BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Jika dilihat dalam pengajian Sifat-sifat Dua Puluh yang bermaksud “Dialah yang Dahulu” (Hu Al-Awwalu) ini ditukar dengan kalimah “Al-Qadim” yang bermaksud ‘dahulu tidak berpermulaan’. Tidak ada permulaannya, tidak juga dapat digambarkan, oleh akal yang waras bahawa ada pula yang dahulu daripadanya. Maka tauhidkanlah dalam diri kita bahawasanya Dia yang menjadikan segala sesuatu, dan segala sesuatu itu mesti kemudian daripada Allah SWT.
Sebaliknya, yang menyesatkan jalan-jalan akal fikiran kita adalah apabila Ketuhanan kita akur dengan akal kita yang pendek dan hidup yang singkat ini.
Perhatikanlah kita semua…
Kita dahulunya sebelum lahir, kemudian kita pun lahir. Lalu disangka Allah SWT berpangkal. Wujudnya hidup kita ini memang berpangkal. Kita merasai itu dan yakin akan hal tersebut. Bagi kita sendiri, itu adalah mustahil. Tetapi wujud Ilahi, serupa itulah Dia; tidak berpermulaan. Kalau dia berpemulaan serupalah dia dengan kita, dan itu pulalah yang mustahil bagi Allah Azza wajalla.
Kadang-kadang berdebar-debar rasanya di dada kita, kerana akal ini hendak menerawang jauh dan fikiran juga kekadangnya tersasar pergi ke daerah-daerah yang bukan-bukan yang mustahil untuk dicapai oleh akal fikiran ini. Lalu timbul pula tanda tanya, apakah lagi yang di atas Allah itu? Kosongkah? Bilakah? Dan bagaimana rupanya kosong itu? Jadi Allah SWT ada saja terus..dan terus…
Persoalannya…
Salahkah kita jika terkadang terfikir akan sedemikian menerawang jauh sebegitu rupa?
Tidak!
Tuan-tuan Syeikh yang budiman!
Ini adalah kerana fikiran kita yang menjalar jauh itu tidaklah dapat disekat atau dilarang. Dan dia pun akan terhenti sendiri apabila dia telah penat dan jemu! Dan untuk mengubati kesemua daya fikiran tersasar itu, mestilah berbalik kepada AGAMA! Sebab sebagaimana pintarnya manusia itu pasti kekuatan akalnya pun turut terbatas juga.
Perhatikan Hadith Rasulullah SAW ini…
Menurut riwayat Abu Hurairah r.a, adalah beberapa orang sahabat Rasulullah SAW datang mengadukan hal mereka kepada Rasulullah. Kata mereka : “Kami merasai dalam diri kami beberapa pekara yang sulit bagi kami menurutkannya. Lalu Rasulullah SAW bertanya, ‘Begitukah?’ mereka menjawab, ‘Sebenarnya!’ lalu beliau menjawab, ‘Itulah kenyataan Iman’ ”(Sila rujuk Hadith Sahih Imam Muslim r.h).
Persoalannya…
Siapakah orang yang terkenal sekali keahliannya dalam hal Ilmu Perhitungan di akhir zaman ini?
Einstein kah!
Sedangkan Einstein sendiri pun bingung bila telah sampai kepada batas-batas mememikirkan keadaan-Nya! Maka kesulitan jualah yang ditemui jika pengkajian itu diteruskan tanpa Ilmu, lebih-lebih lagi apabila kita lekas sedar, siapakah sebenarnya diri kita dan sehingga mana batas kekuatan yang ada pada kita. Rasulullah SAW menyatakan bahawa itulah tanda alamat kita telah beriman. Maknanya, di dalam jiwa kita telah ada dasar asas kepercayaan, iaitu tentang adanya serta wujudnya Tuhan.
Perhatikan lagi wahai tuan-tuan dan puan-puan yang budiman…
Sejarah kemanusian termasuklah manusianya sekali!, sejarah Alam, sejarah Hidup yang terdapat di bumi, sejarah ada, walhal dahulunya tiada, bukanlah pekara yang dapat diputuskan oleh seseorang. Bahkan seluruh kehidupan sejak bumi ini didiami manusia, penuhlah persoalan tentang dahulunya tiada. Mungkin kadang-kalanya ada insan mendapat percikan atau pecahan rahsia itu di dalam lingkungan akal yang terbatas. Berapa gejala yang kadang-kalanya juga teraba-raba oleh tangan kita yang halus ini di hari ini, atau kelmarin atau di zaman akan datang yang masih dalam rahsia Ghaib. Kadang-kalanya juga percikan-percikan tersebut dapat menghasilkan ilmu pengetahuan, sains dan seribu satu bidang ilmu yang bermanfaat. Itu sajapun telah memberi kita kemegahan dan kemuliaan yang kadangnya pula kita sangka ia sudah cukup dan memadai buat kita.
Kadang-kadang hidup kita di alam ini, seperti orang yang seronok ketika di dalam kapal besar yang berlayar, di lautan luas membiru. Terasa indahnya ombak yang bergulung-gulung itu. Maka terujalah ia sejenak menikmati keindahan panorama kecantikan duniawi.
Tetapi!
Ingatlah!
Keindahan yang kita rasai dan nikmati itu sangatlah TERBATAS. Iaitu hanyalah di atas sebuah KAPAL. Tidak usah kita lompat dan terjun ke laut, kerana hendak merasai lazat dan nikmatnya kebiruan laut, lebih baik lihat dan pandang-pandang sajalah kenikmatan itu! Begitulah apa yang terjadi, dan berlakunya kita di atas muka bumi ini!.. Hanyalah sebuah bumi!..
Perhatikan lagi…
Dari situ kita kembali kepada kepercayaan akan Qadimnya Zat Ilahi, Qadim yang tidak terbatas, dahulu yang tidak ada permulaan dan otak ini tidak dapat memperhitungkannya lagi sampai di mana keadaan itu berlaku. Sedangkan jika menghitungnya sampai ke triliun kali pun ia tetap tidak dapat dibandingkan di dalam menghitung Qadim-Nya Allah SWT.
SubhanaAllah!
Ingatlah!
Alam yang dijadikan Tuhan ini memang ada permulaan dan ada kesudahannya. Adapun yang wujud adalah pada Zat-Nya sendiri, maka haknya adalah lebih tinggi, sebab dia yang menjadikan, bukan yang dijadikan. Kata-kata Alam atau Tidak Ada, atau Lenyap, Mustahil akan menyentuh Zat itu.
AllahuAkbar!
No comments:
Post a Comment