BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Jika dilihat di dalam maksud Sifat Dua Puluh yang biasa disebut iaitu “Yang Akhir tidak berkesudahan” ia bermaksud Allah kekal selama-lamanya. Dia bukanlah tubuh, dan Dia tidak mati, serta Dia bukanlah sesuatu yang akan hancur dan lebur. Dia tetap, dan Kepada-Nya-lah segala sesuatu akan kembali. Segalanya akan binasa kecuali Zat-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan janganlah engkau menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah. Tiada Tuhan melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah. BagiNyalah kuasa memutuskan segala hukum, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan (untuk dihitung amal masing-masing dan menerima balasan).” (Surah Al-Qasas : Ayat 88).
Maka timbul pula persoalan di dalam hati kita, Bagaimana pula tentang kekalnya manusia di dalam syurga kelak, dalam Al-quran ada menyebut ‘Khalidina fiha’ kekal mereka selamanya di dalamnya. Samakah Khulud (kekalnya) manusia itu dengan khuludnya Allah Ta’ala?
Pasti jauh perbezaan di antara Khulud yang abadi sejak bermula lalu kesudahan, dengan khulud anugerah. Kalau Tuhan tidak mahu kita lahir ke dunia, tentu kita ini tidaklah lahir. Dan setelah kita wafat menutup mata, lama kelamaan kita dibanggunkan kembali. Maka diberilah anugerah Khulud di syurga bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Kalau kehendak Tuhan tidak ada, tentu kita ini tidak lain daripada kekosongan semata-mata.
Tuhan pasti kekal!
Tidaklah dapat akal kita yang waras memikirkan bahawasanya Allah itu tidak kekal. Seorang manusia mendirikan rumah yang tersergam indah dan besar. Lama kelamaan rumah itupun pasti akan musnah jua. Batu, kayu, atap dan dinding lama kelamaan juga pasti akan usang dan reput suatu hari kelak. Perhatikan sahaja apa yang berlaku di banggunan-banggunan lama yang terdapat di Melaka khasnya yang telah mencecah ratusan malahan ribuan tahun lamanya. Ia didirikan atas perintah Raja-raja yang berkuasa pada masa itu. Tetapi pada hari ini, bila kita sampai ke tempat itu, kita hanya melihat bekas tinggalannya sahaja, sedangkan orang yang memerintahkannya suatu ketika dahulu sudah tiada lagi. Apa yang menariknya lagi, ia hanyalah sebagai kunjungan buat orang-orang yang terkini termasuklah diri kita. Maka lihatlah pula akan alam ini, masih tetap utuh, baru dan tetap tidak berubah-ubah, matahari, bintang, bulan, langit, awan, dan sebagainya tetap teguh dan utuh, kerana yang menjaganya tidak pernah mati dan tidak akan mati, Ia kekal selama-lamanya.
SubhanaAllah!
Ingatlah wahai teman-teman yang budiman!
Terjadinya alam ini adalah kerana adanya Tuhan. Dan alam juga memerlukan Tuhan. Dan terpeliharanya alam ini pun wajibnya kerana Tuhan sentiasa Ada. Setiap zarah dan atom sekalipun, baik di bumi mahupun di langit, tidaklah mungkin mengambil sumber adanya dirinya sendiri. Ia juga memerlukan Tuhan! Sebab hancur dan habisnya pun tidaklah atas kehendaknya sendiri. Ia adalah ketentuan Tuhan! Bahkan bayang-bayang kita juga turut akan hilang, jika matahari terbenam dan matahari serta seluruh alam tiada melainkan kerana adanya Allah SWT.
AllahuAkbar!
Pehatikanlah lagi syeikh-syeikah sekelian…
Ketuk-ketuk kepala tu, agar cepat-cepat tersedar dari lena!..
Akal dengan segala gerak-gerinya, hati dengan segala gelombang perasaan, tubuh dengan darah yang mengalirnya, dan anggota dengan persediaannya. Sejak mulai alam ini terjadi sampai kiamat kelak, yang kita kenal dan yang kita tidak kenal, semuanya itu terdiri kerana Allah tetap ada. Kalau Allah berpaling dan membiarkan kepada alam yang lain, maka hancurlah sebahagian di sini dan leburlah juga sebahagian di sana. Benarlah apa yang dikatakan oleh Nabi Musa a.s kepada Allah SWT.
Bumi yang terdampar di bawah telapak kaki kita, tidaklah merasai bahawa ada orang berjalan di atas tubuhnya. Bukanlah dia yang menjadikan kita, walaupun kita daripadanya diciptakan. Dia adalah beku, tidak berpengetahuan dan tidak berperasaan. Dia hanya menurut perintah sahaja, runtuh kata perintah, maka runtuhlah dia, tegak kata perintah, tegaklah dia, dan hancur luluhlah engkau kata perintah, hancur luluhlah dia. Maka perbezaan di antara wujud kita atau wujud alam keseluruhannya dengan Wujud Allah SWT, ialah bahawa alam seluruhnya wujud kerana kehendak-Nya, serta Wujud Allah adalah Wujud sendiri-Nya.
Kita tidak mempunyai kuasa apa-apa, kehidupan kita hanya menikmati sesuatu yang seketika. Datang perintah mati, hilanglah kita dari alam ini, hanya nama sahaja yang tinggal, itupun kalau memang ada nama!
Malah ada juga yang berkata :
“Kami dan kerajaan kami akan memerintah dan mentadbir negara ini untuk selama-lamanya demi menjamin kesejahteraan dan kemajuan BANGSA kerana slogan kami adalah Dahulu, Kini dan Selamanya”…
Takaburnya manusia ini…
Waallahua’lam.
No comments:
Post a Comment