Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Dan Selamat Sejahtera. Segala puji hanyalah semata bagi Allah s.w.t. Selawat dan Salam Sejahtera semoga dilimpahkan kepada utusanNya Muhammad s.a.w, pembawa risalah Islam yang sempurna. Aku bersaksi, bahawa tiada Tuhan kecuali hanya Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya. Dan aku bersaksi, bahawa Muhammad s.a.w adalah hamba dan RasulNya. Waba’du!.
Allah s.w.t menciptakan manusia hidup di muka bumi ini adalah untuk berpasangan demi melahirkan satu generasi peneraju Khalifah yang berprinsipkan Islam yang Syumul. Amanah yang telah Allah s.w.t berikan atau anugerahkan kepada kita begitu besar sekali, sehinggakan sekelian gunung, langit, bumi di alam semesta ini tidak mampu untuk mentauhidkannya. Oleh yang demikian, satu fitrah kehidupan manusia untuk melahirkan satu generasi ke generasi yang lain memerlukan satu komitmen yang teguh bagi menyempurnakan syariat Islam yang utuh dan suci. Maka dengan itu, terciptalah satu generasi baru bakal mengalas generasi yang lama untuk mentadbirkan bumi ini dengan begitu sempurna sekali mengikut apa yang telah Allah s.w.t amanahkan kepada manusia sejak dari Nabi Adam a.s sehingga sekarang.
Allah s.w.t berfirman :
“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.. Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya”. (Surah Al-Furqan – Ayat 74-75.)
Pada amnya, apa yang telah saya nyatakan pada posting saya yang lalu “Isteri Itu Satu Amanah”, (disini) di mana saya telah menyatakan dengan begitu detail tentang hakikat amanah yang telah Allah s.w.t berikan kepada seorang suami terhadap isterinya mengikut ajaran dan syariat Islam. Sebagaimana yang kita ketahui umum anak merupakan satu amanah yang telah Allah s.w.t kurniakan kepada ibubapa untuk menjaga serta mengelolakan setiap inci perbuatan dan tingkahlaku yang bercirikan mengikut ajaran Islam bagi melahirkan satu generasi yang berprinsipkan dan bertauhidkan Islam yang sebenar. Kehadirannya bukan sahaja untuk memakmurkan serta mensejahterakan muka bumi ini tetapi ia pada umumnya dapat menyerikan lagi organisasi sistem kekeluargaan yang semakin bercambah dari hari ke hari. Ia merupakan satu fitrah kehidupan bagi manusia yang hidup berpasangan serta sedikit sebanyak merupakan satu perhiasan dan kesenangan kehidupan di dunia, sebagaimana Allah s.w.t telah berfirman :
“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).” (Surah Ali Imran – Ayat-14).
Hakikat dan lumrah kehidupan masa kini semakin rumit dan sempit, akibat dari segelintir kelakuan dan tingkahlaku manusia yang masih lagi menganuti fahaman, Materialisme dan fatalisme malahan ada juga segelintirnya masih mengamalkan sikap berat sebelah dalam mengetengahkan hukum-hukum Allah s.w.t. Namun yang demikian, masih ada lagi ruang-ruang kehidupan manusia di corong-corong rimba kehidupan yang indah ini, mengamalkan serta mentauhidkan amanahNya dengan begitu sempurna dan tertil tanpa menghiraukan apa jua dugaan dan rintangan dari makhluk-makhluk yang bersifatkan atau bertopengkan kedurjanaan. Secara amnya, suasana kezaliman dan ketidakadilan dalam mencatur sesuatu ruang-ruang kehidupan itu, adalah berpunca dari ketaksuban hati-hati manusia terhadap kemewahan yang liberalisasi terhadap material-material kemasyuran keduniaan yang samar-samar.
Pekara ini jelas ketara bilamana sikap segelintir manusia yang bergelar ibubapa atau penjaga yang sering melahirkan satu sifat yang jauh ketinggalan dari peredaran zaman globalisasi ini. Sifat di mana punca keretakan dan kehancuran nilai kasih sayang terhadap anak-anak yang belum mengenal erti dunia ini. Ia amat jelas sekali bila pekara ini diajukan kepada ibu-ibu yang sedang mengandung. Pekara ini amat ketara bila, perasaan ‘tenat’ sering dimainkan oleh si ibu-ibu tadi yang sering menyatakan satu bebanan terhadap kandungan yang ia alami tersebut. Sikap cerewet terhadap bayi yang dikandunginya itu membuahkan satu perasaan yang jauh dari sudut nilai-nilai kasih sayang terhadap bayi yang dikandunginya itu. Kadangkala pula ada yang sanggup menyatakan bahawa kandungan yang berada didalam rahimnya itu satu bebanan yang sering menyusahkan pergerakan kerja-kerja hariannya. Bukankah itu menunjukkan satu sikap terhadap ceteknya nilai murni dan kasih sayang terhadap bayi yang ia kandungkan itu. Ini amat jelas yang boleh kita lihat pada masa kini, di mana apabila si ibu-ibu ini amat cerewet dan bersikap malas dalam menyusun serta mengatur sistem kekeluargaan bersama suaminya. Dengan sikap untuk tidak memperdulikan arahan, tanggungjawab dan urusan-urusan harian kekeluargaan dan menyatakan bahawa ia satu beban yang menyusahkan adalah tidak dapat diterima akal. Saya tidak bersikap diskriminasi terhadap apa yang saya nyatakan ini, ia akan saya buktikan kepada kamu semua tentang apa yang sedang saya hujahkan dan forumkan ini. Sifat-sifat ini sering juga boleh sama-sama kita lihat, terhadap ibu-ibu yang bergelar suri rumah, pada hakikatnya masa yang begitu banyak terluang di rumah tidak dihabiskan untuk memakmurkan bayi yang berada di dalam kadungannya itu. Masa yang terluang tersebut lebih berkisarkan kepada hiburan yang melampau dan tidur yang berpanjangan dengan alasan untuk ‘berehat’. Adakah ia satu fenomena yang baru dalam sistem kekeluargaan kita selama ini?. Sikap yang sedemikian inilah yang membuahkan satu proses tumbesaran bayi yang agak ‘terbantut’. Melebihkan hiburan dari membuat sesuatu yang mendatangkan hasil yang bermanfaat terhadap bayi yang berada di dalam kandungannya itu, serta bersifat terlalu malas dan alpa terhadap sistem kekeluargaan. Seharusnya si ibu tadi patut menghabiskan masa yang teluang tersebut dengan membaca Al-Quran dan berzikir serta mengigati akan Allah. Ini sekurang-kurangnya akan mendapat satu rahmat yang tidak ternilai dari Allah s.w.t. Tidak lupa pula bagi ibu-ibu yang berkerjaya, mengendahkan dan tidak mengutamakan amanat yang telah diberikan kepadanya oleh majikan tempat ia berkerja, dengan alasan terlalu letih dan membosankan adalah satu pekara yang tidak harus dilakukan. Saya faham terhadap apa yang sedang dialami oleh para ibu-ibu di luar sana, di mana satu proses bebanan yang mereka hadapi, tetapi janganlah kita mengunakannya sebagai satu ‘perisai alasan’ untuk kita melakukan tugasan dan tanggungjawab kita kepada keluarga dan majikan yang telah diamanahkan kepada kita. Pernahkah kamu terfikir bahawa sebenarnya bayi yang berada di dalam kandungan tersebut merupakan seorang Khalifah yang akan mentadbir bumi ini mengikut syariat yang telah Allah s.w.t amanahkan kepada sekelian manusia. Kamu mungkin belum mengetahuinya dan mungkin samar-samar dalam pencaturan yang sedang saya nyatakan ini. Sebenarnya Allah s.w.t telah menganugerahkan kepada kita dengan satu amanah yang amat besar dalam menjamin kesejahteraan khalifahNya. Amanah inilah yang sebenarnya kita wajib menjaga dan kelola dengan sebaik mungkin walaupun dengan pelbagai rintangan dan dugaan sekalipun. Allah s.w.t telah memilih kamu sebagai penjaga Khalifah dengan tiada tolok bandingnya. Cuba kamu bayangkan terhadap ibu-ibu yang masih tidak mempunyai anak, mereka tidak merasai apa yang kamu sedang alami?. Kamu terlalu bertuah kerana dikurniakan seorang bayi yang bakal akan dilahirkan, maka kelolakanlah dengan begitu baik sekali. Janganlah kita meremeh-remehkan apa yang telah Allah berikan kepada kita. Bersyukurlah dengan nikmat dan kurniaanNya kepada kamu.
Allah s.w.t berfirman :
“Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.” (Surah Al-Khafi – Ayat-46).
Suasana perbincangan kita belum berakhir lagi, saya baru dipermulaan bab bagi menjelaskan entiti hakikat sebenar. Sejurus dengan itu, soal didikan terhadap anak-anak yang baru dilahirkan hingga ke peringkat seterusnya perlu ditekankan di sini mengikut acuan Islam yang Ad-Deen. Islam mengajak kita tentang tingkahlaku yang sempurna bagi menjamin ikutan untuk generasi yang mendatang. Islam mengajar kita agar menjadi pemimpin untuk anak-anak serta generasi kita dengan adil, amanah, jujur, dan bijaksana. Kamu sebagai ibubapa seharusnya memainkan peranan yang cukup besar bagi menghasilkan satu ummah yang jitu akan iman dan akalnya. Pernahkah kamu terfikir akan peranan yang besar ini dan impaknya terhadap kelemahan jika cara kepimpinan itu terpesong jauh dari nas-nas dan syariatNya. Kepimpinan keluarga tidak terhad terhadap diri kamu sendiri, tetapi ia merangkumi sangat luas sehinggakan generasi yang akan datang turut merasai kesannya.
Islam amat mementingkan kesejahteraan dan kesenangan umat manusia terutamanya umat Islam dalam memenuhi fitrah manusia yang diciptakan oleh Allah s.w.t. Dalam hal ini, cara dan bentuk kepimpinan seseorang peminpin atau Khalifah menjadi teras utama kepada lahirnya masyarakat yang mempunyai keimanan yang utuh, berilmu dan berakhlak mulia. Saya akan lampirkan kepada kamu tentang contoh tahap kepimpinan yang tinggi yang perlu kita semua mengambil ikhtibar yang berguna untuk digunapakaikan dengan sebaiknya. Kewibawaan Rasulullah s.a.w dalam memimpin masyarakat majmuk di madinah adalah satu contoh kepimpinan yang terbaik dan berkesan dalam membentuk rakyatnya yang berbilang kaum dan agama agar bersatu dalam semua aspek samaada dari segi ekonomi, pendidikan, pentadbiran negara, kebajikan rakyat dan sistem kekeluargaan. Sikap adil, amanah, jujur dan bijaksanalah yang diamalkan oleh Baginda s.a.w membolehkan segala permasaalahan dapat diselesaikan dengan adil sekali. Sifat-sifat mengutamakan Rohaniah dan Jasmaniah inilah juga memainkan peranan yang cukup besar dalam menjalankan tanggungjawabnya, bukan sebagai Nabi, tetapi sebagai pemimpin Negara, ketua angkatan tentera, ulama, ketua keluarga dan sebagainya. Kita harus mencontohi teladan yang baik yang telah Baginda s.a.w utarakan digenap corong-corong kehidupan ini. Mengapa perlu kita mengikut acuan dari barat yang hanya dan sering mengundangkan fatalisme terhadap kehidupan kita?. Dengan mengajar anak-anak tentang dunia Athisme, mengajar akan sifat-sifat hidup bermegahan dan saling menindas. Lihat saja apa yang berlaku di Negara-negara barat, usia yang telalu muda, mudah dapat kita lihat akan mereka yang cenderung melakukan aktiviti yang tidak bermoral dan berfaedah. Tetapi semua ini telah ditutupi oleh media-media dan sistem telekomunikasi mereka bagi mengaburi dunia Islam khasnya.
Allah s.w.t berfirman :
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” (Surah Al-Ahzaab – Ayat 21).
Kamu mungkin tidak terfikir akan hakikatnya bahawa tingkahlaku kamu sebagai ibubapa bukan sekadar terhad dari pandangan mata sahaja, tetapi ia memerlukan komitmen yang cekal dan jitu yang memakan masa yang agak lama untuk menjadikan anak-anak kamu itu sebagai ‘Khalifah Muda’ yang sempurna. Membuahkan sesuatu fahaman yang syumul itu tidak akan berlaku dengan sekelip mata sahaja, tetapi ia memerlukan satu pengorbanan yang tiada tolok bandingnya. Beberapa kajian telah dijalankan untuk mencari punca sebenar akan kejayaan seseorang anak itu adalah berpunca dari kehadiran sempurnanya tanggungjawab ibubapa yang komited terhadap anak-anaknya.
1) Ia menjelaskan kepada kita bahawa, bayi yang mempunyai ibubapa yang selalu bersamanya selama lapan minggu pertama adalah lebih berkemampuan menghadapi tekanan di alam persekolahannya.
2) Anak-anak yang rapat dengan ibubapa pada zaman kanak-kanak menjadi agen ‘penyelesai masaalah’ yang baik apabila dewasa, berbanding dengan kanak-kanak yang tidak dihiraukan oleh ibubapanya.
3) Apabila kanak-kanak dibelai dan dididik oleh ibubapanya serta sentiasa disampingnya, sikap mereka apabila dewasa menjadi lebih berinisiatif dan berwibawa mengawal diri sendiri.
4) Kanak-kanak yang mempunyai hubungan yang rapat terhadap ibubapa ketika zaman tumbesarannya akan menjadi remaja dan orang dewasa yang seimbang.
Secara amnya, apa yang dapat kita lihat dari kajian di atas adalah, peranan sistem ibubapa itu amat penting bagi memakmurkan dan mensejahterakan sistem organisasi kekeluargaan kita. Ini amat ketara sekali bilamana nilai sesebuah kasih sayang ibubapa itu tidak dilaksanakan dengan begitu baik sekali di mana belaian kasih sayang ibu bapa itu hubung rapat dengan permasaalahan gejala sosial dan kemunduran prestasi pembelajaran anak-anak. Ia mengundang lebih banyak risiko yang harus ibubapa kecapinya kelak. Sebagai contoh :
1) Lima kali lebih teruk dalam prestasi pembelajaran.
2) Tiga kali lebih ramai mengandung anak tanpa nikah.
3) Lebih 50% kemungkinan keciciran dalam pelajaran, terbabit dengan gengsterisme, penyalahangunaan dadah dan jenayah juvana.
Mungkin kamu tidak terfikir akan hakikat ini, tetapi ia benar-benar berlaku di zaman globalisasi ini. Begitu ketara sekali dan amat menyedihkan kita lagi bilamana ia terjadi terhadap anak-anak yang beragama Islam seperti kamu. Sebenarnya mereka memerlukan perhatian dan dorongan dari pada ibubapa untuk menjamin masa depan mereka yang cerah. Apa yang menyedihkannya lagi bahawa, ibubapa juga yang dianggap sebagai penjaga yang paling hampir, tidak memainkan peranan yang besar dalam membangunkan sistem kekeluargaan malah ada yang sanggup menjadi “duri dalam daging”. Ia amat dikesali bila banyak terpampangnya di dada-dada akhbar dan media elektronik yang memaparkan gejala sumbang ibubapa terhadap anak-anaknya. Sikap segelintir inilah yang patut kita jauhi dari sudut dan segenap ruang-ruang hati-hati kita.
Oleh yang demikian, segala usaha-usaha untuk melahirkan ‘Khalifah Muda’ yang berkualiti ini perlu diteruskan dan dititik beratkan, bukan sekadar bercakap dengan slogan yang kosong dan menjengkelkan. Saya amat tertarik dengan sebuah ucapan dan slogan dari seorang pemimpin negara pada masa lalu, di mana beliau menyatakan bahawa, “Setiap rumah dalam sistem kekeluargaan mesti mempunyai sebuah komputer untuk melahirkan generasi yang celik IT”. Usaha-usaha ini perlu disokong penuh bagi mewujudkan generasi yang tekun dalam ilmunya. Tetapi apa yang saya hendak ketengahkan di sini adalah, bahawa, bagaimana kita hendak mewujudkan setiap rumah mesti mempunyai sebuah komputer jika usaha-usaha untuk mewujudkan sistem telekomunikasi itu belum dilaksanankan dengan tersusun. Lihat sahaja di kawasan pendalaman yang masih belum lagi menerima bekalan elektrik dan air, walaupun kita sudah merdeka lebih 50 tahun lalu. Inikan pula untuk menikmati jalinan sistem jalur lebar yang meluas. Bukankah ini satu bentuk diskriminasi yang ketara terhadap penduduk luar bandar, dan sedikit sebanyak ia memualkan apa yang telah dirancangkan oleh pemimpin tadi. Saya amat menyokong usaha dari beliau untuk mewujudkan sistem IT yang berkesan, untuk rakyat tetapi, sistem itu perlu dilalui dengan proses penyusunan yang sempurna dan tersusun, barulah rakyat dapat menikmati apa yang pemimpin-pemimpin mereka nikmati sejak sebelum merdeka lagi hingga ke hari ini. Apa yang hendak saya jelaskan di sini adalah, bahawa setiap perancangan itu perlukan komitmen yang jitu, bukan sekadar dengan angan-angan yang kosong. Begitu juga dengan sistem kekeluargaan, ia memerlukan satu punca bagi melahirkan Khalifah Muda (anak-anak) yang berteraskan Islam yang Ad-deen dan syumul. Ia memerlukan daya usaha yang gigih, bukan sahaja mengikut acuan dari sebelah pihak sahaja. Setiap perancangan untuk melahirkan sesuatu perlu melalui satu proses yang bermula dengan perancangan yang utuh dan jitu dari akar umbi lagi. Maka bermulalah dari situ akan melahirkan satu sistem yang boleh diterajui dengan sempurna berteraskan paksi-paksi Islam. Konsep ini diteruskan lagi, saya akan nyatakan kepada kamu tentang cara-cara untuk menjadi ibubapa yang berkesan, untuk melahirkan generasi yang ukhwah di masa-masa akan datang. Sebagai contoh yang akan saya utarakan di sini adalah :
1) Ibubapa perlu komited, berkesan dan bertanggungjawab terhadap anak-anak.
2) Ibubapa perlu mendampingi dan mendekatkan diri serta mengenali akan anak-anak mereka.
3) Ibubapa perlu bersifat Istiqomah (tetap pendirian) terhadap situasi sistem kekeluargaan.
4) Ibubapa perlu melindungi, menyara dan mendoakan kesejahteraan anak-anaknya.
5) Ibubapa perlu saling cinta mencintai sesama mereka bagi menunjukkan kepada anak-anak bahawa, mereka saling bantu-membantu dan mesra dalam menjalinkan ikatan kasih sayang.
6) Ibubapa perlu menjadi pendengar yang setia dan adil dalam situasi mendengar luahan dan pendapat serta cadangan dari anak-anak mereka.
7) Ibubapa perlu menjadikan diri mereka pemimpin jasmaniah dan rohaniah yang baik bagi menyakinkan lagi nilai kasih sayang mereka kepada anak-anak.
Daripada apa yang telah kita bincangkan sejak dari permulaan tadi, maka jelaslah kepada kita bahawa peranan ibubapa amat penting dalam melahirkan anak-anak atau Khalifah Muda ini dengan berkesan. Bukan sekadar bergantung harap kepada guru-guru dan pembantu rumah, pemimpin dan badan tertentu untuk mendidik serta menjaga anak-anak mereka. Ada yang perlu diberikan perhatian secara menyeluruh dan ada yang perlu disederhanakan dalam menyelami konsep bimbingan dan didikan. Janganlah kita sebagai ibubapa terlalu alpa dengan anak-anak dalam mencurahkan kasih sayang kita kepadanya, kerana anak-anak yang diusia sebegini muda mudah terpengaruh dengan tindakan dan kelakuan kita amnya. Ada juga segelintir masyarakat kita masih tidak peka akan mendidik anak-anaknya dengan sempurna, sebagai contoh dalam bab akhlaq dan aqidah. Begitu ramai yang masih tidak peka akan hakikat ini, membiarkan anak-anak dengan tidak menutup aurat, membiarkan anak-anak bergaul bebas tanpa batasan, membiarkan anak keluar malam tanpa mengetahui hala dan tujuan dan sebagainya. Walaupun ini semua dalam usia yang belum Mumayyiz, tetapi ia perlu dilatih sejak dari akar umbinya lagi bagi melahirkan sebuah insan yang benar-benar menyintai Allah s.w.t. Lebih malangnya lagi ada segelintir ibubapa yang sanggup mendera anak-anak mereka tanpa usul periksa dan mengikut hawa dan nafsu semata-mata. Bukankah ini satu bentuk penindasan yang amat ketara. Fikirlah kamu semua, bahawa anak-anak yang tidak berdosa itu diperlakukan seperti mana orang-orang Yahudi Bani Israel perlakukan terhadap orang-orang Islam di Palestin, ia amat memilukan bilamana akal dan fikiran ibubapa tersebut diletakkan di bawah sekali. Kalau kamu tidak sanggup melihat penderitaan kanak-kanak di Palestin ditindas dan dibunuh, maka hentikanlah semua penderaan itu terhadap anak-anak kamu yang tidak berdosa tersebut. Kalau hingga ke hari ini, generasi kita masih mengamalkan sikap penderaan dan penindasan kemuadian baru berfikir, maka 1000 tahun lagi belum tentu kita semua dapat melahirkan generasi peneraju Ummah yang berkonsepkan Islam. Berfikirlah kamu sejenak, kamu mengamalkan sikap fatalisme terhadap anak-anak kamu, sebenarnya kamu telah mendera secara keseluruhan Jasmani dan Rohani baka dan benih kamu sendiri. Kamu sebenarnya telah melakukan satu bentuk penindasan terhadap zuriat kamu sendiri, maka patutkah kamu perlakukan sedemikian terhadap anak-anak kamu?. Fikirkan!.
Ke Bahagian 2 (disini)
No comments:
Post a Comment