Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Dan Salam Muhibah. Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Salam dan Selawat kepada Junjungan kita Rasulullah s.a.w, Ahli keluarga Baginda, Sahabat-sahabat dan Sahabiahnya.
Alhamdulillah, Syukur kehadratNya, mengizinkan saya untuk memuatkan lagi posting dan artikel saya ini. Apa yang telintas di minda saya ini, akan saya lampirkan bersama bagi berkongsi segala coretan ilmiah di arena ini. Terima kasih juga saya panjangkan kepada rakan-rakan siber saya selama ini, yang memberi sokongan terhadap penulisan saya selama ini. Sebenarnya saya tidak berminat memuatkan posting-posting saya ini dengan ideologi-ideologi Politikus, yang mana bagi saya, ia sedikit sebanyak mencalitkan laman blog (http://www.mujahidincyber.blogspot.com/) kelolaan saya ini yang berunsurkan Ilmuan Islam. Perjalananan saya ini akan saya teruskan lagi dengan satu isu yang masih dipertikaikan dan perlu diperjelaskan dengan tertil lagi, satu isu di mana manusia suka membangkitkan pekara-pekara yang jelas dan nyata akan hukum halal dan haramnya. Bagi mereka-mereka di luar sana, bukalah mata hati anda untuk menilai dan memahami akan hakikat “Aurat” itu sendiri. InsyaAllah.
Manusia memerlukan pakaian bagi membalut atau menutupi tubuhnya. Pakaian adalah nikmat Allah yang penting kepada manusia. Allah menyuruh manusia, khususnya umat Islam supaya memakai pakaian. Pada masa ini, ramai berpakaian bagi melambangkan personaliti dan melindungi tubuh daripada cuaca panas atau sejuk. Oleh kerana masa atau zaman berubah begitu pantas, maka rekaan dan corak pakaian pun sentiasa bertukar dan semakin canggih. Oleh itu, tidak hairan jika hari ini lahir pelbagai jenis rekaan pakaian yang tidak lagi mementingkan aspek akhlak dan moral. Islam sebenarnya tidak menetapkan bentuk atau warna pakaian tertentu untuk dipakai, baik ketika beribadah atau luar ibadah. Islam menetapkan pakaian itu mesti menutup aurat, sopan dan sesuai dengan akhlak seorang Muslim serta pakaian tersebut tidak menimbulkan kesan negatif terhadap pemakai dan sesiapa yang melihatnya. Begitu juga adab-adab dan cara-cara pemakaian yang sesuai untuk kita dan generasi kita. Islam mengajar kita supaya menutup aurat bukan untuk merendah-rendah identiti kita, malahan untuk kesempurnaan dan keselamatan kita.
Jika kita lihat di negara-negara barat contohnya, mereka menyatakan bahawa membuka aurat itu adalah satu keperluan, malahan itu juga mereka mengangap bahawa tubuh mereka itu sebagai “seni diri” yang patut mereka bangga dan dipertontonkan kepada orang ramai. Tetapi akan hakikat itu, ada sesetengah negara Islam juga yang sering memperjuangakan hakikat akan pendedahan aurat ini di kalangan para pelajar khasnya. Mereka mengetepikan akan hukum-hukum yang jelas dari Allah s.w.t. dengan alasan ia satu tindakan yang menyalahi undang-undang hak-hak asasi manusia. Malah ada sesetengah itu juga menyatakan bahawa tubuh manusia itu suatu yang perlu dipertontonkan kepada khalayak orang ramai tentang kejadian indah yang telah Tuhan berikan kepada mereka. Nauzubillah.
Maka demikian, terciptalah pelbagai jenis pakaian yang meloyakan dan memualkan mata hati kita untuk melihatnya, apa yang menyedihkan kita lagi, ada segelintir khalifah-khalifah Allah s.w.t yang beragama Islam bangga akan hakikat menonjolkan aurat mereka sendiri. Ke manakah akal dan fikiran kita selama ini? Masih relevankah akal dan fikiran kita selama ini tentang hakikat menutup aurat?. Yang haram tetap akan haram sampai hari kiamat, dan yang halal itu tetap akan halal sampai kehari kiamat kelak, tiada nas-nas yang menyatakan bahawa yang haram itu halal dan halal itu haram. Ramai yang mempertikaikan pekara ini, ingin mencari kepastian, sedangkan hakikatnya ia tetap termaktub dan tidak akan diubah walaupun sampai kehari pembalasan nanti. Berpegang teguhlah kita akan KalamNya dan Sunnah Rasulullah s.a.w seerat-eratnya bagi menjamin kesejahteraan dunia dan akhirat. Sebagai contoh yang kita ambil :
“Jika segumpal lumpur yang bercampur dengan jerami padi yang lembut itu diambil dan digumpalkan, lalu dibalingkan kepada kamu, apa akan rasa sakitkah kamu bila balingan tersebut terkena kepada kamu, tentu tidak berasa sakit, kerana lumpur itu tidak begitu keras dan ia hanyalah sesuatu jisim yang lembut. Tetapi jika lumpur dan jerami tersebut kita gumpalkan lalu dikeringkan di cahaya matahari yang terik, lalu ia menjadi seketul lumpur dan jerami yang keras akan akibat proses pengeringan dari kepanasan tadi, dan dilontarkan kepada kamu, apa yang kamu akan dapat merasainya, tentu kesakitan yang kamu perolehinya”.
Maka apa yang kita dapat dari moral tersebut bahawa, setiap apa yang telah diciptakan Allah s.w.t itu ada kebaikannya dan jika kebaikan itu kita mencampur-adukkan dengan pekara-pekara yang tidak sepatutnya maka, bahana akan menimpa diri kita kelak. Mahukah kita tergolong dalam golongan tersebut?.
Islam datang untuk memakmurkan dan mensejahterakan umat manusia. Islam juga menjadikan manusia bertamadun dan beretika dalam urusan-urusannya. Islam itu untuk mereka yang berakal, orang yang berakal dapat membezakan kebaikan dan keburukan. Islam itu mencerminkan kepada kita banyak garis dan panduan untuk diteladani dan contohi. Apa yang saya hendak berkongsi dengan kamu semua adalah tentang adab-adab dan peraturan yang telah di garis pandukan kepada kita tentang hakikat Aurat itu sendiri yang berkonsepkan dan bercirikan Islam. Bukalah mata hati kamu semua untuk memahami, meneliti dan mentauhidkan apa yang telah digariskan ini. Saya akan lampirkan sedikit gambaran gambar-gambar untuk tatapan kamu semua, agar dapatlah kita bersama-sama berfikir dengan mendalami lagi akan hakikat aurat itu sendiri. Lantaran dari gambar-gambar tersebut sedikit sebanyak dapatlah kita mengambil ikhtibar dan bermuhasabahkan diri kita yang hina ini serta serapkan etika-etika ukhwah pedoman untuk diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita keseluruhannya.
Firman-Nya bermaksud:
"Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian yang indah apabila pergi ke tempat ibadah, seperti mengerjakan sembahyang atau pun memasuki masjid, makan dan minumlah, jangan melampau-lampau, sesungguhnya Allah tidak suka orang yang melampaui batas."(Surah Al-A'raaf, ayat 31).
“Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman: Hendaklah mereka merendahkan pandangan dan menjaga kehormatannya, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasannya, kecuali apa yang biasa nampak daripadanya, dan hendaklah mereka tutupkan tudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali pada suami mereka, atau ayah mereka, atau anak-anak suami mereka, atau saudara-saudara mereka atau anak-anak saudara lelaki mereka atau anak-anak saudara perempuan mereka, atau perempuan Muslimat atau hamba sahayanya, atau pelayan-pelayan lelaki yang tiada keinginan( syahwat ) kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat perempuan. Janganlah kamu berjalan sambil mengoyangkan kakinya, supaya diketahui orang perhiasannya yang tersembunyi ( gelang kaki ). Bertaubatlah kamu sekelian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan”
(Surah An-Nur – Ayat-31)
Maka jelaslah kepada kita tentang ayat-ayat Al-Quran tersebut, bahawa Islam itu sendiri menghormati dan menjaga akan diri kita dengan begitu baik sekali. Manusia sering terlupa dan alpa dengan konsep etika aurat itu sendiri, ramai masyarakat kita masih tidak peka akan hakikat sebenar aurat itu. Cuba lihat sekeliling kamu, berapa ramaikah di kalangan kita yang menutupi aurat di kala ini?. Adik-adik kamu. Anak-anak kamu, diri kamu, keluarga kamu, kawan-kawan kamu, ibubapa kamu, pemimpin kamu dan sebagainya. Islam telah mengariskan panduan kepada kita untuk menutupi aurat bukan untuk menyalahi prinsip-prinsip hak asasi manusia, tetapi lebih kepada menjamin dan mengelakkan manusia terjerumus ke dalam ruang-ruang kemaksiatan. Menjurus dengan ini, Islam telah mengariskan juga panduan bahawa aurat lelaki menurut ahli hukum Islam ialah daripada pusat hingga ke lutut. Aurat wanita pula ialah seluruh anggota badannya, kecuali wajah, pergelangan tangan dan kakinya.
Firman Allah s.w.t:
"Wahai Nabi, katakanlah (suruhlah) isteri-isteri dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan beriman, supaya mereka menghulurkan jilbab mereka ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun dan Maha Penyayang."
(Surah Al-Ahzab - Ayat-59).
Nabi s.a.w bersabda bermaksud:
"Paha itu adalah aurat." (Hadis Riwayat Imam Bukhari).
“Dari Abu Hurairah r.a, katanya: Rasulullah s.a.w bersabda” :
“Ada dua macam penduduk neraka yang keduanya belum kelihatan olehku. (1). Kaum yang memiliki cambuk seperti ekor sapi, yang dipergunakannya untuk memukul orang. (2). Wanita-wanita berpakaian, tetapi sama juga dengan bertelanjang (pakaian yang terlalu nipis, ketat, terbuka dan pakaian yang merangsangkan hawa nafsu). Dan wanita-wanita yang mudah dirayu atau suka merayu, rambut mereka (disasak) bagaikan punuk unta .Wanita-wanita tersebut tidak dapat masuk syurga, bahkan tidak dapat mencium bau syurga. Padahal bau syurga itu dapat tercium dari jarak yang sangat jauh”.
(Hadis Riwayat Imam Muslim – Hadis 2004, Halaman 117).
Pakaian yang jarang menampakkan aurat dan tidak memenuhi syarat menutup aurat. Pakaian jarang bukan saja menampakkan warna kulit, malah boleh merangsang nafsu sesiapa yang melihatnya. Cuba kita perhatikan di negara kita, berapa banyak orang-orang Islam yang mengakui beragama Islam, tetapi masih lagi mendedahkan aurat mereka. Mereka sering menyatakan bahawa, mereka mengikut peredaran zaman dan fesyen terkini. Ada sesetengah itu juga berpakaian menutupi aurat tetapi, hanya memakai pakaian yang ketat dan mengiyurkan setiap mata yang memandang. Bukankah itu suatu dosa yang nyata, untuk apa kalau hanya menutupi badan tetapi terdedah di tempat yang lain. Islam telah mengariskan panduan untuk manusia, sebagai contoh dan pedoman yang berguna bagi menjamin kesejahteraan dan keselamatan dunia dan di akhirat. Aurat itu bukan satu penindasan terhadap manusia, malahan ia lebih kepada menjamin kesempurnaan dan kesejahteraan serta keselamatan kehidupan manusia itu sendiri.
Jika kita lihat dari sudut yang berbeza, dapat juga kita simpulkan bahawa, faktor pergaulan dan persekitaran itu sedikit sebanyak mengugat konsep aurat itu sendiri. Tetapi Islam telah mengariskan panduan untuk kita, bahawa setiap yang haram itu tetap akan haram hingga ke hari kebangkitan nanti dan setiap yang halal itu tetap dengan konsepnya serta tiada yang perlu diubah dan dimansuhkan dalam apa juga sebab sekalipun. Janganlah kita terikut-ikut dengan budaya luar, hinggakan kita lupa akan hakikat halal dan haram itu sendiri. Berpegang teguhlah kepada Tauhid Islam itu sendiri, bagi menjamin kesempurnaan dan kesejahteraan kita kelak.
Nabi s.a.w bersabda bermaksud:
"Sesiapa meniru atau menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam golongan mereka." (Hadis Riwayat Abu Daud).
Maka dengan itu jelaslah kepada kita, budaya terikut-ikut itu amat merugikan diri kita kelak. Apa yang membimbangkan kita pada hari ini, ramai sebenarnya pengusaha-pengusaha pakaian yang tidak mengetahui malah tidak peka terhadap garis panduan akan hakikat Aurat. Lebih membimbangkan kita lagi, pengusaha-pengusaha tersebut datangnya dari kalangan orang-orang Islam itu sendiri. Lihat sahaja sekeliling kita, berapa ramai yang memakai tudung yang singkat dan dilihati juga bahawa tudung tersebut merupakan tudung yang tidak ada nas-nas dan hukum-hukum menutup aurat. Begitu juga dengan pakaian harian yang kita pakai, pakaian yang terlalu ketat, bukankah pakaian yang ketat itu menyusahkan pergerakan kita bilamana memakainya, adakah ia satu trend untuk diri kita?. Mendedahkan dan menonjolkan sesuatu kepada orang ramai dengan rasa bangga apa yang kita miliki. Bukankah itu sesuatu yang tidak baik untuk diri dan Islam itu sendiri. Malahan itu pula, ada sesetengahnya juga bangga dengan berpakaian songsang, serta menyatakan bahawa fesyen itu satu keperluan di zaman globalisasi ini.
Nabi s.a.w bersabda bermaksud:
"Allah mengutuk wanita yang meniru pakaian dan sikap lelaki, dan lelaki yang meniru pakaian dan sikap perempuan." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Konsep aurat ini diteruskan lagi dengan lebih mendalam, kita baru di permulaan bab, banyak lagi yang perlu saya bicarakan. Bagi pakaian lelaki pula, mereka kadangkala begitu sinonim dengan perilaku dengan kreativiti dan diri mereka sendiri, mereka menganggap bahawa aurat itu suatu yang tidak perlu dititik beratkan dan dipraktikkan, malah ada yang tidak segan silu sanggup menonjolkannya di khalayak orang ramai semata-mata mengejar populariti yang mengasyikkan. Sebagai contoh yang dapat kita lihat, dalam arena sukan dan rekreasi. Ramai di antara mereka yang tidak peka akan hakikat aurat itu sendiri. Ramai yang tidak peka dan prihatin tentang Konsep Islam. Bukankah Islam telah mengariskan panduan untuk kita tentang kesopanan dalam berpakaian serta menutupi aurat secara total. Islam mengajar kita akan hakikat yang utuh bagi mereka yang mentauhidkannya. Lihat sahaja arena sukan di negara kita, pendedahan aurat begitu ketara sekali dan dapat dilihat dengan jelas, soal gangguan fizikal dan kecergasan untuk sesuatu sukan itu menjadi alasan untuk tidak menutupi aurat, tetapi hakikat yang sempit itulah sebenarnya membuatkan Islam itu tercalar.
Jika kita lihat di negara-negara Islam yang lain, bersukan itu tidak semestinya membuka aurat, malah mereka bangga kerana dikurniakan aurat untuk bersukan. Tetapi malangnya di negara kita, menutup aurat itu suatu yang tidak perlu dipraktikkan, malahan ada segelintir pihak yang berwajib sanggup mengaris pandukan bahawa, membuka aurat itu perlu untuk mencapai kemenangan. Akan dengan itu, apa hasil yang kita perolehi hingga sekarang?, adakah kemenangan yang dijanjikan itu muncul tiba? dan apa yang kita perolehi sebelum dan selepas itu?.
Berpakaian mestilah mengikut hukum-hukum yang telah termaktub di dalam nas-nas Islam. Bukan hanya dicedok dari pihak-pihak lain yang entah dari mana datangnya, bagi mengaburi mata hati kita selama ini. Janganlah kita berasa sombong diri dengan pakaian yang kita pakai yang berharga beribu-ribu ringgit, tetapi pakaian yang tersebut tidak mencerminkan sesuatupun tentang aurat itu sendiri. Biarlah berpada-pada dengan kemampuan kita sendiri dan berjimat cermatlah dalam membeli pakaian, kerana jika pakaian yang berharga murah sekalipun tetapi ia berlandaskan paksi Islam, maka kemuliaan itu lebih tinggi dari pakaian kita yang berharga beribu-ribu ringgit tersebut.
Nabi s.a.w bersabda bermaksud:
"Sesiapa yang melabuhkan pakaiannya kerana perasaan sombong, Allah tidak akan memandangnya pada hari kiamat." Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda bermaksud: "Barang siapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan pada hari akhirat nanti." (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, An-Nasa'ie dan Ibnu Majah).
Pakaian lelaki mesti berbeza daripada pakaian wanita. Maksudnya, pakaian yang khusus untuk kaum lelaki tidak boleh dipakai oleh kaum wanita, begitu juga sebaliknya. Bukankah itu suatu budaya yang songsang dan jauh dari hukum-hukum Islam itu sendiri. Allah s.w.t mengurniakan kita akal dan fikiran untuk berfikir dengan lebih mendalam lagi, pekara-pekara seumpama itu hendaklah kita menolak sejauh-jauhnya dalam diri kita ini. Tetapi malangnya pada hari ini, kita seringkali ditontonkan dengan budaya pakaian yang memualkan. Sehinggakan ia menjadi ikutan dan tarikan diri kita, malah apa yang membinbangkan lagi, budaya tersebut lebih menonjol kepada anak-anak dan adik-adik kita yang tidak tahu tentang hakikat pakaian itu sendiri. Bukankah itu sesuatu yang merugikan diri dan keluarga kita kelak. Pakailah pakaian yang sesuai dengan jantina kita sendiri, bukan hanya mengikut dan mencedok dari budaya barat dan Hinduisme.
Firman Allah s.w.t ;
“Sesungguhnya mereka mendustakan kebenaran, tatkala datang kepada mereka. Nanti akan datang kepada mereka berita apa yang mereka perolokkan”. (Surah Al-Anaam – Ayat-5).
Pakaian lelaki tidak boleh diperbuat daripada sutera kerana diharamkan kaum lelaki memakai sutera. Oleh yang demikian, perubahan perlu kita laksanakan dengan sempurna sekali. Bukankah Allah telah mengurniakan kita pelbagai nikmat di muka bumi ini, maka carilah sesuatu itu dengan tekun dan sabar, janganlah kita menjadi pengikut-pengikut yang dimurkai Allah s.w.t yang hanya mementingkan diri sendiri.
Nabi s.a.w bersabda bermaksud:
"Janganlah kamu memakai sutera, sesungguhnya orang yang memakainya di dunia tidak dapat memakainya di akhirat." (Hadis Riwayat Muttafaq 'alaih).
Memilih pakaian berwarna putih kerana ia adalah yang terbaik untuk dipakai. Putih adalah warna yang sangat disenangi dan sering menjadi pilihan Rasulullah s.a.w. Ia juga melambangkan kesucian. Berdasarkan Hadis yang sahih, baginda memakai baju hijau dan serban hitam. Hijau adalah warna kesukaan Nabi.
Baginda bersabda bermaksud:
"Pakailah pakaian putih kerana ia lebih suci dan lebih baik, dan kafankan mayat-mayat kamu dengannya." (Hadis Riwayat An-Nasa'ie dan Al-Hakim).
Sebagai seorang Islam, sewajarnya seseorang itu memakai pakaian yang sesuai menurut tuntutan Islam. Sesungguhnya pakaian yang sopan dan menutup aurat adalah imej seorang Muslim. Malahan jika kita lihat dari sudut yang berbeza pula, tanamkan minat pada diri dan seluruh keluarga kita untuk mendalami tentang hukum-hukum menutup aurat. Bermulalah dari sekarang untuk mengubah dari yang terdedah kepada yang menutup aurat, suburkanlah setiap genap penjuru mata hati kita untuk melakukan yang terbaik untuk generasi yang mendatang. Menutup aurat itu satu pekara yang wajib, yang perlu kita sama-sama laksanakannya dengan baik dan sempurna sekali. Ajarkanlah tentang aurat dan prinsip-prinsip aurat itu bermula dari akar umbi. Sebagai permulaan, belilah dan pakailah pakaian yang menutup aurat di kalangan keluarga kamu, ajarkanlah mereka yang masih kecil itu tentang hukum-hukum menutup aurat. Biarpun ia satu permulaan diusia kecil, tetapi hasil impaknya dapat kita lihat di hari kemudian kelak. Banyak pakaian yang sesuai untuk anak-anak dan adik-adik kamu, dorongkanlah dengan nas-nas Islam, bukan sekadar mengikut trend semata-mata. Saya akan berikan gambaran kepada kamu semua tentang apa yang kita telah bincangkan sejak dari awal permulaan tadi.
“Jika kamu mempunyai sebuah rumah yang cantik dari daya usaha gigih kamu sendiri, maka rumah kamu itu mempunyai pelbagai perabot dan perkakas barangan elektrik yang begitu mahal sekali, serta di dalam rumah kamu itu disinari dengan lampu-lampu dan hiasan yang begitu menarik. Sehinggakan setiap orang yang mengunjungi rumah kamu itu begitu terpegun dan terpesona akan keindahan dalaman dan luaran rumah kamu itu. Akan tetapi malangnya rumah kamu itu tidak pula dihiasi dengan langsir disegenap penjuru pintu dan tingkap. Maka tidak indahlah rumah kamu itu bila langsir yang merupakan bahan yang menutupi setiap aktiviti diri dan keluarga kamu itu diperlihatkan dengan sewenangnya oleh orang yang melihatnya. Bukankah itu suatu yang indah bertukar menjadi suatu yang lebih menakutkan dan merumitkan pergerakan kamu di dalam rumah tersebut, malahan pula bila terbitnya waktu malam menjelma, maka lebih merisaukan lagi jika ada pekara-pekara yang tidak diingini berlaku, dan setiap genap pergerakan dan kelakuan kamu masa itu mudah dipertontonkan oleh orang yang melihatnya, bukankah itu menunjukkan bahawa langsir itu perlu di setiap ruang tingkap dan pintu rumah kita. Dengan berlangsir, kita dapat melakukan pergerakan dan aktiviti harian kita dengan mudah dan sempurna sekali, malah jika bila malam menjelma, kita akan ditutupi langsir kita tersebut, atas faktor keselamatan.”
Moral yang saya hendak jelaskan kepada kamu bahawa, rumah kamu itu saya ibaratkan sebagai “Diri” kamu sendiri, perhiasan dalaman dan luaran rumah kamu itu juga saya gambarkan sebagai harta yang bernilai di dalam diri kamu itu iaitu “Maruah Diri”. Dan yang terakhir sekali langsir yang saya maksudkan itu adalah “Aurat” kamu yang sering dan wajib kamu hargai, jagai dan kelolaan dengan begitu sempurna dan tertil sekali.
Maka dengan itu setiap apa yang kita hargai dan sempurnakan hari ini, bukanlah sebenarnya untuk diri kamu sendiri, tetapi untuk generasi-generasi kamu yang mendatang. Setiap perlakuan kebaikan yang telah kamu lakukan itu memperlihatkan betapa tekun dan jitunya diri kamu terhadap agama Islam. Runtuhnya sesuatu bangsa itu. Bukanlah bererti runtuhnya ekonomi dan pembangunannya, tetapi runtuhnya Akhlak dan Aqidah itu lebih membimbangkan dan memudaratkan sesebuah bangsa dan negara tersebut. Allahhu'Akhbar!!!.
No comments:
Post a Comment