Friday, 11 February 2011

Detik Kesyahidan Dr. Abdul Aziz Rantisi.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.




BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera buat semua yang hadir di sini.


Pada 17 April 2004, Asy-Syahid Dr. Abdul Aziz Rantisi bangun seawal pagi, mandi dan memakai wangian, seakan beliau bersiap sedia untuk bertemu dengan Allah SWT, beliau mula mengalunkan nasyid kesukaannya iaitu :


“An Tadkhulani Rabbi al jannata hadza aqsha ma atamannaa” (Tuhan! Engkau masukkan aku ke dalam syurga-Mu, inilah puncak harapanku).


Dr. Rantisi mengulang-ulang kalimah tersebut, kemudian beliau menoleh ke arah isterinya dan berkata :


“Inilah kalimah yang paling aku sukai dalam hidupku”


Pada waktu itu juga, komandan Hamas, Akram Nasshar (salah seorang pengawal Dr. Rantisi) datang kepadanya setelah dua minggu tidak bertemu. Akram Nasshar juga merupakan sasaran Israel-Zionis. Beliau tidak ingin berpisah dengan Dr. Rantisi, menurut kenalan terdekatnya. Ini adalah kerana Dr. Rantisi merupakan guru serta ikutannya. Akhirnya Allah SWT mengurniakan kepada beliau syahid bersama-sama gurunya. SubhanaAllah!



Kelihatan pada petang itu, diberitakan bahawa Akram Nasshar telah berjumpa dengan Dr. Rantisi selepas solat Asar. Beliau mengatur laluan perjalanan Dr. Rantisi dengan penuh berhati-hati dan waspada berdasarkan kod-kod tertentu sebagai bahasa perhubungan. Nasshar datang dan berbincang dengan Dr. Rantisi sebentar dan kemudiannya keluar. Beberapa saat setelah solat Isya’, Dr. Rantisi dan anaknya, Ahmad menaiki kereta putih jenis “Sparoow” yang bercermin gelap seperti yang dirancangkan. Ketika itu beliau keluar dengan memakai pakaian orang tua untuk menjaga keselamatan beliau dan berwaspada. Kedua beranak itu menuju ke sebuah tempat yang sudah dirancangkan sebelumnya.


Beberapa minit kemudian, datang kereta Sparoow yang dinaiki oleh Akram Nasshar dan dipandu oleh Ahmad Garrah, agen rahsia di Brigade Izzudin Al-Qassam, sayap ketenteraan Hamas. Dengan tenang Dr. Rantisi keluar dari kereta anaknya dan berpindah ke kereta yang dinaiki oleh Akram Nasshar dan Ahmad Garrah. Kereta itu lantas memecut dengan kelajuan yang tinggi menuju ke suatu tempat yang tidak diketahui. Tiba-tiba muncul dua pesawat tempur Apache Israel dan terus melepaskan dua roketnya ke arah kereta yang dinaiki Dr.Rantisi dan dua rakannya itu. Roket Israel menghentam tepat mengenai kereta tersebut dan ketiga-tiga hamba Allah di dalam kereta tersebut terbang menuju Penciptanya untuk menjemput apa yang mereka cita-citakan di dunia, iaitu syahid. Dr. Rantisi gugur syahid bersama dua rakannya iaitu Akram Nasshar (meninggalkan 5 orang anak) dan Ahmad Garrah, pemandu kereta. Di dunia jiwa mereka selalu bersama dan berkasih sayang, dan bersama pula di saat mereka meninggal dunia. Mereka semua telah memperolehi “SYAHID”.


Dr. Rantisi dibunuh, seorang pemimpin yang penuh inspirasi dan berpengaruh, begitulah pujian orang-orang yang mengenali beliau. Di dalam dirinya tersemat semangat seorang pejuang dan ahli politik yang tinggi. Beliau seorang agamawan, ditambah pula kemampuan sastera, ilmu dan ceramahnya. Beliau mempunyai karisma yang tinggi dan disegani, sehingga semua penduduk Palestin dan dunia Arab hormat padanya. Apabila namanya disebut saja, lawannya menjadi gentar dan takut, kata pemimpin Hamas. Walaupun demikian beliau masih berusaha menghabiskan sebahagian waktunya bersama para pejuang Brigade Izzudin Al-Qassam, sayap ketenteraan Hamas. Beliau melakukannya untuk memberi semangat untuk berkorban kepada mereka untuk bangsa, agama dan Al-Quds. Dr. Rantisi adalah teladan utama bagi pejuang Al-Qassam, begitulah orang-orang terdekatnya menyebut.



Berikut saya cuba paparkan kata-kata perjuangan dan semangat yang tinggi yang telah diungkapkan oleh Dr. Rantisi semasa hayat beliau bagi memperjuangkan martabat Islam di bumi Palestin untuk menentang rejim Zionis-Israel laknatullah.


“Saya menyeru anda semua agar bertenang, seandainya Rantisi, Al-Zahhar, Haneya, Nazzar Rayyan, Said Siyyam dan semuanya gugur syahid (dibunuh Israel), demi Allah perjuangan kita akan bertambah gemilang dan membuatkan kita semakin mencintai jalan ini. Tangan-tangan kita yang menggenggam senapang di dunia ini, Insya’Allah akan berpelukan bersama disisi Allah SWT (di syurga nanti). Oleh itu silalah Sharon dan kuncu-kuncunya meneruskan apa yang mereka inginkan di sini, kami akan sentiasa meneruskan perjuangan ini. Jalan yang kami lalui ini memang payah, namun, inilah satu-satunya jalan yang akan menghantarkan kita semua kepada cita-cita kita (iaitu syurga). Di atas dasar inilah kita tidak akan sekali-kali merasa lemah, tidak akan menyerah dan tidak akan juga menghinakan diri kami (dengan menyerah kalah kepada Israel).” (Asy-Syahid Dr. Abdul Aziz Rantisi).


Pada 18 April 2004 iaitu selepas solat Zuhor, setelah selesai solat jenazah dilakukan di masjid Raya Gaza, Asy-Syahid Dr. Rantisi selamat dimakamkan di tengah-tengah laungan takbir ribuan para pengikutnya.



Selamat jalan Dr. Rantisi!



Perjuanganmu tetap kami ikuti!



AllahuAkbar!



1 comment:

  1. salam..mohon copy ye..semoga Allah sentiasa memberkati..

    ReplyDelete

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails