Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Dan Selamat Sejahtera. Segala puji hanyalah semata bagi Allah s.w.t. Selawat dan Salam Sejahtera semoga dilimpahkan kepada utusanNya Muhammad s.a.w, pembawa risalah Islam yang sempurna. Aku bersaksi, bahawa tiada Tuhan kecuali hanya Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya. Dan aku bersaksi, bahawa Muhammad s.a.w adalah hamba dan RasulNya.
Waba’du!.
Perjalanan ini diteruskan juga dengan keizinan Allah s.w.t, dengan berbekalkan sedikit ilmu di dada, maka wajiblah saya untuk menyampaikan dan menyebarkannya walaupun dengan cara apa sekalipun. InsyaAllah. Ramai yang telah terkeliru dengan hakikat Islam itu sendiri, sehinggakan segala yang telah diharamkan dihalalkan, dan sebaliknya, yang halal itu diharamkan, di atas dasar-dasar dan prinsip-prinsip yang sempit dan jumud itulah, membuatkan manusia menjadi keruh dan kufur. Patutkah kita sebagai Muslim, membiarkan pekara ini, diperkotak-katikkan oleh orang-orang yang berideologikan penyakit “Wahan”?, masih mampukah kita sebagai KhalifahNya mempertahankan amanah yang telah Allah s.w.t berikan kepada kita?, atau masih berpeluk tubuhkah kita ketika ini?.
Islam adalah satu-satunya agama Allah s.w.t atau peraturan yang telah ditetapkan Allah s.w.t untuk manusia, sejak wujudnya manusia di bumi ini sehinggalah sampai hari kiamat. Ia diutuskan melalui Rasul-rasulnya sejak dari Nabi Adam a.s hinggalah ke Rasul yang terakhir Nabi Muhammad s.a.w.
Dalam surah Ali-Imran – ayat-85:
“Dan siapa yang mencari selain dari Islam sebagai agama, maka tidak diterima dan di akhirat pula ia tergolong dalam orang-orang yang rugi”.
Dalam surah Al-Maidah - Ayat-75:
“Tidaklah Al-Masih anak Maryam itu melainkan seorang Rasul, Sesuatunya telah berlalulah Rasul-rasul sebelumnya, sedang ibunya seorang perempuan yang benar. Keduanya memakan makanan. Perhatikanlah bagaimana Kami menerangkan kepada mereka beberapa tanda, kemudian perhatikan bagaimana mereka berpaling (dari kebenaran)”
Berdasarkan beberapa ayat Al-Quran tadi difahamkan bahawa Rasul-rasul keseluruhan mereka membawa dan menyampaikan agama Allah kepada manusia, tetapi selepas Rasul-rasul ini kembali kerahmat Allah, maka masyarakat manusia akan meninggal dan menyeleweng dari ajaran Allah itu, sedikit demi sedikit, sehinggalah Allah s.w.t mengutuskan Rasul yang baru untuk membetulkan kembali mereka itu kepada ajaran Allah yang sebenar, iaitu Islam. Kalau mereka kembali maka mereka akan berada di atas kebenaran, tetapi kalau mereka tidak kembali, maka terjadilah satu aliran yang terkeluar dari ajaran Allah atau terkeluarlah mereka dari ajaran Islam yang sebenar.
Firman Allah s.w.t dalam surah Al-An’aam – Ayat-153.
“Dan bahawa ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutlah jalanKu dan janganlah kamu ikut jalan-jalan sampingan, kerana ia akan memecah belahkan kamu dari jalanNya yang sebenar. Begitulah diwasiatkan kepada kamu mudah-mudahan kamu bertaqwa”
Rasulullah s.a.w adalah Rasul yang terakhir yang diutuskan oleh Allah s.w.t ke alam ini untuk membetulkan manusia daripada penyelewengan yang telah berlaku di kalangan umat sebelumnya dahulu.
Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran – Ayat-144:
“Dan Muhammad itu tidak lain, hanya seorang rasul, sesungguhnya telah terdahulu beberapa orang rasul sebelumnya. Jika rasul itu mati atau terbunuh, adakah kamu kembali menjadi kafir?. Barangsiapa kembali menjadi kafir, tidaklah dia mendatangkan bahaya kepada Allah sedikit pun, dan Allah akan memberikan balasan bagi orang-orang yang bersyukur”
Rasul-rasul yang terdahulu daripada Rasulullah s.a.w adalah penyambung dan perintis (Taqmil dan Tamhid) tapi Rasulullah s.a.w hanya sebagai penyambung (Taqmil) sahaja. Beliau tidak membuat persediaan kepada Rasul-rasul yang akan datang, kerana tidak akan ada Rasul lagi selepasnya. Rasulullah s.a.w adalah sebagai pelengkap atau penyempurna agama Islam seperti sabda Rasulullah s.a.w :
“Umpama aku dan nabi-nabi yang lain, adalah seperti seorang lelaki yang membina sebuah bangunan, dielokkannya dan dicantikkannya, maka orang ramai mengelilingnya dan berkata : kami tidak pernah nampak bangunan yang lebih cantik dari bangunan ini, melainkan seketul bata lagi (yang kurang), maka akulah ditempat bata itu”
Rasulullah adalah seorang Rasul pelengkap dan penyempurna risalah Islam di alam ini. Selepas baginda menyempurnakan tugasnya, maka agama Islam telah pun lengkap.
Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Maidah – Ayat-3:
“Hari ini Aku Sempurnakan agama untuk kamu, dan Aku lengkapkan nikmatKu ke atas kamu, dan Aku redhalah Islam itu sebagai cara hidup (agama) untuk kamu”
Dalam sebuah hadith Rasulullah s.a.w bersabda ;
“Bahawa sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak”
Berdasarkan ayat Al-Quran dalam surah Al-Maidah dan Hadith tadi, maka difahamkan bahawa kesempurnaan agama dan kesempurnaan akhlak adalah sama. Kesempurnaan agama adalah dengan kesempurnaan akhlak, ia saling berhubungkait dan seiring dengan nas-nas dan paksi-paksinya.
Jika kita lihat dari sudut pandangan yang jauh, Islam itu sendiri membawa erti yang besar dalam pertumbuhan alam semesta ini begitu juga kehidupan manusia. Ia berjalan seiring dengan konsep kehidupan manusia dan Islam itu sendiri. Tapi malangnya hari ini, masih ada lagi insan-insan yang bernama manusia yang mempunyai akal kewarasan begitu sinonim melakukan pekara-pekara yang melampaui jauh dari Islam itu sendiri. Mereka menyangka dan menyifatkan Islam itu hanya berlaku pada kita bilamana waktu tua kita itu telah muncul, akan sebab itu, segala pemahaman itu lantas disangkal sekeras-kerasnya dalam Islam. Bukankah Islam itu membawa kita menuju perubahan yang total dalam kehidupan kita.
Jika kita lihat perubahan ideologi pada masa kini, jelas dan nyata sekali, sebenarnya kita masih lagi meletakkan Islam itu sendiri begitu jauh dari kehidupan kita, tetapi apa yang menyedihkan lagi, apabila ada sesetengahnya menganggap Islam itu hanya di tempat-tempat tertentu untuk dipraktikkan. Nauzubillah.
Renungilah akan etika dan tingkahlaku pada anak-anak dan adik-adik kita sendiri, kebanyakan aktiviti-aktiviti mereka banyak sekali dihidangkan dengan hiburan, buku-buku, multimedia dan sebagainya, yang tidak berunsurkan kesucian Islam. Semakin hari, semakin bercambah akan aktiviti mereka, sehinggakan ada dikalangan mereka yang tidak tahu akan kebenaran dan kebathilan. Oleh yang demikian, maka suburkanlah ilmuan-ilmuan tentang Islam di segenap penjuru ruang hidup mereka. Tanamkanlah unsur-unsur menghormati dan mendalami Islam itu dengan meluas. Kalau kita lihat pada zaman globalisasi ini, banyak buku-buku dan alatan multimedia yang berunsurkan fahaman dari barat dan dicedok sendiri dari para mubaligh-mubaligh yahudi dan kristian, yang menjadi hidangan pembaca khasnya dari golongan muda-mudi yang sukakan akan kebebasan dan hiburan. Maka dengan itu, dapat juga kita menyaksikan perubahan dari segi sikap dan tingkahlaku serta imej pembaca itu sendiri. Dan paling menyedihkan kita lagi, sehingga ada yang sanggup menyatakan bahawa perubahan mengikut peredaran terkini perlu untuk kesejahteraan hidup, dengan meminggirkan Agama Islam itu sendiri.
Dalam Surah Al-Ahqaaf - Ayat-9:
“Katakanlah wahai Muhammad, Tidaklah aku ini mencipta agama baru di antara Rasul-rasul dan aku tidak tahu apa yang akan dikenakan oleh Allah ke atas aku dan kamu, tidaklah aku mengikut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku, tidaklah aku ini melainkan pemberian amaran yang nyata”.
Sebagai contoh ketara yang hendak saya utarakan di sini adalah, soal pemahaman dan penelitian individu terhadap konsep Islam yang hakiki. Saya pernah diajukan soalan oleh rakan saya yang beragama Kristian yang berasal dari timur Malaysia, soalannya berbunyi begini. “Kenapa orang-orang cerdik pandai di negara-negara barat yang bergelar sebagai Professor, Doktor, Jurutera, Arkitek, Sainstis dan sebagainya memeluk agama lain selain dari Islam?”. “Sedangkan agama Islam itu suatu agama yang benar dan ajaran-ajarannya sesuai dengan konteks ilmu pengetahuan, Sains dan kemodenan?”. Lantaran dengan itu, saya bingkas menjawab, mengapa beliau memeluk agama Kristian? Adakah hanya terikut-ikut dari ajaran keluarga mereka atau ikutan dari edaran agama tersebut. Sebenarnya orang-orang barat seperti beliau belum mengenali erti hakikat Islam, mereka hanya mengenali Islam melalui sumber-sumber Orientalis yang sudah tentu memburuk-burukkan Islam, sepatutnya mereka semua perlu melalui proses “Diskusi” yang menyeluruh bagi mengenal dan memahami konsep kesucian Islam itu sendiri. Melalui proses Diskusi inilah ramai di kalangan mereka mulai sedar akan hakikat kebenaran Islam itu sendiri. Sebagai contoh yang saya hendak utarakan diforum ini adalah bekas penyanyi pop British, iaitu Yusuf Islam. Beliau mengkaji semua agama dan akhirnya menemui Islam sebagai agama yang benar. Malahan yang terbaru pula, raja pop dunia, iaitu Mikaeel Jackson. Beliau begitu sinonim dengan bidang hiburan sebagaimana yang kita ketahui juga beliau merupakan seorang yang sering berulang-alik ke masjid untuk mencari kebenaran dalam beragama, sehinggakan Al-Quran itu satu kitab yang sering dibawa ke mana sahaja beliau pergi. Beliau meninggalkan dunia kemasyuran semata-mata untuk mencari keredhaan Illahi. Sebenarnya ramai lagi penganut-penganut agama lain yang menukar kepada agama Islam, tetapi semua itu tidak menjadi halangan untuk mereka berinteraksi dengan rakan-rakan mereka yang beragama selain dari Islam. Lataran dengan itu juga saya diajukan dengan beberapa soalan yang agak tenang saya menjawabnya demi untuk mengetengahkan kebenaran Islam kepada manusia sejagat. Soalan ini diajukan oleh rakan saya yang beragama Kristian kepada saya, ia berbunyi begini. “Tetapi ada orang-orang Islam yang berpindah agama menjadi pemeluk agama kristian?.” Saya mula menanyakan kembali kepada kawan saya tadi, bahawa adakah orang-orang Islam yang memeluk agama Kristian itu terdiri dari sarjana-sarjana Islam? Sehingga saat ini, saya malahan kamu di luar sana yang sedang membaca posting di laman blog (www.MujahidinCyber.blogspot.com) saya ini belum pernah mendengar sarjana-sarjana Islam memeluk agama Kristian. Saya tidak menafikan bahawa ada di kalangan orang-orang Melayu atau beragama Islam yang berpindah ke agama selain dari Islam tetapi, harus kita faham bahawa meraka itu kebanyakkannya orang-orang yang tidak ubah seperti tidak pernah menganut apa-apa agama. Malahan itu pula, pada zahirnya nampak seperti seorang muslim tetapi pada batin atau hakikatnya pula seperti botol-botol plastik yang kosong dan kontang, yang sedihnya pula, botol-botol tersebut tidak punyai penutup, dan mudah diisi dengan pelbagai jenis air dari mana entah datangnya. Nau’zubillah.
Sebenarnya diskusi-diskusi seperti begini perlu bagi setiap yang ingin mencari kebenaran yang hakiki. Tetapi malangnya pada hari ini, soalan-soalan tersebut yang datangnya dari pihak dari agama lain, tidak mudah dijawab, malah jawapannya masih tidak menepati ciri-ciri Syahadah yang mereka perlukan dan cari selama ini, kerana orang-orang Islam pada masa kini (segelintir) masih belum memenuhi ciri-ciri sebagai seorang Mukmin yang sejati.
Firman Allah dalam surah Ali-Imran - ayat-19:
“Sesungguhnya agama di sisi Allah, ialah Islam. Tiada perselisihan golongan ahli Kitab, melainkan setelah datang ilmu pengetahuan kepada mereka, kerana dengki mendengki sesamanya. Barangsiapa yang kafir akan ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat bersegera hisabNya”
Kembalilah kita ke pangkal jalan yang lurus dan diredhaiNya. Tanamkan dan suburkanlah kesempurnaan jasmani dan rohaniah anak-anak serta generasi kita dengan ilmuan Islam. Sebagai contoh yang boleh kita ambil, ajarkanlah anak-anak kita yang sedang membesar itu tentang hakikat Islam yang sebenar, belikan mereka buku-buku dan alatan multimedia yang berunsurkan Islam, yang banyak terdapat di pasaran sekarang, janganlah kita begitu jahil dan bakhil terhadapnya, sehinggakan ilmu yang bermanfaat itu kita ketepikan dan mendahului pekara-pekara yang tidak berfaedah. Ingatlah, hidup kita ini umpama seorang petani dan penternak, apa yang kita kerjakan dan usahakan pada hari yang singkat ini, tidak kita nampak akan hasilnya, tetapi jika ia belarutan dan berpanjangan maka, hasil dari apa yang kita usahakan itu amat jelas dan nyata, sehinggakan hasil tersebut boleh menampung dan memberi syafaat kepada keluarga kita, malah seluruh kampung dan seluruh negeri kita kelak, malahan hasilnya itu juga akan dinilai dihari kiamat kelak. Bersabarlah apa juga rintangan untuk mencapai tujuan "Pergerakan pembaharuan Demi Islam". Allahu Akhbar!!!.
No comments:
Post a Comment