zaman arab jahilliah, mereka pula merupakan golongan yang paling kejam sehinggakan sanggup menanam anak bayi perempuan yang baru lahir mereka hidup-hidup. Lebih malang lagi, ini diperlakukan oleh ibubapa mereka sendiri. Mereka beranggapan bahawa, wanita pada masa itu membawa satu musibah kepada keluarga mereka. Ini amat jelas kepada kita bahawa satu penindasan yang berterusan telah berlaku terhadap kaum wanita sehinggakan anak-anak yang tidak berdosa itu diperlakukan dengan begitu kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Begitu juga dengan apa yang saya kemukakan ini, ini benar-benar terjadi terhadap kaum wanita, kongkongan demi kongkongan telah berlaku dengan begitu jelas sekali terhadap penganut agama kristian, di mana kaum wanita tidak boleh bersuara dan berkata sesuatu di dalam sesebuah majlis ilmu di gereja-gereja mereka. Maka dengan itu, mereka (wanita) ini hanya boleh menyatakan pendapat mereka bila berada di rumah melalui soal jawab bersama suami mereka. Oleh yang demikian satu persoalan akan terungkai bilamana, wanita-wanita tersebut yang belum berkahwin, di manakah harus mereka rujuk?. Ini menunjukkan kepada kita, satu penindasan hak bersuara telah terjadi dan berlaku dengan sendirinya terhadap agama mereka.
Ini amat ketara sekali bilamana bagi ajaran Hinduisme, mereka menyatakan bahawa mereka perlu mengikut hasta-hasta mereka dalam urusan kekeluargaan. Sebagai contoh, hasta yang tinggi perlu dan hanya berkahwin dengan hasta yang tinggi darjatnya, dan tidak boleh berkahwin dengan para hasta yang rendah. Bukankah itu menunjukkan bahawa, satu fahaman fatalisme telah diketengahkan dengan begitu ketara sekali. Lebih malangnya lagi bilamana apabila si isteri telah kehilangan si suami (kematian), maka balu-balu ini tidak boleh berkahwin sepanjang hayat mereka. Walaupun balu tersebut dalam usia yang muda. Begitu jelas sekali, ajaran ini mengigatkan kita bahawa satu penindasan yang begitu ketara sekali telah berlaku hingga ke saat ini.
Oleh yang demikian, dalam persoalan ini juga, Islam hadir memberi rahmat kepada manusia, membawa risalah Allah s.w.t melalui Nabi s.a.w menyingkap kekufuran dan digantikan dengan keredhaan dan kesempurnaan yang hakiki. Dari hidup yang tanpa hala dan tujuan, kembali menjadi satu tamadun baru yang berteraskan Ilmuan Islam yang utuh. Islam memberi sinar kembali kepada manusia, sehinggakan ramai alim ulama’ dan para cendiakawan Islam meluaskan fahaman Syumul ini ke serata dunia hingga ke tanah melayu (Melaka) pada masa itu. Kita perlu peka akan sejarah ini, dengan sejarah ketamadunan inilah membuatkan kita menjadi seorang yang patuh atas rahmatNya.
Allah s.w.t Berfirman :
“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (Surah An-Nisaa’ – Ayat – 1).
Buat para sisuami di luar sana, bukalah mata hati kamu tentang hakikat seorang wanita. Mereka memerlukan penuh bimbingan dan kasih sayang dari seorang suami. Cuba kamu fakir, kamu ditakdirkan bertemu dengan isteri kamu dengan penuh rahmat dan diijab kabulkan atas keredhaanNya, mengapa penderaan demi penderaan kamu lakukan ke atas isteri-isteri kamu?. Megapa kamu sanggup menghukum tanpa usul periksa, tanpa melampirkan keterangan kepadanya?. Dapatkah kamu gambarkan bilamana penderaan ini berlaku pula kepada anak-anak serta cucu-cucu kamu kelak?. Berfikirlah kamu seketika, isteri kamu melayani kamu dengan penuh kasih dan sayang, segala urusan kamu, dia sering membantu, segala keperluan kamu, dia turuti tanpa rasa membantah sekalipun, tetapi adakah kamu pernah terfikir bahawa sekuatmana kudrat isteri kamu selama ia membantu urusan-urusan kamu. Kalau kita perhatikan zaman globalisasi ini, ramai isteri-isteri dikala ini berstatuskan sebagai isteri yang berkerja dan berkerjaya. Malah ada yang sudah berkerja hampir 20 ke 30 tahun lamanya. Pernahkah kamu berfikir, kenapa mereka sanggup berkerja? Kenapa begitu lama mereka menghabiskan masa untuk semua itu?. Mungkin kamu tidak mengetahui akan hakikatnya, bahawa wanita mempunyai sifat yang sering dipendam dan sukar untuk dikongsi akan permasaalahannya. Lebih-lebih lagi pada suami yang tidak mahu memperdulikan kasih dan sayang serta tanggungjawab ke atasnya. Permasaalahan ini begitu ketara apabila sisuami menganggap begitu mudah dalam urusan-urusannya mencari nafkah. Nafkah yang wajib dicari oleh seorang suami bertukar wajah apabila kudrat isteri diperlukan bagi meraihnya, padahal sisuami mempunyai pelbagai cara untuk menghasilkannya mengikut kudrat yang telah Allah s.w.t berikan kepadanya. Sikap alpa dan pemalas itu menyebabkan pelbagai risiko yang perlu ditanggung oleh isteri. Tidak salah bilamana isteri turut membantu suami dalam hal-hal pencarian rezeki, tetapi suami perlu ingat juga akan hakikat tanggungjawab mereka dalam membina sistem kekeluargaan yang sempurna dan harmoni. Satu kesilapan juga jelas terpancar, apabila ramai suami pada masa kini beranggapan bahawa, ia menjadi satu lumrah kepada isteri untuk membantunya. Padahal pada hakikatnya bahawa, isteri hanya membantu dan menolong mengikut atas keredhaan dirinya sendiri, tiada paksaan dalam soal ini. Pekara ini jelas disangkal oleh suami yang berprinsipkan hati yang keras, apabila sanggup memaksa isterinya membuat kerja-kerja yang memudaratkan dirinya. Menyuruh isteri dengan perlakuan jahat, memaksa dengan keras kadang-kadang sehingga boleh mendatangkan kecederaan yang serius terhadap tubuh badan si isteri. Mungkin kamu tidak percaya akan hakikat ini, tetapi ia amat jelas sekali bilamana isteri-isteri yang bersuamikan penagih dadah, penganggur tegar, pemalas dan sebagainya merupakan golongan yang sering ditindas. Di atas sebab-sebab fatalisme inilah membuahkan satu ketidakstabilan dalam kombinasi sistem kekeluargaan kita.
Pernahkah kamu terfikir, tentang keadaan anak-anak pula?. Anak yang sepatutnya mendapat belaian penuh kasihsayang dari seorang ibubapa bertukar menjadi suram, bilamana urusan-urusan materialisme diutamakan. Lebih malangnya lagi, apabila anak-anak ini lebih rapat kepada orang gaji, saudara mara dan jiran-jiran, berbanding dengan ibubapa mereka. Dan masa yang sama juga, dari segi keperluan harian mereka tidak diperdulikan oleh ibubapa mereka, sehinggakan makanan dan pertuturan bahasa mereka lebih terjerumus kepada bahasa lain berbanding bahasa yang ibubapa mereka bicarakan hari-harian. Suami perlu peka akan hakikat bahawa, rezeki Allah s.w.t ini amat luas, dan perlukan satu titik tolak dalam diri untuk mencarinya, bukan hanya bergantung harap terhadap pendapatan isteri. Banyak pekara-pekara yang gagal kita lakukan bilamana punca rezeki kita berkurangan, ini tidak bermakna kita harus berputus asa dan bergantung terhadap sumbangan isteri kita. Mereka bukan sahaja membantu kamu dalam urusan pencarian nafkah, tetapi urusan-urusan harian keluarga, anak-anak dan diri kamu perlu ia titik beratkan. Bukankah itu satu beban yang ketara, sedangkan kamu hanya berdiam dan terus berdiam diri bilamana pertolongan dari isteri kamu tidak dihiraukan. Lebih malangnya lagi, apabila rokok yang difatwakan haram itu, dibeli dari duit isteri kamu. Kamu mungkin tidak tahu akan hakikat sebenar tentang keupayaan seorang wanita terhadap kerja hariannya, kudratnya tidak sama dengan kudrat kamu, ia diciptakan Allah s.w.t dengan sifat yang lemah lembut. Cuba kamu bandingkan dengan pekara ini, kita lihat sahaja dalam arena sukan, masa yang dicatatkan oleh atlet lelaki jauh lebih baik dari masa yang dicatatkan bagi atlet wanita, ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa, kudrat lelaki lebih kuat dan gagah dari seorang perempuan. Fikirkan!.
Allah s.w.t Berfirman :
Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.
(Surah Al-Baqarah – Ayat-34).
“Islam mengangkat darjat wanita setaraf dengan lelaki, Islam melebihkan lelaki pada sesuatu hak tetapi melebihkan wanita pada hak yang lain pula” (Hassan Al-Bana)
Pekara ini berlanjutan lagi bila, sisuami sanggup berbelanja besar, semata-mata untuk kawan-kawan, tetapi anak-anak dan isteri di rumah bergantung nasib terhadap apa yang berada di dapur, sehinggakan langkah berpuasa berpanjangan mereka hadapi. Duit nafkah yang sepatutunya dibelanjakan untuk menyara keluarga, dihabiskan di tempat-tempat yang tidak sepatutnya mengikut hawa nafsu. Berjudi, meminum arak, membelanja pada benda-benda yang tidak sepatutnya, mengunjungi tempat-tempat maksiat dan sebagainya menjadikan satu trend masakini. Ini mengundang risiko yang ketara bila, duit untuk yuran-yuran persekolahan anak tidak dapat dibayar dan dilunaskan sehinggakan hampir begitu lama. Langkah seterusnya pula, sehingga sanggup meminjam ceti-ceti haram untuk melunaskan segala perbelanjaan harian. Bukankah ia sesuatu yang mengaibkan kita sebagai seorang lelaki yang bergelar suami.
Allah s.w.t Berfirman :
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan” (Surah Al-Maidah – Ayat-8).
Perlu diingatkan juga bahawa dalam Islam kita sebagai suami perlu menyimpan hartanya selama tempoh satu tahun bagi memudahkan isteri dan anak-anak kita hidup selepas kematian kita kelak. Adakah pekara ini diketahui umum bagi pihak suami?. Fikirkan!.
Allah s.w.t Berfirman :
Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya. Kemudian jika mereka keluar (dari tempat tinggalnya dengan kehendaknya sendiri) maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris si mati) mengenai apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka dari perkara yang patut yang tidak dilarang Syarak) itu dan ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah Al-Baqarah – Ayat-240).
Saya sering terbaca di dada akhbar, internet, dan sunber-sumber info yang lain tentang kezaliman suami terhadap isterinya, sehinggakan menyebabkan kecederaan yang serius dan kadangkala menyebabkan kematian. Perlakuan seperti binatang buas ini berpunca bilamana erti pertimbangan hidup tidak dapat dikawal, sebaliknya memilih jalan bacul untuk menyelesaikannya. Memukul isteri dengan begitu zalim sehingga mendatangkan kemudaratan terhadap fizikal dan mentaliti isteri, bukankah itu suatu pekara dan perbuatan yang dilaknati Allah s.w.t?. Islam hadir dengan tujuan untuk memakmurkan dan mensejahterakan manusia di dunia dan di akhirat. Islam melarang kita melakukan pekara-pekara zalim terhadap manusia. Islam mengajar manusia supaya menghormati hak-hak di dalam berumahtangga. Bukankah semua ini telah kita pelajari sejak di bangku sekolah lagi?.
Islam telah mengariskan panduan yang utuh kepada kita untuk menenangkan dan meredakan keadaan bilamana pertelingkahan suami isteri berlaku. Islam tidak mengajar kita erti kekejaman dan kekerasan terhadap isteri-isteri kita. Malahan Islam mengajak kita agar berdamai demi menjamin kesejahteraan hidup berkeluarga, bukan hanya mengikut hawa nafsu yang menjerumuskan kita kepada kekufuran. Apa yang hendak saya tekankan di sini adalah, minda suami isteri mestilah dititikberatkan dan menpunyai sifat-sifat Tafaquh Fiddin bagi menghasilkan satu proses kedamaian dan harmoni dalam sistem kekeluargaan. Saya akan lampirkan sedikit butiran untuk diguna pakai sebagai pedoman yang berguna bagi menjamin hidup kekeluargaan yang harmoni.
Apabila pertelingkahan di antara suami isteri berlaku, maka suami perlu peka dan pandai memainkan peranannya sebagai ketua rumahtangga yang bijak. Menegur secara berhemah perlu ditekankan di sini, menasihati isteri dengan cara yang sopan dan baik serta mengigatkan isteri tentang hukuman-hukuman Allah s.w.t terhadap isteri yang derhaka terhadap suami. Seeloknya jauhilah pertelingkahan itu dari pandangan anak-anak, walaupun anak-anak tersebut dalam usia yang muda. Perlu diingati juga, usaha-usaha ini perlu memainkan peranan yang besar bagi mengelakkan pertelingkahan yang lebih rumit lagi akan berlaku.
Rasulullah s.a.w bersabda :
“Tidaklah digolongkan dalam orang muslim itu, bilamana mereka tidak mengasihi kanak-kanak dan tidak menghormati orang tua” (Hadith Riwayat Bukhari)
Jika cara menegur dan menasihati itu tidak dapat diterima pakai atau tidak berhasil, suami perlu banyak bersabar dan mesti mengunakan sepenuh mindanya untuk menyelamatkan alam rumahtangganya. Langkah seterusnya adalah dengan cara memisahkan tempat tidur. Ini adalah untuk mengigatkan kembali akan kemesraan yang telah mereka alami, dan bilamana tempat tidur tersebut dipisahkan, maka satu proses yang kelainan akan berlaku, apabila mereka tidak dapat merasai belaian nikmat kasih sayang yang telah mereka alami sebelum ini. Dengan cara sedemikian, maka keadaan isteri dan suami pada masa itu agak suram, dan dalam keadaan ini jugalah mereka memerlukan belaian kasih dan sayang yang erat dalam sistem berumahtangga.
Perlu diingati juga, proses untuk memulihkan situasi ini tidak berakhir dengan menegur dan menasihati isteri secara berhemah, tetapi Islam menyuruh kita (suami) agar meninggikan sedikit suara bukan dengan cara menengking terlalu kuat, tetapi sekadar untuk memberi isyarat kepada isteri bahawa ia telah melanggari adab-adab sebagai seorang isteri. Dengan cara yang sedemikian, maka isteri akan tahu bahawasanya, sisuami amat tegas dalam soal tersebut. Islam tidak mengajar kita akan cara yang keras bila bercakap dan menegur isteri kita, tetapi lebih kepada kelembutan dan keharmonian dalam berbicara.
Jika dengan cara menegur dan menasihati secara berhemah, memisahkan tempat tidur dan meninggikan sedikit suara tidak mendatangkan hasil, maka Islam mengajar kita agar memukul isteri kita sebagai nasihat dan ingatan kepadanya. Perlu diingatkan juga, saya tidak bermaksud kepada kekerasan terhadap wanita, tetapi Islam mengajar kita kepada keadilan, kesejahteraan dan keharmonian. Ramai suami pada masa ini, memainkan peranan yang besar dalam situasi pekara ini, memukul isteri dengan objek yang keras, mengunakan kaki dan tangan, mengunakan benda-benda atau objek-objek yang tajam, ini menunjukkan betapa jahilnya pemikiran si suami itu terhadap kaum-kaum wanita. Ini kadangkala menyebabkan kecederaan yang serius dan seterusnya mengakibatkan trauma yang berpanjangan terhadap mentaliti, psikologi dan seterusnya memungkinkan si isteri mengambil jalan mudah untuk menyelesaikannya, dengan melarikan diri dari rumah. Islam tidak menyuruh kita bertindak sedemikian, ini menunjukkan betapa baculnya dan ceteknya pemikiran si suami. Islam mengajar kita agar memukul isteri dengan mengunakan tuala yang basah atau mengunakan kayu sebesar pengosok gigi (Miswak) di mana kayu tersebut tidak lebih dari panjangnya jari telunjuk kita, dengan harapan sekadar untuk mengigatkan dan bukan untuk mendera atau mencederakan isteri-isteri kita. Cuba kamu fikirkan, jika kamu sedang memarahi isteri kamu, lalu kamu pergi ke dalam bilik untuk mengambil tuala dan pergi pula ke dalam bilik air serta membasahkan tuala tersebut dengan air dan terus pergi ke isteri kamu untuk memukulnya, bukankah semua itu memakan masa yang agak lama, dan kain yang basah tadi pula, boleh menyebabkan ruang rumah kamu dibasahi dengan air bilasan tuala tadi. Itu menunjukkan satu proses yang agak lama dan memenatkan, maka ketika itu mungkin perasaan marah yang ada pada setiap suami isteri akan lenyap dengan apa yang hendak dilakukan itu. Dan memungkinkan juga, bilamana kita pergi ke bilik air tersebut, kita akan mengigati diri kita agar berwudhuk dari kita membasahkan tuala tadi. Bukankah itu menunjukkan kepada kita, bahawa Islam menitik beratkan dalam soal menetapkan hukuman. Islam memakmurkan sekelian manusia dengan caranya yang tersendiri. Islam mengajar kita agar mengunakan sepenuh akal dan pemikiran dengan baik sekali.
Jika dengan cara itu tidak menghasilkan apa-apa perubahan terhadap kita, maka gunakanlah jalan tengah sebagai kaunseling untuk menyelesaikannya, iaitu dengan melantik ibu atau bapa mentua atau saudara mara untuk menjadi orang tengah bagi membuahkan satu hasil yang lebih baik dari sebelumnya. Proses ini perlu berjalan dengan adil, tidak ada ketidakadilan akan berlaku terhadap sebelah pihak. Ini menunjukkan bahawa Islam menyuruh kita berbuat demikian adalah kerana, untuk kita menyedari bahawa agar kita berasa malu dan peka terhadap permasaalahan yang telah berlaku. Dengan mengunakan konsep orang tengah ini, maka suami isteri akan menceritakan dengan terperinci tentang apa yang telah berlaku, ini memungkinkan satu situasi yang perlu mereka ketahui akan rahsia-rahsia peribadi mereka akan diketahui umum, bukankah ini satu situasi yang rumit, apabila segenap permasaalahan kita diketahui orang. Maka jalan berdamai di antara suami isteri perlu bagi mengelakkan proses ini diteruskan.
Allah s.w.t Berfirman :
"Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah "orang tengah" (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua "orang tengah" itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya". (Surah An-Nisaa’ – Ayat-35).
Maka dengan itu, jika ia masih tidak mendatangkan hasil melalui proses-proses yang telah saya nyatakan tadi, dengan itu proses penceraian perlu dilaksanakan. Penceraian ini agak merumitkan kita, ia memerlukan satu situasi spiritual yang kukuh dan utuh untuk menghadapinya. Berpegang teguhlah kita kepada syariatNya, agar proses ini dapat kita hindarkan.
Allah s.w.t Berfirman :
“Wahai Nabi! Apabila kamu - (engkau dan umatmu) - hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya, dan hitunglah masa idah itu (dengan betul), serta bertaqwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya); dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu perkara (yang lain)”. “Kemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik; dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),”. “Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu”.. “Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh idah mereka) maka idahnya ialah tiga bulan; dan (demikian) juga idah perempuan-perempuan yang tidak berhaid. Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.”. “Peraturan-peraturan yang demikian adalah hukum-hukum Allah yang diturunkan dan diterangkanNya kepada kamu; dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahannya, dan akan membesarkan pahala balasannya”. Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.”. “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” “Dan bukan sedikit negeri-negeri yang penduduknya menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka dan Rasul-rasulNya, maka Kami hitung amal mereka satu persatu dengan hitungan yang keras rapi, serta Kami seksakan mereka dengan azab yang tidak pernah dikenal dahsyatnya”. “Lalu mereka merasai kesan yang buruk dari perbuatan derhakanya, dan menjadilah akibat perbuatan mereka satu kerugian yang besar.” “Allah menyediakan bagi mereka azab seksa yang seberat-beratnya. Maka bertaqwalah kepada Allah kepada wahai orang yang berakal sempurna dari kalangan orang yang beriman. Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada kamu peringatan “.
(Surah At-Talaaq – Ayat 1 - 10).
Berfikirlah kamu semua, agar menjaga segala suruhan dan laranganNya terhadap kita. Allah s.w.t memberi kita satu nikmat yang tidak pernah kita semua fikirkan, malahan ada yang sanggup mengunakan “Hukum Rimba” untuk menyelesaikan permasaalahan rumahtangga. Kamu mungkin mengetahuinya dan mungkin tidak mengetahui akan hakikat ini, tetapi lebih malangnya lagi orang-orang yang menjalankan hukum rimba ini terdiri dari golongan orang-orang yang beragama Islam dan “Berkolar Biru”. Islam menegah kita mengunakan kekerasan sebaliknya mengunakan syariat Allah s.w.t untuk menjamin kita hidup sejahtera berpaksikan hukum-hukumNya. Maka dengan itu sikap Toleransi dan Tawadhuq perlu diterapkan dengan terperinci, bukan hanya mengikut ajaran bangsa barat yang cetek tamadun dan akhlaqnya terhadap manusia. Nabi s.a.w mengajak umat-umatnya agar benar-benar mentauhidkan suruhanNya, demi membuahkan satu golongan yang berfikiran waras. Maka dengan itu marilah kita bersama-sama membuang segala pemikiran jahilliah yang masih terperap di dalam minda kita selama ini, bagi menjamin kesempurnaan, keharmonian dan kesejahteraan untuk mewujudkan golongan-golongan yang digelar Ullul Albab dan Ulil Absor. InsyaAllah. Allahhu’Akhbar! Allahhu’Akhbar! Allahhu’Akhbar!.
No comments:
Post a Comment